PAGE

Isnin, April 26, 2010

Adakah kita muslim sejati... atau munafik?


Assalamualaikum warahmatullah,

Hari ini kita berkongsi perihal golongan munafik. Kita kadang kala menyebut, Jangan jadi munafik, ketika berhadapan dengan rakan yang suka KUAT berbohong, tetapi apakah yang kita faham akan golongan munafik? Adakah berbohong sahaja yang boleh dikaitkan dengan munafik?

Kita mengucap syahadah sekurang-kurangnya 9 kali sehari dalam solat wajib yang kita kerjakan sehari-hari. Namun adakah perbuatan dan percakapan kita selari dengan apa yang kita ucapkan dan memenuhi kehendak syarak? Semoga entry kali ini menjadikan checklist untuk kita renungi kembali sama ada kita benar-benar berkelakuan sebagai seorang Muslim yang selayaknya, ataupun kita seorang munafik seperti yang disebutkan seperti dalam hadis yang disebutkan dalam entry ini.

Golongan munafik wujud sejak zaman Rasulullah SAW lagi. Mereka berpura-pura mengikuti ajaran Islam tetapi hakikatnya hati mereka menyimpang daripada Islam. Firman Allah bermaksud, “Apabila orang-orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata, “Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau sebenar-benarnya Rasul Allah’. Dan Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah Rasul-Nya, serta Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta.” (Surah al-Munafiqun, ayat 1)

Dalam al-Quran, Allah menerangkan dengan jelas perihal orang Munafik malah menamakan satu surah, al-Munafiqun bagi menggambarkan bahayanya golongan itu. Pada zaman Rasulullah SAW, mereka sentiasa berdolak-dalih apabila diminta keluar untuk berjihad ke jalan Allah.

Allah SWT merakamkan keadaan ini menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Dan juga dengan tujuan Ia hendak melahirkan dengan nyata akan orang yang munafik yang dikatakan kepada mereka. Marilah berperang pada jalan Allah (untuk membela Islam), atau pertahankanlah (diri, keluarga, dan harta benda kamu)”... Mereka menjawab: “ Sekiranya kami mengetahui bagaimana hendak berperang , tentulah kami mengikut kamu (turut berperang).” (Surah Ali ‘Imran, ayat 167).

Allah SWT berfirman bermaksud: Sesungguhnya orang munafik itu melakukan tipu daya terhadap agama Allah dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya, dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik. Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka hanya bertujuan riak memperlihatkan sembahyangnya kepada manusia supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman dan mereka pula tidak mengingati Allah dengan mengerjakan sembahyang melainkan sedikit sekali. (Surah an-Nisaa', ayat 142)

Rasulullah SAW menjelaskan hal ini dalam hadisnya yang bermaksud: “Tanda orang munafik itu ada tiga;
1. apabila berkata ia berdusta,
2. dan apabila berjanji ia mungkir,
3. dan apabila diberi amanah ia khianat.”


(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ada empat perkara, sesiapa yang melakukannya maka ia adalah seorang munafik yang jelas. Sesiapa yang melakukan satu daripada empat perkara itu, maka ia mempunyai salah satu daripada sifat munafik hingga dia meninggalkannya iaitu :

1. apabila dipercayai ia khianat,
2. apabila bercakap ia berdusta,
3. apabila berjanji ia mungkir dan
4. apabila bertengkar ia mengenepikan kebenaran (menegakkan benang yang basah).”


(Hadis riwayat Bukhari)

Pengkelasan golongan munafik

Ulama mengkelaskan golongan munafik kepada dua :

Pertama, munafik I’tiqad iaitu kepercayaan dalam hati. Dalam bahasa mudahnya, ia berkaitan pegangan terhadap pokok (asas) iman. Golongan munafik hanya beriman kepada Allah secara luaran. Mereka hanya berlakon di khalayak ramai, tetapi mendustakan agama Allah yang dibawa Rasul-Nya. Golongan itu terkeluar daripada agama Allah, kekal dalam neraka sekiranya tidak perbetulkan i'tiqadnya dan mati dalam keadaan tidak sempat bertaubat kepada Allah SWT.

Firman Allah bermaksud: “Dan di antara manusia ada yang berkata: ‘Kami beriman kepada Allah dan hari Akhirat; padahal mereka sebenarnya tidak beriman.” (Surah al-Baqarah, ayat 8)

Yang kedua disebut munafik ‘Amali iaitu yang berkaitan dengan perbuatan.
Golongan ini melakukan dosa yang memerlukan seseorang itu bertaubat kepada Allah. Walau bagaimanapun, golongan ini akan dimasukkan ke syurga setelah diazabkan di dalam neraka.

Daripada dua hadis yang disebutkan di atas, tidak dapat dinafikan bahawa sifat-sifat yang menjadi pegangan golongan munafik kadang-kadang dihadapi oleh kita sendiri, sama ada dalam keadaan sedar mahupun tidak. Contohnya ialah suka berbohong atau menipu, mungkir janji atau mengkhianati amanah yang dipertanggungjawapkan di atas bahu kita.

Terkadang, kita sendiri tidak menyedari bahawa hampir kebanyakan daripada amalan sehari-harian kita adalah merupakan amalan ciri-ciri golongan munafik. Jadi, sentiasalah muhasabah diri dan prihatin dengan setiap apa yang akan dan telah kita lakukan. Lagi ciri-ciri munafik yang dipetik dari ustazmelaka.net.

50 tanda-tanda orang munafik mengikut al-Quran dan as-Sunnah
  1. Malas beribadah kepada Allah SWT - Malas mengerjakan solat, segan untuk menempatkan diri di saf pertama, enggan mencari ilmu pengetehaun dan berat melangkah untuk ke majlis kebajikan.
  2. Lupa kepada Allah
  3. Melalaikan solat fardu - Sengaja melengahkan atau lambat menunaikan solat sehingga berada di akhir atau habis waktunya.
  4. Mempercepatkan pergerakan solat - Orang yang mempercepatkan solatnya tanpa rasa khusyuk dan lupakan Allah, maka solatnya tidak diterima Allah. Itulah solat orang yang munafik.
  5. Gemar meninggalkan solat berjemaah -Sihat dari segi fizikal dan jasmani, mempunyai waktu lapang dan tidak uzur syarie, tetapi tidak mahu mendatangai masjid ketika mendengar seruan azan.
  6. Meninggalkan solat Jumaat
  7. Melakukan dosa dan kemungkaran secara sembunyi -Berpura-pura melakukan kebaikan di tengah-tengah orang ramai dan gemar melakukan kemungkaran di belakang orang adalah dibenci Allah SWT.
  8. Menyuruh yang mungkar dan melarang yang ma’ruff.
  9. Menyembunyikan ilmu pengetahuan -Orang-orang yang memiliki ilmu dan apabila ditanya orang lain sedang dia mengetahui persoalan yang ditanyakan itu tetapi tidak menjelaskannya. Ini merupakan perbuatan yang menghalang kemajuan ummat Islam dan dapat menutup kebenaran.
  10. Mengamalkan riyak
  11. Hasad dengki
  12. Dusta
  13. Mungkir janji
  14. Bakhil
  15. Fitnah -Menyampaikan keburukan orang lain di kalangan orang ramaai supaya mereka membenci atau memusuhinya. Ia juga tergolong dalam sifat-sifat munafik dan dosa-dosa besar.
  16. Mencaci maki -Menyakiti orang lain dan mencemarkan maruah seseorang itu.
  17. Mengumpat
  18. Mengungkit pemberian kepada orang yang menyakiti hatinya -Mengungkit kembali pemberian kepada orang lain dengan harapan dikenang jasa dan sumbangannya serta ingin menyakiti hati orang lain. Perbuatan ini dicela dalam Islam.
  19. Mengingkari qadar (takdir) Allah -Sesungguhnya orang yang menolak, membenci atau mengingakari takdir Allah, tergolong dalam golongan kufur dan rosak iman dan mendapat azab serta kemurkaan Allah.
  20. Mempersendakan kesucian agama -Perbuatan mempersenda kesucian dan agama Islam adalah suatu yang amat dibenci dan dilarang dalam Islam kerana ianya seolah-olah menentang sesuatu yang diturunkan Allah.
  21. Enggan berjihad
  22. Menghina sahabat Rasulullah SAW -Perbuatan ini dianggap melanggar larangan baginda, berdosa besar dan termasuk dalam golongan orang munafik
  23. Menyembunyikan persaksian pada jalan yang benar
  24. Menangguhkan pembayaran hutang
  25. Menipu dalam jual beli -Perbuatan menipu ini adalah melibatkan amalan timbang atau sukat sesuatu barang tanpa kadar yang mencukupi atau menjual barangan yang rosak di mana menimbulkan rasa kecewa dan tidak puas hati pembeli pada akhirnya.
  26. Ghasab -Ghasab ialah mengambil atau menguasai harta (tanah) orang lain dengan jalan aniaya, iaitu jalan yang tidak diredhai Islam. Perbuatan ini walaupun dengan mengambil cuma sejengkal, adalah termasuk perbuatan dosa besar dan munafik.
  27. Bergaul dengan orang yang memperolokkan al-Quran
  28. Memakan harta anak yatim
  29. Membuka rahsia orang lain
  30. Merasa aman dari murka Allah apabila berbuat dosa -Apabila seseorang melakukan dosa dan merasa selamat dari murka dan seksaan Allah, maka anggapan ini adalah berdosa besar dan amalan orang-orang munafik.
  31. Memanggil orang dengan gelaran buruk yang tidak disukai
  32. Menghalangi orang dari mengamalkan ajaran Islam
  33. Suka kepada kesesatan dan menyesatkan orang lain
  34. Bermuka dua -Sikap ini ialah apabila diajak untuk mengikut jalan Allah, sengaja melambat-lambatkan dan tidak mahu. Tetapi, apabila diajak ke jalan yang dimurkai Allah, dengan senang dan cepat mereka menurutnya.
  35. Menyanjung dan memuji orang tanpa diketahui keadaan sebenar
  36. Sombong antara sesama manusia
  37. Suka berbantah dan bertengkar sesama Muslim
  38. Melampaui batas yang digariskan oleh Allah -Perbuatan yang menurut kehendak nafsu sehingga boleh tersesat dan menyesatkan pada jalan yang benar sebagaimana Yahudi dan Nasrani.
  39. Berputus asa dalam menghadapi cabaran hidup
  40. Membazir dalam memanfaatkan nikmat Allah
  41. Keluh kesah apabila ditimpa musibah
  42. Mengkhianat sesuatu amanah
  43. Memutuskan silaturrahim
  44. Memecahbelahkan perpaduan kaum Muslimin
  45. Menghalalkan yang haram
  46. Membuat kerosakan di muka bumi
  47. Menuduh orang beriman - Orang munafik mempunyai pendirian yang lemah dan amat sedikit memiliki ilmu pengetahuan tentang perkara yang bermanfaat dan memudharatkan. Justeru, mereka menuduh orang beriman atau kurang ilmu pengetahuan dalam urusan kehidupan.
  48. Mengubah dan menyalahgunakan ayat-ayat Allah
  49. Bersumpah dengan selain nama Allah SWT
  50. Merasa gembira apabila musibah menimpa orang beriman
Amat wajar kita berusaha sedaya upaya kita menghindari diri daripada terjerumus ke arah ciri-ciri munafik seperti yang disenaraikan seperti di atas kerana sifat-sifat yang disebutkan itu boleh membahayakan akidah dan kita tentu sekali tidak mahu balik kampung akhirat dengan tangan kosong. Lalu, ke manakah kita akan pergi nanti?

