CADANGAN kerajaan Melaka menubuhkan sekolah khas bagi remaja hamil dan menggalakkan kanak-kanak atau remaja bawah umur terbabit berkahwin, walaupun bukan penyelesaian terbaik menangani kes buang bayi, dilihat sebagai langkah jangka pendek mengatasi isu itu.
Bagaimanapun, penubuhan sekolah itu perlu dikaji dengan teliti dari masa ke semasa bagi mengelak implikasi lain, supaya tidak dijadikan alasan menghalalkan perzinaan di kalangan masyarakat negara ini.
Khuatir juga pelajar yang keluar dari sekolah ini akan hilang masa depan kerana stigma dan label yang terpaksa digalas terutama dalam menangkis pandangan buruk masyarakat terhadap mereka seperti berlaku kepada pelajar Sekolah Henry Gurney suatu ketika dulu.
Jika sekolah ini diwujudkan, penekanan didikan agama seharusnya menjadi asas utama kurikulum supaya remaja yang tersilap langkah tidak mengulangi perkara sama selepas keluar dari sekolah itu.
Membenarkan remaja bawah umur berkahwin bermakna meletakkan beban dan tanggungjawab berat sebagai ibu atau bapa atas bahu mereka. Jika mereka belum bersedia dengan tanggungjawab berat ini, dikhuatiri ia membuka lebih ruang berlaku perceraian pada usia muda. Memikul tugas sebagai isteri atau suami pada usia remaja bukan saja menyebabkan perkembangan terbantut, tetapi juga menjejaskan psikologi, emosi dan pertumbuhan fizikal mereka.
Tidak ada larangan had umur untuk berkahwin dalam Islam. Hadis diriwayatkan Siti Aisyah, “Bahawasanya Nabi SAW telah mengahwini Aisyah sedang ia berumur enam tahun dan Aisyah tinggal bersama Nabi semasa ia berumur sembilan tahun.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Walau bagaimanapun, mengikut seksyen 8, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002 memperuntukkan: “Tiada perkahwinan boleh diakad nikahkan di bawah enakmen ini jika lelaki itu berumur kurang daripada 18 tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada 16 tahun kecuali jika Hakim Syarie memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu.”
Wali kepada anak perlu memohon kebenaran Mahkamah Syariah dan hakim akan menyiasat mengapa sebab perkahwinan, menyelidiki latar belakang serta keadaan fizikal sama ada anak itu mampu atau bersedia untuk berumahtangga, demi menjaga kepentingan anak itu.
Laporan Ketua Pendaftar, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), perkahwinan bawah umur bagi tempoh 1 Januari 2005 hingga 12 Januari 2006 di Kelantan sebanyak 115 kes, 102 kes (Sabah) dan 100 (Sarawak).
Antara punca perkahwinan bawah umur ialah :
- hilang minat bersekolah,
- tercicir daripada persekolahan,
- mendapat bakal suami yang mampu menyara kehidupan,
- mendapat persetujuan ibu bapa kerana perkahwinan dapat menyelamat masalah keluarga,
- berasal dari kampung pedalaman dan
- kurang pendedahan kepada kepentingan pendidikan.
Saya berpendapat, wali masih perlu memantau anak remaja bawah umur yang sudah berkahwin dengan memberikan ilmu, nasihat dan tunjuk ajar dari semasa ke semasa hingga dirasakan mereka mampu menguruskan rumah tangga.
Walau apa pun, agama adalah mekanisme terbaik bagi menyelesaikan masalah sosial remaja. Jika ibu bapa gagal menjalankan tanggungjawab memberi pendidikan agama kepada anak mereka, maka sekolah sebagai institusi kedua anak mendapat pendidikan seharusnya mengambil alih tugas itu.
Larangan mendekati atau melakukan zina adalah jelas. Firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina, kerana sesungguhnya zina itu adalah perbuatan yang keji dan seburuk-buruk jalan.” (Surah Al-Isra, ayat 32)
Mutakhir ini, kita seakan malu menggunakan istilah zina sehinggakan dalam Enakmen Jenayah Syariah Negeri menggantikan istilah zina dengan perkataan persetubuhan luar nikah. Walhal, perkataan zina itu dari Allah SWT dan sepatutnya menimbulkan kegerunan bagi orang beriman.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Menikahlah kalian, kerana bernikah itu bisa menjaga pandangan dan menjaga kemaluan.”
Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud: “Wahai sekalian pemuda, siapapun di antara kalian yang sudah mampu bernikah maka bernikah kerana pernikahan itu bisa menjaga pandangan dan menjaga kemaluan. Jika kalian belum mampu maka banyaklah berpuasa, kerana puasa itu perisai (terhadap syahwat).”
Larangan zina untuk menjamin masa depan, status waris dan wali anak dilahirkan, menjauhkan daripada dosa lain seperti pembuangan bayi, mencegah penyebaran penyakit kelamin, menyuburkan sikap saling percaya antara pasangan, mencegah timbulnya kebencian dan dendam terhadap sesama manusia.
Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) boleh dihubungi di sekretariatpgsm@yahoo.com atau layari http://www.peguamsyarie.-org
Rujuk : Tuan Musa Awang di BH 11/08/2010
Capaian entry berkaitan :
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...