PAGE

Selasa, April 13, 2010

4 orang yang dibenci Allah SWT


Assalamualaikum warahmatullah,

Rasulullah SAW menjelaskan, “Empat macam orang yang dibenci Allah, iaitu penjual yang suka bersumpah, orang miskin yang sombong, orang yang sudah tua berzina, dan imam (pemimpin) yang zalim.” (Hadis riwayat Nasa’i dari Abu Hurairah)

1. Penjual/peniaga yang suka bersumpah bohong

Berniaga adalah antara punca rezeki yang dihalalkan oleh Allah. Ada sesetengah penjual atau peniaga yang suka bersumpah bohong dalam jual-beli mereka untuk meyakinkan para pembeli dan mendapatkan keuntungan yang lebih. Misalnya mereka bersumpah mengatakan, “Wallahi aku beli barang ini dengan harga RM10, sebab itu aku jual Rm12.” (sedangkan mereka beli dengan harga RM8).

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang menjual sesuatu barang yang cacat dengan tidak menerangkan kecacatan itu kepada pembelinya, ia sentiasa dalam kemurkaan Allah, dan Malaikat pula sentiasa melaknatnya.” (Wa’ilah bin al-Asqa’ r.a.)

Sebarang jual beli yang dilakukan mestilah dibuat dengan jujur daripada kedua belah pihak di mana sesiapa yang menjual barang yang cacat dan dia pula sengaja menyembunyikannya daripada pembeli maka sepanjang masa ia akan berada di dalam kemurkaan Allah dan juga malaikat-Nya. Balasan ini adalah wajar kerana ia telah melanggar prinsip keadilan yang menghalang pembeli daripada mendapat faedah bersama, seperti dalam hadis di atas.

2. Orang miskin yang sombong

Orang-orang miskin yang sombong yang juga dibenci oleh Allah di mana kemiskinan itu telah membuatkan dia lupa dengan akhirat, lupa dengan Allah, lupa dengan tujuan hidupnya dan lupa untuk beramal dan selalu disibukkan oleh usahanya mencari makan dan minum untuk menyambung hayatnya. Bahkan kerana miskin juga ada yang berlagak sombong dan menyisihkan diri daripada orang ramai tanpa mahu bergaul. Kerana kemiskinan juga banyak orang miskin yang terjerumus dalam kekafiran, dan dia rela menjual agamanya kerana tuntutan hidupnya sementara dia dijanjikan hidup yang baik dalam agama lain.

3. Orang tua yang berzina

Orang tua yang berzina juga dibenci kerana mereka ini kurang desakan berbanding golongan muda. Kata orang Melayu, “kalau dah rumah kata pergi kubur kata mari, buatlah cara sudah tua...”

Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas. Mereka tidak tahu mensyukuri nikmat pemberian Allah dan ada pula yang tidak sabar dengan ujian yang ditimpakan oleh Allah SWT. Nikmat kepanjangan usia membuatkan manusia hidup bersenang-lenang melakukan berbagai maksiat tanpa berusaha menambahkan amal kebaikan selama tempoh hayatnya yang panjang itu. Bahkan tanpa segan silu masih bergelumang dengan dosa perzinaan.

4. Pemimpin atau imam yang zalim dibenci

Dalam sebuah hadis disebut, “Kamu suka sangat hendak menjadi pemimpin padahal ia boleh menyebabkan dukacita dan rugi besar di akhirat.” Dua orang yang dibelenggu di akhirat (sekiranya tidak menjalankan tugas dengan adil) ialah pemimpin (yang mempunyai 10 orang di bawahnya – apa jua pimpinan) dan hakim. Hanya kebaikan yang dilakukannya mampu membebaskan ia dari belenggu itu.

Pemimpin yang diberi kepercayaan oleh rakyat untuk menjalankan pemerintahan, tetapi dia mensia-siakan kepercayaan itu dengan melakukan berbagai penipuan dan pembohongan yang mengecewakan harapan rakyat.

Tidak ada satu pun pemimpin yang menanggung keperluan umat, melainkan di hari kiamat nanti, ia akan dibelenggu tangannya (sendiri) di atas lehernya, lalu (apakah ia mampu) dilepaskan oleh keadilan atau dilarikan oleh kezaliman. (Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Hibban)

Empat golongan ini tidak akan dipedulikan oleh Allah dan bakal menerima azab di hari akhirat kelak.

Renung-renungkan!


2 ulasan:

  1. mintak kita semua diajuhkan dari benda2 yang tak elok tuh , biar kita dibenci keran kebenaran...bukan kerana populariti semata-mata.

    BalasPadam
  2. Oh... macam tahu-tahu aje... betul, bila kita sampaikan kebenaran, ramai yang benci...

    Tapi tanggungjawab kita menyampaikan kebenaran itu walaupun pahit...

    BalasPadam

Kongsikan komen anda di sini...