Assalamualaikum warahmatullah,
Beberapa hari ini dalam minggu ini, di grup yang saya sertai 'bising' dengan perbincangan satu klausa yang julung-julung kalinya saya dengar, iaitu, "syurga isteri di bawah tapak kaki suami". Muahahaha... Tergelak saya baca kenyataan yang pada kiraan saya tidak berasas sama sekali.
Rata-rata, lelaki (yang sudah bergelar suami) sangat taksub mempertahankan ayat ini walaupun GAGAL memberikan dalil/nas/hadis yang berkaitan dengannya. Saya pula tidak mungkin terpedaya dengan ayat ini kerana bagi saya, apa ke JADAHNYA syurga isteri di tapak kaki suami?
Kita tentu pernah dengar "syurga seorang anak itu di bawah tapak kaki ibu". Syurga itu dikatakan terletak di bawah tapak-tapak kaki para ibu ada diterangkan melalui hadis yang diriwayatkan dari Ibn 'Abbas dan Anas r.a. Ada juga yang mengatakan sanad hadis ini dikatakan sebagai dhaif dan hasan. Sebab apa syurga dikatakan terletak di bawah tapak kaki ibu? Bukanlah syurga itu letaknya di bawah tapak kaki ibu kita, jangan pula ada yang sibuk belek tapak kaki ibu masing-masing (eh.. eh.. tak adapun syurga….?), tapi ia adalah perumpamaan yang menunjukkan betapa agung/tingginya darjat seorang yang bergelar ibu.
Pada zaman Rasulullah SAW, baginda ditanya oleh seorang pemuda, “Siapakah orang yang paling perlu untuk saya berbuat baik?” Rasulullah menjawap, “Ibumu.” Bertanya pemuda itu lagi, “Selepas itu?” Rasulullah menjawap, “Ibumu. Selepas itu, ibumu, selepas itu, bapamu.” Ada juga pendapat mengatakan dua pertiga daripada khidmat bakti anak adalah untuk ibu dan hanya satu pertiga untuk bapa. Terutama apabila ibu sudah lanjut usia. Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya, “Redha Allah bergantung pada redha dua ibu bapa dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa.” (Hadis riwayat al-Hakim)
Dalam kes jika seseorang itu masuk Islam tetapi ibunya tidak mahu masuk Islam, syurga anak itu tetap di bawah tapak kaki ibunya walaupun ibunya seorang kafir. Anak dituntut berbuat baik kepada ibunya seperti mana suruhan agama, selagi dia tidak syirik, untuknya syurga akhirnya atau awal (lepas dari neraka) walaupun ibunya itu tidak mungkin ke syurga.
Cukup cerita tentang "syurga seorang anak itu di bawah tapak kaki ibu" sebab fokus saya yang sebenarnya adalah pada klausa "syurga isteri di bawah tapak kaki suami". Saya tidak pernah menjumpai mana-mana nas yang mengatakan yang syurga itu di bawah tapak kaki suami. Siapalah agaknya orang yang mencipta frasa tersebut dan diriwayatkan berterusan sehingga boleh dijadikan hujah dalam bual bicara atau perbincangan. Adakah ia sebenarnya hadis palsu?
Besar kemungkinan ramai yang tersasar tafsir dengan satu hadis yang berbunyi, sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sekiranya aku (boleh) menyuruh manusia menyembah manusia nescaya aku akan menyuruh isteri menyembah suaminya." (Hadis riwayat Abu Daud)
Ramai yang tersalah anggap syurga isteri letaknya di tapak kaki suami, kerana tersilap tafsir hadis di atas. Rasanya lebih elok saya rephrase klausa "syurga isteri di bawah tapak kaki suami" kepada klausa yang lebih enak mata memandang, lunak telinga mendengar iaitu, "syurga isteri itu adalah apabila dia taat kepada suaminya".
Islam telah menggariskan peranan suami dan isteri dengan jelas di mana suami mestilah bersedia untuk mentadbir rumah tangga dan isteri pula mestilah bersedia untuk mentaati perintah suami. Ketaatan isteri berkait rapat dengan keperibadian suami di mana kuasa suami bukan terletak pada kekuatan fizikalnya tetapi terletak pada iman, ilmu dan kesabarannya.
Dengan demikian barulah kepimpinannya menjadi lebih mantap dan dihormati isteri. Kunci kerukunan rumahtangga adalah persefahaman antara suami isteri. Walaupun isteri diwajibkan untuk mentaati suaminya, dia masih boleh memilih untuk tidak taat (engkar), sekiranya suami menyuruhnya melakukan sesuatu yang bertentangan dengan syarak seperti menyuruhnya kepada perkara-perkara yang mungkar dan kemaksiatan. Bermakna tidak semua suruhan suami perlu ditaati/dipatuhi.
Menurut Datuk Abu Hasan Din Al-Hafiz pula [artikel Wanita wajib taat suami selagi tak langgar syarak dalam BH 5 Mac 08], seorang isteri perlu taat kepada suami kerana wujudnya ikatan pernikahan, walau bagaimanapun tanggungjawab itu bukanlah mutlak tanpa batas sempadan. Antara syarat yang mewajibkan isteri mentaati suami ialah suami juga perlu menjalankan sepenuhnya tanggungjawabnya terhadap isteri. Segala hak dan tanggungjawab saling bertimbal balik. Hak isteri adalah tanggungjawab suami. Sementara hak suami pula adalah tanggungjawab isteri. Antara lain yang mewajibkan isteri mentaati suami adalah arahan yang diberi suami tidak bertentangan dengan Islam. Jika arahan suami bertentangan dengan ajaran Islam, arahan itu bukan saja tidak wajib dipatuhi, malahan suami patut diperbetulkan dengan cara bijaksana.
Status suami juga tidak menjadikan dia mempunyai kuasa veto. Maknanya isteri juga berhak bersuara memberikan pendapat dan keputusan. Suami juga manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan dosa; dosa terhadap Allah SWT, dosa kepada ibu bapa, dosa kepada isteri serta dosa sesama makhluk.
Islam adalah agama yang paling mementingkan hak. Bila ada suami yang tidak menunaikan tanggungjawabnya, mengabaikan hak isterinya, maka ianya satu dosa. Bukan dosa sebagai suami, tetapi dosa sebagai seorang yang khianat terhadap apa yang diamanahkan kepadanya. Dosa ini adalah antara suami dengan tuhannya.
Dalam Al-Quran, sangat jelas, Allah telah memartabatkan darjat kaum hawa. Meskipun hak menceraikan diberi kepada suami, tetapi sistem munakahat ada menyediakan hak-hak wanita. Isteri boleh merujuk kepada pejabat kadi, sekiranya diri dianiaya, disiksa atau diabaikan oleh suami. Oleh kerana mempunyai tanggungjawab yang amat berat, suami lebih mudah melakukan kesalahan terhadap isteri berbandingkan isteri kepada suami. Tidak menyempurnakan tanggungjawab sebagai seorang suami tanpa keredhaan isteri, itu sudah melakukan kesalahan (saya gunakan istilah kesalahan kerana tidak dapat mengemukakan nas mengatakan ianya satu dosa dan untuk mengelakkan saya menjadi seorang penghukum. Sila rujuk ustaz/ustazah yang lebih arif tentang perkara ini).
Setiap wanita Islam hendaklah menyedari tentang hak-haknya yang telah digariskan oleh syarak agar tidak berlaku kekeliruan dalam mentaati suami sehingga menjadi mangsa penderaan oleh suami yang tidak bertanggungjawab. Oleh itu seorang isteri yang solehah adalah yang mencakupi erti kata wanita yang berilmu dan beriman. Dengan demikian rumah tangga akan sentiasa aman dan bahagia.
Kepada yang taksub sangat dengan status anda sebagai suami, beringat-ingatlah, “Isteri bukanlah hak milik tetapi isteri adalah anugerah.” Mungkin ada baiknya anda mentelaah entry wahai-suami-layanilah-isterimu-dengan-baik.
Atas klausa "syurga isteri di bawah tapak kaki suami" inilah, seorang suami yang taksub dengan status/darjatnya yang pada fikirannya sangat mulia/tinggi telah mengeluarkan kenyataan, yang lebih kurang bermaksud, “Isteri kena taat pada suami kerana syurga isteri di bawah tapak kaki suami. Walau apapun yang berlaku, isteri tidak boleh meminta cerai kerana isteri yang bercerai dengan suaminya adalah isteri yang derhaka. Derhaka kepada suami bermakna derhaka kepada Allah. Derhaka kepada hukum Allah (tidak percaya) dan enggan tunduk terhadap segala hukum hakamnya itulah sebenar-benarnya derhaka kepada Allah. Orang yang derhaka (tidak percaya) dan enggan tunduk kepada hukum Allah itu salalah seperti syaitan iblis yang enggan tunduk kepada suruhan Allah dan tiada tempat bagi syaitan dan pengikutnya selain neraka!”
Aduhai... dalam ertikata lain, isteri kepada suami HAPRAK (yang kaki-tangannya tidak bertanggungjawap dalam segala segi atau seorang yang kaki perempuan, kaki mabuk, kaki pukul, kaki hutang, kaki pembelit dan macam-macam kaki lagi) tiada hak untuk menentukan hala tuju sendiri kerana tidak boleh bercerai atas sebab jatuh derhaka. Begitulah agaknya maksud suami yang taksub ini. Wahai suami yang taksub, sekiranya anda terbaca bebelan saya kali ini, tak perlu anda menuduh isteri/bekas isteri anda derhaka. Cuba anda teliti hadis di bawah. Ingatlah, menghukum (atau menjatuhkan hukum) bukanlah kerja kita. Janganlah kita sibuk mengambil alih kerja Allah SWT.
Hadis 1
Dari Ibn Abbas r.a., Rasulullah Shallallaahu 'alaihi wasallam pun pernah ingin menjadi perantara dan penolong seorang suami yang sangat mencintai isterinya untuk tetap mempertahankan isteri yang dicintainya dalam ikatan pernikahan dengannya. Namun si isteri enggan dan tetap memilih untuk berpisah, sebagaimana kisah Mughits dan Barirah. Barirah adalah seorang sahaya milik salah seorang dari Bani Hilal. Sedangkan suaminya Mughits adalah seorang hamba berkulit hitam milik Bani Al Mughirah. Barirah pada akhirnya merdeka, sementara suaminya masih berstatus hamba. Dia pun memilih berpisah dengan suaminya diiringi kesedihan Mughits atas perpisahan itu.
Ibn Abbas r.a. menceritakan: "Suami Barirah, iaitu seorang hamba berkulit hitam, beliau dipanggil Mughits. Aku melihat Mughits berjalan di belakang Barirah sambil berlinangan air mata sehingga air matanya membasahi janggutnya."
Rasulullah Shallallaahu 'alaihi wasallam berkata kepada pakcik baginda, Al Abbas Radiyallahu 'anhu : "Wahai pakcik, tidakkah engkau merasa takjub dengan rasa cinta Mughits pada Barirah dan rasa benci Barirah terhadap Mughits?"
Nabi Shallallaahu 'alaihi wasallam berkata kepada Barirah, "Seandainya engkau kembali kepada Mughits?"
Barirah bertanya kepada baginda, "Wahai Rasulullah, apakah engkau memerintahkan aku?"
"Tidak, kata Rasulullah, "Akan tetapi aku hanya ingin menolongnya."
"Aku tidak memerlukannya," jawab Barirah. (Hadis Sahih Riwayat Al-Bukhari)
Nah! Ada Rasulullah kutuk Barirah seorang isteri yang derhaka?
Hadis 2
Dalam hadis Abdullah bin Abbas r.a., beliau meriwayatkan bahawa isteri Thabit bin Qays datang menemui Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah, saya bukanlah memandang aib dan rendah pada akhlak dan agama suami saya, tetapi saya tidak mahu hidup dalam keadaan kufur sebagai seorang Islam (akibat tidak menyenangi suami).” Sabda Rasulullah SAW, “Apakah kamu mahu mengembalikan kepada suami kamu ladang kurmanya (yang menjadi mas kahwin kamu dahulu)? Jawabnya, “Ya, saya bersedia.” Lalu baginda menyuruh Thabit bin Qays dengan bersabda, “Ambillah ladang kurma itu dan talakkan dia dengan satu talak.” (Hadis riwayat al-Bukhari, al-Nasaie dan Ibnu Majah)
Nah! Ada tak Rasulullah tempelak isteri Thabit bin Qays seorang isteri yang derhaka?
Dalam Islam, perempuan diberi hak yang sama rata dengan lelaki. Begitu juga dalam perkahwinan. Meski pun talak di tangan lelaki, namun isteri masih punya hak untuk memilih perceraian. Dan sudah berkali-kali saya gunakan entry [isteri-ada-hak-ceraikan-suami] nukilan salah seorang favorite saya, Dr Hj Juanda.
Saya tahu, seorang suami yang taksub (jangan sampai orang kata sudahlah MENGONG, sombong pulak tu!) takkan setuju dengan entry ini, tak mengapalah. Memang payah kita nak mengubah-manusia.
Semoga kita diberi taufik dan hidayah oleh-NYA. Amiin.
Capaian entry berkaitan :
“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”
“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”
Jumaat, November 21, 2008
Syurga di tapak kaki?
Susunan :
Bawang Goreng
pada
11/21/2008 01:19:00 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Bagi saya la, kalau ada prasa kata syurga di bawah tapak kaki, tak kira tapak kaki siapa frasa tu tak tepat. Syurga tu tinggi darjatnya, apa ker pulak nak letak bawah tapak kaki..cis.
BalasPadamkut iya pun nak beretorika, retorik tapak kaki tak patut di gandingkan dengan surga.. takut tak merasa kita pijak jannah nanti. Berpada-pada shja lah. Allahuaklam.