PAGE

Rabu, Mac 10, 2010

Wanita bujang menyusukan anak angkat?


Assalamualaikum warahmatullah,

Entry ini saya masukkan untuk reference sesiapa saja yang mempunyai kemusykilan tentang perkara ini. Soalan yang ditujukan dalam e-group SIM yang saya sertai, kata adik ini, "Saya ingin bertanya dan ingin meminta pertolongan saudari semua. Mungkin tajuk saya ini terkeluar sikit. Saya masih bujang, 25 tahun tapi saya nak ambil anak angkat kebetulan lelaki. Isunya saya ingin menyusukan bayi tersebut dan saya ingin mencari tempat di mana? Saya telah menemui klinik2 swasta dan semuanya tidak membenarkan tindakan saya memandangkan saya masih muda. Bagi saya ada je wanita muda ambil anak angkat mcm kak misha omar. Tapi saya tak tahu pula nak contact nak tanya kat mana dia jumpa Dr dan Dr bagi susukan. Isunya, saya ingin mengambil anak angkat serta menyusukan dan saya minta sesiapa yang tahu."

[NB: Saya telahpun PM kepadanya berkenaan pil 'domperidone', pil penggalak pengeluaran susu ibu].

Feedback untuk posting ini, ada yang menentang keinginan pengirim atas alasan ia menongkah fitrah manusia yang sepatutnya berkahwin secara halal untuk mendapatkan zuriat (keturunan). Tidak perlulah saya tulis satu-persatu feedback yang diberikan oleh sahabat lain, cuma secara peribadi, saya hormat keputusan sesiapa sahaja (tidak kira lelaki atau perempuan) yang tidak mahu berkahwin tetapi tetap mahu mengambil anak angkat dan menyusukan anak angkat mereka. Saya percaya, adik yang bertanya ada sebab tersendiri mengapa beliau ingin mengambil anak angkat yang ingin disusukannya sendiri. Menyusukan anak angkat bukanlah sesuatu yang pelik kerana di zaman Rasulullah SAW dahulu memang wujud ibu susu dan Rasulullah juga dipelihara ibu susuannya sehingga beberapa tahun usia baginda.

Berani saya katakan wanita zaman PS2 memang amat FOBIA untuk menamatkan zaman bujang. Kita dapat lihat wanita sekarang ternyata melebihi lelaki dalam banyak hal seperti pendidikan, pengetahuan, kewangan, kerjaya, hartanah dan lain-lain, jadi memang sukar untuk mencari calon suami yang SEKUFU [rujuk : Wanita kuasai sektor awam, Lelaki kena terima cabaran kaum wanita dan Keupayaan wanita bukan ancaman lelaki]. Cuba lihat statistik cerai di Jakim, baru nikah 2-3 tahun sudah ada pasangan yang bercerai, atas alasan yang sangat remeh-temeh seperti 'isteri lambat hidang air/makanan' dan 'suami terlupa tapau makanan'.

Institusi kekeluargaan masyarakat Islam amat rapuh, gejala sosial semakin meningkat dan besar kemungkinan ada yang terfikir, "daripada bernikah dan hidup merana..." atau dalam masa 2-3 tahun akan datang terjatuh dalam statistik Jakim, adalah lebih baik hidup sendirian, tak perlu pening-peningkan kepala. Saya tidak nafikan bernikah dan mempunyai zuriat itu sunnah Rasulullah, tetapi tiada nas yang menyebut 'siapa tidak bernikah akan masuk neraka'. Bernikah juga ada macam-macam hukum. Jika seseorang itu TIDAK SANGGUP memikul tanggungjawab (menjadi suami atau isteri), maka hukumnya haram.

Wanita bujang menyusukan anak angkat?

Islam tidak melarang umatnya mengambil anak angkat. Dengan niat dan cara yang betul, memelihara anak angkat boleh menjadi amal salih yang dapat membekalkan pahala berterusan menjangkau ke alam barzakh dan akhirat. Pengambilan anak angkat oleh mereka yang mempunyai kemampuan kewangan dan kemasyarakatan sedikit sebanyak membantu mengatasi masalah sosial. Dengan kata lain, amalan mengambil anak angkat memenuhi keperluan secara timbal balik dan memenuhi naluri keibuan dalam jiwa setiap wanita.

Namun, tidak semua wanita dianugerahi cahayamata walaupun mereka berkahwin. Dan wanita yang tidak berkahwin disebabkan tidak bertemu jodoh tidak boleh dipandang serong dan tidak pula mendapat peluang untuk mengandung dan memiliki anak sendiri. Tiada siapa yang boleh menolak takdir Allah. Maka, mengmbil anak adalah penyelesaian bagi wanita yang kepinginkan anak yang boleh mereka perlihara sendiri. Dari segi yang lain pula, pengambilan anak angkat ini memberi peluang kepada anak yang tidak mempunyai tempat bernaung kerana kematian ibu bapa, kemiskinan dan sebagainya mendapat pembelaan sewajarnya.

Pada pendapat saya, tidak timbul masalah anak perlukan kedua ibu ayah untuk perkembangan yang sihat, jika begitu, tidak adil bagi anak 'tinggal' (oleh ayah atau ibu sendiri) dan juga anak yatim dan anak yatim piatu. Tidak adil pula bagi suami isteri yang menangguhkan penceraian (jika ternyata bermasalah) atas dasar 'kasihan'kan anak dan membiarkan anak-anak hidup dalam masalah mereka. Ini juga penyumbang contoh yang maha tidak sihat dalam masyarakat kita. Dalam masalah adik ini, title anak angkat itu sendiri sudah jelas, sama ada dia seorang anak yang ditinggalkan ayah atau ibu atau kedua dua ayah dan ibunya. Sebab itu dia 'diangkat'. Jika anak itu tidak diangkat sekalipun, dia akan tetap tinggal di rumah JKM/anak yatim dan besar kemungkinan anak ini tidak merasa langsung bagaimana rasanya mempunyai ayah/ibu atau ayah atau ibu.

Memandangkan betapa parahnya gejala masyarakat yang melanda muda mudi kini, memungkinkan akan lahirnya anak di luar nikah. Oleh itu, aliran mengambil anak angkat di kalangan bayi yang masih kecil ada kebaikannya berbanding tiada siapa yang mempedulikan kepada anak yang sangsi keturunan. Dari sini mungkin akan mengurangkan gejala pembuangan bayi yang tidak berdosa dan dapat memelihara masa depan anak tersebut.

Mengenai hukum wanita bujang menyusukan anak angkat, fuqaha pernah membincangkannya dalam bab – adakah disyaratkan wanita yang menyusukan itu disetubuhi (bersuami) dan mencapai usia tertentu atau tidak?

Ulamak, Mazhab Hanafi, Syafi'e dan Hambali berpendapat, wanita yang menyusukan bayi itu tidak disyaratkan berkahwin dan disetubuhi. Jika payu dara seorang dara mengeluarkan air susu, dan susu itu diminum oleh bayi, maka berlakulah hurmah (haram berkahwin) antara wanita itu dan kerabatnya dengan bayi itu seperti haram dengan sebab hubungan nasab. Adalah lebih aula, anak angkat itu disusukan sendiri oleh ibu angkatnya, untuk memudahkan penjagaan aurat masing-masing apabila anak angkat tersebut besar kelak.

Mengenai usia wanita yang menyusukan, mereka menyatakan disyaratkan usia wanita itu tidak kurang sembilan tahun kerana kemampuan mengeluarkan susu adalah berkaitan dengan kemampuan mengandung dan melahirkan anak. Kanak-kanak bawah sembilan tahun tidak boleh dikatakan sudah mampu (dari segi fizikal) melahirkan anak.

Dari segi persepsi budaya Melayu, menurut Prof Madya Maznah Daud, apa yang diperhatikannya, ia sering berubah-ubah dan tidak semua berlandaskan hukum syarak. Sesuatu yang pada suatu masa dianggap jelek, bertukar menjadi baik pada masa yang lain. Justeru, apa yang penting adalah hukum Allah SWT kerana Dialah satu-satunya yang berhak menentukan halal atau haram sesuatu perkara.

Ada juga yang mengemukakan pendapat anak dara tidak patut mengambil anak angkat dan menyusukan anak angkatnya. Saya tidak nafikan, besar kemungkinan hasrat dan keinginan untuk mendirikan rumahtangga bagi wanita bujang mungkin akan terkubur kerana telah pun memiliki anak biarpun belum bersuami. Kecenderungan wanita profesional yang belum berkahwin untuk mengambil anak angkat dan memakan pil penggalak susu badan untuk menyusukan bayi angkat mereka menjadi suatu kebimbangan dalam masyarakat kita hari ini.

Jika ini yang berterusan berlaku, ia bukan sahaja mematikan keinginan wanita untuk berkahwin tetapi akan membantutkan institusi kekeluargaan yang menjadi teras kepada pembentukan masyarakat. Apa-apapun, nasihat saya kepada wanita yang masih bujang dan nekad untuk mengambil anak angkat (sama ada menyusukan sendiri atau tidak), dapatkanlah petunjuk Allah, pandangan ahli keluarga serta khidmat nasihat daripada cerdik pandai di bidang agama dan lain-lain yang bersangkutan. Ibu angkat juga WAJIB mengambil tahu siapa adik-beradik asal anak angkat untuk mengelakkan perkahwinan sesama muhrim pada masa akan datang (kerana tidak mengetahui tentang susur galur keluarga anak tersebut). Ini penting kerana pengambilan anak angkat dan amalan lain semasa memelihara mereka bersangkut paut dengan hukum dan syarak sama ada mengenai penyusuan, aurat dan sempadan, perwarisan harta, menamakan anak dan sebagainya.

Adalah menjadi tanggungjawab ibu angkat memberi asuhan, didik dan bimbingan agama oleh Allah SWT (yang sepatutnya menjadi tanggungjawab seorang ayah) kepada anak angkatnya. Jagalah anak angkat ini sebaik-baiknya kerana dalam kes ini, andalah yang meminta 'amanah' ini daripada Allah SWT.





Sumber rujukan : Prof Madya Maznah Daud [kerjasama Wanita JIM]

Capaian entry berkaitan ini :
  1. Q&A : Harus makan pil hormon untuk menyusu anak angkat
  2. Media Isnet -Bank Susu
  3. Hukum-isu-penyusuan
  4. PGSM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...