PAGE

Rabu, Februari 10, 2010

Psikosis penyakit kronik

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof

Haywire Prison Break ~ Gambar Hiasan

DALAM lena, Ali (bukan nama sebenar) bermimpi sedang bersungguh-sungguh menebang dan mencincang batang pisang di belakang rumahnya. Pada fikirannya pokok tua itu, sudahlah tidak berhasil, sebaliknya menjadikan kebunnya semakin semak.

Sedang dia tekun mencincang tiba-tiba dia terdengar suara jeritan ketakutan dari belakang yang menyentap tidurnya. Ali bagaikan tersedar daripada lena yang panjang, lantas semakin bingung apabila batang pisang yang dicincang itu bertukar rupa kepada sekujur tubuh ibunya. Lebih malang ia berlaku di alam nyata, bukan dalam fantasi mimpinya.

Beberapa insiden pembunuhan membabitkan cara tragis, keterlaluan termasuk tusukan senjata bertubi-tubi, mengerat anggota tubuh kepada beberapa bahagian dan pelaku pula kelihatan bingung sering dikaitkan dengan perbuatan pesakit mental jenis psikosis.

Beberapa kejadian dilaporkan dalam akhbar sebenarnya disifatkan sebagai lampu isyarat pesakit mental perlu dianggap penyakit kronik dan segera mendapat rawatan daripada pakar dalam bidang psikiatri.

Terdapat kira-kira 280 jenis penyakit mental dan antaranya ialah skizofrenia. Psikosis adalah satu cabang skizofrenia yang dikaitkan dengan gangguan bahan dalam kimia iaitu ‘serotonin’ dan ‘dopamin’. Ia dianggap merbahaya sekiranya pesakit tidak dirawat kerana ia boleh membawa perlakuan negatif termasuk pembunuhan kejam.

Presiden Persekutuan Asean Bagi Kesihatan Psikiatri dan Mental (AFPMH), Prof Dr Mohamad Hussain Habil, berkata psikosis boleh menyebabkan berlaku perubahan perilaku, termasuk meracau, delusi, halusinasi dan tidak dapat melihat sesuatu dalam bentuk realiti menjadikan pesakit tidak mampu mengawal perasaan.

“Pesakit pskiosis tidak boleh dipandang ringan dan perlu dibantu untuk mendapatkan rawatan. Anehnya walaupun masyarakat kita sedar penyakit mental, masih ramai yang melakukan rawatan menerusi berjumpa bomoh atau pengamal agama masing-masing sedangkan masalah mental seumpama itu perlu mendapatkan rawatan daripada pakar psikiatri. Walaupun sakit mental adalah penyakit baru dikenal pasti kira-kira 50 tahun di Malaysia, tetapi kemajuan bidang perubatan hari ini membolehkan kita mengesan tahap sakit mental seseorang dan priskripsi ubat boleh diberikan berdasarkan tahap penyakit dan jenis tekanan dialami. Semua penyakit berkaitan mental boleh diubati, apabila pesakit di bawa kepada pihak yang pakar dan pesakit pula perlu patuh pada pengambilan ubat diberikan itu.”

“Kalau dulu penyakit mental mungkin orang kaitkan dengan saka atau terkena ilmu hitam, rasukan makhluk halus tetapi dengan adanya kemajuan perubatan itu, ibu bapa perlu segera membawa anak mereka yang mula menunjukkan tanda-tanda kecelaruan mental itu kepada pakar dalam bidang berkenaan,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Prof Dr Muhamad mengulas mengenai beberapa kejadian pembunuhan membabitkan pesakit mental dan perilaku kepada mangsa dikatakan agak keterlaluan seperti memotong anggota badan kepada beberapa bahagian, tanpa belas kasihan. Ia berlaku di luar sedar pesakit dan tindakan keganasan boleh berlaku bila-bila masa dan selalunya di rumah.

Prof Dr Mohamad berkata, jika diperhatikan kebanyakan kes pembunuhan dilakukan psikosis berlaku di rumah, justeru mangsa selalunya terdiri daripada orang yang rapat dengan pesakit termasuk ahli keluarga, berbanding pembunuhan biasa yang mungkin melakukannya atas niat dendam dan sebagainya serta di lokasi berbeza.

“Cuba bayangkan perasaan bila kita sedang diserang harimau, tetapi dalam mimpi? Dalam keadaan itu tentu kita berusaha sedaya upaya melawan harimau itu. Tetapi untuk pesakit psikosis, mereka ‘membawa’ perasaan itu dalam dunia realiti, menjadikan manusia yang dilihatnya sebagai harimau itu ‘dilawan’ secara bersungguh-sungguh.”

“Saya pernah berhadapan satu kes yang mana seorang lelaki pesakit psikosis yang mencincang tubuh ibunya. Dalam temubual bersama pesakit itu, dia menyatakan pada ketika itu dia merasakan sedang berkebun dan melihat pokok pisang, lantas pokok berkenaan dipotong dan dicantas. Dalam satu kes lain pula, seorang lelaki yang memang menghidap psikosis, tetapi keluarganya membawanya untuk berubat dengan tok bomoh. Dalam proses pengubatan itu, bomoh berkenaan mengeluarkan keris dan ingin meletakkan di kepala pesakit sebagai ‘penamat’ atau amalan pengubatan, tetapi tiba-tiba pesakit itu tadi melihat tok bomoh berkenaan bertukar menjadi seekor harimau dan untuk menyelamatkan diri, bomoh berkenaan ditikam secara bertubi-tubi,” katanya yang mengakui pesakit psikosis lelaki cenderung melakukan keganasan berbanding wanita kerana tenaga mereka lebih kuat, pada masa sama tiada angka rasmi menunjukkan jantina tidak mempengaruhi jumlah pesakit mental.

Boleh dirawat

BAGAIMANAPUN, katanya, pesakit psikosis yang melakukan tindakan ganas termasuk pembunuhan, dan tindakan membunuh diri, selalunya akan memberikan petunjuk awal, seperti dia berkata ‘Esok aku bunuh engkau’, bagaimanapun keluarga cenderung memandang ringan kata-kata pesakit, sedangkan apabila kata-kata begitu terpacul, keluarga harus terus membawa pesakit ke hospital.

“Hakikatnya kejadian pembunuhan oleh pesakit psikosis tidak sebanyak kes pembunuhan dilakukan oleh orang tidak sakit. Cuma cara pembunuhan yang tragis itulah yang selalunya disensasikan. Kalau dihimpunkan dengan semua kes di hospital sakit jiwa, pembunuhan hanyalah membabitkan 10% saja daripada keseluruhan kes kemasukan di sana,” katanya.

Selain perubahan bahan kimia dalam otak, psikosis juga boleh berlaku terhadap individu yang mengambil dadah seperti syabu dan gam. Sementara itu, anggaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2002, mendapati seramai 154 juta penduduk dunia menghidap kemurungan, 25 juta pesakit skizofrenia, 15 juta terbabit penyalahgunaan dadah, manakala 877,000 membunuh diri.

Penemuan terbaru hasil Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2006 menunjukkan penularan masalah kesihatan mental membabitkan 11.2% orang dewasa dan 20.3% kanak-kanak serta remaja di negara ini. Kajian ini menunjukkan peningkatan berbanding pada 1996 dengan jumlah terbabit hanya 10.7% orang dewasa dan 13% kanak-kanak serta remaja. Lebih membimbangkan, fakta yang menganggarkan antara 20 hingga 30 orang membunuh diri setahun bagi setiap 100,000 rakyat.

Prof Dr Muhamad berkata, pesakit mental banyak berlaku di kalangan orang Melayu dan golongan miskin kerana mereka sering mengaitkan kelakuan pesakit mental seperti bercakap dan ketawa sendirian akibat tersampuk, rasukan dan benda halus menjadikan mereka kurang berminat merawatnya menerusi cara rawatan moden di hospital sebaliknya dirujuk kepada bomoh serta ahli agama.

“Tidak salah kalau kita mempunyai ikhtiar sebegitu. Sekali dua bawa berubat ke bomoh dan ahli agama kalau masih tidak baik juga, keluarga perlu rujuk kepada pihak hospital. Sekiranya tidak dirawat dengan betul, lambat-laun pesakit akan menjadi lebih teruk termasuk membunuh,” katanya.

Tegasnya, kemajuan teknologi perubatan hari ini boleh mengesan pelbagai jenis penyakit mental, malah dalam janin sekalipun imbasan boleh dilakukan mengenal keganjilan pada otak bayi dalam kandungan.

Justeru, katanya, sekiranya mana-mana ahli keluarga dikesan berubah atau menunjukkan tanda seperti bercakap serang diri, segera dapatkan rawatan kerana sebarang jenis pesakit mental boleh dirawat seperti penyakit kencing manis atau darah tinggi.

“Paling penting, pesakit juga memang memerlukan rawatan, cuma mereka sendiri sebenarnya tidak sedar atau tidak tahu yang diri mereka menghidap masalah mental seperti itu,” katanya.

INFO: Kesihatan mental

  • Pemenang hadiah Nobel, John Nash dari Amerika Syarikat (AS) yang juga seorang individu genius dalam bidang matematik adalah penghidap skizofrenia selama tiga dekad. Namun, selepas tiga dekad berjuang melawan penyakit berkenaan, Nash akhirnya berjaya pulih seperti sedia kala dan menjalani kehidupan normal seperti manusia biasa. Ia membuktikan bahawa pesakit skizofrenia boleh disembuhkan. Pesakit berpeluang menjalani kehidupan normal meskipun terpaksa mengambil masa bertahun-tahun lamanya.

  • Di AS sendiri, kajian membuktikan, bahawa kekerapan tiga daripada 1,000 orang adalah penghidap skizofrenia, manakala di Malaysia, berdasarkan statistik perangkaan pada tahun 2003, seramai 11,120 orang penghidap skizofrenia. Jumlah ini meningkat kepada 17,250 orang pada 2005 dan dikatakan ia semakin bertambah tahun demi tahun.

  • Perkataan skizofrenia wujud lebih kurang beratus tahun dulu. Bagaimanapun penyakit ini pertama kali dijumpai dan dikenali sebagai penyakit mental yang dikesan oleh Dr Emile Kraepelin pada 1887. Ada penulisan yang mengatakan skizofreniah dikesan sejak zaman Firaun lagi iaitu sebelum masihi lagi.

Capaian entry berkaitan :

  1. Penyakit Gila atau Skizofrenia boleh dirawat
  2. Tekanan punca bunuh diri
  3. Hargai nyawa dan menangani konflik jiwa

Sumber : BHarian 2010/02/04

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...