PAGE

Khamis, April 01, 2010

Beriman kepada qada' dan qadar Allah SWT

BG: Mata anugerah Allah yang tidak ternilai, hargai mata dengan memenuhi hak-haknya.

"Janganlah sekali-kali kamu menujukan pandanganmu kepada kenikmatan hidup yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan di antara mereka (orang-orang kafir itu), dan janganlah kamu bersedih hati terhadap mereka dan berendah dirilah kamu terhadap orang-orang yang beriman." (QS15:88)


Assalamualaikum warahmatullah,

Bismillah, dua-tiga hari ini saya sangat sibuk mengumpul dan mengolah info dari pelbagai untuk entry kali ini. Mari kita buat sedikit revision, subjek Pengetahuan Agama Islam. Semoga mendapat walau sekelumit manafaat daripada entry ini. Amiin.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, dari Umar Ibni Al-Khattab r.a. bahawa di dalam pertemuan malaikat Jibril dengan Rasulullah SAW di dalam sebuah majlis yang dihadiri oleh ramai sahabat-sahabat Rasulullah SAW maka Jibril telah mengemukakan pertanyaan kepada Rasulullah SAW yang bermaksud, “Jibril telah berkata kepada Rasulullah, kamu terang kepadaku mengenai iman maka jawab Rasulullah, iman itu ialah bahawa kami beriman kepada Allah, kepada malaikat, kepada kitab-kitab, kepada rasul-rasul, kepada hari kemudian dan kamu beriman bahawa habuan dan peruntukan bagi kamu sama ada baik atau buruk adalah semua daripada Allah SWT, maka Jibril pun berkata kamu telah berkata benar.”

Jadi, dari ayat Al-Quran dan hadis dapatlah disimpulkan bahawa iman itu ialah 6 perkara iaitu:
  1. Percaya kepada Allah
  2. Percaya kepada Malaikat
  3. Percaya kepada Kitab
  4. Percaya kepada Rasul
  5. Percaya kepada Hari Kiamat
  6. Percaya kepada Qada’ dan Qadar
Dalam entry ini, saya fokuskan kepada rukun iman yang ke 6 iaitu percaya kepada Qada’ dan Qadar. Mengapa cuma Qada’ dan Qadar sahaja dan tidak kepada yang lain-lainnya? Sebab utamanya, susulan perbincangan dalam egrup SIM yang saya sertai. Untuk yang lain-lain, sila rujuk kepada ustaz atau ustazah, buku-buku agama tentang ketuhanan (akidah) [NB: seorang sahabat rekomen buku Dr. Danial ~ Minda Muslim Super] atau boleh rujuk islamGRID.

Beriman Kepada Qada’ dan Qadar

Qada’ dan Qadar adalah salah satu daripada-rukun Iman. Ini dapat dibuktikan melalui hadis Nabi SAW yang bermaksud : Daripada Umar ra. katanya, Pada suatu hari datang seorang lelaki dengan berpakaian serba putih, rambutnya hitam, badannya kemas. Lalu ia duduk dan bertanya kepada Nabi Muhammad SAW..... Beritahuku mengenai iman, Lalu Baginda menjawab, Bahawa engkau beriman dengan Allah, Malaikat, Kitab, Rasul, hari akhirat dan beriman dengan qada dan qadar. (Hadis riwayat Muslim)

Daripada Jabir r.a. bahawa Nabi SAW bersabda : Tidak dikira seseorang beriman sehingga ia percaya dan mengakui benarnya Qada dan Qadar baik dan jahatnya dan sehingga ia menyakini bahawa apa yang ditakdirkan berlaku atau sampai kepadanya, tidak sekali- kali akan menyimpang daripadanya dan apa yang ditakdirkan menyimpang daripadanya, tidak sekali-kali akan berlaku atau sampai kepadanya. (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Di dalam Al-Quran sendiri telah disebutkan tentang konsep Qada’ dan Qadar ini berdasarkan maksud ayat seperti berikut :

Dan Kami telah turunkan kepadamu Al Qur'an dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya, yaitu kitab-kitab (yang diturunkan sebelumnya) dan batu ujian terhadap kitab-kitab yang lain itu; maka putuskanlah perkara mereka (Ahli Kitab) menurut apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan (menyeleweng) kebenaran yang telah datang kepadamu. Untuk tiap-tiap umat di antara kamu, Kami berikan aturan dan jalan yang terang (yang wajib diikuti oleh masing-masing). Sekiranya Allah menghendaki, niscaya kamu dijadikan-Nya satu umat (saja), tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepadamu, maka berlomba-lombalah berbuat kebajikan. Hanya kepada Allah-lah kembali kamu semuanya, lalu diberitahukan-Nya kepadamu apa yang telah kamu perselisihkan itu. (Surah al-Maidah ayat 48)

Katakanlah (wahai Muhammad) : Tidak sekali-kali akan menimpa Kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakkal. (Surah at-Taubah ayat 51)

Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir (yang telah ditentukan). (Surah al-Qamar ayat 49)

Pengertian Qada dan Qadar

Qada bermaksud pelaksanaan. Terbahagi kepada dua bahagian iaitu:
  1. Qada Mubram : Adalah ketentuan Allah Taala yang pasti berlaku dan tidak dapat dihalang oleh sesuatu apa pun. (Contoh: Mati pasti akan berlaku). Firman Allah Taala bermaksud, Dan pada sisi Allah Taala jua kunci-kunci semua yang ghaib. (Surah al-Anaam ayat 59).
  2. Qada’ Muallaq : Adalah ketentuan yang tidak semestinya berlaku bahkan bergantung kepada sesuatu perkara. (Contoh: Panjang umur bergantung kepada menghubungkan silaturrahim dan amal kebajikan yang lain). Sabda Rasulullah SAW bermaksud, Tidak boleh ditolak qadar Allah Taala melainkan doa. Dan tiada yang boleh memanjangkan umur melainkan membuat baik kepada ibubapa. (Hadis riwayat Hakim, Ibnu Hibban dan Tirmizi)
Adapun qadar bermaksud sukatan, takdir ataupun ketentuan Allah terhadap makhluknya khususnya manusia dapat dibahagikan kepada dua:
  1. Ketentuan tentang nature yang mengandungi sebab musabab
  2. Takdir atau ketentuan Allah terhadap makhluk-Nya, khususnya manusia
Beriman dengan Qada’ dan Qadar ialah mempercayai bahawa segala undang-undang, peraturan dan hukum hakam yang telah ditetapkan oleh Allah SWT pada azal serta diputuskan hukum itu berlaku seperti yang telah ditetapkan itu.

Hidup manusia diatur sejak dalam rahim

DARI Anas, dari Nabi Muhamad sabdanya: “Sesungguhnya Allah telah menugaskan satu malaikat berhubung dengan peringkat-peringkat kejadian anak dalam kandungan rahim ibunya dan keadaan-keadaan yang akan dilalui dan didapatinya; apabila air benih itu jatuh ke dalam rahim, malaikat bertanya: “Ya Tuhanku! Air benih ini akan disempurnakan kejadiannya atau tidak Ya Tuhanku! Daging segumpal ini akan disempurnakan kejadiannya atau tidak? Maka apabila Allah hendak sempurnakan jadinya seorang anak, malaikat bertanya lagi: “Ya Tuhanku! adakah ia seorang (yang bernasib) celaka atau (yang bernasib) bahagia? Lelakikah ia atau perempuan? Bagaimana pula keadaan rezekinya dan ajalnya?” (setelah malaikat mendapat jawapannya) maka dia menulis sebagaimana yang telah diperintahkan sedang anak itu dalam perut ibunya.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Imam Ahmad)

Dalam hadis ini, Rasulullah SAW menyatakan, “Bahawa setiap anak dalam kandungan ibunya ada malaikat yang ditugaskan Tuhan mengenai peringkat-peringkat kejadiannya - mulai dari jatuhnya air benih ke dalam rahim ibunya sehinggalah ia cukup sifat-sifatnya sebagai seorang manusia dan malaikat inilah juga yang menulis apa-apa jua yang berhubung dengannya meliputi rezeki dan ajalnya, dan nasib baik atau buruknya.”

Tiap-tiap seorang anak Adam itu dijadikan oleh Allah menurut apa yang diaturkan-Nya. Allah telah menetapkan bagi tiap-tiap sesuatu perkara itu, ada pendahuluannya dan sebab musababnya serta bagi tiap-tiap satu tujuan ada jalan untuk mencapainya. Dengan yang demikian, sesiapa yang menunggu berhasilnya sesuatu dengan tidak melalui sebab, pendahuluan dan jalan mencapainya yang ditetapkan dan tentukan oleh Allah, ini bermakna ia telah kufur kerana ia tidak beriman kepada Qada dan Qadar Allah SWT. [NB : Nampak tak betapa bahayanya jika kita tidak beriman kepada Qada' dan Qadar?]

Dengan penjelasan tersebut, maka orang yang beriman kepada Qada’ dan Qadar ini ialah orang yang rajin berusaha dan beramal mengikut undang-undang, peraturan dan hukum hakam Allah SWT dan giat mencari Qada’ dan Qadar yang dapat menjayakan maksudnya.

Sikap Orang Islam Dalam Menerima Takdir (Qadar) Allah
  1. Menerima dan redha terhadap apa yang ditakdirkan oleh Allah, kerana Allah Maha Adil dan tidak mungkin melakukan kezaliman terhadap makhluk-Nya. Apa yang Allah tentukan kepada manusia di luar dari pilihan manusia adalah kebijaksanaan dan keadilan Allah. Ada sesuatu hikmah di sebalik ketentuan itu. Mungkin apa yang kita rasa baik adalah buruk bagi kita dan demikianlah sebaliknya. Allah Maha Mengetahui apa yang tidak kita ketahui.
  2. Mestilah bersabar sekiranya Allah takdirkan sesuatu yang buruk yang berlaku ke atas diri kita. Mungkin di sebalik apa yang berlaku itu ada sesuatu yang baik yang Allah akan anugerahkan kepada kita.
Lalu, mungkin si polan yang mungkin tidak berpuas hati akan bertanya [NB : Memang adapun yang mempersoalkannya] :
  1. Bagaimana dengan kisah si polan yang masuk kristian, padahal emak dan ayahnya memberi pendidikan agama yang cukup?
  2. Bagaimana dengan si cerdik pandai yang juga bagus pendidikan agamanya, tapi menjadi gadis sosial?
  3. Bagaimana bukan muslim yang tidak menghampiri zina, mereka langsung tak tahu fasal islam?
  4. Ada yang Allah besarkan rezekinya, ada yang Allah sempitkan rezekinya
  5. Ada yang Allah besarkan nafsunya, ada yang Allah kecilkan nafsunya
Terus-terang, sukar untuk saya mengupas persoalan qada’ dan qadar ini, saya BUKAN pakar ilmu akidah dan BUKAN lulusan Usuluddin juga. Sebagai contoh yang mudah untuk difahami :

Senario 1 - Adakah jika seseorang itu wajar mengatakan, Sudah takdir saya dilahirkan sebagai pencuri. Seolah-olah dia menyalahkan takdir 'buruk' yang berlaku kepadanya, sedangkan menjadi seorang pencuri itu merupakan satu pilihan baginya. Sudahkah dia berusaha untuk tidak menjadi seorang pencuri?

Senario 2 - Seseorang menyatakan, Sudah takdir saya berzina dan mengandung tanpa suami. Adakah wajar dia mengatakan takdirnya berzina dan mengandung luar nikah? Berzina dan mengandung tanpa suami adalah satu pilihan. Adakah dia sudah berusaha untuk tidak menghampiri zina dan menepis godaan syaitan?

Senario 3 - Seseorang menyatakan, Nak buat macamana? Sudah nasib aku berpoligami. Terima sajalah...” Sebenarnya, poligami itu juga satu pilihan. Adakah dia sudah berusaha sedaya upaya untuk tidak berpoligami?

Ke semua yang disebutkan di atas, baik dalam persoalan si polan dan senario yang saya petik, ia termasuk dalam kategori qada’ Muallaq iaitu ketentuan yang tidak semestinya berlaku bahkan bergantung kepada sesuatu perkara. Sesuatu qada’ yang ada pilihan, sama ada baik atau buruknya pilihan itu, adalah qada’ Allah dan qadar (buruk atau baik) cuma akan berlaku setelah pilihan itu dibuat oleh si pembuat pilihan. Seseorang itu tidak boleh menyalahkan qadar (takdir) buruk yang ditentukan oleh usaha dan pilihannya sendiri.

Kita dituntut sentiasa berusaha dan berdoa

Antara bentuk ketaatan adalah dengan berdoa kepada Allah Taala. Dengan berdoalah seseorang hamba itu akan merasakan dirinya lemah dan berhajat atau memerlukan kepada Allah Taala. Firman Allah SWT bermaksud, Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Aku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu agar mereka selalu berada dalam kebenaran. (Surah al-Baqarah ayat 186)

Sabda Rasulullah SAW bermaksud, Doa merupakan otak kepada ibadat. (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Walaupun hidup kita telah pun diatur oleh Allah SWT, tidak bermakna kita tidak perlu berusaha dan berdoa untuk mendapatkan takdir yang lebih baik daripada yang telah diputuskan oleh Allah. Setelah kita ketahui bahawa segala usaha dan doa dari hamba akan didengar dan diambil kira oleh Allah SWT maka dengan sebab itulah perlunya seseoarang hamba itu untuk sentiasa berusaha dan berdoa. Namun segala usaha dan doa ini sudah tentulah di dalam kuasa dan ilmu Allah SWT. Kerana itulah ada dinyatakan bahawa manusia hanya berusaha dan berdoa tetapi Allah SWT jualah yang menentukannya. Disebabkan manusia tidak mengetahui qada dan qadarnyalah maka manusia perlu kepada usaha dan doa.

Firman Allah SWT bermaksud, Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. (Surah ar-Rad ayat 11)

Masih tidak faham? Erk... mungkin tulisan Dr Fauziah UIA dari SIM boleh membantu pemahaman anda :

Tidak ada manusia yang dapat menolak Qadar atau ketetapan Allah. Bila lahirnya kita, tuanya kita, ajal kita bukan pilihan. Tapi bagaimana hidup kita adalah bergantung kepada usaha kita. Sebab itu disebutkan dalam ayat al-Quran...Laha maa kasabat, wa 'alayha maktasabat (bagi manusia itu apa yang diusahakannya, dan (tidak akan dapat) apa yang tidak diusahakannya.) Semua orang akan tua, tapi bagaimana waktu tua kita adalah bergantung kepada usaha dan amalan kita. Kalau banyak makan dan minum benda yang manis semasa muda kita, jadi tinggilah potensi untuk kita dapat penyakit kncing manis bila meningkat tua. Kalau banyak makan roti canai dan teh tarik, tinggilah pula potensi untuk mendapat sakit jantung. Atau kita kita boleh bebas dari penyakit-penyakit tiga serangkai ini, jika menjaga pemakanan kita dengan baik. Mati itu adalah Qada’, penyakit itu adalah Qadar.

Tidak ada orang dapat menolak tua, tapi kita boleh memilih untuk kelihatan muda atau awet muda. Dari yang halal hingga yang tidak halal semuanya ada... vitamin C, pati soya, kollagen, botox dan lain-lain. Itu adalah takdir. Tidak ada siapa dapat menolak kematian kerana Allah telah berfirman, Apabila sampai ajal seseorang tidak akan dicepatkan atau dilewatkan walau sesaat pun.

Mati itu akan dirasai oleh semua yang bernyawa. Tetapi bagaimana kesudahan hidup kita adalah bergantung kepada amalan dan usaha kita. Kalau asyik berdangdut dan berkaraoke di kelab malam, tidak mustahil takhdir kita. Akan mati di situ. Kalau asyik berlumba haram, tidak mustahil takdir kita akan mati seperti katak di jalanan. Dan kalau rajin ke masjid, kalau diizinkan oleh Allah, tidak mustahil akan kembali kepada Allah di tempat yang mulia itu. Sebab itu kita disuruh berdoa, Ya Allah, matikanlah kami di dalam keadaan husnul khatimah (sebaik-baik kesudahan) dan janganlah Kau matikan kami di dalam keadaan Su’ul khatimah (kesudahan yang tidak baik). Maksudnya mati itu adalah Qada’... dan bagaimana kesudahan hidup kita itu adalah Qadar (takdir). [NB : Rujuk entry Bahagia dengan Husnul Khatimah, Sengsara dengan Su'ul Khatimah untuk keterangan lanjut.]

Bijaksana itu mungkin satu Qada’ dari Allah untuk setengah hamba2-Nya, tetapi berjaya atau tidak adalah takdir yang bergantung kepada banyak faktor. Bergantung kepada pilihan kita. Ada seorang pelajar yang cuma lulus Bahasa Inggeris semasa PMR, tetapi berjaya mendapat A- di dalam SPMnya. dan siapa sangka pelajar ini boleh mendapat First Class Degree dalam Mechanical Engineering dari universiti di England. Maknanya pelajar ini adalah bijak, cuma potensinya tidak diasah dengan betul semasa dia di Tingkatan 1, 2 dan 3. Tetapi berkat tunjuk ajar seorang gurunya semasa di tingkatan 4, pelajar ini sedar dia bukan tidak pandai, cuma potensinya tidak digilap dengan baik. Kebijaksanaan itu satu daripada jutaan Qada’ Allah untuk kita tetapi kalau tidak diasah dan digilap, maka jadilah seperti intan jatuh ke lumpur. Kejayaan itu satu qadar.

Konsep qada dan qadar

Keperluan kepada konsep qada dan qadar di dalam Islam adalah:
  1. Menisbahkan kepada Allah Taala di atas segala yang berlaku di dunia ini.
  2. Beriman bahawa hanya Allah Taala yang memiliki kuasa mutlak menentukan urusan di dunia ini.
  3. Menyedarkan bahawa manusia itu lemah dan perlu kepada bantuan Allah Taala.
  4. Hikmah qada dan qadar disembunyikan dari pengetahuan hamba adalah supaya seseorang hamba itu sentiasa berusaha dan taat kepadaNya.
Masih tidak faham akan Qada’ dan Qadar Allah? ALERT! Carilah ustaz/ustazah, bergurulah. Usah tunggu hingga syaitan merajai hati. Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Dan kamu ragu-ragu serta ditipu oleh angan-angan kosong sehingga datanglah ketetapan Allah dan kamu sudah ditipu terhadap Allah oleh syaitan yang amat penipu.” (Surah al-Hadid, ayat 14)

Kesimpulan

Sabda Rasulullah SAW bermaksud, Apabila disebut tentang qadar maka diamlah... (Hadis riwayat Tabrani dan Abu Nuaim)

Peringatan daripada dalil hadis di atas dapat mengingatkan kepada kita tentang bahayanya mempersoalkan dan memanjang-manjangkan perbincangan mengenai qada’ dan qadar ini tanpa sebab tertentu. Sebab itulah kebanyakan ustaz atau ustazah cuba mengelakkan diri dari berbicara mengenai qada’ dan qadar ini secara panjang lebar terutamanya kepada masyarakat awam. Apabila disebut tentang qadar maka diamlah..., bermaksud, siapakah kita hendak mempersoalkan keputusan Allah?

Kelalaian adalah penyakit yang dideritai setiap insan. Ia lebih merbahaya daripada segala penyakit di dunia ini kerana setiap penyakit ada ubatnya dan hanya memberi impak pendek serta sementara. Tetapi kelalaian akan menghasilkan penyesalan selama-lamanya pada akhirat kelak.

Sebagai umat Islam yang beriman adalah kita diwajibkan mempercayai dan mengimani qada’ dan qadar. Segala yang berlaku adalah dari Allah Taala semuanya. Kita hanya mampu berusaha dan berdoa akan tetapi Allah Taala jualah yang Maha Berkuasa yang menuntukan segala sesuatu itu. Saya ingin sarankan agar kita semua dapat mempelajari ilmu aqidah Ahl al-Sunnah Wa al-Jamaah dengan lebih mendalam dan terperinci.

Marilah kita bersama-sama koreksi diri dengan berusaha dan tingkatkan amalan, supaya hidup kita lebih diberkati-Nya!




NB : Saya mohon jika ada kesilapan dalam entry ini, harap maklumkan kepada saya. Yang baik hanyalah daripada Allah Taala, yang buruk adalah kesilapan saya sendiri.

Susunan sendiri dari sumber : islamgrid.gov.my, SiM dan buluh.iluvislam

5 ulasan:

  1. salam kenal, saya turut ikuti blog ini, saja baca2..
    nanti singgahla ke blog saya untuk ambil awardnya.. sudi2kanlah.. :) tq..

    BalasPadam
  2. betul usaha dulu..bila dah buat semua...barulah kita tawakal.. insyallah Allah akan permudahkan..

    BalasPadam
  3. Kella,

    Terima kasih.

    Tak jumpa pula award tu...

    Kain batik suzana tu cantik la... Made in Malaysia ke?

    BalasPadam
  4. Zikr,

    Tks for ziarah again.

    Bukan senang hendak senang, dan bukan susah hendak susah.

    Semoga Dia permudahkan urusan kita, amiin.

    BalasPadam
  5. salamualaikum
    bawang goreng tidak boleh masuk ke majelis taqlim...
    wassalamualaikum

    BalasPadam

Kongsikan komen anda di sini...