“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Ahad, Ogos 01, 2010

Kaunseling : Gadis hadapi dugaan tunang HIV


SOALAN :


SAYA berusia awal 20-an dan sudah bekerja. Kini keliru dan cuba membina semangat untuk meneruskan kehidupan kerana kerap kecewa.

Saya baru saja bertunang Mac lalu tapi tidak dapat meneruskan hubungan kerana pasangan memberitahu dia menghidapi HIV dan saya sudah melihat laporan perubatannya.

Dulu dia seorang gay tapi kami berkawan baik. Sepanjang perhubungan dia menjaga saya dengan baik dan memberitahu niatnya untuk berubah. Saya yakin jika niat baik, Allah pasti merahmati hubungan kami. Saya gembira dan teruja untuk berkahwin selain memiliki keluarga seperti orang lain.

Malangnya saya diuji bukan soal kesetiaan tetapi aspek lain. Hanya Allah yang tahu betapa kecewanya saya dengan kehidupan sekarang kerana sudah banyak membuat perancangan apabila berkahwin kelak.

Saya sudah mencuba yang terbaik dalam perhubungan kami. Malangnya masih gagal juga. Saya sangat kecewa dan mahu hidup dalam suasana gembira.

Hati saya sudah tawar untuk meneruskan hubungan dan berasa tertekan. Bagaimana saya harus meneruskan kehidupan? Diharap Dr dapat membantu dan memberikan kata-kata semangat.

Emosi saya terganggu sekali gus menyebabkan prestasi kerja menurun. Haruskah saya mencari teman yang lain bagi mengubat kekecewaan ini?

Dalam dilema, Terengganu.

JAWAPAN :

DR ucapkan tahniah kerana adik masih mempunyai kekuatan dalam meneruskan kehidupan. Bukan mudah menghadapi kekecewaan demi kekecewaan. Sebagai manusia, sudah lumrah untuk sedih dan kecewa apabila menghadapi kegagalan. Kekecewaan berlaku kerana adik meletakkan harapan tinggi dalam perhubungan dengan tunang. Begitu banyak perancangan sudah diatur seperti impian untuk mempunyai keluarga dan menjadi isteri yang komited. Apabila banyak harapan tidak dapat dipenuhi, kekecewaan semakin dirasai.

Adik tidak gagal dalam bercinta kerana tunang masih setia dan tidak mensia-siakan mahligai cinta yang dibina. Dalam kehidupan, ada kalanya banyak yang tidak menjadi kenyataan disebabkan situasi tertentu. Seluruh kehidupan adalah satu ujian. Adik diuji dengan tunang menghidap HIV.

Adik seorang yang mempercayai jodoh pertemuan Allah yang menentukan selain mempercayai hanya Allah lebih mengetahui segala yang terbaik. Berpegang kepada kepercayaan qada dan qadar, adik boleh membina kekuatan diri serta melihat bahawa kehidupan adalah satu ujian. Dr akui bukan mudah untuk meneruskan kehidupan apabila berhadapan dengan banyak kekecewaan. Bagi melupakan kekecewaan itu, adik boleh memulakan hidup baru dan kini cuba fokus kepada diri sendiri. Ia sebagai satu pelarian untuk mengurangkan kepedihan yang ditanggung selain satu bentuk mekanisma bela diri bagi menambah kekuatan.


Mengenai hubungan dengan tunang, beberapa pilihan ada di tangan. Adik boleh meneruskan perkahwinan dan kesannya perlu bersedia berhadapan dengan risiko tertentu. Jika adik tidak sanggup berhadapan risiko berkahwin dengan seorang penghidap HIV, adik tidak boleh membuang terus tunang hanya kerana dia mempunyai HIV. Tidak dapat berkahwin tidak semestinya mengelak daripada membantu dia meneruskan kehidupan.

Persoalannya, haruskah adik terburu-buru mencari kawan supaya dapat mengubati hati, tapi pada masa sama adik tidak mahu bercakap soal perasaan? Jawapannya, adik perlu ikhlas dalam membina satu perhubungan cinta. Jika niatnya adalah untuk mengubati hati yang luka, adik pasti kecewa jika luka itu tidak terubat. Begitu juga adik pasti kecewa jika masih bercakap mengenai perasaan sendiri. Sekali lagi adik meletakkan harapan dan jangkaan tinggi dalam mengejar cinta.

Sebaiknya, biarlah cinta itu datang dengan sendiri, tanpa dipaksa dan bukan untuk menghilangkan kekecewaan. Jika adik bercinta untuk mengubati hati yang luka, adik pasti lebih banyak memikirkan keperluan diri.

Adik pasti terlupa teman adik mempunyai keinginannya tersendiri dan wujudnya perhubungan cinta berat sebelah serta sudah tidak bersifat ikhlas.

Mengenai kata-kata semangat, orang yang lebih layak memberinya ialah diri sendiri kerana hanya adik lebih mengenali diri. Anggaplah segala yang berlaku sebahagian daripada episod kehidupan, ada suka dan duka. Berilah masa kepada diri untuk mengubati segala kekecewaan. Jangan paksa diri untuk melupakannya.

Cari minat atau hobi untuk mengurangkan kesakitan emosi yang dialami. Cari kawan dipercayai yang boleh mendengar luahan hati. Bina kekuatan diri melalui amal ibadah. Membaca juga satu terapi mengurangkan tekanan.




Sumber : HMetro

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails