Assalamualaikum warahmatullah,
Statistik perceraian yang diberikan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sangat mengejutkan. Ini kerana ia makin meningkat berbanding tahun-tahun yang sebelumnya. Mengikut laporan ini jumlah perceraian pada tahun 2007 adalah 20,529 kes berbanding 131,086 perkahwinan. Bagi tempoh sehari pula, lebih daripada 56 perceraian dan 359 perkahwinan berlangsung.
Di setiap negeri pula, dilaporkan perceraian paling tinggi didaftarkan oleh negeri Selangor dengan 3,722 kes diikuti Kelantan sebanyak (2,257), Kedah(2,188), Johor (1,931), Perak (1,551), Terengganu (1,537), Pahang(1,502), Kuala Lumpur (1,141), Sabah (924), Pulau Pinang (917), Sarawak (910), Negeri Sembilan (907), Melaka (758), Perlis (247) dan Labuan (37)
Menurut laporan ini lagi, perkahwinan yang tertinggi pada tahun 2007 dicatatkan oleh negeri Kedah sebanyak 20,889 diikuti sekali lagi di tangga kedua, Kelantan 17,201, Selangor (14,817), Johor (13,241), Perak (11,446), Sabah (9,941), Pahang (9,519), Terengganu8,953), Sarawak (5,393), Negeri Sembilan (5,151), Pulau Pinang (4,458), Melaka (3,559), Kuala Lumpur (3,538), Perlis (2,484) dan Labuan (486). Sila rujuk JAKiM untuk jadual statistik yang tepat.
Krisis Perceraian
Dikatakan punca krisis rumahtangga ini adalah kerana, tidak serasi, kecurangan (suami/isteri bermain kayu tiga), poligami, karenah dan campur tangan keluarga yang keterlaluan, masalah kesihatan pasangan termasuk kesuburan, masalah hutang banyak, masalah ekonomi, pengangguran, peluang kerja terhad, komitmen kerja dan kerjaya yang terlalu tinggi, simptom cemburu buta - kurung pasangan, dan kurangnya didikan moral - penderaan dan pengabaian. Kebanyakan kes perceraian berlaku kerana pasangan suami isteri tidak begitu menghayati kehendak ajaran agama dalam melayari kehidupan berumah tangga termasuk menunaikan tanggungjawab mereka dengan sebaik mungkin. Sebaliknya, mereka didapati berkahwin hanya kerana dorongan nafsu semata-mata tanpa memikirkan tanggungjawab besar itu sebagai suami, isteri, bapa dan ibu bagi mewujudkan keluarga bahagia.
Faktor-faktor Perceraian
“Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri”. Sebenarnya ramai pasangan suami isteri tidak mencapai tujuan perkahwinan yang sebenarnya dalam erti kata tidak ada kebahagiaan rumah tangga. Pelbagai bentuk konflik dihadapi dalam ikatan perkahwinan mereka di mana konflik yang dilalui ini andainya tidak dapat diatasi pasti memaksa sesuatu pasangan terbabit mencari jalan muktamad iaitu bercerai yang memansuhkan ikatan perkahwinan.
Berdasarkan aduan yang diterima oleh Unit Perunding dan Pembangunan Keluarga di beberapa Jabatan Agama Islam di negara ini, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya perceraian seperti:
- Salah seorang pasangan atau kedua-duanya meneruskan kebiasaan tingkah laku dan sikap yang tidak sesuai dengan alam perkahwinan. Bertindak bersendirian tanpa mengambil kira kesan kepada pasangan atau perkahwinan. Membiarkan pasangan membuat tindakan secara sendirian.
- Penguasaan kefahaman terhadap agama berhubung dengan kehidupan suami isteri kurang atau keluar daripada tuntutan Islam sebenar (kesan kepada nilai dan personaliti).
- Pengurusan ekonomi rumah tangga tidak diuruskan mengikut konsep kehidupan berumah tangga Islam iaitu berkongsi, bertolak ansur dan mengutamakan yang utama.
- Pengurusan cara hidup keluar dari kawalan sosial dan syariat Islam seperti minum arak, judi, menyalahgunakan dadah, berzina dan sebagainya.
- Pengurusan hubungan dan komunikasi dengan pasangan dan keluarga tidak lancar seperti mengutamakan diri atau keluarga sendiri lebih daripada pasangan atau keluarga pasangan. Tidak mengambil berat terhadap kesihatan, kebajikan pendidikan dan keperluan emosi ahli keluarga.
- Menghadapi masalah peribadi yang tidak dapat dikongsi bersama pasangan, mempunyai personaliti mendekat menjauh atau menjauh menjauh seperti pemarah (emosional), cemburu buta, mendera dan mementingkan perasaan sendiri.
- Salah seorang pasangan menghadapi masalah kesihatan seperti penyakit yang menghalang berlaku hubungan jenis dalam jangka masa yang terlalu lama, mempunyai nafsu seks yang terlalu tinggi atau lemah.
- Gagal mengimbangi tumpuan perhatian serta masa kepada pasangan dan rumah tangga, lebih mementingkan kerjaya atau lain-lain kegiatan luar rumah. Tidak dapat memahami budaya kerja pasangan.
- Pasangan tidak dapat mengawal pengaruh luaran daripada pergaulan (kawan-kawan), persekitaran dan keluarga dalam membentuk atau mencorak kehidupan suami isteri.
Bentuk-bentuk konflik
Terdapat tiga bentuk konflik yang biasa dihadapi oleh pasangan iaitu:
- Nusyuz – dilakukan oleh salah seorang daripada pasangan. Dapat dikesan melalui komunikasi pasangan seperti muka kelihatan masam, wajah selamba atau tidak mahu bertentangan masa. Bercakap dengan kasar atau tidak mahu bertegur sapa, pura-pura tidak mendengar atau berkomunikasi melalui perantaraan. Tidak menghiraukan pasangan, mengelak istimta’ dan bersetubuh. Tidak berlaku adil dalam poligami sedangkan pasangan yang seorang lagi adalah orang yang berakhlak baik dalam pergaulan dengan pasangannya. Bersikap atau tingkahlaku yang membawa nusyuz kepada pasangannya.
- Syiqaq – Perselisihan faham suami isteri yang sudah sampai ke tahap saling cerca-mencerca serta pukul memukul.
- Dharar – Penganiayaan suami kepada isteri sedangkan isteri adalah wanita yang baik akhlaknya
- Mengelak keadaan yang boleh menimbulkan konflik sebagai langkah
- mencegah berlakunya konflik.
- Mengadakan proses menyelesaikan masalah mengikut punca, bentuk dan tahap konflik yang dihadapi oleh pasangan.
Walaupun perceraian adalah suatu perbuatan yang diharuskan oleh syarak, namun menghindarinya punca berlakunya perceraian (konflik) adalah langkah yang paling bijak antaranya ialah:
- Mengesan perubahan di peringkat awal dengan memerhatikan air muka, gerak geri dan percakapan.
- Elakkan dari bersangka buruk terhadap pasangan.
- Apabila menyedari terdapat isu-isu atau masalah yang berpotensi untuk mengeruhkan hubungan suami isteri segera tanganinya tanpa menyimpan sehingga menjadi banyak masalah dan melewat-lewatkan tindakan sehingga keadaan menjadi bertambah parah.
- Apabila menyedari kelemahan atau kesilapan pasangan, bantu pasangan untuk membuat perubahan atau baiki kesilapan. Berikan motivasi.
- Apabila berhadapan dengan sesuatu isu atau masalah, pasangan perlu menyatakan pendapat secara terbuka, tidak mengkritik pasangan atau menyerang pasangan. Buatlah perbincangan dengan sikap tolak ansur.
- Dalam pergaulan, pasangan hendaklah menyelaraskan kehendaknya yang inginkan rumah tangga bahagia dan harmoni serta bertimbang rasa dan bersikap terbuka, sedia menerima pandangan pasangan terhadap dirinya. Tidak cepat melenting dan sentiasa meminta maaf bila menyedari kesalahan sendiri. Tunjukkan kasih mesra yang ikhlas dengan mencari kekuatan dalam hubungan suami isteri.
- Tidak mendapatkan nasihat atau panduan daripada mereka yang tidak mempunyai kepakaran atau tidak menyukai diri suami atau isteri.
- Amalkan teknik komunikasi berkesan dalam pergaulan suami
Tetapi apabila perasaan menjadi sejuk, satu atau kedua-duanya mereka merasa tidak ada ruang atau kemampuan untuk mengasihi seseorang yang tidak lagi sempurna di mata mereka. Sekiranya keperluan tidak dipenuhi, atau ada perkara yang menyebabkan hati terluka yang membawa kepada mempertahankan diri, atau kekurangan komunikasi positif yang meningkatkan salah faham diserta dengan konflik yang mengapi-apikan kemarahan, kesedihan dan kepahitan. Jika pasangan tidak dapat mencapai perdamaian dan perbincangan tidak dapat memecahkan keadaan yang semakin meruncing, besar kemungkinan kemampuan untuk mengasihi satu sama lain akan menjadi luntur.
Situasi yang tidak sihat dalam sesuatu perhubungan boleh dielakkan sekiranya wujud kesedaran tentang tanggungjawap masing-masing. Lelaki dan wanita seharusnya saling lengkap-melengkapi. Tidak ada manusia yang sempurna kecuali Nabi Allah yang maksum. Soal rezeki, jodoh, ajal dan yang seumpamanya di tangan yang maha Esa, seperti yang tertulis di dalam al Quran, “Allah tidak akan mengubah nasib sesebuah kaum, melainkan kaum itu mengubahnya sendiri.”
“Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan (bala bencana) terhadap sesuatu kaum (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tak ada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya; dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya.” (Surah Ar-Ra’d, ayat 11)
Sehubungan itu, kita tidak boleh dengan mudah-mudah berserah segalanya pada takdir tanpa ingin berusaha. Kebanyakan kes perceraian berlaku kerana pasangan belum cukup persiapan dan bersedia dalam menghayati alam rumah tangga. Berkahwin tanpa arah tuju dengan niat semata-mata kerana nafsu saja tidak akan membawa keharmonian dalam membina masjid.
Perkahwinan boleh diibaratkan seperti membina rakit. Kita memerlukan skill untuk membina sebuah rakit. Kita perlu tahu berapa batang kayu/buluh yang diperlukan untuk sebuah rakit yang 'just nice' untuk dibina. Asas susunan rakit amat penting untuk mempastikan kedudukan dram berada di tempat yang betul. Cara mengikat kayu/buluh juga ada tekniknya yang tersendiri, begitu juga ikatan untuk rakit dengan dram. Jika ikatan rakit tidak kukuh, maka sukarlah ia untuk bertahan lama, apatah lagi laut tidak selalunya tenang, ada kalanya boleh dilanda ombak, mungkin juga dilanda tsunami. Tindakan yang tergesa-gesa atau sambil lewa dalam penyediaan rakit akan mengundang pelbagai risiko, seperti karam di tengah laut.
Begitulah juga dengan perkahwinan yang dibawa dengan persediaan dan persiapan dari sudut agama, mental, fizikal dan pelbagai sudut lain.
Tepuk dada, tanyalah iman.
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...