“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Khamis, Ogos 19, 2010

Jenayah domestik cemar institusi kekeluargaan



Isteri perlu benarkan undang-undang jalankan peranan, tidak lindungi kezaliman suami

MUTAKHIR ini jenayah domestik menjadi-jadi dan beberapa kejadian yang berlaku pada awal Ramadan lalu begitu menyayat hati. Isteri dan anak ditetak suami, disimbah asid, malah ada yang menjadi mangsa pembunuhan suami atau bapa termasuk gejala membuang bayi yang baru lahir.

Terkini, rujuk entry --> Jenayah : Bapa simbah asid

Kejadian berlaku di bulan mulia ini tentunya meninggalkan trauma bukan sedikit kepada mangsa yang masih hidup. Mereka kehilangan ibu, adik beradik dan ahli keluarga lain disebabkan kezaliman bapa yang sepatutnya melindungi ahli keluarga.

Malangnya, nafsu serakah berimamkan syaitan dalam diri mereka yang sepatutnya menjaga keselamatan ahli keluarga membuatkan ada ahli keluarga tidak selamat lagi berada di rumah sendiri.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya antara sifat yang boleh menjadikan seseorang sempurna imannya ialah orang yang berakhlak mulia dan berlemah lembut dengan ahli keluarganya.”

Pelbagai kes penganiayaan wanita dan kanak-kanak yang berlaku dalam lanskap domestik, antaranya penderaan seks, sumbang mahram, buli isteri, memeras ugut dan memukul isteri sering berlarutan dalam tempoh yang lama.

Ia berikutan sikap ahli keluarga itu sendiri yang sanggup bertahan serta tidak mahu mengaibkan suami dan bapa, ibarat kata pepatah seperti meludah ke langit. Jika umum mengetahui perbuatan buruk ahli keluarga sendiri, mereka juga yang menanggung malu. Hakikatnya, pepatah itu tidak bermanfaat dalam situasi jenayah domestik yang semakin meningkat. Setiap lelaki bergelar suami adalah pelindung kepada isteri kerana beberapa kelebihan yang Allah SWT kurniakan kepada mereka seperti fizikal lebih kuat dan hak mewarisi harta melebihi wanita.

Allah berfirman yang bermaksud: “Kaum lelaki adalah pemimpin bagi wanita, kerana Allah sudah melebihkan orang lelaki atas wanita, dan juga kerana orang lelaki sudah membelanjakan dari harta mereka.” (Surah An-Nisa, ayat 34)

Namun, kelebihan Allah kurniakan ini tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh segolongan suami. Mereka mendabik dada mengatakan mereka adalah ketua keluarga dan enggan memahami hikmah di sebalik anugerah istimewa itu.

Adanya suami yang kuat fizikal tetapi malas bekerja, bahkan mengambil kesempatan atas kerajinan isteri menambah pendapatan keluarga tentunya memburukkan lagi institusi keluarga yang sepatutnya menjadi syurga buat pasangan berkahwin.

Rasulullah SAW membawa teladan yang sempurna untuk menjadi ikutan umat Islam berperanan sebagai suami dan bapa. Ia memudahkan lagi kaum lelaki memahami tugas dan tanggungjawab sebagai pelindung keluarga dengan hanya mengikut apa dilakukan Rasulullah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik kamu ialah orang paling baik terhadap ahli keluarganya dan akulah sebaik-baik di antara kamu kepada ahli keluargaku.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Apabila seruan yang ditujukan kepada setiap suami dan bapa, ia menyampaikan mesej Rasulullah SAW adalah model ikutan terbaik, kerana Baginda suami dan bapa paling baik kepada ahli keluarga.

Justeru, sebelum bergelar suami, setiap lelaki perlulah mengetahui garis panduan sebagai pelindung keluarga, bukan sekadar berseronok dengan makan pakai yang akan tersedia.

Jenayah domestik memang sukar ditangani kerana ia berlaku dalam ruang peribadi yang tidak ditembusi undang-undang. Urusan suami isteri adalah ruang tidak sepatutnya mendapat campur tangan pihak luar, melainkan diminta berbuat demikian.

Namun, ahli keluarga lain perlu sensitif dengan sesuatu yang tidak kena dalam institusi keluarga.

Suami yang menagih dadah, mendera isteri dan anak serta menghidap penyakit mental boleh membahayakan ahli keluarga dan memungkinkan jenayah domestik berlaku pada bila-bila masa.

Senario sebegini memerlukan kerjasama isteri yang sayangkan suami supaya membenarkan undang-undang mengambil peranan mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku terhadap ahli keluarga. Jangan melindungi penjenayah hanya kerana ia seorang suami.




Rujukan : Nik Salida Suhaila Nik Saleh di BH 19/08/2010

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails