“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Ahad, Ogos 22, 2010

Kaunselor Anda : Tertekan kerenah mentua

Ibu nyaris batal ke Makkah mahu elak perbalahan keluarga

SOALAN :

SAYA berusia 35 tahun dan dikurniakan seorang anak. Saya lulusan universiti dan ada kerja sendiri. Suami saya sebaya tetapi dia bukan lulusan universiti dan bekerja di jabatan kerajaan.

Gaji saya lebih tinggi daripada suami dan banyak kemudahan dalam rumah saya sediakan. Saya tidak kisah kerana sejak berkawan pun saya sudah tahu tahap kewangan suami dan kami berjanji untuk hidup susah dan senang bersama.

Hingga kini sudah 10 tahun berkahwin kami hidup bahagia, tiada masalah antara kami. Cuma, saya bermasalah dengan ibu mentua.

Ibu mentua tidak memahami keadaan kami dan selalu cuba mencampuri urusan hal ehwal keluarga. Maksudnya, kalau saya hendak beli meja makan, dia yang akan memilih corak macam mana, kalau hendak bercuti dia yang akan tentukan ke mana dan hendak ikut sekali tetapi kami melunaskan pembayarannya. Menjelang Hari Raya, termasuk perayaan Tahun Baru Cina mahupun Krismas, kami harus balik rumahnya dulu, baru ke rumah emak saya.

Selama 10 tahun berkahwin saya selalu bersabar dan memenangkan ibu mentua. Tak mengapalah kerana mengenangkan dia sudah tua serta banyak jasanya pada suami. Tetapi, saya tercabar apabila baru-baru ini emak saya ke Makkah atas perbelanjaan saya. Saya yang simpan duit untuk emak lebih 10 tahun iaitu sejak bujang dan suami pun tahu hal ini.

Pemergian emak ke Makkah semata-mata menunaikan nazar saya yang berhasrat menghantarnya ke Tanah Suci itu dengan wang sendiri. Saya menjalankan tanggungjawab sebagai anak, lebih-lebih lagi ibu tiada tempat bergantung setelah kematian ayah. Emak pernah beberapa kali menunaikan umrah namun dengan pembiayaan kakak dan abang.

Ibu mentua belum lagi berkesempatan menunaikan haji jauh sekali umrah. Yang saya kesalkan, dia mendakwa wang perbelanjaan ibu ke Makkah adalah wang poket anaknya. Malah, katanya, suami dikawal isteri dan mentuanya hingga sanggup mengeluarkan belanja ibu saya menunaikan umrah, sedangkan ibu sendiri dinafikan haknya.

Saya beritahu mentua, duit itu saya simpan sejak belum kahwin malangnya dia tidak percaya dan tetap mengatakan itu duit anaknya. Saya beritahu suami dan suami pun ada beritahu ibu mentua hal sebenar tetapi dia masih enggan percaya. Oleh kerana ketegangan itu, emak nyaris membatalkan pemergian ke Makkah kerana menganggap dia punca saya dan mentua berbalah. Setelah dipujuk, baru emak setuju pergi.

Adik-beradik sebelah suami seramai lima orang (tidak termasuk suami) percaya penuh kata-kata ibu mereka. Kesannya, saya menerima layanan dingin setiap kali menjengah mentua pada hujung minggu. Saya jadi tidak selesa ketika di rumah mentua. Kalau saya tanya sepatah, mereka jawab sepatah. Kalau anak saya buat salah, cepat saja tangan mereka hinggap di pipi anak saya. Sedih saya Umi.

Di belakang saya, saya dengar mentua dan ipar bercakap mengenai saya. Kononnya saya kawal duit suami patutlah suami menggunakan Kancil saya, saya memandu kereta Honda.

Saya sangat sedih. Urusan kewangan dan hal rumahtangga sejak dulu kami menguruskannya secara muafakat. Kami sudah lama menanam persefahaman mengenai hal itu namun tidak sangka mentua sekeluarga pula berburuk sangka.

Saya sangat tertekan dan berat hati ke rumah mentua lagi. Namun, sebagai isteri, saya perlu taat kepada suami walaupun, saya tidak tahu selama mana saya boleh bersabar.

Isteri Taat.

JAWAPAN :

Salam syurga buat Isteri Taat, semoga diberi Allah kekuatan sebagai isteri, ibu dan menantu. Rumahtangga adalah istana dan itulah permulaan syurga di dunia andai ia dihayati dan diamalkan dengan cermat demi mencari reda Allah. Sebab itu Rasulullah berpesan dijadikan rumahtangga sebagai syurga di dunia, Insya-Allah kita dibimbing untuk berpindah ke syurga Allah di akhirat.

