“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Isnin, November 15, 2010

Menangani suami culas dan suami kedekut


Assalamualaikum warahmatullah,

Senario suami isteri bekerja adalah satu lumrah dalam masyarakat moden masa kini. Sememangnya isteri yang bekerjaya dilihat mampu untuk membantu meringankan beban kewangan suami, sesuai dengan tuntutan keperluan hidup masa kini yang semakin hari semakin meningkat.

Sikap saling bantu-membantu amatlah digalakkan dalam kehidupan berumahtangga. Ini kerana kehidupan suami isteri adalah untuk berkasih sayang dan bermesra, kerana sebagai pasangan, hakikatnya kita bergantung hidup antara satu sama lain, sebagaimana yang dapat dilihat melalui firman Allah SWT yang bermaksud, “Dialah Yang menciptakan kamu dari diri yang satu dan daripadanya Dia menciptakan pasangannya (diri suami isteri) untuk dia merasa senang hati kepadanya...” (Surah al-A’raaf 7:189)

Adalah satu kebiasaan seorang isteri yang bekerja akan menghulurkan bantuan dalam meringankan bebanan kewangan suami. Lagipun itulah salah satu tujuan seorang isteri keluar bekerja sekarang ini. Kebiasaannya, isteri keluar rumah mencari rezeki untuk keperluan diri sendiri dan juga untuk membantu suami menampung perbelanjaan rumah. Sayugia diingatkan, wang gaji isteri sepatutnya digunakan sekadar untuk menampung dan bukannya menanggung keseluruhan perbelanjaan rumahtangga. Tidak dinafikan, apabila isteri sudi menghulurkan bantuan meringankan beban, terdapat segelintir suami yang sudah mula berada dalam ‘comfort zone’, tidak perlu mahu lagi bersusah-payah dan terdapat juga kes suami melepaskan sepenuhnya tanggungjawabnya kepada isteri.

Nafkah adalah hak isteri

Menurut Islam, seorang isteri berhak mendapat keperluan hidup dan nafkah yang mencukupi daripada suaminya, dan bukan sebaliknya. Ini jelas berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud, “Kaum laki-laki itu adalah pemimpin (yang bertanggungjawab) terhadap kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka.” (Surah an-Nisaa’ 4:34)

Seorang sahabat bernama Hakim bin Mua’wiyah bin Hidah al-Qusyairi r.a. pernah mendengar ayahnya berkata bahawa dia pernah bertanya kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah! Apakah hak isteri kami ke atas suami?” Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Memberinya makan apabila kamu makan dan memberinya pakaian apabila kamu berpakaian.” (Hadis riwayat Abu Daud dalam Sunan Abu Daud, no. 1830)

Menurut riwayat ini, syarak mempertanggungjawabkan kepada para suami untuk menanggung perbelanjaan makan minum dan pakaian si isteri dan juga anak-anak, dan ini termasuklah tempat tinggal, perubatan dan ilmu yang bermanafaat. Sebagai contoh, seorang suami mampu menyediakan makan minum yang mengenyangkan untuk isteri dan anak-anak berupa nasi dan lauk yang sesuai, itu dikira telah menyediakan nafkah yang cukup walaupun hari-hari makan ikan dan sayur dan hanya sekali dalam sebulan makan daging atau ayam. Wang poket juga tetap perlu diberikan kepada isteri dalam kadar yang sesuai dan munasabah untuk tabungan dan simpanan bagi menghadapi kes-kes kecemasan. Seorang suami yang tidak memberikan wang poket yang sesuai dan munasabah adalah dikira telah melakukan keganasan kewangan kepada iseri, sekiranya isteri adalah seorang surirumah yang tidak mempunyai apa-apa hasil pendapatan selain daripada wang yang diberikan oleh suami.

Semua keperluan ini bergantung dalam konsep yang munasabah menurut syarak. Bermaksud, jika suami sediakan pakaian yang tidak baik, terlalu jarang hingga mendedahkan aurat, atau sediakan rumah tetapi tiada bekalan elektrik atau air, atau sediakan makanan tetapi yang tidak berkhasiat atau yang biasa-biasa sahaja, SEDANGKAN suami berkemampuan untuk isteri dan anak-anak, maka suami seperti ini dikategorikan sebagai suami yang kikir, bakhil atau ayat paling mudah difahami, kedekut.

Hukum juga menetapkan kadar pemberian nafkah adalah mengikut kemampuan seorang suami dan suami tidak wajar membebankan dirinya melebihi kemampuannya yang sebenar. Maksud membebankan diri di sini ialah melakukan sesuatu yang melebihi kemampuan atau di luar upaya suami. Sebagai contoh, berhutang dengan mana-mana pihak bagi merealisasikan kehendak isteri yang melampau. Kemampuan juga bererti atas sgala daya dan usaha suami, BUKAN sekadar usaha setapak mengharapkan rezeki sebukit!

Suami kedekut

Anda tentu pernah mendengar sebuah kisah yang pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW, seorang isteri yang bernama Hindun binti Utbah bin Rabi’ah datang mengadu kepada Baginda SAW, “Wahai Rasulullah, Abu Sufyan adalah seorang suami yang kedekut. Bolehkah aku mengambil sebahagian hartanya untuk keperluan keluarga kami?” Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Tidak mengapa engkau mengambil sekadar keperluanmu dengan cara yang makruf.” (Hadis riwayat al-Bukhari dalam Sahih al-Bukhari no. 2460)

Maafkan saya, bukanlah bermaksud hendak menceritakan aib orang tetapi sebagai teladannya, jika isteri berhadapan dengan suami seperti ini, isteri boleh mengambil secara diam sejumlah wang yang sesuai untuk menampung perbelanjaan bagi keperluan yang patut dan wajar untuk diri sendiri dan anak-anak, menepati saranan riwayat Hindun tadi.

Islam membenarkan si isteri untuk mengambil harta suami tanpa pengetahuan suami, tetapi hanya sekadar untuk memenuhi keperluan kehidupan isteri dan anak-anak serta pembantu, jika ada. Ulama berpendapat, dengan cara yang makruf di dalam riwayat bermaksud pengambilan harta tersebut tidak berlebih-lebihan dan tidak merosakkan harta si suami. Jika aktiviti isteri mengambil wang suami secara diam ini berjaya dikesan oleh suami dan menimbulkan pergaduhan, isteri boleh memaksa suami memberikan nafkah melalui perintah Mahkamah Syariah.

Seorang isteri yang bekerja masih berhak mendapat nafkah daripada suaminya, bermakna hak isteri itu tidak gugur kerana dia bekerja dan menjana pendapatan sendiri. Jika selama ini wang hasil titik peluh isteri digunakan untuk menampung perbelanjaan keluarga, ini tidak bermakna suami boleh melepaskan tanggungjawabnya terhadap isteri dan anak-anak begitu sahaja. Sebaliknya, suami masih perlu memberi nafkah kepada isteri kerana Islam sebenarnya meletakkan beban tanggungjawab nafkah kepada suami, bukan isteri.

Apabila suami enggan membayar nafkah untuk penggunaan keluarga, dia dikira sudah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai suami. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud, “Cukuplah seseorang itu dianggap berdosa apabila suami yang mensia-siakan orang yang menjadi tanggungannya.” (Hadis riwayat Abu Daud dalam Sunan Abu Daud, no. 1442)

Langkah penyelesaian yang perlu diambil isteri :

1. Menasihati suami

Sebagai langkah permulaan bagi mencari solusi terhadap polemik ‘suami abai tanggungjawab’ atau suami culas ini, isteri perlulah berusaha untuk menasihati suami atau meminta orang tengah untuk membetulkan fahamannya kerana dia telah mengabaikan tanggungjawabnya membayar nafkah yang sepatutnya diberikan kepada isteri sebagaimana yang dituntut ajaran Islam.

2. Membuat tuntutan nafkah

Satu lagi jalan yang isteri boleh ambil bagi mengatasi masalah ini sekiranya suami tetap kedekut memberi nafkah kepada isteri adalah dengan membuat tuntutan nafkah di Mahkamah Syariah. Bukan sekadar perintah, malah Mahkamah Syariah boleh perintahkan potongan gaji suami dilakukan bagi mempastikan perintah nafkah dapat dilaksanakan.

Menurut seksyen 59 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, Mahkamah Syariah mempunyai kuasa untuk memerintahkan seorang suami membayar nafkah kepada isterinya menurut apa yang ditentukan oleh hukum syarak. Menurut seksyen 72 Akta yang sama, Mahkamah Syariah juga boleh mengeluarkan perintah agar suami membayar nafkah untuk anak-anak juga. Jumlah nafkah yang perlu suami bayar akan ditentukan oleh Mahkamah Syariah berdasarkan kemampuan dan keperluan kedua-dua pihak.

Dalam membuat penentuan ini, Mahkamah Syariah tidak akan mengambil kira kadar nafkah yang perlu dibayar oleh suami berbanding dengan jumlah pendapatannya. Dengan kata lain, suami tetap perlu membayar nafkah seperti yang diperintahkan oleh Mahkamah Syariah biarpun Mahkamah Syariah menetapkan nilai nafkah yang tinggi. Apa yang penting adalah jumlah nafkah tersebut cukup untuk memenuhi keperluan isteri dan anak-anak.

Sifat tercela

Kepada para suami kedekut, beringatlah. Salah satu sifat tercela yang tidak disenangi dalam agama adalah kedekut dalam berbelanja. Sifat bakhil adalah sifat yang dicela oleh Allah Taala dan Rasul-Nya. Ingatlah pesan Rasulullah SAW yang bermaksud, “Seburuk-buruk sifat yang ada pada seseorang adalah bakhil dan penakut.” (Hadis riwayat Abu Daud dalam Sunan Abu Daud, no. 2150)

Setiap sen yang dibelanjakan kepada anak isteri akan mendapat ganjaran yang tinggi di sisi Allah Taala, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Dinar (wang) yang engkau infak (belanjakan) di jalan Allah, dinar yang engkau infak untuk membebaskan hamba abdi, dinar yang engkau sedekahkan kepada orang miskin, dinar yang engkau nafkahkan kepada keluargamu, pahala yang paling besar adalah dinar yang engkau nafkahkan untuk keluargamu.” (Hadis riwayat Muslim dalam Sahih Muslim, no. 995)

Suami gagal akan disoal di akhirat

Ingat! Malaikat akan MELAKNAT pada suami yang tidak menafkahkan hartanya kepada ahli keluarganya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Tidaklah para hamba berada di waktu pagi melainkan ada dua malaikat yang turun. Saah satu dari mereka berdoa: “Ya Allah, Berikanlah kepada orang yang menafkahkan hartanya balasan yang lebih baik.” Sedangkan malaikat yang satu lagi berdoa: “Ya Allah! Berikanlah kebinasaan kepada orang yang menahan hartanya (tidak mahu menafkahkannya).”” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Paling penting, tanggungjawab ditunaikan secara sedaya-upaya, sebab setiap suami akan disoal di akhirat nanti atas kegagalannya menyediakan segala keperluan rumahtangganya. Renung-renungkan!




Rujukan asal yang telah diubah-suai : Ust Badli Shah Alauddin Solusi Isu #12 dan Cik Suzana Ghazali MW#1394

1 ulasan:

  1. kesian pada isteri yg dpt suami kedekut.Ada yg menumpang saja muka tak malu..belanja isteri yg keluarkan.

    BalasPadam

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails