PAGE
▼
Selasa, April 20, 2010
Elak dapat dosa kering
MEGA: Mutakhir, banyak filem bercorak seram, hantu dan tahyul disiarkan menerusi rancangan televisyen di negara kita. Justeru, timbul kebimbangan adakah perkembangan ini menjejaskan pemikiran anak-anak terhadap konsep ketauhidan kepada Allah?
DR. ZULKIPLE: Kita sedar usaha untuk mencapai sekurang-kurangnya 80% rancangan yang dikatakan bercorak tempatan telah diusahakan secara serius sejak tahun 1980-an. Namun hingga kini kita masih lagi belum mencapai sasaran. Masalah besar yang berlaku ialah production house kita sangat kecil dan masalah survival dalam perniagaan.
Balik kepada filem seram, hantu dan tahyul, ia memang diakui memberi kesan kepada khalayak. Kepada khalayak Muslim, ia memang ada kesan, namun bergantung juga kepada latarbelakang individu.
Dulu ada perbincangan dan teori seperti 'pendedahan terpilih', iaitu individu atau khalayak sendiri yang mendedahkan diri kepada program yang disukai. Maksudnya, merekalah yang cenderung mendedahkan diri kepada jenis program tersebut. Kepada individu yang dianggap rapuh pengetahuan dan imannya, ia memang memberi kesan.
Kesan boleh dilihat dalam tiga kategori iaitu kepada pemikiran, perasaan dan tingkahlaku. Jika ia mempengaruhi pemikiran, ia akan diikuti dengan perasaan berbelah bagi dan jika sampai kepada perubahan tingkah laku, ia sudah dikira sebagai kesan yang cukup kuat.
Hendak mengubahnya memerlukan masa dan usaha yang lebih sukar.
MEGA: Ada juga yang berpandangan, dalam dunia tanpa sempadan, tidak guna kita menapis program atau filem-filem tempatan. Sebabnya banyak lagi filem yang boleh ditonton menerusi internet dan sebagainya. Soalnya, adakah agensi seperti Lembaga Penapisan Filem (LPF) tidak lagi relevan?
DR. ZULKIPLE: Apa yang kita perlu sedar ialah tiap-tiap pihak mempunyai amanah dan tanggungjawab. Individu ada tanggungjawab, organisasi ada tanggungjawab begitu juga di pihak berkuasa atau kerajaan.
Dalam siasah syar'iyyah disebut hifz al-din atau menjaga agama. Tanggungjawab menjaga agama sebahagian besarnya terletak juga pada kerajaan dan ketika ini yang bertanggungjawab menapis ini terletak kepada LPF.
Saya membaca garis panduan yang disediakan misalnya berhubung dengan aspek keselamatan dan ketenteraman awam, keagamaan, sosiobudaya dan ketertiban dan kesusilaan. Semuanya amat penting dipraktikkan atas asas amanah dan tanggungjawab.
Tidak ada kebebasan mutlak, malah dalam negara yang mendakwa free enterprise pun masih ada kawalan atas nama 'kepentingan awam'. Justeru, dakwaan bahawa kita perlu bebas segala-galanya atas nama ketidakmampuan menapis atau diluar kawalan adalah dakwaan pihak yang tidak ada amanah dan tanggungjawab.
Cuma seperti yang saya sebutkan, organisasi media perlu juga mengamalkan prinsip tapisan dalaman, begitu juga individu. Cuma di sini, manusia memang cenderung kepada perkara-perkara berkaitan nafsu, justeru akallah yang akan memandu nafsu kepada jalan kebenaran.
MEGA: Kita maklum, bahawa program TV atau filem mampu digerakkan sebagai medium dakwah. Sayangnya, kelihatan produser filem seolah-olah tersepit antara mengetengahkan filem yang sarat dengan mesej baik dan dakwah dengan filem bercorak remaja dan cinta yang lebih mendapat permintaan di pasaran. Bagaimana membetulkan keadaan ini?
DR. ZULKIPLE: Pada saya persoalan pokok ialah niat. Jika niat kita jelas untuk menjadikan filem sebagai saranan dakwah dan membawa kepada kebaikan menyeluruh kepada masyarakat, insya-Allah hasilnya bukan sahaja kita nikmati di dunia tapi juga di akhirat.
