“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Khamis, Ogos 05, 2010

Keluarga ejen dakwah paling berkesan


Institusi berperanan bentuk ahli taat segala perintah Allah, cegah semua kejahatan


KELUARGA adalah institusi penyebaran dakwah dan perkembangan Islam bermula dalam kalangan anggota keluarga. Apabila pembinaan institusi keluarga berasaskan kepada ajaran Islam, hasilnya sebuah rumah tangga bahagia.

Secara tidak langsung, institusi keluarga bahagia boleh menjadi penggerak dakwah melalui contoh ditunjukkan bukan saja terhadap ahlinya, tetapi juga pihak luar pastinya ingin tahu rahsia kebahagiaan dikecapi.

Keluarga sering dikaitkan sebagai antara punca berlakunya gejala sosial dan keruntuhan akhlak remaja. Oleh itu, jika keluarga menjadi punca, maka keluarga juga boleh menjadi penyelamat atau sistem pertahanan bagi mengelak berlakunya gejala negatif.

Tanggungjawab keluarga melahirkan insan bertakwa tidak dinafikan. Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka.” (Surah al-Tahrim, ayat 6)

Mengenai firman Allah itu, Ibn Kathir menjelaskan, Mujahid berkata: “Bertakwalah kepada Allah SWT dan berpesanlah kepada keluarga kamu untuk bertakwa kepada Allah.”

Sementara Qatadah pula berpendapat: “Hendaklah engkau menyuruh mereka melakukan ketaatan kepada Allah SWT dan mencegah mereka daripada menderhaka kepada-Nya. Dan hendaklah kamu menjalankan perintah Allah kepada mereka dan perintahkan mereka untuk menjalankannya serta membantu mereka menjalankannya. Jika engkau melihat mereka berbuat maksiat kepada Allah, peringatkan dan cegahlah mereka.”

Melalui penjelasan itu, dapat difahami bahawa keluarga dalam Islam mempunyai peranan besar membentuk ahlinya mentaati segala perintah Allah dan mencegah daripada segala kejahatan demi melahirkan insan bertakwa kepada Allah.

Peranan keluarga bahagia ialah mewujudkan suasana penghayatan Islam dalam rumahtangga seperti melaksanakan sembahyang berjemaah, membaca al-Quran bersama, membaca buku agama beramai-ramai, makan bersama dan memberi salam semasa masuk atau meninggalkan rumah.

Keluarga berperanan mewujudkan suasana kerohanian, kepatuhan terhadap pelaksanaan syariat, penerapan nilai mulia dan adab-adab keislaman dalam diri serta kehidupan ahli keluarga. Ketua keluarga juga perlu menjauhkan ahlinya daripada makanan haram dan syubhat.

Setiap ahli rumahtangga muslim hendaklah takut kepada perkara haram seperti takutnya seseorang kepada ular berbisa yang sedang mencari mangsa. Isteri hendaklah sentiasa mengingatkan suaminya supaya sentiasa mencari rezeki halal untuk keluarga.

Keluarga bahagia juga sentiasa menitikberatkan kesihatan dengan memastikan ahlinya tidak makan atau minum secara berlebihan sebaliknya hidup dalam keadaan sederhana. Tambahan, sekarang ini pelbagai penyakit mudah menyerang berpunca daripada pemakanan serta gaya hidup.

Islam memang cantik kerana sentiasa mendidik umatnya memikirkan kesejahteraan dan kerana itu digalakkan supaya mengambil langkah pencegahan dalam setiap aspek kehidupan bagi mengelak berlaku perkara tidak diingini.

Suami dan isteri hendaklah bergaul dengan penuh adab sopan sebagai contoh kepada anak apabila berinteraksi dengan masyarakat. Jangan salahkan anak mengeluarkan kata tidak baik jika itulah bahasa yang biasa didengar dalam perbualan ibu bapanya.

Kesalahan perlu diperbetulkan dengan baik dan bijaksana, kerana setiap masalah pasti ada jalan keluarnya, yang penting merujuk kepada Islam sebagai panduan hidup. Begitu juga dugaan yang datang, hendaklah diterima dengan hati terbuka seterusnya mencari kaedah terbaik mengatasinya.

Kebimbangan terhadap keruntuhan akhlak membabitkan remaja serta golongan muda sewajarnya menjadi ingatan kepada keluarga untuk melihat kembali apakah kekurangan yang mungkin menjadi faktor berlakunya kepincangan.

Jika tiada suasana kedamaian di rumah, maka wujudkan suasana itu demi menjaga keharmonian ahli keluarga supaya anak tidak hilang rasa sayang serta hormat kepada ibu bapa, sementara ibu bapa tidak perlu risau walaupun anak tiada di depan mata.

Banyak perkara mungkin dilihat sebagai remeh, tetapi apabila diperhalusi, itulah sebenarnya penawar yang boleh disuntik di kalangan ahli keluarga untuk membina pertahanan kukuh daripada segala macam pengaruh.

Solat kubu yang melindungi daripada kejahatan, tetapi sering diabaikan. Ada ibu bapa yang setia melaksanakan suruhan Allah itu, tetapi tidak memberi penekanan terhadap anak hingga mereka gagal membina tiang agama dalam diri.

Mengingatkan anak mengenai tanggungjawab terhadap ibu bapa ialah melalui teladan ditunjukkan. Andainya suami dan isteri memberi layanan baik serta menunjukkan rasa hormat terhadap ibu bapa mereka serta keluarga mentua, pasti anak mendapat contoh baik dan sentiasa menghormati ibu bapanya.

Sebenarnya, keluarga badan dakwah paling berkesan melahirkan masyarakat Islam berjaya baik dari segi sahsiah, pembentukan jati diri dan kesediaan menangani perubahan zaman berteraskan ajaran Islam sempurna.

Renung-renungkan!




Rujuk : Prof Madya Dr Ahmad Redzuwan Mohd Yunus di BH 03/08/2010

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails