BENCANA alam adalah tanda peringatan Allah kepada umat manusia supaya bertaubat dan kembali ke jalan-Nya. - Gambar hiasan
Terlalu mengejar nikmat dunia sehingga manusia lupa tegah amal makruf, nahi mungkar
APABILA terjadi bencana alam, kemarau panjang, krisis politik, runtuhnya ekonomi dan terancamnya keselamatan dalam negara sehingga terjadi peperangan dan kejahatan yang menakutkan, apakah terdetik di hati kita amaran tegas al-Quran yang bermaksud, “Dan begitulah azab Tuhanmu, apabila Dia mengazab penduduk negeri-negeri yang berbuat zalim. Sesungguhnya azab-Nya itu adalah sangat pedih lagi keras.” (Surah Hud, ayat 102)
Kemudian hati kita mula bertanya, apakah kesilapan dilakukan umat Islam yang turut sama terbabit dalam kebinasaan itu. Sebagai individu Muslim yang bertanggungjawab menjaga kesejahteraan umat, adakah cukup masa, tenaga, harta dan ilmu yang dicurahkan untuk memastikan azab Allah tidak turun ke atas masyarakat kita?
Atau sebaliknya kita menjadi individu lemah yang terumbang-ambing dengan keadaan semasa yang melalaikan? Mungkinkah kita tersesat dalam arus dunia yang sentiasa merangsang nafsu? Alangkah indahnya nasihat Qais bin Hazm kepada Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik, manusia yang paling berkuasa di bumi pada zamannya.
Khalifah Sulaiman bertanya, “Mengapa kami membenci akhirat dan mencintai dunia wahai Qais?” Qais menjawab, “Kerana engkau sudah memakmurkan duniamu dan menghancurkan akhiratmu sehingga engkau enggan berpindah dari kemakmuran kepada kehancuran.”
Apabila umat terlena sepanjang malam kerana keletihan memuaskan nafsunya sepanjang siang, bermaksiat secara terang-terangan, tiada lagi sifat malu menderhaka kepada Allah, menentang perintah al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW, merapati kehendak syahwat serapat-rapatnya dan melanggar semua batasan agama dengan berani dan biadab, maka tunggulah selanjutnya sebagaimana yang pernah terjadi pada beberapa kaum sebelum mereka.
Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Sesungguhnya bagi kaum Saba’ ada tanda (kekuasaan Tuhan) di tempat kediaman mereka iaitu dua ladang di sebelah kanan dan di sebelah kiri. (Kepada mereka dikatakan): “Makanlah olehmu dari rezeki yang (dianugerahkan) Tuhanmu dan bersyukurlah kamu kepada-Nya. (Negerimu) adalah negeri yang baik dan (Tuhanmu) adalah Tuhan yang Maha Pengampun.” Tetapi mereka berpaling, maka kami datangkan kepada mereka banjir besar dan kami ganti kedua ladang mereka dengan dua ladang yang ditumbuhi (pohon-pohon) yang berbuah pahit, pohon ‘Atsl dan sedikit dari pohon Sidr. Demikianlah kami memberi balasan kepada mereka kerana kekafiran mereka dan kami tidak menjatuhkan azab (yang demikian itu), melainkan hanya kepada orang yang sangat kafir.” (Surah Saba, ayat 15-17)
Ibnu Kathir menyatakan Allah SWT mengurniakan setiap orang di negeri Saba dengan dua buah taman di sebelah kanan dan kiri rumah mereka. Dipenuhi dengan buah lazat dan manis, air jernih, burung yang indah dan kehidupan yang sangat aman dan sejahtera. Tetapi mereka tidak mensyukuri Allah malah berpaling dan terang-terangan bermaksiat.
Apakah Allah Taala perlu menurunkan Malaikat untuk menyeksa mereka? Tidak! Bahkan Allah menghina mereka dengan hanya mengirimkan tikus yang mampu merobohkan empangan air kebanggaan mereka, akhirnya empangan pecah dan berlaku bah, sehingga ia memusnahkan segala-galanya. Sebagaimana Allah membunuh Namrud bin Kan’an dengan mengutus seekor nyamuk saja. Begitulah azab menimpa kaum yang mengganti nikmat Allah dengan kekufuran.
Jiwa manusia hanya akan tersedar setelah melalui goncangan hebat bernama musibah. Bersyukurlah jika amaran kecil hinggap mengusik hati kita supaya kembali kepada Allah. Jangan sampai tiada lagi peluang sampai azab yang besar datang tanpa diundang menjemput nyawa yang terkandung dalam badan.
Sesungguhnya azab Allah yang turun pada hakikatnya disebabkan kerana dua kelalaian manusia sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Quran iaitu fitnah harta dan tidak tegaknya amar makruf nahi mungkar dalam masyarakat.
Maksiat dan penderhakaan manusia biasanya dipengaruhi ujian harta seperti dinyatakan di dalam al-Quran yang bermaksud, “Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah) tetapi mereka melakukan kederhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya.” (Surah Al-Isra' ayat 16)
Makna daripada perkataan maka Kami perintahkan kepada orang yang hidup mewah adalah; Allah SWT memperbanyak jumlah orang yang mengecap kemewahan lalu dengan itu mereka menderhakai Allah. Berapa ramai manusia yang mampu menahan fitnah hidup selesa, makin kaya makin lupa daratan, bertambah duit bertambah keji penderhakaan yang dilakukan. Ibadat dikala susah tidak bersambung saat harta melimpah, dunia menjadi rebutan sedangkan agama tidak lekat di ingatan. Mereka membangun istana dunia dengan puing keruntuhan akhirat.
Maksiat bermula daripada kesibukan mengejar dunia lalu akhirat kabur daripada ingatan. Berpisahnya hati dari Allah kerana leka dengan nikmat dunia. Ramai yang keletihan menikmati dunia hingga hatinya tak terkesan dengan al-Quran. Ibadat tidak menjadi agenda utama, ilmu jauh sekali menjadi matlamat apatah lagi berkorban untuk agama jauh panggang dari api. Tiada fokus memandang akhirat, yang ada hanya dunia bergemerlapan.
Kesilapan manusia mengundang azab yang kedua adalah tumpulnya semangat ‘amar makruf nahi mungkar’ seperti firman Allah yang bermaksud, “Telah dilaknati orang kafir dari Bani Israil dengan lisan Daud dan Isa putera Maryam. Yang demikian itu, disebabkan mereka derhaka dan selalu melampaui batas. Mereka satu sama lain selalu tidak melarang tindakan mungkar yang mereka perbuat. Sesungguhnya amat buruklah apa yang selalu mereka perbuat itu.” (Surah an-Nisaa’, ayat 78-79)
Apabila suami enggan menegur isteri, ibu bapa takut menasihat anak-anak, guru tidak ambil peduli, pemimpin masyarakat tidak ikhlas berbakti, ahli politik hanya mengambil kesempatan dalam kesempitan, cerdik pandai menjadi penakut dan ulama membisu dan membutakan mata melihat kemungkaran, maka siapakah yang dapat menolong diri mereka daripada kehancuran dan azab Allah?
Kedua-dua fitnah ini sentiasa datang pada setiap umat yang dilahirkan, hanya mereka yang beringat saja mampu menyelamat diri, keluarga, masyarakat dan umat manusia seluruhnya.
Penulis ialah Mufti Perlis, kini menjadi Felo Tamu di Universiti Oxford, UK.
Sumber : Dr Juanda Jaya di BHarian 2010/02/22
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...