PAGE

Rabu, Mac 31, 2010

Kobis Brussel

Kobis brussel


Hari ini saya kongsikan sejenis sayur yang ‘comel’. Saya tidak berapa menggemari sayuran ini kerana teksturnya sedikit keras daripada kobis biasa, Sedap digoreng dengan cendawan tiram dan disiram dengan sos tiram.

Tidak ada sesiapapun tahu dari mana asalnya kobis brussel. Walaupun ada yang mengatakan sayuran ini dinamakan sempena dengan nama ibu negara Belgium kerana di sanalah dikatakan sayuran ini pertama kali ditanam. Kobis brussel juga adalah antara beberapa sayuran yang dikatakan berasal dari utara Eropah. Sayur ini pertama kali diperkenalkan di Perancis dan England pada kurun ke 19. Sehingga kini, sayuran ini masih berterusan menjadi sayuran popular negara tersebut.

Kobis brussel kelihatan seperti kobis mini. Rasanya hampir sama seperti rasa kobis tetapi agak keras dari segi teksturnya. Kobis brussel dan kobis adalah ahli keluarga sayuran cruciferous. Sayuran dalam keluarga ini mengandungi kandungan antioksidan vitamin C dan betakarotena (vitamin A), serta sebatian nitrogen yang dikenali sebagai indole yang dikatakan mampu mengurangkan risiko beberapa kanser tertentu. Kehadiran beta-karotena dan vitamin A dalam kobis brussel juga dikatakan mampu mencegah jangkitan penyakit. Kekebalan tubuh dapat diperbaiki dengan pencegahan jangkitan. Apabila jangkitan tidak mudah menyerang, sekali gus ini mampu membuatkan kulit menjadi lembut.


Pokok kobis brussel

Sayuran ini juga adalah sumber terbaik protein sayuran kerana 31% jumlah kalorinya datang daripada protein. Selain itu, kobis brussel juga kaya dengan folacin, kalium dan kalsium. Dikatakan kobis brussel mengandungi 3 hingga 5 gram serat dalam satu cawan dan 25 kalori untuk setengah cawan setelah dimasak.



Kobis brussel bersama tangkai

Dikatakan khasiat fito tumbuhan yang dijumpai dalam kobis brussel meningkatkan aktiviti semulajadi pertahanan tubuh bagi melindungi penyakit, termasuklah barah. Saintis dikatakan telah menjumpai sulforaphanem iaitu salah satu daripada khasiat fito glukosinolat yang kuat dalam kobis brussel dan sayuran dari keluarga yang sama. Khasiat fito ini dikatakan mampu merangsang enzim detoksifikasi tubuh dengan cara mengubah jumlah gen sekaligus membantu membersihkan bahan karsinogenik dengan lebih cepat. Amalan mengambil sayuran seperti kobis brussel dikatakan mampu mengurangkan risiko barah terutamanya barah paru-paru, kolon, payudara, ovari dan hempedu.


Kobis brussel ~ closed up

Kawal tahap glukos dalam darah

Kobis brussel dikatakan amat baik untuk wanita hamil. Dikatakan secawan kobis brussel membekalkan kira-kira 93.6 miligram asid folik. Dengan memakan sayuran yang kaya dengan asid folik, dikatakan mampu mengelakkan kecacatan bayi yang dikandung. Bukan itu sahaja khasiat kobis brussel, dikatakan nilai khasiat kobis brussel boleh bertahan walaupun setelah sayur direbus jika dibandingkan dengan sayuran lain yang mudah hilang nilai pemakanannya setelah direbus.

Kaedah yang paling umum untuk memasak kobis brussel ialah dengan merebus, mengukus dan memanggang. Apapun kaedah memasak yang dipilih, terlebih masak (overcooked) perlu dielakkan. Terlebih masak kobis brussel akan menyebabkan ia mengeluarkan glucosinolate sinigrin, sejenis bahan kimia yang mempunyai bau belerang. Bau ini menyebabkan alasan ramai orang tidak menyukai kobis brussel. Umumnya, merebus atau mengukus selama 6~7 minit sudah cukup untuk memasak kobis brussel secara menyeluruh, tanpa terlebih masak dan melepaskan sinigrin. Selain direbus, dikukus dan dipanggang, kobis brussel juga mempunyai nilai pemakanan yang maksimum jika dimakan mentah ataupun dijadikan sebagai salah satu hidangan salad.

Bagi anda yang tidak mahu memakan kobis brussel secara mentah, bolehlah meminum kobis brussel yang telah dijadikan minuman jus. Bukan setakat berkhasiat, tetapi jus yang dihasilkan daripada kobis brussel yang dihancurkan dikatakan boleh diminum oleh pesakit diabetes bagi membantu mereka mengawal tahap glukos dalam darah.


Khasiat pemakanan

Pengambilan berpada-pada

Walaupun kobis brussel baik untuk kesihatan, namun pengambilannya perlulah berpada-pada. Ini adalah kerana kobis brussel juga mengandungi goitrin, thiocynate dan isothiocyanate. Bahan kimia yang dikenali dengan nama goitrogen ini boleh menguasai pembentukan hormon tiroid dan menyebabkan tiroid untuk membesar dan cuba untuk dihasilkan dengan lebih banyak. Goitrogen tidak berbahaya bagi mereka yang memakan dengan jumlah yang sederhana sayuran jenis cruciferous tetapi ia akan memberi masalah terhadap mereka yang mengalami masalah tiroid atau mengambil ubatan tiroid.

Oleh itu, pengambilan kobis brussel oleh pesakit ini perlulah mendapat nasihat daripada pengamal perubatan terlebih dahulu bagi mengelakkan kemudharatan di kemudian hari.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...