“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Selasa, Januari 03, 2012

Bapa abai nafkah anak pincangkan masyarakat

Pendidikan sempurna antara tuntutan lahir anak berjaya

Assalamualaikum warahmatullah,

Beberapa bulan yang lepas, Laman-Seri berkesempatan mendengar luahan seorang rakan di egrup yang disertai. Menurut rakan tersebut, beliau sedang menghadapi kes di mahkamah syariah KL. Sudah hampir setahun kesnya ditundakan tetapi masih belum dapat jalan penyelesaian, mungkin kerana beliau tidak melantik peguam kerana semuanya diusahakannya sendirian. Rakan ini tidak mampu mengupah peguam kerana keadaan kewangan tidak mengizinkan. Kesnya di mahkamah adalah kes tuntutan nafkah anak-anak daripada bekas suami. Sebetulnya, perintah mahkamah sudah dikeluarkan, cuma bekas suami tidak memberi kerjasama dan enggan membuat pembayaran nafkah.

Saya jelaskan kepadanya, beliau boleh memohon bantuan daripada BSK (Bahagian Sokongan Keluarga) kerana beliau sudahpun mempunyai perintah mahkamah. Masalah beliau boleh diselesaikan dengan mudah jika beliau mengadu hal berkaitan kepada saluran yang betul. Bagi mereka yang menghadapi masalah yang sama, bolehlah rujuk entry Bahagian Sokongan Keluarga (BSK).

Agak malang kerana ramai suami dan bekas suami masih tidak jelas atau mungkin saja buat-buat baghal dungu akan hal asas seperti nafkah ini. Dalam entry kali ini, Laman-Seri kongsikan peringatan yang ditulis oleh seorang peguam syarie, Tn Mohamad Isa Abd Ralip, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

Setiap zuriat berhak disara sehingga 18 tahun

Nafkah kalimah Arab berasal daripada infaq dari sudut bahasa bermakna perbelanjaan dikeluarkan secukupnya terhadap anak merangkumi makanan, pakaian serta tempat tempat tinggal.

Nafkah terbahagi kepada dua iaitu terhadap diri sendiri dan kewajipan nafkah terhadap orang lain disebabkan perkahwinan iaitu isteri, kerabat contohnya anak dan pemilikan seperti hamba. Nafkah anak adalah WAJIB, sama ada anak berada dalam jagaannya atau orang lain. Dalam Islam, hak mendapat kehidupan adalah hak anak yang tidak boleh disekat. Justeru, ibu bapa atau penjaga wajib memenuhi hak itu.

Firman Allah bermaksud: “Dan ibu hendaklah menyusukan anak mereka dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu dan kewajipan ke atas bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara sepatutnya.” (Surah Al-Baqarah, ayat 233)

Ayat itu menjelaskan kewajipan bapa membayar upah menyusukan anaknya. Ini bermakna kewajipan memberi nafkah kepada anak lebih utama dilaksanakan bapa. Jumhur berpendapat, jika bapa tidak mempunyai harta tetapi mampu membuat kerja, wajib ke atasnya berusaha sendiri dengan pekerjaannya membiayai nafkah anak.

Berdasarkan peruntukan undang-undang di Malaysia, merujuk Seksyen 73 (1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 menanggung nafkah menjadi kewajipan bapa. Seksyen itu memperuntukkan: “Kecuali jika sesuatu perjanjian atau perintah mahkamah memperuntukkan selainnya, maka menjadi kewajipan seseorang lelaki menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada dengan mengadakan bagi mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan pelajaran sebagaimana munasabah kepada kemampuan atau dengan membayar kos.”

Fuqaha bersepakat jika bapa masih hidup dan berkemampuan untuk bekerja, maka wajib ke atasnya saja membiayai nafkah anak tanpa berkongsi dengan sesiapa.

Dalam menentukan tempoh bapa menanggung nafkah anak diperuntukkan secara jelas mengikut Seksyen 80 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 yang meletakkan had umur bagi tempoh perintah nafkah tamat apabila anak mencapai umur 18 tahun.

Bagaimanapun, mahkamah boleh atas permohonan anak melanjutkan perintah nafkah itu supaya meliputi tempoh tambahan yang difikirkan munasabah bagi membolehkan anak mengikuti pelajaran, latihan lanjut atau lebih tinggi.

Kita sedia maklum masuk saja hujung tahun, ibu bapa sibuk mengurus persediaan persekolahan anak. Bagi suami isteri yang membuat persediaan awal dengan menabung, tiada sebarang masalah.

Keadaan berbeza bagi ibu tunggal diabaikan pemberian nafkah oleh bekas suami. Sudah tentu perkara ini menyukarkan serta mendatangkan kemudaratan apatah lagi jika mempunyai anak ramai dan semuanya masih bersekolah.

Walaupun kerajaan menyalurkan peruntukan RM100 seorang bagi anak yang bersekolah, jumlah itu masih tidak mencukupi untuk perbelanjaan persekolahan mereka. Ia mungkin dapat meringankan sedikit beban tetapi tidak mencukupi bagi menampung jumlah sebenar.

Jika bekas isteri mampu sekalipun, bapa tetap perlu dan wajib menunaikan tanggungjawab. Kita tidak mahu berlaku kepincangan dalam masyarakat apabila bapa mengambil sikap lepas tangan sehingga membebankan bekas isteri khususnya yang tiada kerja atau pendapatan tetap. Bapa hendaklah mengambil tanggungjawab ini supaya pendidikan anak tidak terganggu. Kita tidak mahu mendengar kes anak tidak bersekolah atau lambat daftar ke sekolah disebabkan pengabaian perbelanjaan pendidikan.

Kepincangan perkahwinan tidak sepatutnya memberi kesan terhadap masa depan anak. Pertelingkahan antara suami isteri juga tidak harus memberi masalah kepada hak anak mendapat nafkah.

Islam sangat mengambil berat mengenai kewajipan memberi nafkah bagi memastikan kehidupan anak tidak terabai. Lebih-lebih lagi untuk menjadikan kehidupan anak sempurna dan tidak terkesan walau sedikitpun akibat daripada permasalahan keluarga mahupun perceraian ibu bapanya.

Semoga peringatan ini dapat membuka mata dan memberi kesedaran kepada mereka yang sering menganggap remeh tanggungjawab pemberian nafkah ini.




Petikan : BHarian 21/12/2011

Capaian entry berkaitan :
Bahagian Sokongan Keluarga (BSK)
Menangani suami culas dan suami kedekut

3 ulasan:

  1. Jadilah seorang bapa yang bertanggungjawab dan contoh teladan kepada anak-anak..

    BalasPadam
  2. Betul... Bukan sedikit yang lupa pesan Rasulullah SAW :

    “Tidaklah para hamba berada di waktu pagi melainkan ada dua malaikat yang turun. Salah satu dari mereka berdoa: Ya Allah! Berikanlah kepada orang yang menafkahkan hartanya balasan yang lebih baik. Sedangkan malaikat yang lain berdoa: Ya Allah! Berikanlah kebinasaan kepada orang yang menahan hartanya (tidak mahu menafkahkannya).” (Hadis riwayat al-Bukhari)

    “Cukuplah seseorang itu dianggap berdosa apabila suami mensia-siakan orang yang menjadi tanggungannya.” (Hadis riwayat Abu Daud)

    BalasPadam
  3. Koleksi kuliah Ustaz Azhar Idrus bab nafkah :

    1. http://www.youtube.com/watch?v=bPVMikkCcyU
    2. http://www.youtube.com/watch?v=hWy_QXCfXPU&feature=related
    3. http://www.youtube.com/watch?v=H46cMHPpN1o
    4. http://www.youtube.com/watch?v=_GBEVTGGbJc
    5. http://www.youtube.com/watch?v=uNwQDRo4A3Q

    BalasPadam

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails