“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Isnin, Mac 26, 2012

Bukan isu keluarga - Permasalahan sosial remaja perlu ditangani semua

Terap nilai kasih sayang dalam aktiviti keluarga

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

KITA dikejutkan dengan berita kehilangan ramai remaja perempuan sejak mutakhir ini. Kehilangan ini berpunca daripada kejadian culik atau sengaja lari dari rumah atas faktor marahkan keluarga atau mengikut teman lelaki yang hubungan mereka tidak direstui keluarga.

Daripada kes kehilangan remaja perempuan berusia 14 tahun yang dilaporkan diculik dari sebuah hentian bas di Seksyen 9, Shah Alam, Selangor pada 31 Januari lalu sebelum berjaya diselamatkan Polis Thailand di Bangkok pada 11 Mac lalu, dan disusuli pula dengan kejadian seorang lagi remaja Tingkatan Tiga di Kuantan yang mendakwa diculik, tetapi timbul fakta terbaru kononnya dia melarikan diri ke rumah keluarga teman lelakinya. Terbaharu, berita remaja perempuan dilarikan oleh seorang lelaki pula menghiasi akhbar. (Rujuk : Ibu tanggung derita dakwa anak gadis dilari kekasih)

Kes yang pastinya disambut keluhan berpanjangan selain akan diamati ramai bagi mengetahui apa yang sebenarnya berlaku. Beberapa kes yang bukan pertama atau yang terakhir, tetapi seharusnya dibimbangkan kerana ia boleh berulang lagi dan lagi dan lagi.

Kejadian ini seperti menggambarkan permasalahan akhlak di kalangan generasi muda hari ini agak membimbangkan. Individu yang sanggup merogol, menyeksa dan membunuh adik Nurul Nadirah pada hakikatnya hanya berjasad manusia, tetapi hati dan jiwanya lebih jahat daripada binatang.

Ramai remaja kini terbabit dalam masalah moral dan akhlak rendah dengan begitu mudah melanggar peraturan dan undang-undang negara sedia ada dengan terbabit dalam pelbagai kegiatan jenayah seperti merogol, membunuh, menagih dadah, mencuri, peras ugut serta menjadi ahli kongsi gelap.

Kata orang, jiwa remaja jiwa bergelora. Ada rasa resah, duka dan gejolaknya. Cuma apabila berlaku kejadian tidak diingini seperti remaja hilang atau diculik, bukan hanya jiwanya saja yang terbabit, sebaliknya keluarga serta masyarakat turut sama berkecamuk. Apa yang pasti, bukan sedikit yang mencemuh dan tidak kurang juga yang sedari awal ‘menghukum’ remaja itu yang dilihat kemaruk bercinta monyet tanpa memperdulikan perasaan keluarga. Tidak kurang pula, cercaan turut dilemparkan terhadap keluarga yang disifatkan tidak pandai menjaga anak. Hampir tidak kedengaran kritikan atau kutukan kepada lelaki yang bersubahat dalam ‘penculikan’ tersebut.

Persoalannya, apakah wajar kita bersikap sedemikian? Adakah tindakan ‘bersubahat’ sebegini diterima masyarakat? Apakah perlu setiap kali berlakunya kejadian yang menjadi cubaan kepada masyarakat, pada masa sama reaksinya, ‘padan muka’, ‘alah... bukan anak aku, lantaklah!’ dan sebagainya terpacul di mulut?

Hakikatnya, reaksi sedemikian ibarat ombak yang mungkin mengalih pasir, tetapi tidak mungkin dapat melenyapkan pasir itu sama sekali. Masalah remaja atau social yang berlaku di depan mata bukan lagi menjadi eksklusif kepada keluarga itu semata-mata, sebaliknya menjadi sebahagian daripada hak milik masyarakat kerana itulah ‘cermin’ atau wajah masyarakat kita hari ini.

Pada peringkat sekolah, menurut satu kajian yang pernah dibuat Kementerian Pelajaran pada 2004, hampir separuh kes pelanggaran disiplin yang berlaku berpunca daripada sikap pelajar itu sendiri seperti sentiasa bersifat menentang, bertindak mengikut perasaan, nakal, malas dan sebagainya. Banyak pihak sudah menyuarakan pandangan dan pendapat mengenai cara atau kaedah yang perlu diambil bagi membendung permasalahan ini.

Andai ada remaja bermasalah, tidak kiralah di Kuala Lumpur atau Kuantan mahupun Tapah, di bandar mahupun di ceruk kampong – semuanya ada cerita atau impaknya bukan kena atas batang hidung remaja itu dan keluarganya, tetapi hakikatnya hanya menunggu masa untuk menimpa keluarga lain sekiranya persoalan atau masalah asasnya tidak diendahkan.

Andainya anda tidak percaya, biarlah kenyataan dan statistik ini menjadi peringatan. Menurut Kaunselor Berdaftar yang juga Pakar Motivasi dan Kaunseling, Hushim Salleh, kita-kira 5 daripada 10 remaja berusia 13 hingga 17 tahun yang bermasalah, cenderung untuk lari dari rumah. Angka ini hasil kajian sesi kaunseling dan seminar keibubapaan yang dilakukannya sendiri.

Apa yang menyedihkan, remaja ini mendakwa dengan melarikan diri dari rumah dapat menyelesaikan masalah dan meredakan tekanan dihadapi tanpa menyedari mereka sebenarnya berisiko terdedah kepada masalah lebih serius andai tidak dibendung. Keadaan pasti lebih teruk apabila remaja itu dilamun cinta menyebabkan mereka mudah dikaburi dengan ayat-ayat manis sehinggakan tergamak menipu ibu bapa atau keluarga demi bersama insan disayangi. Keluarga yang memelihara mereka sedari kecil tetapi akhirnya diketepikan atas nama cinta monyet yang tidak membawa ke mana.

Selain itu, Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM) Prof Madya Dr Mohamed Fadzil Che Din, yang mengulas Laporan Khas akhbar ini mengenai remaja hilang akhir tahun lalu, pula mendedahkan, kajian terhadap 379 remaja yang pernah lari dari rumah pada 2010, menunjukkan mereka mengakui bahawa tekanan menyumbang kepada faktor utama, selain 105 kes membabitkan pengaruh kawan, ingin bebas (55), bergaduh dengan keluarga (41), bosan (38) dan kurang kasih sayang (35).

Mengejutkan, bukan? Ke semua fakta itu dilontarkan pakar yang ‘masak’ dengan remaja kerana berdepan dan mengendalikan permasalahan golongan itu. Statistik yang diberikan pula bukan mencerminkan keseluruhan gambaran dan bagaimana pula angka tidak rasmi? Atau kes yang tidak dilaporkan atas alasan keluarga mengelak malu?

Namun begitu ada beberapa kaedah dan langkah yang diambil tidak langsung meninggalkan kesan. Kini, masyarakat semakin gusar dengan wujudnya kes culik, bunuh dan rogol di kalangan kanak-kanak bawah umur yang sedang hangat diperkatakan kini. Senario yang agak genting ini jika dibiarkan berterusan, pastinya akan membawa impak besar kepada pembangunan bangsa Malaysia yang sedang bangkit menuju kemajuan.

Dalam waktu kita bercakap mengenai strategi mencapai tahap negara maju seperti diimpikan dalam wawasan perdana, hakikatnya semua anggota masyarakat secara keseluruhannya turut memainkan peranan besar bagi menjana kemajuan tersebut seiringan dengan proses pembangunan rohani masyarakat, tugas ini jika ingin dilihat meninggalkan kesan yang terbaik, maka ia perlu dilakukan secara kolektif atau bersama.

Apa yang berlaku di depan mata kita hari ini adalah sesuatu yang membimbangkan. Fenomena remaja lari dari rumah hanya atas nama kasih atau keseronokan sementara sewajarnya membuka mata semua dan mengakui ia masalah bersama.

Nasihat menasihati dan ingat mengingati antara satu sama lain supaya tidak tergelincir daripada landasan Islam sudah menjadi tanggungjawab setiap Muslim. Tanggungjawab itu bergantung pula kepada keupayaan diri seseorang itu apabila berada dalam kelompok manusia tertentu dan mengikut tahap keilmuan dimiliki seseorang individu.

Firman Allah yang bermaksud: “Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali mereka yang mengerjakan amalan salih dan nasihat menasihati agar mentaati kebenaran dan kesabaran.” (Surah al-Asr, ayat 1-3)

Sesuai dengan situasi mengejar kemajuan yang begitu drastik mutakhir ini, maka amat wajar kesedaran daripada semua pihak perlu ditingkatkan memandangkan kemajuan yang dicita-citakan adalah tanggungjawab bersama. Justeru, tugas atau peranan membendung dan membanteras gejala sosial ini tentulah juga menjadi beban tanggungjawab yang harus dipikul bersama untuk menanganinya.

Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW ada dinyatakan tanggungjawab setiap umat mukmin yang perlu membuat teguran dan perubahan kepada sebarang bentuk kemungkaran yang berlaku depan mata sama ada dengan lidahnya, tangannya dan jika tidak mampu juga dengan bisikan hatinya menyatakan kebencian dan kejelekan terhadap maksiat dan kemungkaran yang berlaku itu.

Sebagai ibu bapa dan penjaga kepada anak terutama yang sedang dalam usia remaja, ibu bapa memainkan peranan cukup besar menentukan hala tuju dan arah hidup mereka seharian. Pengawasan yang ketat dengan kebebasan fleksibel perlu dirangka dan dilaksanakan bagi mengelak mereka mudah terjerumus ke dalam pelbagai jenis gejala sosial yang tidak langsung mendatangkan manfaat kepada diri mereka sendiri.

Bukan setakat mengawasi dan mengawal pergerakan mereka, ibu bapa juga perlu mengisi kehidupan berkeluarga dengan sesuatu yang menarik dan menyeronokkan dengan diiringi nilai kasih sayang yang berpanjangan. Anak memerlukan perhatian dan bimbingan daripada ibu bapa. Justeru, jika ibu bapa dengan sengaja atau tidak mengabaikan tugasan berat lantaran terlalu sibuk mengejar kemajuan diri dan keluarga tanpa mempedulikan anak dan menyelesaikan permasalahan yang sering melanda anak remaja, siapakah yang harus dipersalahkan?

Keluarga juga seharusnya perlu lebih prihatin dengan anak mereka – bukan sekadar bertanyakan soal pelajaran, tetapi kenal rakan-rakannya baik di depan mata, sekolah mahupun di Facebook. Ketepikan soal ‘tidak mengapa, biasalah anak remaja suka berkawan’ sebaliknya peka apa yang sedang dilakukan oleh si anak.

Sebagai anggota masyarakat, kita seharusnya lebih peka dengan persekitaran – apa yang berlaku kepada anak jiran, siapa rakan yang datang bertandang dan menegur andai ada yang bersikap mencurigakan, adalah antara caranya. Mungkin ada ibu bapa yang tidak suka anaknya ditegur rakan atau jiran, tetapi itu lebih baik daripada membiarkan anak hanyut tanpa rasa takut atau aib terhadap tindak tanduknya. Ringkasnya, lebih baik bergaduh sekarang daripada menyesali apabila nasi sudah menjadi bubur.

Kita bersyukur dengan beberapa tindakan dan langkah drastik yang diambil Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri untuk menyekat jenayah berat yang dikatakan banyak menyumbang ke arah gawatnya gejala sosial yang melanda negara.

Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW, riwayat Ibnu Majah, baginda bersabda yang bermaksud: “Wahai manusia, sesungguhnya Allah sudah memerintahkan kamu melakukan yang makruf dan menegah perkara yang mungkar. Sebelum (sampai masanya) kamu berdoa kepada-Ku tetapi Aku tidak memperkenankannya, (perintah dan tegahlah) sebelum (sampai masanya) kamu meminta pertolongan-Ku tetapi Aku tidak menolong kamu.”

Justeru itu, semua anggota masyarakat perlu sama-sama berusaha memikir dan mengambil langkah jangka panjang bagi membendung dan membanterasnya. Allah Taala sudah berpesan dalam kitab suci Al-Quran supaya semua manusia bersatu padu dalam melakukan apa jua bentuk kebaikan untuk kesejahteraan bersama dan jangan sekali-kali bersatu melakukan sesuatu yang boleh membawa ke arah dosa dan kerosakan. (maksud ayat 2, surah al-Maidah)




Sumber : BHarian - Kawal tingkahlaku anak agar tidak bertindak liar dan BHarian - Bukan isu keluarga.

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails