Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan supaya sekolah mengadakan waktu rehat sekolah lebih awal, terutama untuk murid Tahun Satu harus diberi perhatian serius, walaupun isu ini tidak pernah dibangkitkan sebelum ini. Secara peribadi, saya merasakan cadangan ini baik dan berfaedah. Fenomena kebanyakan pelajar sekolah tidak sempat bersarapan pagi di rumah atau di mana saja bukan isu baru. Ia lama disedari kebanyakan pihak.
Tetapi kesedaran ini hanya tinggal kesedaran tanpa ada apa-apa tindakan diambil untuk mengatasinya. Implikasinya, pelajar di negara kita melalui proses pembelajaran seharian dalam keadaan perut kosong dan tidak bermotivasi setiap hari.
Mengikut ahli psikologi Abraham Maslow (1908-1970), melalui teori Hierarki Keperluan yang diperkenalkannya (1940-1950), makan minum adalah keperluan peringkat asas bagi seseorang manusia di samping tempat tinggal, rehat/tidur, seks dan seumpamanya. Tanpa memenuhi keperluan peringkat asas ini manusia tidak akan bermotivasi untuk mendapat keperluan lain.
Dalam konteks ini, secara mudah seorang pelajar yang dalam keadaan lapar tidak akan berminat untuk memberi perhatian kepada perkara lain (untuk mengikuti pelajaran contohnya) kerana motivasi dirinya pada masa ini hanya untuk mendapatkan makan dan minum bagi memenuhi keperluan yang asas ini. Ini berasaskan teorinya yang menegaskan manusia bermotivasi apabila dapat memenuhi setiap peringkat keperluan diri.
Bayangkan bertapa baiknya seorang pelajar yang dapat belajar dengan penuh minat, bermotivasi, mudah memahami pelajaran, cergas dan aktif dalam proses pembelajaran kerana mereka belajar dalam keadaan keperluan asas makan minum sudah dipenuhi.
Sebaliknya segala potensi diri yang berharga tidak dapat dipupuk oleh guru dan akan terabai begitu saja apabila mereka dipaksa belajar dalam keadaan keperluan asas makan dan minum masih lagi belum dipenuhi.
Pihak sekolah tidak boleh ambil ringan mengenainya walaupun kita tahu kebanyakan sekolah membahagikan waktu rehat kepada dua masa iaitu rehat pertama kepada tahap satu, selepas itu bagi murid tahap dua. Lazimnya waktu rehat di sekolah rendah mahu pun menengah paling awal ialah jam 10 pagi. Jika dikaji kita akan dapati ramai murid ke sekolah tanpa bersarapan terlebih dulu di rumah.
Ia disebabkan dua faktor iaitu pertama kerana murid itu sendiri tidak mengamalkan bersarapan pagi, kedua disebabkan kesibukan ibu bapa sehingga tidak sempat menyediakan sarapan untuk anak mereka. Akibatnya murid itu akan berasa lapar sewaktu berada di bilik darjah menyebabkan mereka tidak dapat memberi tumpuan kepada pembelajaran. Mereka terpaksa menunggu lebih dua jam sebelum dapat mengisi perut pada waktu rehat.
Di atas keprihatinan terhadap pelajar terbabit, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran ketika melawat sebuah sekolah rendah di Kuala Lumpur kelmarin, mencadangkan waktu rehat fleksibel diperkenalkan, sekurang-kurangnya sepanjang minggu pertama atau tempoh tiga minggu program transisi persekolahan.
Menurutnya, waktu rehat itu perlu diawalkan kepada jam 8.30 pagi atau 9 pagi agar pelajar yang belum bersarapan kembali segar untuk mengikuti pelajaran seterusnya. Sepatutnya cadangan Muhyiddin itu wajar dilaksanakan di semua sekolah sepanjang tahun tetapi mesti diurus dengan sistematik tanpa mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran. Sarapan pagi adalah amat penting tetapi ramai juga yang mengabaikannya. Mungkin elok juga kita mempopularkan semula perumpamaan Inggeris yang menyatakan makanlah sarapan seperti raja, makan tengah hari seperti putera dan makan malam seperti fakir miskin.
Sebenarnya ada alasan saintifik kepada perumpamaan ini. Menurut pakar pemakanan, selepas tidur malam selama enam hingga 10 jam, paras glukos dalam badan kita jatuh pada paras rendah. Malah ketika bangun pagi, badan kita berfungsi pada tahap tenaga yang hampir kosong kerana glukos adalah sumber tenaga badan. Mengambil sarapan akan meningkatkan semula paras glukos ini, seterusnya memenuhkan semula tahap tenaga yang diperlukan badan kita. Glukos bukan hanya penting untuk aktiviti fizikal, malah otak kita juga perlukan glukos untuk berfungsi dengan lebih tajam.
Tak salah jika laksana waktu rehat fleksibel di sekolah sepanjang tahun
Di atas sebab itu pelajar tidak bersarapan sebelum memulakan pelajaran akan lebih sukar memberikan perhatian kepada pelajaran kerana otak mereka ketika itu kehabisan tenaga untuk berfungsi dengan sempurna. Seelok-eloknya ibu bapa yang tidak berkesempatan menyediakan sarapan, membekalkan saja roti dan susu kepada anak mereka untuk dibawa ke sekolah dan dimakan sebelum pelajaran bermula. Jika ini pun tidak dapat dilakukan, elok juga cadangan Muhyiddin itu dilaksanakan segera.
Justeru, cadangan ini harus diambil serius dan dilaksanakan segera dengan cara mengubah suai jadual pengajaran dan pembelajaran bagi memastikan semua murid mendapat keperluan asas makan minum sebelum mereka memulakan proses pembelajaran. Saya yakin jika perkara ini dapat dilaksanakan dengan penuh kesedaran oleh semua warga pendidikan, bidang pendidikan negara akan mampu melahirkan warga negara yang lebih berjaya, maju dan sejahtera di masa akan datang.
Petikan : BHarian 06/01/2012 ~ Minda Pengarang dan BHarian 06/01/2012 ~ surat.
“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”
“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”
Jumaat, Januari 06, 2012
Sekolah perlu laksana segera rehat awal
Susunan :
Bawang Goreng
pada
1/06/2012 10:18:00 PG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...