Sayyid Qutub berkata: “Ayat-ayat yang lepas telah menjelaskan asas amalan sedekah dan di atas asas-asas inilah ditegakkan amalan sedekah dan dari asas-asas inilah terbitnya amalan sedekah. Asas-asas inilah yang menghendaki agar pemberian sedekah itu dilakukan dengan harta yang paling baik.
“Ia tidak seharusnya dilakukan dengan harta yang kurang mutunya atau harta yang tidak baik yang tidak disukai oleh tuan punya sendiri. Andainya harta yang tidak baik ini dikemukakan kepadanya dalam satu akad jual beli tentulah dia tidak mahu menerimanya kecuali dengan menurunkan harganya. Allah SWT adalah Maha Kaya dari menerima harta sedekah yang tidak baik dan buruk”.
Firman Allah SWT: Hai orang-orang yang beriman, nafkahkanlah (di jalan Allah) sebahagian dari hasil usahamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu.
Ibnu Jauzi mengatakan, sebab turun ayat ini ada dua pendapat:
Pertama: Golongan Ansar mula mendapat hasil tanaman buah kurma yang lebih nescaya ia membawa ke masjid dan menggantungkannya supaya dimakan oleh orang fakir Muhajirin sehingga turunnya ayat ini seperti pendapat al-Bara’ bin ‘Azib.
Kedua: Bahawa Nabi perintah dengan zakat fitrah, tiba-tiba datang lelaki dengan tamar yang buruk lantas turunnya ayat ini. Inilah pendapat Jabir bin Abdillah.
Maksud nafkah di sini terbahagi kepada dua pendapat:
Pertama: Sedekah yang wajib seperti kata Ubaidah al-Salmani.
Kedua: Sedekah yang sunat.
Adapun berkenaan dengan maksud baik dengan dua pendapat:
Pertama: Yang baik pada lagi bernilai seperti pendapat Ibn Abbas.
Kedua: Yang halal seperti pendapat Abu Ma’qal.
Ibnu Kathir berkata: “Allah SWT perintahkan hamba-hambanya beriman supaya berinfak. Dimaksudkan di sini ialah dengan bersedekah daripada harta yang diusahakan atau buah-buahan dan tanaman dengan memilih yang terbaik kerana Allah tidak terima kecuali yang baik”.
Sayyid Qutub berkata, ia adalah satu seruan umum kepada orang-orang yang beriman di setiap zaman dan dalam setiap generasi. Ia meliputi segala harta kekayaannya yang dapat dicapai oleh daya tenaga; ia meliputi segala hasil pendapatannya dari pencarian yang halal dan baik.
“Ia meliputi segala hasil bumi yang dikeluarkan Allah untuk mereka seperti hasil-hasil pertanian dan bukan pertanian termasuk logam-logam dan minyak petrol. Oleh sebab itulah nas ini meliputi segala jenis harta sama ada harta yang diketahui di zaman Rasulullah atau harta yang baru diketahui (selepas zaman baginda).
“Nas ini tetap meliputi dan merangkumi segala jenis harta, tiada satu harta yang baru ditemui di mana-mana zaman terlepas dari nas ini. Semuanya diwajibkan zakat mengikut nas ini. Adapun kadar-kadar zakat (yang wajib dikeluarkan) maka ia telah dijelaskan oleh al-Sunnah berdasarkan jenis-jenis harta yang terkenal di zaman itu dan di atas kadar-kadar dan dengan jenis-jenis harta inilah diqiaskan dan dihubungkan jenis-jenis harta yang lain yang baru ditemui,” katanya.
Ada beberapa riwayat mengenai sebab diturunkan ayat ini dan tidak mengapa disebutkan di sini untuk menghadirkan hakikat kehidupannya yang dihadapi oleh al-Quran (di zaman itu) dan hakikat usaha yang dicurahkan oleh al-Quran untuk mendidik dan mengangkatkan jiwa manusia ke tahapnya yang wajar.
Ibn Jarir meriwayatkan dengan isnadnya daripada al-Bara’ bin ‘Azib r.a katanya: “(Ayat ini) diturunkan kerana orang-orang Ansar. Dahulu kebiasaan orang-orang Ansar apabila tiba masa memotong buah-buah kurma mereka mengeluarkan dari kebun-kebun mereka tamar-tamar muda yang belum masak lalu mereka gantungkannya di atas tali yang direntangkan di antara dua tiang di masjid Rasulullah SAW.
“Kemudian dimakan oleh orang-orang Muhajirin yang miskin, tetapi ada seorang lelaki sengaja memilih buah-buah tamar yang paling rendah mutunya lalu dimasukkannya bersama tandan tamar yang muda itu dengan anggapan harus membuat begitu”.
Firman Allah SWT: Dan janganlah kamu memilih yang buruk-buruk lalu kamu menafkahkan daripadanya.
Sayyid Qutub berkata: “Begitu juga hadis ini telah diriwayatkan oleh al-Bara’ dan katanya: Hadis ini adalah sahih mengikut syarat Imam al-Bukhari dan Muslim, tetapi keduanya tidak mengeluarkan hadis ini.
Ibn Abi Hatim pula meriwayatkan hadis ini dengan isnadnya dari satu saluran yang lain daripada Al-Bara’ r.a katanya: “Ayat ini diturunkan kerana kami, kami adalah tuan-tuan kebun kurma. Setiap orang membawa (mengeluarkan) buah kurmanya (untuk sedekah) mengikut banyak atau sedikitnya. Ia membawa dengan tandanya sekali lalu digantungkannya di dalam masjid. Pada masa itu ahli-ahli al-Suffah tidak mempunyai makanan.
“Apabila seseorang dari mereka merasa lapar dia datang ke tempat itu dan memukul tandan itu dengan tongkatnya lalu gugurlah buah-buah tamar muda dan tamar yang masak dan ia pun memakannya. Di waktu itu ada orang dari kalangan mereka yang tidak suka membuat kebajikan membawa tandan buah-buah tamar yang paling baik dan buah-buah tamar yang rendah mutunya. Ia membawa tandan tamar yang telah patah lalu digantungkannya (di dalam masjid) oleh itu turunlah ayat”.
Firman Allah SWT: Padahal kamu sendiri tidak mahu mengambilnya melainkan kamu menurunkan harganya.
Al-Bara’ berkata: “Jika seseorang dari kamu dihadiahkan dengan buah kurma seperti yang diberikannya itu tentulah dia tidak akan menerimanya kecuali kerana mengambil mudah atau kerana malu. Selepas itu setiap orang dari kami membawa buah tamar yang baik yang ada padanya”.
Firman Allah SWT: Dan Ketahuilah, bahawa Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.
Al-Maghari berkata: “Ketahuilah sesungguhnya Allah kaya dan tidak perlu kepada infak kamu. Tetapi ia memerintahkan kamu dengannya bagi manfaat kamu sendiri. Justeru jangan kamu mendekatkan sedekah kamu kepadanya dengan apa yang tidak diterima daripada keburukan kerana ia adalah yang berhak bagi segala kepujian atas kesempurnaan nikmatnya”.
Sumber: Utusan 02/05/2008
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...