Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Alhamdulillah, bertemu lagi dalam segmen FloraFauna. Kali ini dikongsikan pula perihal pokok pandan.
Pokok pandan merupakan sejenis pokok yang banyak kegunaannya bagi orang-orang Melayu. Ia digunakan sebagai pewangi makanan seperti air sirap, dan dalam upacara tertentu seperti sebagai bunga rampai dalam istiadat perkahwinan Melayu.
Pokok pandan merupakan sejenis tumbuhan tropika dalam keluarga genus pandanus dan digunakan dengan meluas dalam masakan di Asia Tenggara. Ia adalah pokok hijau menegak dengan daun panjang halus seperti bilah berjambak dan akar berkayu. Pokok ini adalah mandul dan jarang berbunga, dan ia membiak melalui keratan.
Kegunaannya yang pelbagai seperti dijadikan sebagai bahan perasa, pembungkus, pewarna dan pewangi telah menyebabkan daun pandan atau nama botaninya pandanus amaryllifolius merupakan tanaman yang paling berguna buat masyarakat Malaysia. Tanaman yang dipercayai berasal dari Bangka, Indonesia dan kini telah tersebar luas di kawasan tropika Asia Tenggara ini sebenarnya turut mempunyai khasiat ubatan yang tersendiri.
Pandan yang juga dikenali sebagai pandan wangi atau pandan rampai, fragrant screw pine (Inggeris), ban lan (Mandarin), rampe (Sri Lanka), bai toey (Thailand), la dua (Vietnam) dan ketaki (Bangladesh) adalah dari jenis tanaman bersifat saka. Tumbuhan dari keluarga pandanaceae ini adalah sekeluarga dengan pokok mengkuang. Terdapat 600 jenis spesies dalam keluarga genus pandanus yang dikenali di serata dunia.
Pokok pandan jarang terdapat secara meliar tetapi ditanam dengan meluas sebagai perisa dalam masakan. Ðaunnya digunakan segar atau dikeringkan dan terdapat secara dagangan dalam bentuk beku dikedai runcit Asia di negara di mana pokok pandan tidak tumbuh. Ia memiliki bau botani berkacang yang meningkatkan perisa masakan Asia, terutama hidangan nasi dan kuih.
Ðaun pandan kadang kala direndam dalam santan, yang kemudiannya ditambah dalam masakan. Ia boleh diikat dan dimasak bersama makanan. Ia juga boleh dianyam bentuk bakul yang digunakan sebagai bekas bagi memasak nasi. Ayam berbalut pandan, atau gai ob bai toey, adalah masakan Thailand dengan ayam dibalut dengan daun pandan dan digoreng. Ðaun ini juga digunakan sebagai perasa bagi pencuci mulut seperti kek pandan dan sirap.
Pokok pandan mudah tumbuh dan dipelihara. Pokok pandan tumbuh berumpun dan mempunyai daun yang panjang dan meruncing di hujung seperti pedang. Ðaunnya berbau wangi dan merupakan tumbuhan yang sejuk. Ðaun pandan tumbuh berlapis-lapis dan bersilang. Warnanya hijau tua di pangkal dan hijau muda di hujungnya. Pokok pandan boleh membaik melalui akar atau anak pokok. Ðaun pandan dikatakan mengandungi alkaloid, saponin, flavonoid, tanin, polifenol dan zat warna.
Terdapat dua jenis pandan wangi iaitu pandan wangi besar dan pandan wangi kecil. Kebanyakan daripada tanaman pandan wangi di negara ini adalah jenis pandan wangi kecil. Bunganya majmuk dan berwarna putih.
Pelbagai kegunaan
Bagi tujuan kegunaan sebagai perasa dan pewarna, daun pandan akan diekstrakkan sebelum digunakan. Ekstrak tersebut akan digunakan dalam pembuatan roti, kek, biskut dan kuih muih tradisional seperti kuih tepung talam, ketayap (kuih gulung), cendol, seri muka, buah melaka, bingka/bengkang (utara) serta minuman. Maka tidak hairanlah terdapat pelbagai syarikat yang menggunakan ekstrak perasa makanan pandan ini dalam produk keluaran mereka.
Ðaunnya yang dilayur, boleh digunakan untuk membuat ketupat, kuih tako atau boleh digunakan sebagai pembalut/pembungkus ayam untuk dibakar/panggang, resepi yang agak terkenal ialah 'pandan chicken'.
Ðaunnya boleh digunakan dalam bubur/pengat/serawa, nasi lemak, nasi ayam, sirap untuk menambahkan aroma yang wangi dan menyelerakan dalam masakan.
Bagi kegunaan luar, bahagian yang banyak digunakan adalah daunnya. Antara kegunaan daun pandan adalah untuk menghitamkan rambut dan menghilangkan kelemumur.
Mereka yang mahu menghitamkan rambut dikatakan boleh menggunakan daun pandan bagi membantu proses penghitaman rambut tersebut. Caranya adalah dengan mengambil 7 lembar daun pandan yang kemudiannya dicuci bersih. Setelah daun tersebut dipotong-potong kecil, rebus dengan seliter air hingga warna air berubah menjadi warna hijau. Embunkan air rebusan tadi selama semalaman. Keesokan harinya, campurkan air rebusan daun pandan tadi dengan air perahan 3 biji buah mengkudu masak. Gunakan air campuran ini untuk mencuci rambut. Lakukan 3 kali seminggu sehingga hasilnya kelihatan.
Selain itu, dikatakan daun pandan juga mampu menghilangkan masalah kepala berkelemumur. Caranya adalah dengan menggunakan ramuan air perahan daun pandan yang telah digiling halus yang kemudiannya dicampurkan dengan air. Lumurkan air perahan ini ke seluruh kulit kepala yang berkelemumur. Biarkan ramuan ini kering selama setengah jam sebelum dibilas. Lakukan setiap hari sehingga kelemumur hilang. Cara ini juga dikatakan mampu merawat masalah keguguran rambut.
Turut punyai khasiat ubatan
Untuk tujuan perubatan pula, daun juga yang menjadi pilihan. Bagi mereka yang mengalami masalah reumatik, dikatakan daun pandan juga berkhasiat dalam merawat masalah ini. Penghidap dikatakan boleh menggunakan ubat gosok yang dihasilkan daripada 3 helai daun pandan yang diseduh dengan setengah cawan minyak kelapa yang telah dipanaskan. Aduk ramuan ini sehingga rata dan apabila sejuk, gosokkan ramuan ini pada bahagian yang bermasalah.
Masalah lemah saraf juga dikatakan mampu dirawat dengan menggunakan daun pandan. Caranya adalah dengan mengambil 3 helai daun pandan yang kemudiannya dipotong kecil-kecil. Rebus dengan 3 gelas air hingga menjadi tersisa sebanyak 2 gelas. Minumlah ramuan ini sebanyak 1 gelas pada waktu pagi dan malam.
Bagi mengatasi masalah angin dalam badan, ambil segenggam pulut. Uli (gentel) supaya menjadi butir-butir kecil. Tambah halia sebesar ibu jari. Masukkan 7 helai daun pandan muda. Masukkan 2 ketul gula melaka. Rebus bersama 2 liter air. Tunggu sehingga ketulan pulut timbul di permukaan. Bila sejuk, tapis dan boleh minum. Amalkan dua hingga tiga kali sehari.
Ðaun pandan juga dikatakan mampu merawat perasaan gelisah. Caranya ialah dengan mengmbil 2 helai daun muda. Rendam dalam secawan air yang panas. Tapis dan minum dua atau tiga kali sehari.
Selain itu, daun pandan juga dikatakan mampu digunakan tujuan merawat penyakit demam campak, gonorrhea, sifilis, denggi dan anemia.
Lain-lain senarai kegunaan daun pandan :
- Pewangi bedak sejuk
- Pewangi asli bunga rampai
- Salah satu daun yang dicampurkan ke dalam air mandian untuk ibu-ibu yang baru melahirkan (dalam pantang)
- Ubat pencegah lipas - Ambil beberapa helai daun yang segar, simpulkan dan letak
- dalam kabinet dapur. Insya Allah lipas akan berkurangan.
- Pewangi kereta - gunting beberapa helai daun muda, masukkan ke dalam bekas plastik. Ia mampu bertahan selama 2 minggu.
Walaupun daun pandan mempunyai pelbagai kegunaan, namun untuk tujuan perubatan, dapatkanlah nasihat pengamal perubatan terlebih dahulu bagi mengelakkan kemudaratan di kemudian hari kelak.
Rujukan : MisteriAlam, BukitBemban, Ms.Wikipedia dan En.Wikipedia
Capaian entry berkaitan :
* Pokok bunga Jepun
* Khasiat daun kari
* Bunga Kantan
* Pokok nona ada khasiat ubatan
* Jarum Tujuh Bilah
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...