“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Rabu, Ogos 04, 2010

Peguam Syarie Menulis: Kuasa wali penentu sah, batal sesuatu perkahwinan



Ibu bapa, bakal pengantin perempuan perlu siasat waris ikut susunan sebelum akad nikah


WALI, antara lima rukun nikah turut menjadi isu yang dibawa ke Mahkamah Syariah seperti wali enggan menikahkan kerana tidak suka dengan pilihannya, anak yang ingin bernikah ialah anak angkat atau adik menjadi wali sedangkan bapa masih ada.

Pada peringkat bapa, ada yang memohon perintah faraq (pemisahan perkahwinan) atas alasan anak gadis mereka lari dari wali dan nikah di sempadan tanpa pengetahuan wali. Perbahasan wali boleh dikatakan masih tidak jelas kepada sesetengah pihak, walaupun wali orang penting dalam pernikahan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Janganlah kamu menghalang mereka berkahwin kembali dengan bekas suami mereka apabila sudah ada kerelaan antara mereka dengan cara yang makruf.” (Surah al-Baqarah, ayat 232)

Daripada Abi Musa, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada nikah melainkan dengan adanya wali.” (Hadis riwayat Al-Khamsah dan An-Nasa’i)

Oleh kerana wali adalah satu daripada syarat sah nikah, maka bukan semua orang boleh menjadi wali. Syarat sah menjadi wali ialah Islam, baligh, lelaki dan adil. Turutan wali juga perlu diberi perhatian bagi memastikan tiada masalah kemudian nanti. Jika bapa tiada, maka hendaklah wali kedua iaitu datuk sebelah bapa memikul tanggungjawab itu dan begitulah seterusnya. Jika pengantin perempuan itu tidak mempunyai wali, maka ia akan dinikahkan secara wali hakim.

Kes Ismail Abdul Majid lawan Aris Fadilah dan Insun Abdul Majid (1990) di Mahkamah Syariah Kuala Kangsar, Perak, Hakim Amran Satar memutuskan perkahwinan yang diwalikan oleh wali ab’ad sedangkan wali akrab masih ada, tidak sah.

Wali ab’ad bermaksud wali yang jauh perhubungannya dengan pengantin perempuan mengikut susunan wali. Wali akrab pula bermaksud wali yang paling dekat hubungannya dengan pengantin perempuan mengikut susunan wali.

Dalam kes ini, pengantin perempuan berkahwin di Perak dengan berwalikan saudara lelakinya kerana bapa perempuan itu sudah meninggal dunia. Pengantin perempuan masih mempunyai datuk yang tinggal di Selangor yang tidak diberitahu mengenai perkahwinan cucunya itu. Kes itu dibawa ke mahkamah yang kemudian memutuskan perkahwinan itu tidak sah atau batal kerana bidang kuasa iaitu datuk perempuan masih ada. Selain itu, mahkamah memutuskan akal, fikiran datuk itu masih waras maka hak kelayakan wali masih tidak hilang.

Selain masalah wali akrab masih ada dan layak mewalikan pernikahan, ada juga masalah wakalah wali iaitu wali mewakilkan kepada orang lain.

Mengikut Islam, ada prinsip undang-undang Islam yang menyatakan: “Tiap-tiap sesuatu yang boleh seseorang melaksanakan dengan sendirinya, bolehlah ia mewakilkan sesuatu itu kepada orang lain.”

Berdasarkan prinsip itu, fuqaha berpandangan setiap akad yang dapat dilakukan oleh seseorang yang mempunyai bidang kuasa, akad itu boleh juga diwakilkan kepada orang lain seperti dalam akad nikah, jual beli, cerai, sewa menyewa, tuntutan hak dan akad lain.

Apabila wali akrab berada jauh, tidak dapat hadir pada majlis akad nikah atau wali itu boleh hadir, tetapi tidak mampu untuk menjalankan akad nikah, wali boleh mewakilkan kepada orang lain yang mempunyai kelayakan syarie.

Begitu juga bakal suami, jika tidak dapat hadir pada majlis akad nikah kerana sedang belajar di luar negara, boleh mewakilkan kepada orang lain yang mempunyai kelayakan syarie bagi menerima ijab (menjawab) nikah itu.

Bagaimanapun, bagi perempuan (bakal isteri), tidak boleh mewakilkan kepada orang lain untuk mengahwinkannya kerana haknya ada di tangan wali.

Orang yang menerima wakil hendaklah melaksanakan wakalah itu sendiri dan tidak boleh mewakilkan pula kepada orang lain kecuali dengan izin pemberi wakil atau apabila diserahkan urusan itu kepada wakil sendiri seperti kata pemberi wakil: “Terserahlah kepada engkau (orang yang menerima wakil) melaksanakan perwakilan itu, engkau sendiri atau orang lain.”

Maka ketika itu, boleh wakil mewakilkan pula kepada orang lain untuk melaksanakan wakalah itu.

Wakil wajib melaksanakan wakalah menurut apa yang ditentukan oleh pemberi amanah. Jika wakil diamanahkan mengahwinkan perempuan itu dengan A, wajiblah menikahkan dengan A.

Sebaliknya, jika wakil wali menikahkan perempuan itu dengan B, maka perkahwinan itu tidak sah. Mengikut amalan di Malaysia, selalunya wakalah wali dibuat di hadapan kadi atau pendaftar perkahwinan dengan disaksikan oleh dua orang saksi.

Sebelum melakukan wakalah wali, adalah mustahak wali itu mengkaji latar belakang orang yang hendak menerima wakil itu.

Satu kes berlaku di Kuang, Selangor, seorang perempuan bernikah berwalikan adiknya yang diwakilkan bapanya yang masih hidup dan sihat. Tetapi, adik tadi mewakilkan pernikahan itu kepada imam jurunikah.

Apabila kes dibawa ke mahkamah, hakim memutuskan pernikahan terbatal kerana adik perempuan itu yang diamanahkan mewalikan pernikahan sudah mewakilkan kepada orang lain iaitu imam jurunikah. Atas prinsip perwakilan dalam Islam, wakil tidak boleh di atas wakil.

Sepatutnya, bapa mewakilkan terus kepada jurunikah. Oleh itu, perkahwinan yang dibina hampir 15 tahun musnah begitu saja dan kesannya adalah anak yang lahir daripada perkahwinan berkenaan sama ada boleh dinasabkan kepada bapa mereka.

Kuasa wali penting dalam perkahwinan kerana ia menentukan sah atau tidak sesuatu perkahwinan. Oleh itu, setiap ibu bapa dan pengantin perempuan sebelum melakukan akad nikah perlu menyiasat terlebih dulu siapa yang berhak menjadi wali mengikut tertib dan susunan wali.

Adalah dibimbangkan jika perkara wali ini diambil ringan akan menjejaskan sesuatu perkahwinan sehingga boleh terbatal dan menimbulkan pelbagai masalah selepas itu.

Penulis, Mohamad Isa Ralip ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)




Rujuk : BH 04/08/2010

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails