PAGE

Rabu, Mac 31, 2010

12,300 bekas suami ingkar bayar nafkah

Ramai wanita tak maklum kepada mahkamah

PUTRAJAYA: Lebih 12,300 bekas suami dikesan masih berdegil dan enggan membayar nafkah kepada bekas isteri dan anak masing-masing walaupun mereka sudah diperintah berbuat demikian oleh mahkamah syariah di seluruh negara, mulai tahun ini.

Ketua Pengarah, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Tan Sri Ibrahim Lembut, berkata pihaknya sukar melaksanakan perintah itu kerana ramai wanita terbabit tidak memaklumkan mahkamah syariah mengenai keengganan bekas suami untuk membayar nafkah.

“Walaupun mahkamah mempunyai kuasa untuk menjatuhkan hukuman penjara selama sebulan, jika bekas suami gagal membayar nafkah selama sebulan, tindakan itu tidak boleh diambil jika bekas isteri tidak melaporkannya kepada mahkamah.

“Mungkin ramai suami yang tidak tahu kita boleh sita harta mereka untuk membayar tunggakan nafkah berkenaan.”
~ Ibrahim Lembut, Ketua Pengarah, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia

“Masalah inilah yang menyebabkan hanya segelintir bekas suami yang membayar nafkah kepada bekas isteri dan anak masing-masing walaupun lebih 14,000 kes difailkan di mahkamah syariah dari 2002 hingga 2009 berkaitan tuntutan nafkah,” katanya selepas menghadiri sesi dialog dengan lebih 25 persatuan ibu tunggal dari seluruh negara di sini, semalam.

Ibrahim berkata, masalah berkenaan menyebabkan orang ramai mempersoalkan keberkesanan perintah mahkamah syariah kerana ia tidak boleh dilaksanakan terhadap bekas suami.

Justeru, Ibrahim berharap bekas isteri yang tidak menerima bayaran nafkah daripada bekas suami mereka segera menghubungi mahkamah syariah yang mengeluarkan perintah terbabit untuk tindakan lanjut. Pihaknya juga sudah melantik pegawai Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di setiap negeri untuk mengenal pasti dan mendakwa bekas suami yang gagal membayar nafkah kepada bekas isteri mereka.

“Mereka (bekas suami) perlu beri sebab kenapa mereka tidak boleh dipenjarakan. Cakap di luar tidak guna, dia kena beri keterangan di mahkamah syariah mengapa tidak boleh bayar sedangkan sebenarnya mereka mampu berbuat demikian kerana memiliki beberapa rumah dan kereta. Mungkin ramai bekas suami yang tidak tahu kita boleh sita harta mereka untuk membayar tunggakan nafkah berkenaan. Justeru, saya yakin jika mereka sedar mengenai perkara ini maka tiada lagi bekas suami yang sengaja mahu melambatkan pembayaran nafkah kepada bekas isteri mereka,” katanya.

Ibrahim berkata, pihaknya sudah menubuhkan dana khas dengan peruntukan RM15 juta bagi memastikan kebajikan wanita Islam di negara ini tidak diabaikan walaupun selepas bercerai.

Sumber : BHarian 20/03/2010


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...