“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Ahad, November 28, 2010

Kaunselor Anda: Mangsa suami baran


Isteri trauma dipukul, diugut jatuh talak jika mengadu nasib

SOALAN :

Puan, saya sudah lama bersabar dengan sikap panas baran suami, termasuk suka memaki hamun. Saya tidak boleh menjawab langsung, walaupun hanya bertujuan meluahkan perasaan. Sebenarnya sejak anak kedua lahir (2004), dia sudah mula pukul, melempang dan terajang saya. Apabila marah, segala perkataan kesat dihambur walaupun ketika saya sarat hamil. Pernah saya menangis, merayu kasih sayangnya tetapi dia sebaliknya bertindak mengambil selipar tandas dan menyapu ke muka saya. Bayangkanlah betapa pedihnya hati ini.

Anak-anak turut dipukul biarpun melakukan kesalahan kecil. Saya pernah melaporkannya kepada polis tetapi menarik balik laporan itu kerana kasihankan dia. Suami saya juga suka berhutang. Terbaru, dia membuat pinjaman sebanyak RM40,000 untuk perniagaan jualan langsungnya. Dia yang buat pinjaman tetapi saya yang terpaksa mengikat perut biarpun saya bekerja. Duit simpanan saya pula banyak habis untuknya.

Saya juga pernah cuba bawa kes ke mahkamah tetapi saya tidak kuat terutama jika dia minta maaf dan berjanji tidak mengulangi perbuatannya. Saya pernah memberitahu keluarga suami, tetapi mereka tidak percaya kerana suami ialah insan yang tidak mengabaikan solat dan lemah lembut.

Namun, kesabaran sudah memakan jiwa. Semakin disorok, semakin tertekan dan sakit hati ini. Katanya, saya tak mungkin tinggalkan dia kerana tak mungkin saya dapat hidup tanpanya. Saya juga tidak boleh keluar dengan adik sendiri kerana akan jatuh talak. Begitulah juga jika saya mengadu kepada emak mentua. Saya terlalu taat padanya hinggakan kawan mendakwa saya mungkin menjadi mangsa ilmu hitam olehnya. Puan, kadang kala saya mendoakan dia cepat mati, agar saya boleh bebas. Ayah dan keluarga saya menasihati saya agar bercerai. Saya buntu kerana masih sayangkan dia. Namun, kadang kala saya rasa yang dia tak sayangkan saya. Saya amat berharap puan dapat membantu saya .

Sekadar berteduh.

JAWAPAN :

Salam buat isteri mangsa baran. Tahniah puan kerana masih berusaha mencari penyelesaian, walaupun ibarat menghidupkan api di permukaan air. Penderitaan yang puan alami ini. Bangunkanlah keyakinan bahawa setiap perkahwinan akan diuji dengan kesenangan dan kesulitan bagi membolehkan kita menilai diri dan pasangan kita.

Dalam hal ini puan sudah diizinkan melalui kesulitan dalam kehidupan suami isteri hingga sudah muak dengan masalah yang tidak ada penghujungnya akibat ketidaktentuan pendirian puan. Sesungguhnya perkahwinan adalah hadiah dari Allah, namun Allah juga bekalkan penyelesaian dan pilihan bagi yang terbabit. Sebab itulah ada mahkamah dan ada pernikahan, ada perceraian, ada rujuk dan ada talak. Peraturan ini sangat indah disediakan kerana Allah SWT tidak mahu hamba-Nya menderita, tidak mahu hamba-Nya terperangkap dalam kesengsaraan.

Ini adalah susunan Allah tapi apa yang terjadi, puan seolah-olah tidak yakin dengan ketentuan Allah dalam hidup lalu berada dalam keadaan ragu-ragu bertindak , seolah-olah merelakan diri untuk diseksa, dihina dan dipermainkan dengan layanan seperti hamba dan orang tawanan. Mengapa keadaan kejam ini boleh berlaku, tidak lain dan tidak bukan kerana puan tidak mampu membuat tindakan yang pasti untuk menyelamatkan diri!

Ini yang disebut, mendukung biawak hidup hingga ke akhir hayat. Bagaimana orang yang sedar bahawa yakin ada Allah dan jodoh pertemuan ditentukan oleh Allah dan percaya Allahlah yang mengendalikan segala-gala kehidupan kita mengikut ketentuan-Nya, tiba-tiba berasa takut kepada orang yang menyeksa hidup sendiri? Bagaimana berasa takut dengan manusia lain yang hidupnya juga juga digenggam Allah? Bagaimana orang yang yakin Allah Maha Hebat dan Maha Berkuasa kemudian takut selain Allah SWT? Pada hal Allah berpesan dengan jelas, "Maka janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepada Aku jika kamu benar-benar orang beriman." (QS Ali ’Imran :175)

Jika anda tidak memulakan langkah menyelamatkan diri, Allah SWT tidak akan ubah nasib dan angkat penderitaan kamu, yakinlah ini dengan berusaha dan bertindak serta banyak beristighfar akan menjadi pembuka kepada penyelesaian masalah yang kita hadapi.

Sikap ini dipakai oleh Ibnu Taimiyyah yang berkata, "Jika masalah yang saya hadapi mengalami kebuntuan, maka saya akan beristghfar kepada Allah SWT sebanyak 1000 kali dengan harapan dan keyakinan bahawa Allah akan membukakan jalan keluar." Sikap ini dipakai beliau kerana berpegang pada pesanan Allah, "Maka aku katakan kepada mereka, Mohonlah ampun keada Rabb-mu sesungguhnya Dia Maha Pengampun." (QS Nuh:10)

Akhir sekali saya suka mengingatkan puan, mereka yang cemerlang akan menjadikan orang lain bergantung kepadanya, bukan dirinya bergantung kepada orang lain. Ini bermakna jika anda sudah tahu apa yang patut dilakukan bagi membaiki kehidupan anda maka anda juga yang bertanggungjawab mengubahnya. Tiada orang yang akan membantu dan orang yang mahu selamat tidak akan mengharapkan orang lain datang menyelamatkannya, melainkan dia akan berusaha sendiri, mengambil keputusan berdasarkan keyakinan dan matlamat sendiri tanpa mempedulikan apa orang di luar katakan terhadap tindakan kita. Belajarlah membuat pilihan jika jelas anda tidak mampu menjadi orang tawanan seumur hidup.

Buat pilihan kerana Allah SWT tidak akan membuka jalan pada mereka yang tidak berusaha. Maka bertindaklah selagi masih ada kudrat dan umur, sekurang-kurangnya memberi pengajaran kepada suami yang bebas lepas melakukan kekejaman dan penderaan.

Jangan takut dengan solatnya sedangkan perangainya lebih ganas dari binatang ganas. Kukuhkan tanganmu berpegang pada tali Allah, kerana ia adalah tali yang paling kukuh dari semua tali yang ada di dunia ini. Dialah yang menghidup, yang mematikan dan yang memberi rezeki, lalu mengapa anda harus ada takut sesama manusia untuk bertindak dengan tidak menggantungkan hidup kepada orang lain atau mengharapkan simpati orang untuk mengubah hidup kita kerana semua yang kita mahukan hanya kita yang berhak mengusahakannya.
Wallahu'alam.




Rujukan : Kauseling bersama Dr Rubiah K Hamzah (Pakar Motivasi) di BHarian 14/06/2009

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails