Keluarga arwah suami tidak mahu membuat faraid kerana khuatir harta diwarisi menantu dan cucu lelakinya
SOALAN :
SAYA seorang janda berusia 24 tahun yang kematian suami. Saya makan hati dengan keluarga arwah suami. Saya adalah menantu perempuan sulung keluarga arwah suami. Saya bersama arwah mendirikan rumah tangga pada hujung tahun 2007 dengan restu kedua-dua ibu bapa kami. Suami saya baru meninggal dunia lima bulan lalu dalam kemalangan ketika pulang dari kerja. Ketika itu, saya sedang sarat mengandung.
Pada hari itu, ketika jenazah belum sampai di rumah, keluarga arwah sudah mengira harta suami. Hati saya hancur dengan sikap mereka, tambahan ibu mentua menyatakan saya hanya bernikah dengan anaknya selama 10 bulan, sedangkan dia menjaga anaknya ketika kakinya masih merah. Bayangkan betapa pedihnya hati saya sebagai isteri.
Hari demi hari keluarga arwah merampas semua harta peninggalan suami untuk saya dan anak, yang juga darah daging mereka sendiri. Malah, ibu mentua pernah menyatakan tidak akan menyerahkan satu sen pun peninggalan suami kepada saya. Namun, saya berikhtiar untuk mencari jalan untuk membahagikan harta peninggalan mengikut hukum syarak sebagai seorang Islam.
Sekali lagi saya ditentang oleh ibu mentua, mereka tidak mahu membuat faraid kerana khuatir harta itu diwarisi anak lelaki kami. Ikutkan hati, saya tidak mahu menyakiti hati ibu mentua dan keluarganya kerana mereka bagaikan ibu bapa saya sendiri. Kini saya buntu puan, hanya kecekalan hati dan ketabahan dalam diri ini saya reda dengan ketentuan Ilahi. Mungkin Allah sedang menguji saya sebagai hamba-Nya di muka bumi ini. Kini saya hanya ingin membesarkan anak saya dan mendidiknya sehingga menjadi orang yang berguna pada masa hadapan. Namun, saya ingin memperjuangkan hak anak saya. Puan bantulah saya untuk menghadapi situasi begini.
Dewi Permata
JAWAPAN :
JODOH pertemuan dan ajal maut memang di tangan Tuhan, namun Tuhan tidak membenarkan kita untuk hanya berserah bulat-bulat kepada takdir tanpa usaha. Tuhan sudah berjanji tidak akan mengubah nasib kita selagi kita tidak berusaha mengubahnya.
Dalam proses ini kita tidak dibenarkan menimbulkan pergaduhan dan perselisihan yang melanggar hukum adat kehidupan. Dalam keadaan anda sekarang, anda harus jelas dan pasti apa jenis harta yang ditinggalkan oleh arwah suami. Jika benar-benar ada yang berbaloi dituntut seperti kereta, rumah, simpanan atau disebut harta tetap dan harta mudah alih yang perlu dituntut, anda boleh menuntutnya di mahkamah mengikut undang-undang. Ini adalah prosedur biasa. Buat laporan dan kemukakan tuntutan anda secara rasmi.
Tapi jika harta itu hanya barang peribadi milik arwah yang mudah alih dan luput seperti pakaian, rasanya tidak perlulah dikecohkan kerana menghormati roh arwah yang sedang di alam barzakh agar damai dan tenteram. Apatah lagi jika anda tidak tinggal serumah atau berdekatan dengan mentua. Jangan sampai kerana peninggalan yang sedikit ini akan meretakkan hubungan anda dengan nenek kepada anak anda.
Jika difikirkan secara sihat, anda sedang memiliki peninggalan arwah yang paling mahal dan paling penting iaitu waris keturunannya yang akan menjadi pelindung, penawar dan talian hayat anda ke syurga nanti iaitu anaknya. Inilah hadiah teragung daripada seorang suami. Pada pandangan Umi, jagalah harta termahal ini. Dengan penuh kasih sayang dan usaha yang gigih dan keyakinan yang tinggi bahawa setiap anak yang lahir itu ada rezekinya, maka berusahalah untuk berdikari mencari rezeki dari Allah untuk hidup bersama anak anda, pasti anda akan berasa puas dengan peninggalan suami anda yang satu-satunya ini. Yakinlah, ada masa depan cerah untuk anda dan anak yang disediakan Allah. Biarlah apa yang dilakukan oleh ibu mentua anda itu sebagai pengajaran untuk anda tidak melakukannya kepada orang lain nanti.
Tidak ada harga yang kekal dan mencukupi selamanya, pasti akan habis jua. Lagipun, harta pusaka jika disalah gunakan akan menimbulkan kesan negatif pada pemiliknya. Serahkan rezeki anda dan anak kepada Allah dengan keyakinan bahawa telah ditakdirkan Allah tidak akan ada orang lain yang akan mengambil rezeki yang telah ditetapkan untuk kita.
Jika ini anda yakini anda tidak akan tamak kepada peninggalan arwah suami atau mana-mana harta yang menggoda kita. Laluilah dengan tenang agar anak anda menikmati kasih sayang anda sepenuhnya, kerana dia sudah kehilangan satu kasih sayang yang sangat mahal. Umi juga ingin berpesan anda sedang memelihara anak hebat, iaitu anak yatim. Siapa yang memakan harta anak yatim akan sulit hidupnya, malah haram hukumnya jika diperlakukan secara tidak adil.
Oleh itu rawatlah emosi anda dengan baik kerana kehilangan orang tercinta membuat anda mengalami goncangan yang kuat di jiwa. Allah berpesan, “....jangan berduka terhadap apa yang luput daripada kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepada mu.” (QS Al: Hadid:23) dan dipesan Rasulullah SAW, “Sesungguhnya kesabaran itu ada pada hentakan pertama.”
Dari pesanan ini jelas sesiapa yang mampu menguasai perasaan dalam setiap peristiwa, baik yang memilukan dan juga yang menggembirakan, maka dialah orang yang benar-benar memiliki kekukuhan iman dan keteguhan keyakinan. Maka laluilah hidup anda seadanya sebagai hamba Allah.
Bagi pembaca yang ingin berkongsi masalah dan pendapat dengan Dr Rubiah K Hamzah, anda boleh menghantar soalan ke alamat Ruangan Kaunselor Anda, Berita Minggu, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau e-mel bminggu@bharian.com.my
Sumber : BHarian 2009/03/01
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...