“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Rabu, Ogos 11, 2010

Misteri Etnik: Kanak-kanak keturunan Rao ditegah pegang bunga - Part 2

Susulan artikel, Misteri Etnik: Melayu Rawa - Part 1, ikuti Misteri Etnik: Kanak-kanak keturunan Rao ditegah pegang bunga - Bahagian Dua.

Selagi 'berjojak' belum diadakan, bayi tak dibenar makan ayam, pakai perhiasan emas
~ Upacara 'berjojak' dari sumber : Rraocyberinfo


WALAUPUN Negeri Sembilan terkenal sebagai tanah adat, Perak yang mempunyai sebilangan masyarakat keturunan Rawa (Rao) juga mempunyai upacara sendiri yang diamalkan sejak sekian lama.

Keturunan Rao yang juga berasal dari Sumatera Barat seperti orang Minang hingga ke hari ini masih melakukan adat 'berjojak' atau secara mudahnya 'berjijak' atau 'berjejak'. Majlis itu tanda berakhirnya tempoh larangan memijak tanah atau terkena tanah bagi kanak-kanak.

Selain larangan memijak tanah, kanak-kanak keturunan Rao juga ditegah memegang bunga atau terkena bunga pada mana-mana bahagian badan sepanjang tempoh berpantang.

Berdasarkan cerita lisan masyarakat Rao, kanak-kanak yang melanggar pantang akibat terkena tanah atau bunga sebelum bermulanya upacara ‘berjojak’ akan muntah-muntah, cirit-birit, gatal-gatal dan beberapa perkara negatif lain.

Kanak-kanak Rao yang tidak 'berjojak' pula didakwa akan mengalami masalah fizikal seperti tidak mampu berjalan, kurang sempurna akalnya atau akan menghadapi masalah gagal mendapat pekerjaan yang baik seperti kanak-kanak yang sudah ‘berjojak’.

Adat ‘berjojak’ dilakukan ke atas bayi lelaki atau perempuan yang sudah menjangkau usia 14 bulan atau sekurang-kurangnya setahun selepas mereka ‘pantang tanah’ dan sudah pandai berjalan. Selagi upacara itu belum diadakan, bayi juga dilarang memakan ayam dan memakai perhiasan emas.

Upacara itu dilakukan seorang lelaki yang dirujuk sebagai bomoh oleh penduduk kampung kerana beliau juga biasanya mempunyai keupayaan mengubati penyakit secara tradisional.

Ali Mat Kasa, 59, yang sudah melakukan adat ‘berjojak’ sejak hampir 20 tahun lalu untuk penduduk di Kampung Batu Masjid, dekat Tapah berkata, amalan itu tidak membabitkan sebarang perbuatan menyeru jin atau syaitan.

“Saya membaca selawat, al-Fatihah dan jampi khusus. Mantera ini tidak boleh diberitahu kepada orang lain, bimbang akan dipermain-mainkan,” katanya.

Antara bahan yang diperlukan untuk ‘berjojak’ ialah sedikit emas yang belum diproses, tiga jenis tanah liat (tanah putih, tanah hitam dan tanah kuning), beras kunyit, beras biasa, bertih, 44 jenis bunga dan daun gelenggang serta tiga biji limau.

Ali berkata, biasanya hanya tujuh jenis bunga sudah memadai kerana sukar mencari terlalu banyak bunga sekarang. Emas mentah pula kini kebanyakannya diganti dengan cincin emas. Tempat ‘berjojak’ diletakkan kain kuning di atasnya atau sekarang hanya ditukar kepada payung kuning.

Penulis menghadiri majlis ‘berjojak’ untuk Arif Wafiq Azizul Azrin di Kampung Batu Masjid yang menjangkau usia 14 bulan, baru-baru ini.

# Majlis bermula dengan Ali membaca dan menghembus doa di ubun-ubun Arif.

# Beliau kemudian menyapu emas ke tangan, dahi atau tapak tangan Arif.

# Perbuatan itu diulang dengan tiga jenis tanah liat, iaitu tanah putih, tanah hitam dan tanah kuning.

# Kanak-kanak itu kemudian dijejak di atas taburan bunga-bungaan dan daun gelenggang.

# Majlis berakhir dengan Arif dimandikan dengan air perahan limau.

Arif adalah anak ketiga pasangan Azizul Azrin Mahmor, 34, dan Hasnizah Amran, 33, yang bertugas sebagai penjawat awam di Putrajaya. Azizul berkata, isterinya keturunan Rao, manakala beliau pula Melayu berasal dari Ayer Molek, Melaka.

Katanya, adat itu pernah dilakukan ke atas isterinya ketika kanak-kanak dan anak mereka yang sulung dan kedua juga menjalani adat ‘berjojak’.

“Sebelum 'berjojak', kami memakaikan stokin pada Arif jika anak dibawa ke taman permainan. Arif memang didukung sepanjang masa di taman permainan kerana dia tidak pernah terkena tanah atau bunga,” katanya.

‘Berjojak’ dikatakan perlu dilakukan oleh keturunan Rawa kerana mereka meninggalkan tanah Pagar Ruyung di Sumatera.

Ada juga yang mendakwa, adat itu bermula selepas seorang hamba bersumpah akan mendukung Raja Pagar Ruyung selama 14 bulan jika anak beliau sembuh daripada penyakit selepas diubati rajanya.


Sumber : Terombarawa


Sumber : SekondakHati


Mengikut catatan buku Sekondak Hati suntingan Jari Basurek, adat ‘berjojak’ Rao tidak jauh bezanya dengan adat orang Mandailing iaitu Upa-Upa Tondi (mengambil semangat) sekali gus membuktikan hubungan rapat antara etnik Rao, Mandailing dan Minangkabau yang bermula di tanah seberang sebelum merantau ke Tanah Melayu.

Hanifah Ibrahim yang memberikan pandangannya mengenai adat ‘berjojak’ mengikut perspektifnya sebagai orang Mandaling mengatakan, bidan atau bomoh akan menyediakan barangan untuk ‘merambas’ sebelum memulakan upacara.

Ikatan daun itu akan dimasukkan ke dalam mangkuk jeluk berwarna putih berisi air beras giling dan diletakkan di atas dulang, manakala dulang lain diisi pulut kuning, ayam golek panggang dan sebiji telur rebus dan bertih.

Kanak-kanak itu akan dimandikan bidan dengan air limau dan bunga boleh dicampurkan wangian) yang sudah dijampi. Selepas mandi, kanak-kanak akan dipakaikan pakaian tradisional berwarna kuning dan disuruh duduk berhampiran dulang.

Bidan akan mengambil daun di dalam mangkuk jeluk dan merenjiskan air tepung tawar ke badan kanak-kanak.





Rujuk : BH 09/08/2010 : MisteriEtnik_Kanak-kanak keturunan Rao ditegah pegang bunga

Capaian entry berkaitan :

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails