FIRMAN Allah bermaksud: “(Iaitu berpuasa) pada sebilangan hari yang tertentu. Jika di antara kamu ada yang sakit atau sedang bermusafir (lalu ia berbuka) maka wajiblah ia berpuasa (qada sebanyak hari berbuka) pada hari-hari yang lain dan wajib di atas orang-orang yang terdaya berpuasa (tetapi meninggalkan puasa kerana keberatan) membayar fidyah, iaitu memberi makan kepada orang-orang miskin dan barang siapa dengan sukarela memberi makan (melebihi kadar yang ditentukan), maka itulah yang lebih baik baginya. (Namun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (dari membayar fidyah) jika kamu mengetahui. ” (Surah al-Baqarah, ayat 184)
Allah mensyariatkan ibadat puasa ke atas umat Islam, diwajibkan kepada mereka berpuasa pada hari tertentu atau dalam jumlah hari yang sedikit iaitu antara 29 atau 30 hari dalam bulan Ramadan.
Sehubungan itu, Islam menetapkan permulaan ibadat puasa melalui rukyah atau menggenapkan bilangan 30 hari bulan Syaaban.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Hendaklah kamu mula berpuasa kerana melihat anak bulan Ramadan (rukyah) dan berbukalah (akhiri Ramadan) dengan melihat anak bulan Syawal (rukyah). Apabila awan menghalang pandanganmu, maka sempurnakanlah bulan Syaaban selama tiga puluh hari.” (Hadis riwayat Bukhari)
Kebanyakan ulama tafsir berpendapat ayat ini dimansuhkan kerana kewajipan berpuasa pada permulaan Islam adalah kewajipan baru yang belum biasa mereka lakukan. Oleh itu, mereka diberi peluang memilih antara dua iaitu sama ada berpuasa atau berbuka dengan membayar fidyah.
Pemansuhan (pembatalan) ayat ini diganti dengan ayat lain, iaitu ayat 185 dalam surah sama yang bermaksud: “Barang siapa di antara kamu yang berada pada bulan Ramadan, maka hendaklah ia berpuasa. Pengertian ayat ini tidak membenarkan umatnya memilih.”
Sekumpulan ulama lain pula berpendapat ayat ini tetap teguh, tidak dimansuhkan. Menurut mereka, ayat yang bermaksud: “Bagi mereka yang berkuasa (berdaya) berpuasa pada masa mudanya tetapi tidak berdaya pada masa tuanya, mereka dibolehkan membayar fidyah sebagai ganti dari puasa.”
Kata Ibnu Abbas, ayat ini tidak dimansuhkan tetapi dikhususkan kepada orang lelaki yang sudah tua atau perempuan yang sudah tidak lagi berdaya untuk berpuasa. Maka dia dibolehkan menggantikan puasanya itu dengan fidyah.
Fidyah ialah penebusan sesuatu yang diserahkan sebagai tebusan, iaitu memberi makan kepada orang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkan dengan kadar mencukupi bagi berbuka dan sahur.
Selanjutnya, jika orang itu suka membayar fidyah dengan memberi makan kepada dua orang miskin bagi sehari adalah lebih baik baginya. Walaupun begitu, berpuasa itu lebih baik berbanding dengan berbuka kerana ibadat puasa memiliki banyak kelebihan serta fadilat di samping mendidik jiwa bertakwa kepada Allah.
Perlu ditegaskan, ibadat puasa adalah wajib dan tidak dibenarkan sama sekali berbuka puasa bagi orang Islam yang mukalaf dengan tiada sebarang sebab atau keuzuran dibenarkan.
Keuzuran yang membolehkan seseorang itu berbuka puasa, bermusafir, orang sakit, datang haid dan nifas. Jika mereka ini tidak berpuasa, mereka wajib mengqada puasa dan tidak dikenakan fidyah.
Orang tua dan orang sakit yang tiada harapan sembuh, dia boleh berbuka atau tidak berpuasa dengan tidak perlu mengqadakan puasanya dan hanya membayar fidyah.
Perempuan mengandung dan menyusu bayinya, terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ulama fikah. Ibnu Kathir dalam tafsirnya mengemukakan beberapa pandangan ulama dalam masalah ini, ada berpendapat harus berbuka dan wajib mengqada puasa ditinggal serta membayar fidyah.
Rujukan : BH 18/08/2010
“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”
“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”
Khamis, Ogos 19, 2010
Tafsir Ayat: Kelonggaran jalani ibadat puasa permudahkan golongan uzur
Susunan :
Bawang Goreng
pada
8/19/2010 12:59:00 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...