“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Jumaat, Februari 17, 2012

Solat itu tiang agama


Assalamualaikum warahmatullah,

Marilah kita sama-sama mengucapkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT di atas segala nikmat yang telah dikurniakannya kepada kita, semoga dengan kurniaan tersebut akan menambahkan lagi ketakwaan dan ketaatan kita kepadanya, di samping mengerjakan segala yang disuruh dan meninggalkan segala perkara yang menjadi larangannya.

Makna solat dari segi bahasa adalah doa. Dan dari istilah syarak ialah solat yang terdiri daripada perkataan dan perbuatan yang dimulai dengan takbir dan disudahi pula dengan salam. Solat juga adalah suatu kewajipan yang wajib dilakukan oleh semua umat Islam, tidak kira ianya miskin, kaya, hamba atau merdeka, lelaki mahupun wanita untuk melakukannya.

Dari Abdullah r.a., sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Ditegakkan Islam atas lima perkara: pengakuan syahadah iaitu tiada tuhan yang disembah dengan sebenarnya melainkan allah, pengakuan bahawa nabi muhammad itu rasulullah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, menunaikan fardhu haji dan berpuasa di bulan Ramadhan.” (Hadis sahih Muslim)

Daripada hadis di atas, jelas menunjukkan kepada kita bahawa kewajipan solat amat penting sekali dalam kehidupan seharian bagi setiap individu muslim. Bagi mereka yang meninggalkan solat adalah berdosa besar kerana ia menjadikan seseorang itu tidak ada keislamannya kecuali mengerjakan solat pada setiap waktu di samping menunaikan rukun Islam yang lain. Dalam ertikata lain, rukun Islam mestilah dikerjakan dan wajib menjadikannya sebagai amalan harian yang berkekalan, supaya tidak cacat sifat keislamannya sebagai seorang muslim.

Sebahagian daripada masyarakat kita hari ini menganggap bahawa solat itu sebagai ibadat untuk perseorangan sahaja, namun sebenarnya ada beberapa hikmah dari segi kemasyarakatan yang terjalin dengan cara berhimpun (berjemaah didalam masjid-masjid dan surau-surau). Semua ini adalah menjadikan satu jalinan untuk mempereratkan silaturrahim dan kesedaran bersama bagi mencapai keredhaan Allah SWT.

Begitu juga Allah SWT mewajibkan ke atas mereka supaya melakukan solat jemaah sekali dalam seminggu, disamping mereka berkumpul untuk mengabadikan diri kepada Allah SWT, dapat juga mereka berkenal-kenalan di antara satu sama lain, disamping mendengar panduan dan nasihat daripada teks khutbah dibacakan oleh khatib demi kebajikan bersama dalam usaha mencapai keredhaan Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda, “Solat berjemaah lebih afdhal daripada solat seorang diri dengan beroleh ganjaran 27 darjat.” (Hadis Riwayat Al-Bahari)

Solat dalam kehidupan seseorang muslim bagaikan alat penggerak atau pemangkin kepada kecemerlangan ummah dan ianya juga merupakan tiang kepada agama kita. Sabda Rasulullah SAW yang bermakdus, “Solat itu tiang agama, barangsiapa yang mengerjakannya maka ia menegakkan agamanya dan barangsiapa yang meninggalkannya ia meruntuhkan agamanya.” (Hadis riwayat Al-Bahari dan Muslim)

Daripada hadis yang dibacakan tadi, dapatlah kita fahami bahawa orang yang benar-benar beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat akan merasa bahawa solat itu adalah satu perkara yang mudah dan senang sekali untuk dikerjakan, berbanding dengan sikap orang-orang yang berjiwa kotor serta keji, yang mana akan merasakan begitu sukar dan amat susah sekali untuk melakukan ibadat solat, seolah-olah ibadat solat itu menjadi beban kepada kehidupan mereka, bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipudaya (terhadap agama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya) dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riya' (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka oleh orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah SWT (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).”

Kalau kita renungi dan amati, bahawa ibadat solat yang kita lakukan lima kali sehari semalam dapat melahirkan beberapa sifat kemanusiaan yang unggul, antaranya:

Pertama - Sesungguhnya ibadat solat itu boleh melahirkan umat Islam yang terbaik, kerana ibadat solat dapat mendidik setiap individu memiliki peribadian yang cemerlang didunia dan akhirat.

Kedua - Solat juga boleh mencegah kita daripada melakukan perkara-perkara mungkar sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun), sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar.” (Surah al-Ankabut, ayat 45)

Ketiga - Solat itu dapat membantu kita sama ada dalam keadaan senang atau pun susah. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Wahai sekalian orang-orang yang beriman!, mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan ) sembahyang, kerana sesungguhnya allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah, ayat 153)

“Wahai sekalian orang-orang yang beriman!, mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang,kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.”

Keempat - Solat mendidik dan melatih kita menjadi orang yang dapat menghadapi segala kesusahan dengan hati yang tenang dan sabar serta dapat menghilangkan tabiat sombong dan takabur. Ini kerana orang yang benar-benar mendirikan solat tidak sekali-kali takut akan kemiskinan dan keperitan hidup didunia ini.

Kelima - Solat boleh menghasilkan sifat tetap pendirian, mengekalkan kita dalam mengerjakan sesuatu kebajikan dengan memberi kekuatan, kemahuan serta menyuruh kita memelihara peraturan-peraturannya menguatkan sifat displin diri, berhati-hati dan tidak tergesa-gesa dalam mengambil sesuatu tindakan.

Keenam - Bagi menjadikan hati manusia itu baik dan bersih, ianya perlu dibasuh melalui ibadat solat, membaca al-qurannulkarim dan memperbanyakkan amalan-amalan sunat. Ini dapat memberikan ketenangan hati serta melahirkan rasa cinta kepada Allah SWT, disamping akan memperolehi cahaya iman dengan penuh khusyuk dan tawaduk terhadap perintah allah dan larangannya.

Dengan ini jelaslah kepada kita, bahawa mereka yang tidak mengerjakan ibadat solat, maka sudah pasti selama-lamanya mereka dalam keadaan berdosa besar kerana hidup dalam kekufuran. Mereka hanya mengenal kebaikan Islam, tetapi tidak terbuka hati untuk beramal ibadat dan menerima ajaran Islam. Oleh itu, bagi mereka yang tidak melakukan solat, sudah pasti mereka tidak dapat mengenal Allah SWT, maka selama itulah pula dia tidak akan pernah mengenal dirinya sendiri. Adakah dirinya seorang yang baik? Seorang yang jujur, seorang yang amanah atau pun dirinya adalah jahat dan penipu? Seorang yang pendengki, pengkhianat, suka melakukan maksiat dan lain-lain lagi. Itulah sifat dan kelakuan orang yang tidak mengenal Allah SWT hasil daripada tindakannya tidak melakukan solat.

Sebagaimana yang kita maklumi, bahawa rukun Islam yang kedua ialah solat lima waktu sehari semalam. Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bahari bahawa seorang lelaki telah bertemu Rasulullah SAW lalu ia berkata, “Wahai Rasulullah! Tunjukkanlah kepada aku satu amalan yang membolehkan aku masuk ke syurga.” Maka Rasulullah SAW menjawab dengan bersabda, “Engkau hendaklah mengabadikan diri kepada Allah SWT, jangan menyengutukannya dengan sesuatu pun, dirikanlah sembahyang sebagaimana yang difardhukan dan keluarkanlah zakat serta berpuasa di bulan ramadhan.” Lalu orang itu berkata: “Demi allah yang berkuasa keatas diriku, aku tidak akan menambah atau mengurangi sama sekali apa yang telah dijelaskan kepadaku.” Setelah orang itu beredar, Rasulullah SAW bersabda, “Siapa yang ingin melihat ahli syurga, maka lihatlah kepada lelaki itu.”

Marilah sama-sama kita menilai semula solat fardhu yang telah kita kerjakan, kerana solat itu penghulu segala ibadat yang telah disyariatkan oleh Allah SWT ketika Rasulullah SAW dimakrajkan dan juga sekaligus mengangkat darjat solat sebagai ibadat yang terpenting kerana ibadat solat bukan hanya mempunyai nilai rohani, tetapi juga nilai pendidikan, kerana ia bukan sahaja membersihkan dosa, bahkan solat juga mampu mengubah peribadi manusia jika dia mengerjakannya dengan baik dan sempurna. Insya Allah, solat juga merupakan penawar kepada umat Islam demi mencapai kebahagiaan hakiki dunia dan akhirat.

Ya Allah, engkaulah tuhan yang maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam. Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya-Allah, tetapkanlah iman kami, murahkanlah amal rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah generasi muda kami ke jalan yang engkau redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti banjir besar, kemarau panjang, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain lagi supaya dengan demikian, kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.




Sumber : JAiS

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails