PAGE

Selasa, April 13, 2010

Hati yang sejahtera - Part 1

Assalamualaikum warahmatullah,

Saya tertarik untuk memasukkan entry tentang ini setelah membaca sebaris ayat dari surah asy-Syu‘araa’, ayat 88~89 yang dikirimkan ke egrup al-Falaah beberapa minggu yang lalu. Saya terus ke blogspot tersebut untuk membaca lebih lanjut tentang posting yang dikirimkannya, namun, cuma terjemahan ayat itu saja yang ada, tanpa ada apa-apa huraian yang selanjutnya... yare... yare... (やれやれ。。。)... Apa-apapun, alhamdulillah, Allah menggerakkan hamba-Nya itu untuk menghantar posting dan menggerakkan hati saya pula untuk mengorek info lebih lanjut. Saya cuba cari huraian apa yang dimaksudkan dengan ‘hati yang sejahtera’ dengan bantuan pakcik Google dan syukur alhamdulillah, hari ini dapat saya kongsikan di Laman-Seri, sedikit-sebanyak input yang saya dapat hasil daripada carian ini. Semoga terdapat walau sekelumit manafaat daripada entry ini.

Di sini saya titipkan terjemahan firman Allah SWT yang bermaksud, “…(yaitu) pada hari itu harta dan anak-anak laki-laki tidak berguna, kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang sejahtera…” (Surah asy-Syu‘araa’ [026] ayat 88~89)

Hati yang sejahtera (baik) di dalam ayat di atas bermaksud orang yang meninggal dunia dengan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT, akhir kehidupannya dapat mengucap kalimah syahadah, kehidupan mereka di akhirat nanti akan mendapat kebahagiaan dan keredhaan Allah SWT. Itulah kesudahan bagi mereka yang memiliki hati yang sejahtera (baik) atau qalbun salim.

Jenis-jenis hati

Hati yang merajai dan memimpin anggota manusia terbahagi kepada tiga jenis:
  1. hati yang sejahtera (qalbun salim),
  2. hati yang sakit (qalbun saqim)
  3. hati yang mati (qalbun mayyit)

Hati yang sejahtera disebut juga qalbun salim diterima di sisi Allah SWT. Ia mempunyai sifat tersendiri, iaitu:
  1. Hati yang sentiasa kembali kepada Allah (Qalbu munib). Hati orang yang kembali kepada Allah ialah mereka yang mempunyai sifat al-khasyyah, penyerahan kepada Allah (al-Islam lillah), at-tawakkal, at-tadakkur (memperingati ayat Allah), bersih daripada bentuk kesyirikan dan penyembah taghut, bertakwa terutama yang paling asas ialah tetap mendirikan solat dan rukun Islam yang lain.
  2. Hati yang sejahtera ialah hati yang bersifat tenang (mutmainnah), iaitu hati yang sebati dengan zikrullah, hati yang mempunyai keyakinan iman dalam peringkat ‘ainul yakin’; hati yang berjaya menghakikatkan konsep ubudiyah kepada Allah, zahir atau batin, iaitu hati yang berjaya menundukkan keinginan nafsu kepada iradah Allah dan bersih daripada sifat yang merosakkan.
Checklist untuk kita lihat sama ada kita mempunyai hati yang sejahtera atau sebaliknya. Antara ciri-ciri hati yang sejahtera ;
  1. Sentiasa mengingati Allah SWT dalam apa jua keadaan, ketika berdiri, duduk mahupun ketika berbaring, lidahnya sentiasa basah mengingati Allah SWT.
  2. Sentiasa membaca al-Quran dan mentadabburkan makna-maknanya.
  3. Sentiasa peka dengan kewajipan-kewajipan yang ditaklifkan serta menunaikannya dengan cara yang paling sempurna.
  4. Sentiasa berhati-hati terhadap larangan-larangan agama dan menjauhkannya.
  5. Sentiasa bermuhasabah diri dan segera bertaubat kepada Allah SWT.
  6. Berperibadi dengan akhlak yang mulia.
  7. Sentiasa berbaik sangka dan menjauhkan dari berburuk sangka, hasad dengki dan semua sifat-sifat mazmumah dalam hati.
  8. Sentiasa bersyukur kepada Allah SWT dan redha dengan ketetapan ilahi.

Menurut Ibnu Taimiyah, “Hati manusia secara tabii berhajat kepada Allah kerana dua sebab iaitu untuk beribadat dan untuk berserah diri.”

Hati tidak akan menjadi baik dan berjaya, tidak selesa dan gembira, tidak bersih dan tenang, selagi belum sepenuhnya beribadah menyembah Allah dan sepenuh cinta berpaut kepada Allah. Keadaan ini benar-benar menepati maksud sebaris dari doa yang terkandung di dalam surah Al-Fatihah, “Hanya Engkau yang kami sembah dan hanya kepada Engkau kami memohon pertolongan.”

Ibnul Qayyim menjelaskan dalam tafsirnya, dari Ibn Abbas r.a. maksud hati yang selamat sejahtera adalah individu yang mempunyai aqidah yang mantap dalam diri dan melakukan ibadah selari dengan sunnah Nabi Muhammad SAW.

Ke arah mana jua pun kita hadapkan pandangan mata dan pandangan hati, ketahuilah Allah berada bersama-sama kita. Dengan itu, tumpukan segenap jiwa dan raga kita kepada bersegera melaksanakan suruhan-Nya serentak menjauhi larangan-Nya. Sentiasalah ingat kepada ikrar kita : “sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah.”

Dengan yang demikian akan kita perolehi hati yang sejahtera dan sempurna. Juga berjaya memenuhi fitrah dan keperluan hati bagi insan yang bernyawa.

Apabila telah kita ikhlaskan seluruh hidup ini untuk berubudiyah (mengabdi diri/ beribadah) kepada Allah, akan tersingkaplah hijab dari hati dan akan sempurna sifat insaniah kita;
  1. mengenali diri
  2. menemui rahsia kewujudan
  3. merasai kebahagiaan rohani.
Begitulah juga yang dimaksudkan dengan “kemanisan iman.” Ianya hanya akan dirasai setelah kita mengenali Allah dan mengutamakan Allah daripada segala yang lain. Kata Ibnu Qayyim :
“Tidak ada yang lebih disukai oleh hati, melainkan suka kepada Penciptanya kerana :
  1. penciptanya memelihara dan mentadbir segala urusannya
  2. penciptanya memberi rezeki
  3. penciptanya menghidup dan mematikan cinta kepada Allah adalah;
  4. kebahagiaan semua jiwa
  5. kehidupan segala roh
  6. makanan setiap hati
  7. cahaya bagi akal dan mata.”

Imam Fakhru Al-Razi berkata, “Orang yang memahami faedah beribadat akan senang mengerjakan ibadat dan akan merasa berat untuk mementingkan orang lain selain Allah.”

Hal demikian berlaku kerana hati yang sihat sejahtera menyedari bahawa :
  1. Beribadat merupakan perkara sempurna yang memberi kebaikan untuk kehidupan di dunia dan di akhirat.
  2. Ibadat merupakan amanah terbesar seperti maksud firman Allah dalam surah Al-Ahzab ayat 72 yang bermaksud, “Sesungguhnya Kami (Allah) telah mempelawakan amanah (tugas beribadah) kepada isi langit dan bumi serta bukit-bukau, semuanya enggan memikul bebannya dan merasa takut hendak memikul, tetapi manusia sanggup memikulnya.”
Melalui kenyataan ini dapat difahami memenuhi amanah juga merupakan kesempurnaan yang digemari oleh hati yang sejahtera dan sempurna. Bukankah lazimnya jika satu pihak menunaikan amanah terhadap pihak yang lain, kedua-dua pihak akan saling memenuhi amanah?

Cuba renungi kisah berikut :

Seorang sahabat Rasulullah SAW menceritakan; “Pada suatu ketika, aku terlihat seorang Arab desa datang ke masjid lalu segera masuk untuk menunaikan solat. Sedangkan untanya tidak ditambat dan dibiarkan begitu saja. Dia sendiri agak lama solat dan duduk berdoa di dalam masjid. Kami semua hairan melihatkan telatahnya. Apabila dia keluar dari masjid didapati untanya sudah tidak ada. Lalu katanya, “Aku telah menyempurnakan amanah-Mu ya Allah, maka di manakah amanahku?” Tidak lama kemudian datang seorang lelaki memulangkan unta lelaki tersebut.

Daripada kisah ini, dapat dilihat satu pengajaran yang menarik iaitu apabila lelaki tersebut memelihara amanah Allah, maka Allah memelihara pula amanah lelaki itu. Keadaan sedemikian menjelaskan lagi maksud sabda Rasulullah SAW kepada Ibnu Abbas, “Peliharalah amanah Allah dengan baik nescaya Allah memelihara kamu.”

Kesimpulan

Begitulah hasil yang bakal kita perolehi dari hati yang sejahtera dan sempurna. Apabila ibadah telah disempurnakan, bererti kita berpindah dari alam tipu daya dan khayalan ke alam kehidupan sebenar yang membahagiakan. Juga mengeluarkan diri dari kesibukan yang memenuhi naluri makhluk kepada matlamat keredhaan Allah. Dengan yang demikian akan terasa semakin mendalam kemanisan iman. Di situlah letaknya keistimewaan hati yang sempurna.

Ya Allah anugerahkanlah kami hati yang sejahtera, hati yang baik, yang dapat memimpin kami ke jalan yang Engkau redhai. Amiin.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...