PAGE
▼
Isnin, April 26, 2010
Bayi susu ibu IQ tinggi
SUSU ibu adalah anugerah pemakanan yang terbaik untuk setiap bayi. Pakar perubatan mengakui ia tidak boleh ditandingi oleh apa jenis susu formula sekali pun. Hakikatnya susu ibu mengandungi segala kebaikan yang diperlukan oleh bayi dalam jumlah yang betul iaitu protein, karbohidrat, lemak, vitamin dan mineral.
Menurut Pakar pemakanan dari Universiti California, Dr. J. Bruce German, khasiat susu ibu terlalu banyak berbanding apa juga jenis susu formula. Antaranya ia mempunyai kolestrum, iaitu cecair berwarna kekuningan yang keluar sebelum susu keluar, yang membantu sistem pencernaan bayi dan menambah baik sistem imunisasi badan bayi.
“Susu ibu adalah zat makanan paling ideal untuk bayi sekurang-kurangnya bagi tempoh enam bulan pertama. Ia cukup berkesan memastikan pembesaran sempurna, mengelak jangkitan penyakit, menggalakkan perkembangan kecerdasan anak dan menghindari obesiti serta penyakit,” katanya.
Menurutnya, bayi yang diberikan susu ibu kurang mengalami alahan, sakit usus, pencernaan dan asma kerana susu ibu juga mempunyai antibodi. Susu badan sepatutnya diberi sebaik saja bayi dilahirkan dan perlu diteruskan sehingga bayi berusia enam bulan.
“Situasi ini penting kerana proses penyusuan badan juga dapat mengubah kehidupan wanita bergelar ibu pada kehidupan yang lebih bermakna,” jelasnya.
Beliau yang berpengalaman dalam bidang nutrisi lebih dari 10 tahun memberitahu, selain kelebihan untuk bayi, ibu turut mendapat banyak manfaat daripada penyusuan badan seperti mengurangkan pendarahan selepas bersalin.
“Malah sesetengah ibu yang menyusukan badan tidak mengalami putaran haid selagi bayinya menyusu. Lebih menarik lagi bagi ibu yang menyusukan bayi dengan susu badan dapat mengembalikan berat badan seperti sebelum hamil dengan lebih cepat. Perlu diketahui bahawa setiap wanita akan mengalami penambahan berat badan sekurang-kurangnya 12 kilogram ketika hamil, malah ada juga mengalami sindrom metabolisme seperti obesiti, tekanan darah, penambahan glukosa dan sebagainya. Melalui penyusuan bayi banyak membantu situasi tersebut kembali menjadi normal.”
“Jadi menjadi satu kerugian besar apabila wanita yang bergelar ibu tidak menyusukan bayi dengan susu badan hanya kerana percaya dengan tanggapan bahawa ia boleh menjejaskan bentuk badan si ibu,” tegasnya lagi.
Bukan setakat itu saja, menurut German, menyusukan bayi dengan susu badan juga dapat mengurangkan risiko osteoporosis atau kerapuhan tulang pada anak.
“Hal ini berlaku, sekiranya ibu menyusukan secara berterusan anak tersebut selama lapan bulan, tulang mereka akan menjadi semakin kuat,” katanya.
Selain itu, menurut kajian yang telah dilakukan bayi yang diberikan susu ibu mempunyai tahap kecerdikan (IQ) yang lebih tinggi dan lebih bijak apabila membesar. Justeru bagi ibu bapa yang baru menerima kehadiran cahaya mata, pastikan bayi anda menerima susu ibu khususnya dalam sejam pertama kelahiran bayi. Ini kerana bayi khususnya yang mengalami kekurangan berat badan, sangat memerlukan kolestrum iaitu nutrien penting yang terdapat dalam susu ibu.
Sumber : UM 20/04/2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...