“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Ahad, Ogos 08, 2010

MAIM tak mahu remaja terlanjur terus hanyut

~ gambar cilok ~


Sekolah khas elak golongan muda tercicir pelajaran

SOALAN : BOLEH Datuk jelaskan lebih terperinci mengenai cadangan oleh Ketua Menteri Melaka ini?

JAWAPAN : Pendekatan ini bertujuan menangani gejala sosial yang semakin meruncing ketika ini seperti pembuangan bayi. Ia satu bentuk pendekatan untuk membantu remaja yang terlanjur. Kita tak boleh biarkan mereka terus hanyut tanpa bantuan dan didikan.

Dalam keadaan seperti itu, mereka mudah terpengaruh dan kita juga bimbang ada pihak mengambil kesempatan memperdaya mereka. Selain itu, pelajaran mereka perlu diteruskan. Kita tak boleh biarkan mereka keciciran dalam pelajaran.

Itulah sebabnya wujud cadangan ini. Remaja yang berkahwin dan mengandung mungkin tidak selesa ke sekolah biasa kerana pandangan rakan dan sebagainya. Sekolah ini hanya untuk tempoh mereka hamil. Selepas bersalin, mereka boleh kembali ke sekolah biasa. Sepanjang tempoh kehamilan dan bersekolah di sekolah khas itu, mereka akan diberi bimbingan dan kaunseling untuk mengembalikan keyakinan diri dan membawa mereka kembali ke pangkal jalan.

SOALAN : Bagaimana pula dengan cadangan membenarkan remaja bawah umur berkahwin kerana dalam kenyataan sebelum ini, alasan yang diberikan bertumpu kepada aspek seks semata-mata, iaitu mengelak remaja terjerumus dalam maksiat?

JAWAPAN : Ada dua isu sebenarnya di sini. Pertama isu menggalakkan nikah awal dan keduanya, sekolah untuk remaja mengandung. Enakmen Keluarga Islam Melaka menyatakan perempuan berusia 16 tahun ke atas dan lelaki berusia 18 tahun ke atas boleh berkahwin tanpa memerlukan kebenaran tetapi yang berusia bawah 16 tahun bagi perempuan dan 18 tahun bagi lelaki memerlukan kebenaran mahkamah jika ingin berkahwin.

Dalam kes ini, jika remaja berusia bawah 16 dan 18 ingin berkahwin walaupun selepas diberi nasihat dan kaunseling, kita minta kerjasama ibu bapa untuk menikahkan mereka. Ia bagi mengelakkan mereka terlanjur dan akhirnya mengandung. Apabila mengandung, jika si perempuan enggan ke sekolah biasa, mereka boleh ke sekolah khas. Apa yang penting ialah mereka tidak keciciran dalam pelajaran.

SOALAN : Daripada reaksi diterima, ramai juga membantah cadangan berkenaan. Apa reaksi Datuk terhadap pihak yang membantah itu dan dan apa rasional-nya supaya cadangan itu direalisasikan?

JAWAPAN : Cadangan ini adalah idea kerajaan negeri untuk menangani masalah sosial. Bulan lalu, kita adakan seminar mengenai gejala sosial. Resolusi yang kita capai ialah semua masalah ini berpunca daripada kelonggaran sistem kekeluargaan. Namun tiada pendekatan yang membantu mengatasi masalah ini.

Saya ingin memberi fakta, pada 2009 Melaka mencatatkan 31 kes remaja hamil luar nikah dan pada separuh pertama tahun ini saja, ia sudah melebihi 150 kes. Kebanyakan kes hamil luar nikah ini ialah remaja yang masih bersekolah. Mungkin ramai beranggapan cadangan ini negatif tetapi takkan pula kita mahu membiarkan remaja ini terus hanyut dan tak terbela?

Mengenai bantahan sesetengah pihak itu, masing-masing punya pandangan sendiri tetapi kami mengalu-alukan jika ada pihak yang boleh tampil dengan cadangan lebih baik mengenai bagaimana untuk kita tangani masalah ini. Kita cuma mahu memastikan remaja tidak keciciran dalam pelajaran walaupun sudah tersalah langkah.

SOALAN : Antara yang dipersoalkan pihak yang membantah itu ialah remaja akan dibenarkan berkahwin jika berkemampuan. Adakah takrif kemampuan itu merujuk kepada pelajar itu sendiri atau ibu bapa mereka dan adakah takrif itu hanya dari segi kewangan, sedangkan banyak lagi aspek perlu diambilkira?

JAWAPAN : Memang ada kes remaja tidak berkemampuan tetapi mahu berkahwin. Dalam menangani masalah itu, ada jawatankuasa yang dibentuk kerajaan negeri untuk menentukan bentuk bantuan yang perlu diberikan. Jawatankuasa ini sedang bersidang untuk memutuskan resolusi dan pendekatan paling sesuai untuk berdepan dengan masalah seperti itu.

SOALAN : Bagaimana pula nasib pelajar yang berkahwin dan kemudian mengandung. Sudah tentu pembelajaran mereka akan terjejas kerana mungkin tidak dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengajian? Apa gunanya jika mereka terus bersekolah, tetapi kemudian tidak mahu bekerja kerana terpaksa jaga anak dan beri tumpuan kepada rumah tangga?

JAWAPAN : Jika tidak mahu bekerja kerana mahu memberi tumpuan kepada keluarga itu bukan isunya. Isunya di sini ialah kita tidak mahu mereka keciciran dalam pelajaran. Jika mereka mahu meneruskan pelajaran ke peringkat lebih tinggi tetapi tidak mampu memelihara anak, kita akan uruskan keluarga angkat untuk bayi itu. Beribu-ribu pasangan mahukan anak dan saya tidak rasa itu adalah masalah.

Pokok pangkalnya di sini terpulang kepada remaja dan ibu bapa mereka. Jika mereka mahu membela sendiri bayi yang dilahirkan, kita akan membantu sekadar yang perlu. Sekali lagi ingin saya tegaskan, apa yang penting ialah remaja yang mengandung dapat meneruskan pelajaran. Kita tidak mahu mereka terus hanyut disebabkan kesilapan awal.

SOALAN : Katakan cadangan itu menjadi kenyataan, adakah MAIM akan memberi bimbingan kepada remaja berkenaan sebelum mereka berkahwin dan kemudian memantau mereka ketika di alam perkahwinan. Ini kerana, remaja yang berkahwin pasti belum matang sepenuhnya dan mungkin akan berlaku pula perceraian?

JAWAPAN : MAIM ada menganjurkan kursus untuk pasangan yang akan berkahwin tetapi dalam kes ini, pendekatannya lebih kepada persiapan remaja untuk menjalani kehidupan sebagai suami isteri. Nasihat, bimbingan dan kaunseling akan diberikan kepada mereka mengenai perkahwinan. Mungkin modulnya diubah suai supaya lebih sesuai dengan usia mereka. Mungkin juga akan ada kursus dan taklimat khas untuk mereka.

SOALAN : Bagaimana Datuk mahu meyakinkan pihak yang skeptikal dan membantah cadangan ini?

Insya-Allah satu forum khas diadakan hari ini dengan lebih 3,000 jemputan dari kalangan aktivis masyarakat dan NGO Islam. Ia bertujuan meminta mereka mengemukakan pandangan dan pendapat untuk diperhalusi. Cadangan bagaimana untuk melaksanakan hal ini dengan lebih baik atau mungkin mereka ada idea lebih hebat kerana kita sama-sama tidak mahu anak-anak ini terus hanyut. Kita perlu beri peluang kepada mereka membetulkan kesilapan.

Perkahwinan usia muda bukan jaminan atasi masalah sosial

~ gambar cilok ~

SOALAN : BAGAIMANA Datuk melihat kesan cadangan ini, jika dilaksanakan terhadap pelajar, sama ada di sekolah atau institusi pengajian tinggi?

JAWAPAN : Saya melihat perkara ini bukanlah jalan pintas bagi menangani gejala gelojoh seks remaja masa kini. Sejak 2006 hingga sekarang, sebanyak 21 kes pelajar dikesan mengandung dan bersalin anak luar nikah.

Saya berharap benar kedua-dua keputusan ini sudah diteliti semasak-masaknya daripada pelbagai sudut, bukan saja untuk manfaat remaja waktu umur persekolahan atau waktu muda mereka, malah mengambil kira kehidupan jangka panjang mereka sehingga masa tua mereka yang berumahtangga itu. Apakah kita hanya melihat syarat nikah hanya menumpu kepada persiapan melakukan seks saja?

Apakah kesediaan serta kecukupan umur semuda itu cukup untuk kita (masyarakat) membenarkan mereka bernikah dan hidup berumahtangga? Bagaimana kemampuan menyara diri mereka dan anak serta keluarga lainnya? Apakah dapat mereka mengimbangi tuntutan sebagai pelajar dan tanggungjawab sebagai isteri atau suami sepenuhnya?

Apakah mereka akan mengasingkan diri (bersama suami isteri saja) memandangkan ekonomi/kewangan keluarga yang terhad apabila tiba masa perlu bersama keluarga besar nanti?

Apakah mereka dapat menampung secara adil keperluan bahan pendidikan dan keperluan serta tuntutan peribadi suami isteri nanti? Mungkin kalau mereka mempunyai sara diri yang mencukupi (sama ada pinjaman/biasiswa mana-mana sumber atau kekayaan keluarga sendiri), perkara mengimbangi keperluan terbabit tentulah dapat diatasi.

Sekiranya perkara asas ini tidak dapat diatasi, saya khuatir mereka tidak dapat menumpukan kepada pelajaran masing-masing sepenuhnya dan akan menjejaskan prestasi pencapaian pendidikan (akademik) mereka.

Jika Melaka benar-benar ingin melaksanakan kedua-dua pendekatan ini sebagai langkah menangani zina, kahwin lari dan lain-lain, Melaka perlu mengadakan peruntukan kewangan mencukupi bagi membiayai bukan saja kedua-dua pengantin muda berkenaan malah keperluan ‘keluarga’ yang mendatang serta menyediakan bersama keperluan tempat tinggal dan kebajikan lain.

SOALAN : Pelajar remaja yang berkahwin dan kemudian mempunyai anak terpaksa menggalas tanggungjawab berat, iaitu sebagai ibu bapa dan pelajar. Apa pendapat Datuk?

JAWAPAN : Saya terus terang kata memang saya khuatir. Dengan membenarkan remaja masih belajar berkahwin pada umur muda, ia memberi kebebasan atau laluan besar (flood gate) untuk menggalakkan lebih ramai mencuba seks dan meminta kebenaran untuk disegerakan bernikah.

Saya pasti remaja yang masih belajar (tanpa sokongan kewangan mencukupi) belum bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai suami isteri sepenuhnya, apatah lagi mempunyai anak nanti. Pendidikan bertujuan membangunkan secara harmonis dan bersepadu aspek individu dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial/kemasyarakatan (JERIS).

Sebagai suami isteri (dan juga ibu bapa nanti) serta sebagai pelajar sepenuh masa, mereka menghadapi tekanan tersendiri dan tentunya perkembangan jasmani, emosi, psikologi boleh terbantut dan kemantapan intelek serta kekeluargaan juga boleh terjejas.

Apakah masing-masing yang masih muda itu dapat memahami serta mengimbangi keperluan dan kehendak masing-masing? Saya dapat rasakan sekiranya remaja itu tidak dapat mengimbangi keperluan dan kehendak masing-masing dan jika gagal atau lemah pencapaian pendidikan, mereka akan berhenti atau tercicir dari dunia pendidikan yang sedang dilalui. Ini tentunya satu kerugian’ buat mereka, keluarga, agama, bangsa dan tanah air. Jika sebaliknya berlaku, tentunya kita amat bersyukur.

SOALAN : Walaupun pelajar remaja itu sudah berkahwin, naluri remaja adalah untuk bebas dan berseronok tanpa memikirkan kesannya dan ia mungkin menyebabkan timbul masalah lain, termasuk berlaku perceraian?

JAWAPAN : Saya tidak yakin perkahwinan awal dapat mengatasi masalah sosial seperti seks bebas, hamil luar nikah serta pembuangan bayi sepenuhnya. Gejala seks bebas dan hamil luar nikah serta pembuangan bayi disebabkan faktor persekitaran yang tidak sepatutnya dijadikan alasan membenarkan remaja berkahwin awal.

Dilema ‘cinta monyet’ juga penyebab remaja mungkin hendak cepat bernikah, tetapi tidak dapat bertahan lama rumah tangga yang dibina. Naluri remaja untuk ‘bebas dan berseronok’ tanpa memikirkan kesan masa depan mereka menyebabkan keruntuhan rumah tangga dan perceraian. Dapatkah mereka yang berkahwin muda/terlalu awal mengawal keinginan (juga nafsu) melihat rakan sebaya menikmati kehidupan pendidikan sepenuhnya tanpa kekangan keluarga (suami/isteri)?

Tidakkah mudah capaian rangsangan ‘budaya kuning’ (gejala seks) yang merebak luas di internet, VCD lucah di pasar malam – kafe siber, kedai CD-VCD, MMS dan SMS telefon bimbit pornografi serta kebebasan remaja sehingga larut pagi sebagai penyebab utama dan perlu dibanteras dulu? Sepatutnya pendekatan kita mesti bercorak ‘pencegahan berbanding pemulihan.’

SOALAN : Bagaimana pula dengan tanggungjawab mahkamah. Adakah cukup dengan ada persetujuan pasangan remaja itu serta ibu bapa mereka atau mahkamah perlu juga melihat aspek lain seperti kesediaan, kemampuan kewangan dan risiko?

JAWAPAN : Mahkamah Syariah dalam hal ehwal Islam adalah penentu segala-galanya. Bagi remaja bawah umur yang ingin berkahwin, kebenaran bertulis hendaklah diwajibkan. Dalam konteks ini, saya menjangka Mahkamah Syariah akan memastikan remaja itu mestilah mematuhi semua syarat wajib dan rukun nikah bagi orang Islam. Mereka mesti diberi bimbingan dan kaunseling kerukunan rumah tangga dan kursus pra perkahwinan yang lebih terperinci.

Aspek kesediaan dan tanggungjawab suami isteri mengharungi segala pancaroba kehidupan, kemampuan serta keupayaan menguruskan kewangan serta risiko pencapaian akademik dan kokurikulum yang mungkin tidak memuaskan daripada sasaran asal yang hendak dicapai, kajian berkaitan kesihatan bagi remaja berkahwin awal dan lain-lain perlu dijelaskan kepada semua bakal remaja yang ingin dibenarkan bernikah itu. Persetujuan ibu bapa/penjaga yang sah kepada kedua-dua remaja yang dinikahi wajib diperoleh. Penekanan kepada doa restu dan berkat ibu bapa perlu diingatkan.

SOALAN : Berdasarkan pengalaman Datuk bergaul dengan ibu bapa dan pelajar, apakah cara lain yang boleh dilaksanakan untuk mencegah gejala sosial di kalangan remaja, termasuk maksiat, seks luar nikah dan membuang bayi?

JAWAPAN : Semua pihak perlu berganding bahu dan menjalankan tugas dan amanah masing-masing untuk mencegah gejala sosial di kalangan remaja. NGO belia, remaja dan wanita harus lebih aktif menggerakkan remaja untuk membabitkan mereka dalam kegiatan amal makruf dan nahi mungkar.

Pemimpin setempat perlu waspada berkaitan segala ‘sogokan’ yang akan menggalakkan serta membawa anak remaja kita ke lurah permulaan gejala dahaga seks. Kebanjiran premis urut, refleksologi tawar khidmat seks, VCD dan terbitan lucah, capaian kondom dengan mudah dan lain-lain dikhuatiri pencetus gejala seks bebas warga muda kita.

Kita tidak sepatutnya berpeluk tubuh sekadar melihat saja aktiviti sebegini berleluasa. Tindakan proaktif secara bersepadu perlu dilakukan sepanjang masa. Kata orang, sama ada dengan tangan atau mulut atau hati, semuanya berperanan menangani serta mencegah gejala sosial remaja agar tidak parah lagi. Mungkin Pendidikan Kesihatan Reproduktif & Sosial (PKRS) yang dibina selengkapnya dapat membantu mengekang serta kebertanggungjawaban hakiki remaja ke arah jati diri menghormati jiwa dan roh sendiri serta orang lain.

Rujuk : BH 08/08/2010

Capaian entry berkaitan :

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails