“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Jumaat, Mei 30, 2008

Poligami: Jangan Salah Guna Agama!


Assalamualaikum warahmatullah,

Saat blog ini ditulis, saya tak update dengan kisah 'Bang Mat' dan permohonan berpoligami kali keempatnya. Biarlah mahkamah yang timbang tara seadil-adilnya, sebelum memberi keizinan untuk berkahwin lagi. Memang jika dibincang-bincangkan kisah poligami, banyak yang mencetus kontroversi/sensasi. Selalunya yang lelaki sekeras-kerasnya akan mempertahankan hak mereka. Yang wanita pula, rata-rata ramai yang membangkang.

Saya amat tertarik dengan artikel dari Dr. Juanda, kali ini. Bagus untuk membeliakkan mata lelaki, sejarah, asal-usul, sunnah dan hakikat sebenar poligami. Kenyataan inilah yang selalu dipandang 'sepi' oleh golongan lelaki. Wahai lelaki, janganlah terlalu mendabik dada dengan kelebihan yang Allah SWT kurniakan. Bersyukurlah dengan apa yang ada dalam genggaman anda...

Biasanya, pelbagai alasan diberi suami supaya isteri memberi izin untuk berpoligami, salah satu alasan yang paling ‘menakutkan’ isteri adalah, “tolong abang bertaubat daripada dosa berzina.” Sesungguhnya, sunah Nabi tidak pernah menzalimi kaum wanita, tetapi jangan disalah-guna, buruk padahnya!

Memahami isu poligami bukan semudah yang kaum lelaki fikirkan. Ayat-ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW memang tiada kesilapan dan tetap relevan sepanjang zaman. Yang tersalah faham adalah kaum lelaki yang tidak mengerti hukum agama. Isu poligami ini harus dilihat dan ditimbangkan dari pelbagai sudut. Jadi, jangan cuba memahami ayat al-Quran melalui tafsiran tekstual sahaja kerana diburu nafsu syahwat!

Pada kebiasaannya, suami akan mencari pelbagai alasan untuk melaksanakan hajatnya. Jadi diharapkan para isteri telah pun bersedia untuk membukam maksud suami itu agar ia tidak layak meneruskan hajatnya jika dikhuatiri suami tidak adil atau akan membawa kesengsaraan kepada keluarga sedia ada.

Ketika suami memujuk isterinya agar bersetuju, dia akan katakan nasi sudah menjadi bubur, “ini takdir saya dan awak!” Tetapi ingatlah, selagi poligami belum terjadi, jangan sekali-kali anda menyerah. Kerana jika anda menggagalkan rancangan suami yang hendak berpoligami, ia juga termasuk dalam ketentuan takdir. Bagaimana mungkin suami anda tahu takdirnya, sedangkan takdir adalah rahsia Allah SWT?

Apapun niat dan tujuan suami dan jika perkahwinan kedua suami berlangsung juga, pastikan anda dan anak-anak tidak menjadi mangsa poligami. Suami mesti tetap bersikap seperti sebelum perkahwinannya yang kedua, iaitu suami yang mithali terhadap anda dan ayah yang bertanggungjawap terhadap anak-anaknya. Pastikan juga kebajikan anda dan anak-anak tidak diabaikan sama sekali.

Alasan untuk berpoligami sebenarnya senang dicari dan beribu lagi alasan boleh diberi jika sudah amat terdesak. Memang segala cara dihalalkan tetapi hakikatnya, kita hendaklah kembali kepada satu matlamat asal.

Apa matlamat sebenar agama Islam membolehkan poligami?

Mengapa Rasulullah SAW berbilang isteri?

Para orientalis yang membenci Islam telah mereka-reka sejarah dan menyebarkan fitnah keji kepada diri Baginda Rasulullah SAW. Namun demikian para pengkaji sirah Rasulullah SAW telah menemukan fakta tentang kesucian Rasulullah SAW. Jika para suami mahu meneliti perkahwinan Rasulullah SAW dengan isteri-isterinya itu, pasti ramai yang tidak sanggup untuk mengikuti sunah baginda ini.

Tujuan Menolong

Rasulullah SAW berkahwin dengan Khadijah selama lebih 25 tahun tanpa ada wanita lain sepanjang hayat Khadijah. Apabila puteri-puteri Rasulullah SAW telah berumahtangga kecuali Fatimah dan selepas Khadijah wafat, barulah baginda mencari penggantinya. Itupun seorang janda tua bernama Saudah binti Zam’ah yang tidak mempunyai keinginan lagi. Tiga orang isteri Nabi yang lain Ummu Salamah (mempunyai ramai anak), Zainab binti Khuzaimah (wafat setelah berkahwin selama tiga bulan), Maimunah al-Hilaliyah, mereka semua adalah wanita tua dan miskin yang dikahwini kerana tujuan menolong bekas isteri para sahabat Rasulullah SAW yang telah gugur syahid. Ketika itu umat Islam hidup dalam kesusahan, ditindas dan tertekan. Ramai wanita yang menjadi janda selepas Peperangan Badar dan Uhud. Rasulullah SAW memberi teladan supaya kaum lelaki yang kuat sudi menolong para janda yang miskin ini menjadi anak-anak yatim mereka.

Syarat Berat

Zaman moden kini, masih adakah lelaki yang mahu berpoligami dengan wanita tua yang miskin dan beranak ramai? Yang tidak dapat memberi kepuasan seksual lagi? Masih adakah kiranya hati lelaki yang suci seperti baginda dan para sahabatnya? Jadi, jangan salah guna agama ini untuk kepentingan peribadi!

Isteri-isteri baginda yang lain seperti Aisyah dan Hafsah (janda) adalah anak Abu Bakar dan Umar, Ummu Habibah (janda) adalah anak Abu Sufyan. Mereka adalah anak-anak bangsawan Quraisy yang menjadi nadi bagi pembangunan agama Islam. Safiyah (janda) pula anak ketua Yahudi Bani Nadhir. Rasulullah SAW telah memenangi Perang Khaibar dan mengalahkan Yahudi. Safiyah telah jatuh sebagai tawanan perang, seorang sahabat bernama Dahiyah al-Kalbi telah diberi izin oleh Baginda untuk mengambil Safiyah yang telah dua kali menjanda untuk dijadikan hamba sahaya. Tetapi para sahabat melarang baginda berbuat demikian kerana Safiyah adalah wanita yang paling tinggi kedudukannya antara kaumnya. Untuk mengembangkan dakwah, para sahabat mendesak Rasulullah SAW untuk menjadikannya sebagai isteri.

Juwairiyah (janda) adalah anak ketua Bani Mustaliq yang kafir dan menentang Islam terapi disebabkan Rasulullah SAW memuliakan anak perempuannya, seluruh kaumnya telah masuk Islam. Maryah Qibtiyah adalah wanita hadiah dari Raja Mesir, Maqauqis. Tujuan baginda mengahwini puteri-puteri orang kenamaan adalah untuk meluaskan dakwah dan menarik keluarga mereka masuk Islam. Ini terbukti setelah anak mereka berkahwin dengan Rasulullah SAW, ramai daripada kaum kereka yang memeluk Islam, membela dan menjaga agama Allah. Tujuan sebenar dari perkahwinan itu adalah motif politik dan dakwah.

Sungguh berat syarat bagi suami yang mahu berpoligami. Dia mestilah seorang yang kuat zahir dan batin, adil dan mampu. Yang memiliki iman dan ilmu yang mendalam, amal dan akhlak yang mulia dan harta berlebihan. Yang mengharap reda Allah dan Rasul-Nya, bukan demi melampiaskan nafsu syahwat yang jijik, bukan untuk menhancurkan anak-anak dan keluarga sedia ada. Menzalimi hak isteri, merampas hartanya dan menghancurkan masa depan anak-anak, semuanya adalah dosa. Jangan salah guna agama! Para wanita pula jangan ingkar hukum Allah SWT dengan mengatakan bahawa Islam menzalimi anda dengan adanya hukum poligami ini agar tidak disalahguna lelaki yang tidak bertanggungjawap.

Tanggungjawab berat

Oleh Murni Wan Omar, murni@hmetro.com.my, Sumber: HMetro 20/05/2008

KUALA LUMPUR: “Persetujuan sahaja tidak mencukupi tetapi ada syarat lain perlu dipenuhi,” kata peguam syarie, Akhbardin Abdul Kader berhubung tindakan pemandu lori, Mohamed Nor Awang, 57, yang sudah memiliki tiga isteri dan mahu berkahwin kali keempat.

Akhbardin berkata, berkahwin lebih daripada satu bukan setakat memenuhi kuota lelaki, tetapi perlu disertakan tanggungjawab berat untuk berlaku adil dari segi zahir dan batin.

“Mengikut hukum syarak, lelaki dibolehkan berkahwin lebih dengan syarat mendapat persetujuan, isteri mempunyai penyakit atau tidak boleh melahirkan anak, mampu dari semua segi termasuk kewangan selain mampu berlaku adil. Jika tidak mempunyai sebab bagaimana mahkamah mahu benarkan? Adil bukan sahaja dari segi kewangan tetapi giliran, kasih sayang dan keperluan perlu diberi sama rata dengan semua isteri, tidak boleh kurang,” katanya. Sebelum ini ada golongan berpangkat tinggi yang mahu berkahwin lagi tetapi tidak dibenarkan mahkamah kerana walaupun mampu dari segi kewangan tetapi pihak lelaki tidak mempunyai bukti atau sebab berbuat demikian.

“Jangan membandingkan kita dengan Rasulullah SAW kerana baginda berkahwin dengan wanita yang sudah janda atau kematian suami akibat perang.Melihat kepada kes Mohamed Nor, kita sendiri ragu dengan kemampuan dia menjalankan peranan sebagai suami dari segi usia dan kemampuan. Ia seolah-olah salah guna kuasa seorang lelaki sebagai suami,” katanya.

Akhbardin berkata, mengikut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam, mendapat persetujuan daripada tiga isteri yang lain tidak bermakna permohonan berkahwin seorang lagi akan mendapat kelulusan 100 peratus daripada mahkamah.

“Saya bersetuju dengan keputusan hakim dalam kes itu yang sudah membuat penelitian terhadap kelayakan dan kemampuan Mohamed Nor sebelum meluluskan permohonannya selain meminta dia memberi keterangan tambahan bagi membuktikannya. Mungkin isteri yang lain bersetuju untuk membantu tetapi kita tidak tahu masa depan mungkin boleh terjadi sebaliknya. Keluarga boleh porak-peranda kerana keadaan ini dan kasihan kepada anak-anak yang tidak bersalah,” katanya.

Harian Metro semalam, melaporkan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu, meminta Mohamed Nor mengemukakan saksi bagi menyokong keterangannya untuk berkahwin kali keempat.

Perintah itu dikeluarkan selepas mahkamah tidak berpuas hati dengan keterangan Mohamed Nor berhubung status kewangan serta alasan kukuh untuk berkahwin kali keempat selepas mempunyai tiga isteri. Mohamed Nor yang mempunyai 18 anak bersama tiga isterinya, Wan Rukiah Mat Yusoff, 52, Kalthum Dollah, 39, dan Noraini Daud, 40, kini dalam proses perbicaraan permohonan kebenaran berpoligami untuk mengahwini kerani, Suzi Sulong, 34, sebagai isteri keempat.

Hadis pilihan dari JAKIM:

Hak tanggungjawab Dan Peranan Suami


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang memberi nafkah kepada isterinya, anaknya dan ahli keluarganya, maka ia (iaitu nafkah) yang diberikan adalah sedekah.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Huraian:

1. Dalam institusi perkahwinan Allah SWT telah mengamanahkan tanggungjawab tertentu kepada suami dan isteri.

2. Pemberian nafkah oleh suami terhadap keluarga merupakan satu amanah yang mesti ditunaikan di mana nafkah tersebut merangkumi perbelanjaan makan minum, tempat tinggal, keselamatan dan perlindungan.

3. Pemberian nafkah adalah mengikut kemampuan seseorang.

4. Kaum wanita tidak diwajibkan bekerja mencari nafkah. namun Islam membenarkan mereka keluar bekerja demi membantu mengurangkan beban yang ditanggung oleh suami. Sumbangan isteri ini merupakan satu sedekah yang akan dibalas dengan ganjaran yang besar oleh Allah SWT.

Suami Yang Bertanggungjawab

Saad bin Abi Waqas r.a. menceritakan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: “Nafkah (infak) yang kamu berikan semata-mata kerana Allah nescaya diberi pahala oleh Allah; bahkan apa yang kamu berikan untuk makanan isteri kamu (perbelajaan rumahtangga) akan diberi pahala juga oleh Allah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Huraian:

Perkahwinan dalam Islam bukan sekadar untuk memenuhi tuntutan biologi terhadap satu sama lain, malah satu daripada tanda kekuasaan dan kebesaran Allah Yang Maha Esa (Surah ar-Rum, ayat 21). Iaitu kekuasaan-Nya menyatukan dua makhluk yang berlainan jantina serta mempertautkan hati kedua-duanya dengan ikatan kasih mesra. Maka, suami yang baik ialah yang menyayangi serta melindungi isterinya dari perkara berbahaya atau memudaratkannya.

Suami ialah ketua keluarga yang bertanggungjawab memastikan isterinya memperoleh keperluan hidup seperti tempat tinggal, makanan dan pakaian yang secukupnya. Suami juga hendaklah membimbingnya agar selamat daripada api neraka. Firman Allah bermaksud: "Kaum lelaki itu ialah pemimpin dan pengawal yang bertanggunjawab terhadap kaum perempuan, oleh sebab Allah melebihkan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain, dan juga kerana orang lelaki telah memberi nafkah daripada harta mereka..." (Surah an-Nisaa', ayat 34)

Renung-renungkan!


0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails