Setiap kesusahan yang ditimpakan ke atas manusia bukan ujian semata-mata tetapi juga untuk mendekatkan kita dengan-Nya.
DALAM kehidupan seharian, kita tidak boleh lari daripada menghadapi masalah. Kebiasaannya timbul akibat daripada pelbagai punca sama ada kerana diri sendiri atau orang lain.
Allah menegaskan dalam firmannya yang bermaksud: 'Allah meringankan bagi mu peraturan-peraturan agama dan manusia itu dijadikan bersifat lemah' (Surah al-Nisa':8). Perlakuan manusia yang menghadapi masalah berkaitan dengan pelbagai tindakan seperti kurangnya rasa sabar dalam diri, sentiasa gopoh gapah, suka bantah-membantah serta menyalahkan satu sama lain, rasa putus asa, tidak wujud rasa syukur, manusia mudah lupa dan sebagainya.
Beberapa kaedah penyucian jiwa kita perlu lakukan di mana sebahagiannya memang telah menjadi amalan sebahagian umat Islam saban hari. Antara amalannya seperti:
- Solat wajib dan solat sunat (solat Tahajud, solat Taubat, solat Hajat, solat Tasbih atau solat Awwabin).
- Puasa wajib dan puasa sunat.
- Mengeluarkan zakat (fitrah dan harta benda).
- Menunaikan haji.
- Membaca al-Quran (Jika tidak memahami, baca maknanya).
- Berzikir dalam bentuk perkataan dan hati.
- Bertafakur.
- Sentiasa mengingati mati dan hari akhirat.
- Muhasabah diri.
- Jihad, selalu amalkan perkara baik amar makruf dan jauhi kerja buruk nahi mungkar.
- Tawaduk' dan sifat qanaah (berpada-pada).
- Ketahui dan sedari cara menghalang godaan syaitan dalam jiwa.
- Ketahui cara menghindar penyakit hati.
Sebagai contoh, dengan melakukan solat-solat sunat, hikmahnya adalah boleh membimbing untuk pembentukan kecemerlangan diri atau insan kamil, dapat membina personaliti dan tingkah laku mulia.
Boleh mendekatkan diri dan menjalin hubungan dengan Allah. Membersihkan diri dari sifat keji dan buruk. Praktik yang baik untuk pengurusan masa. Melatih diri untuk berakhlak atau berdisiplin dan bermoral dan melatih diri untuk memberi tumpuan kepada sesuatu perkara.
Dengan menjalani ibadah puasa, hikmahnya adalah seperti:
- Menjadi benteng kepada godaan syaitan atau iblis dan perisai terhadap kejahatan.
- Latihan untuk mendisiplinkan diri.
- Memupuk sikap sabar.
- Mewujudkan rasa insaf.
- Menimbulkan kekuatan untuk menundukkan nafsu.
Dengan berzikir, berdoa dan beristighfar, hikmahnya adalah untuk membersihkan diri daripada dosa dan maksiat, untuk mendapat keampunan Allah, untuk mendapat ketenangan batin, keikhlasan hati, meningkatkan kecintaan kepada Allah dan berupaya melindungi diri daripada melakukan dosa.
Malah, Allah telah menegaskan hikmah berdoa dan berzikir dalam firmannya yang membawa maksud, '...dan Tuhan kamu berfirman, 'berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu' (Surah al-Mukmin : 60) dan 'Maka berzikirlah (ingatlah) kepada-Ku, nescaya Aku akan mengingati kamu sekalian' (Surah al-Baqarah: 168)
Dengan bertafakur, hikmahnya adalah seperti:
- Penyuluh untuk mengenal diri dan pencipta.
- Mendorong penjelajahan fikiran.
- Pemusatan tumpuan untuk meneliti tahap personaliti dan tingkah laku.
- Mendorong untuk celik akal.
- Mewujudkan kesedaran kendiri.
- Berupaya membuahkan sikap amanah dan jujur.
Firman Allah yang bermaksud, 'Mereka yang mengingati Allah baik di waktu berdiri, duduk dan berbaring dan mereka berfikir tentang kejadian langit dan bumi seraya berkata, wahai Tuhan kami, tiadalah Engkau menjadikan ini dengan sia-sia.' (Surah ali-Imran : 191)
Sebenarnya kehidupan ini kita tidak boleh lari dari menghampiri diri dan sentiasa mendapat bantuan dan perlindungan Allah. Dalam mengharungi kehidupan kita perlulah menghadapi pelbagai cabaran dan menghadapi kegagalan dan rasa putus asa dengan penuh kesedaran.
Sumber: Kosmo!
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...