“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Ahad, Februari 19, 2012

'Jaga tepi kain orang' cegah maksiat berleluasa


Masyarakat, ibu bapa bertanggungjawab tegak amar makruf nahi mungkar

STATISTIK tangkapan khalwat yang mencecah angka 2,473 orang di Johor seperti dilaporkan oleh akhbar baru-baru ini memberi isyarat betapa gejala tidak bermoral semakin berleluasa di sana sini.

Segelintir muda-mudi Islam kini tidak lagi segan silu berpelukan dan bercium di tempat awam walaupun diperhatikan oleh orang ramai. Kewujudan hotel murah yang berkemungkinan menjadi pusat untuk golongan ini melampiaskan nafsu juga tumbuh bak cendawan selepas hujan. Malah golongan ini seakan-akan bebas melakukan kegiatan haram di hotel tertentu tanpa halangan terutama pada hujung minggu dan hari cuti umum. Akibatnya statistik kelahiran anak tidak sah juga turut bertambah dari tahun ke tahun kesan daripada persetubuhan haram yang dilakukan. Lebih memburukkan keadaan jika terdapat pasangan yang tidak bertanggungjawab lalu tergamak pula membuang bayi yang tidak berdosa itu.

Justeru siapa yang patut dipersalahkan? Pengusaha hotel sudah pasti lepas tangan kerana mereka berorentasikan perniagaan dan berharap kepada keuntungan lumayan. Kalangan penguat kuasa agama juga sudah melaksanakan tugasan mereka bekerja siang dan malam walaupun dengan bilangan anggota terhad bagi mencegah aktiviti maksiat dan bersekedudukan.

Usah seronok menuding jari menyalahkan itu dan ini, sedangkan jika dilihat dari aspek amalan beragama dan pergaulan seharian ramai yang berpotensi kecundang dikalahkan oleh tuntutan hawa nafsu sendiri. Pergaulan bebas tanpa ikatan pernikahan sah, berdua-duaan ke sana ke mari cukup membuktikan betapa diri sendiri yang patut dipersalahkan.

Sehubungan dengan itu setiap individu Muslim perlu bertanggungjawab terhadap segala kelakuan mereka sama ada baik mahupun buruk. Begitu juga pada hari kemudian setiap jiwa secara peribadi akan dipersoalkan dan diberi hukuman setimpal terhadap apa yang mereka kerjakan ketika di dunia yang fana ini. Benar seperti kata pepatah siapa yang makan cili dialah yang kepedasan.

Baginda Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, “Janganlah seorang lelaki dan wanita berdua-duaan bersama melainkan jika ditemani oleh mahramnya.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Dalam sebuah riwayat lain pula dinyatakan, “Janganlah seorang lelaki dan wanita berdua-duaan bersama kerana syaitan akan hadir sebagai orang ketiga.” – (Riwayat Imam Ahmad dalam Musnadnya)

Oleh itu menjadi kewajipan setiap individu Muslim untuk membenteng diri dengan perisai akidah dan membatasi pergaulan terutama dengan pasangan bukan mahram. Syariat Islam juga tidak melarang secara total pergaulan antara lelaki dan wanita asalkan mengikut lunas yang ditetapkan.

Masyarakat setempat juga seharusnya memainkan peranan dalam usaha menegakkan amar makruf dan nahi mungkar. Setidak-tidaknya mereka perlu menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan melaporkan segala kejadian yang tidak bermoral yang berlaku di kawasan kejiranan mereka.

Perlu difahami ia bukan isu menjaga tepi kain orang ataupun menyibukkan diri dengan kegiatan peribadi seseorang. Lebih daripada itu ia adalah kewajipan setiap individu Muslim untuk mencegah kemungkaran sama ada dengan tangan, yakni kuasa yang dimiliki ataupun dengan lidah dan hati seperti maksud hadis Nabi Muhammad SAW. Malah jika Allah SWT murka dan menurunkan musibah atas kesalahan segelintir umat manusia, ia bersifat melata dan mengena kepada semua tidak kira yang berdosa mahupun yang beramal salih.

Demi membendung jenayah khalwat dan penzinaan daripada terus menjadi barah yang membusuk kepada masyarakat Islam, dicadangkan agar pihak berkuasa meletakkan poster supaya menjauhi zina dan keburukannya di semua hotel bagi menimbulkan keinsafan terutama kepada umat Islam.

Hukuman akibat kesalahan khalwat dan persetubuhan haram mengikut enakmen kesalahan syariah yang diwartakan di setiap negeri juga boleh ditampal di lobi hotel sebagai peringatan untuk semua pengunjung. Selain itu, isu kemasyarakatan dan hukuman akibat dosa zina dan khalwat boleh juga dijadikan topik utama dalam ceramah Maulud Nabi Muhammad SAW yang sedang semarak diadakan terutama di Johor sekarang ini.

Peranan oleh ibu bapa juga tidak boleh diketepikan. Walaupun kemungkinan anak sudah dewasa dan bekerja, boleh saja mereka menziarahi rumah sewa mereka bagi mengetahui di mana dan dengan siapa mereka tinggal. Begitu pula sesekali ibu bapa hendaklah menziarahi anak yang sedang melanjutkan pelajaran di pusat pengajian tinggi bagi memupuk hubungan kekeluargaan sekali gus mengelak terjebak melakukan perbuatan mungkar. Ataupun sebaiknya selalulah berhubung dengan mereka agar mereka merasa selalu diperhatikan walaupun ketika berjauhan. Ibu bapa masih bertanggungjawab terhadap anak dan dipersoalkan terhadap segala tingkah laku mereka selagi mereka belum berumah tangga.

Insya-Allah apabila semua pihak bersatu dan memainkan peranannya bagi membanteras kemungkaran, pelbagai gejala sosial dan moral yang berlaku kepada masyarakat Islam berjaya dibendung satu hari nanti.

Penulis, Mohd Ali Muhamad Don [bhagama@bharian.com.my] ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Bandaraya Johor Bahru.




Sumber : BHarian 19/02/2012

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails