PAGE

Selasa, April 13, 2010

Q&A : Syarat zakat, akikah ternakan

Binatang dimiliki orang Islam hendaklah cukup nisab, tidak cacat anggota


SOALAN :


KAWAN saya baru menceburi bidang ternakan kambing dan biri-biri. Apakah syarat kambing dan bebiri untuk akikah dan korban serta syarat zakat ternakan? Selain itu, kebanyakan biri-biri jantan yang diimport dari Australia sudah dikasi dan ada yang sudah dipotong ekornya. Adakah sah bagi tujuan akikah dan korban?

Hairun, Melaka.

JAWAPAN :

Antara harta benda yang wajib dikeluarkan zakat selain emas, perak dan mata wang adalah binatang ternak. Apa yang dimaksudkan dengan binatang ternakan itu ialah seperti unta, lembu, kerbau, kambing dan biri-biri. Syarat wajib zakat binatang iaitu pemiliknya orang Islam, pemiliknya merdeka, miliknya sendiri, sampai nisab, cukup setahun, makanannya dengan pengembalaan bukan dengan rumput belian, binatang itu bukan digunakan untuk bekerja dan seperti digunakan untuk mengangkut dan sebagainya.

Nisab dan zakat kambing ialah:
  • 40 hingga 120 ekor kambing zakatnya 1 ekor.
  • 121 hingga 200 ekor kambing - zakatnya 2 ekor.
  • 201 hingga 300 ekor kambing zakatnya 3 ekor.
  • 301 sampai 400 ekor kambing zakatnya 4 ekor.
  • 401 sampai 500 ekor kambing zakatnya 5 ekor.
  • Dan seterusnya tiap-tiap 100 ekor kambing, zakatnya satu ekor.
Syarat untuk melakukan korban bagi kambing iaitu yang sudah berumur dua tahun, manakala biri-biri yang sudah berumur setahun atau sudah lepas giginya sesudah umur enam bulan. Akikah untuk anak lelaki, dua ekor dan anak perempuan seekor. Binatang yang dipotong untuk akikah, syarat-syaratnya sama seperti binatang yang dipotong untuk korban. Jika pada daging korban disunatkan disedekah sebelum dimasak, maka daging akikah disunatkan disedekah sesudah dimasak.

Namun, sebelum kita hendak melakukannya, haiwan korban atau akikah hendaklah memenuhi syarat berikut:
  • Binatang itu matanya tidak buta sebelah;
  • Bintang itu kakinya tidak pincang;
  • Binatang itu tidak berpenyakit yang jelas kelihatan sehingga kelihatan kurus atau rosak dagingnya.
  • Binatang itu tidak kurus;
  • Binatang itu tidak berkudis;
  • Binatang itu telinganya tidak terpotong sebelah;
  • Binatang itu bukan mengandung atau baru saja bersalin;
  • Binatang itu ekornya tidak terpotong.
Justeru, haiwan yang terputus ekornya tidak sah untuk melakukan akikah atau korban. Paling penting dan harus dijadikan peringatan ialah apabila kita hendak melakukan korban atau akikah, carilah haiwan yang terbaik agar amalan kita diterima Allah SWT. Wallahualam.

Sumber : BHarian 04/04/2010


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...