Tetapi, jika di dunia kita tidak pernah tenteram, maka sulit bagi kita untuk meraih nikmat syurga di akhirat. Sebab itu kita dipesan mengejar akhirat, pasti dunia akan bersama, namun jika dunia diburu, bimbang akhirat tercicir kelak.

Dalam persoalan anda, seolah-olah anda sudah hampir ke penghujung sabar, namun syukur, anda masih mampu bertahan. Apa yang sedang anda hadapi ialah cabaran hidup berkeluarga. Anda sudah berjaya selama 10 tahun berumahtangga diasak pelbagai cabaran, khususnya daripada ibu mentua. Ini menandakan anda menantu yang baik, sebab itu anda diberi ujian getir. Lagipun, hendak menjadi baik bukan mudah, tapi senang untuk melakukan kejahatan.

Segala yang anda lakukan selama ini ibadah membantu suami, berhasrat mendapat reda ibunya dan syurga, maka jangan diungkit-ungkit. Sekiranya diungkit, pahalanya akan hilang pada hal kebaikan sudah dilaksanakan. Ini dilakukan selagi ibu mentua berkelakuan tidak melampaui larangan Allah. Jika perkara dilakukan berlawanan perintah agama, tidak perlu taat, sebaliknya perlu hormat, tetap mendoakan selain melayannya dengan cara terbaik selaku orang tua kita.

Apa yang berlaku hanyalah salah faham dan sedikit prasangka. Jika anda terus melihat kejadian, kelakuan serta tindakan itu sebagai sesuatu yang buruk, maka anda akan berasa jauh daripada mereka, terus menderita sakit hati hingga ke hujung waktu. Alangkah ruginya kalau ini terjadi lebih-lebih lagi dalam fasa hidup manusia yang singkat ini.

Justeru, belajar menerima semua yang berlaku sebagai ujian Allah bagi memantapkan cinta dan kasih terhadap suami serta keluarganya. Jika segalanya diterima dengan hati terbuka dan prasangka baik, setiap peristiwa dilalui mahal harganya melebihi segunung wang ringgit. Sebab anda dilatih mengalaminya maka anda belajar untuk bersabar.

Anda tidak kehilangan apa-apa dengan tindakan mereka melainkan sakit hati dan sedikit tekanan saja. Namun, nikmat Allah yang lain pada diri anda masih melimpah, maka ikatlah nikmat itu dengan rasa syukur kerana Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari(nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (QS Ibrahim : 7)

Ini bererti nikmat Allah pada anda melimpah-ruah, maka jangan dikira apa yang dibuat orang terhadap kita, tetapi hitung berapa banyak kita sudah berbuat silap pada orang lain. Jika kita sentiasa mengambil berat silap orang pada kita, maka kita terlepas pandang keburukan diri sendiri. Pada akhirnya, kita pula beranggapan orang lain tidak benar, sebaliknya kita saja yang betul. Perasaan yang membuatkan anda terus tidak selesa dengan sesiapa pun hatta keluarga mentua.

Sedarlah bahawa kehidupan ini hanya sesuap nasi dan seteguk air saja, selebihnya cuma sisa. Pesanan saya, untuk terus merasa nikmat hidup, cari ubat terbaik di dunia ini yang dinamakan ‘ketenangan’ dan ‘keriangan’ yang dibekalkan oleh klinik ‘kurangkan makan’.

Ketenangan ialah makanan lazat bagi hati dan pesta bagi jiwa sedangkan keriangan adalah awal kegembiraan, selain makanan paling berzat bagi tubuh. Terima hakikat perbezaan, ibu mentua berbeza dengan ibu anda, semua perbezaan ini harus diterima sebagai ramuan dalam masakan dalam hidup.

Kita tidak boleh memaksa orang berkelakuan seperti yang kita mahukan kerana setiap manusia berbeza. Jangan jadikan perbezaan itu musuh yang akan merosakkan diri kita. Akuilah setiap orang memiliki sifat, watak serta potensi masing-masing dan tidak ada orang yang boleh melebur ke dalam diri orang lain, begitulah sebaliknya.

Akhirnya, kenali diri anda, fikirkan apa sumbangan diberikan pada diri, keluarga serta ibu mentua. Jika anda fikir positif, maka perasaan negatif akan hilang seterusnya hubungan menjadi baik. Tetapi jika sentiasa memikirkan yang buruk serta negatif berkenaan mereka, anda tidak akan menikmati apa yang dipanggil senang hati dan gembira tetapi asyik berduka. Ingat, hidup ini seperti apa yang anda fikirkan. Justeru, fikirkan yang baik saja, anda akan menuai kebahagiaan di celah kehebatan kesyukuran. Ubah dulu diri sebelum anda berhasrat mengubah orang lain.




Rujuk : Klikkhas.bharian. 2009/12/20

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails