Langkah elak Islam digambar agama tak konsisten dalam prinsip amalan
KUALA LUMPUR: Tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak yang menyebarkan hadis palsu, yang semakin menular di kalangan pengguna Internet bagi menjaga kesucian Islam.
Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya, berkata tindakan itu perlu disegerakan bagi mengelak Islam digambarkan sebagai agama yang rumit dan tidak konsisten dalam prinsip amalannya.
“Lambakan hadis palsu yang mudah diakses menerusi laman sosial Facebook dan blog boleh menyebabkan kesucian Islam dicemari dengan perkara tidak masuk akal dan tidak benar," katanya selepas menghadiri perbincangan bertajuk 1Malaysia dan Penghayatan Islam pada Himpunan Ulama, Cendekiawan Islam dan Penulis Maya Kebangsaan di sini, semalam.
Juanda berkata, jika mahu menggalakkan orang hidup beragama, galakkan mereka mengikuti ajaran yang diajar Nabi Muhammad SAW iaitu agama mudah serta membentuk nilai kejiwaan tinggi.
“Kita mahu umat Islam membuat sesuatu yang mereka tahu akan tindakan berkenaan. Setiap langkah mereka difahami dan menjurus kepada kebaikan di samping menguatkan jati diri," katanya.
Dalam isu berkaitan, Juanda mahu penulis maya menjadi kumpulan pendesak selain mata dan telinga kerajaan bagi memastikan semua dasar dilaksanakan dengan sebaiknya demi kepentingan rakyat. Beliau berkata, bagaimanapun, golongan itu perlu menghindari sikap mengampu, sebaliknya menjadi kumpulan pendesak yang jujur dengan idea bernas serta mempunyai fakta tepat.
“Kumpulan pendesak itu perlu berhujah menggunakan fakta benar supaya pandangan mereka dapat diterima dengan baik. Mereka juga berupaya menjadi pendesak yang kuat kepada kerajaan. Namun, mereka perlu menyusun gerakannya supaya lebih teratur dan dapat mempengaruhi orang ramai mengenai agenda mahu dibawa dan dilaksanakan berlandaskan fakta benar," katanya.
Petikan : BHarian 20/02/2012
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...