Imam al-Ghazali pernah menyebut, Sesungguhnya mengetahui perkara negatif itu bukan untuk mengikutinya sebagai teladan, tetapi bertujuan untuk menghindarinya dan dijadikan sempadan.

Secara fitrahnya, kita tidak akan terlepas daripada melakukan dosa dan kesalahan. Sudah tentu saban hari kita menuturkan kata-kata, membuat janji dan memikul amanah.

Persoalannya :
  1. Adakah kita melakukan segala perbuatan dengan cara yang betul menurut kehendak Islam?
  2. Ataupun kita melakukan perbuatan itu mengikut cara orang munafik melakukannya?
Persoalan ini hanya mampu dijawab dengan positif bagi mereka yang memiliki iman yang kukuh. Apakah tindakan kita selama ini seperti golongan munafik ini?

Bagaimanakah kita dapat menghadapi golongan munafik ini?

Pertama, kita mestilah mempelajari Islam sedalam yang boleh dengan mengikuti kelas-kelas pengajian supaya kita tidak mudah tertipu. Kita tidak mahu disebabkan oleh kejahilan, kita sendiri yang mencemarkan Islam.

Kedua, berhati-hatilah dengan siapa kita berkawan. Sekiranya kawan kita itu mengajak kepada yang mungkar dan meninggalkan yang makruf, nasihatilah dengan baik.

Tanganilah segala permasalahan berpandukan syariat Islam. Sentiasalah bermuhasabah diri supaya setiap hari kita dijauhi daripada memiliki sifat-sifat munafik. Allah SWT telah berfirman: “Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan memberi jalan keluar dan mengurniakan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka datangnya.” (Surah at-Talak ayat 2)

Renung-renungkan!



Capaian entry berkaitan :
  1. 10 Perangkap Syaitan
  2. Jangan bohong!
  3. Tiada istilah ‘bohong sunat’
  4. Pertimbangan iman asas hadapi dugaan
  5. Tegur, nasihat hindar diri daripada sifat munafik
  6. Bahagia dengan Husnul Khatimah, Sengsara dengan Su'ul Khatimah
  7. Harus poligami hanya kepada yang layak
  8. Elakkan fitnah - 7 dosa besar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...