Dari segi praktikaliti, kita sedar produser filem melabur duit yang banyak untuk menghasilkan sesebuah filem dan sudah tentu mengharapkan keuntungan kerana ia adalah survival hidup. Khalayak penonton filem yang besar memang di kalangan remaja dan muda. Kita boleh membikin filem dengan tema-tema berkaitan remaja. Tidak ada masalah.
Cuma biarlah mesej, jalan ceritanya, babak demi babak hingga produk akhirnya adalah yang berlandaskan syariat. Tidak ada masalah dari segi kreativiti dan kita boleh belajar dari sebahagian filem-filem dari Iran yang jika diukur dari segi syariat cukup baik, malah memenangi anugerah di peringkat antarabangsa.
Masalah besar di kalangan produser Islam sendiri ialah untuk kembali kepada identiti sendiri tanpa perlu menciplak bulat-bulat kaedah berfikir dalam membikin filem dari acuan negara barat semata-mata.
MEGA: Kadang-kadang seseorang itu mampu menjiwai watak baik, sopan dan alim dalam filem atau televisyen. Sayangnya, dalam kehidupan sebenar, dia gagal menjadi hamba Allah sebagaimana yang dituntut. Apa nasihat kepada mereka ini?
DR. ZULKIPLE: Pada saya dalam Islam sebenarnya tidak ada konsep kehidupan 'peribadi' dan kehidupan publik. Kita adalah kita yang sebenarnya. Kebolehan lakonan adalah bakat dan anugerah dari Allah. Saya cukup gembira jika kita ada pelakon yang boleh memegang watak baik atau kadang-kadang watak tidak baik. Ini bermakna kita dapat menghayati dan betul-betul sebagai pelakon.
Justeru, yang penting ialah kita adalah kita yang boleh membezakan amalan baik dan tidak baik. Kayu ukurnya ialah ajaran dari Allah, bukan yang kita reka-reka. Jika kita nampak alim atau warak dalam filem, seboleh-bolehnya kita adalah orang yang sama di luar filem. Pada saya semuanya bergantung kepada nawaitu dan perilaku kita yang sebenar.
Kita tidak boleh menjadikan hanya penonton kita menikmati kebaikan yang kita lakonkan, sedangkan kita tidak nikmatinya. Ia adalah satu kerugian dalam hidup. Seperti seorang pelawak yang menggembirakan orang ramai tapi dia sebenarnya berduka lara.
MEGA: Berdasarkan firman Allah dalam ayat 2 surah al-Maidah yang bermaksud; Hendaklah kamu bertolong-tolongan dalam kebajikan dan jangan bertolong-tolongan dalam perkara maksiat dan kejahatan, adakah kita akan menerima 'saham' dosa jika filem yang dihasilkan itu mendorong orang melakukan kejahatan?
DR. ZULKIPLE: Saya percaya apa sahaja yang kita lakukan akan dibalas oleh Allah, jika kita membuat kebaikan sebesar zarah sekalipun Allah akan membalasnya dengan kebaikan, begitu juga sebaliknya.
Berlakon pada asalnya adalah amalan mulia. Nabi SAW memuji para penyair di zamannya yang membuat kebaikan, dengan syair yang menyeru manusia kepada kebaikan. Namun, baginda juga mengingatkan bahawa bidang seni ini juga cukup senang terjerumus kepada kejahatan yang melibatkan wanita, arak dan judi. Baginda mengingatkan supaya mereka yang bekerja dalam bidang seni perlu berhati-hati atau dengan istilah lain 'kuat iman' kerana godaannya besar.
Jika kita bercakap mengenai filem, semua orang ada 'saham'. Daripada penulis skrip, juru kamera, pelakon, make up artis, juru lampu, editor, juru bunyi, pereka dan sampailah kepada hasilnya yang ditonton oleh penonton semuanya ada saham.
MEGA: Apa yang perlu dilakukan oleh pihak berkuasa agama dan orang Islam sendiri?
DR. ZULKIPLE: Pada saya enggagement antara pihak berkuasa agama dan golongan ilmuwan Islam dengan peneraju dan players yang terlibat dalam dunia perfileman perlu dipergiat. Dialog yang ikhlas boleh menghasilkan natijah yang baik. Kedua-dua pihak perlu memperbanyakkan pertemuan yang rasmi dan tidak rasmi.
Dengan keikhlasan untuk sama-sama mencari keredaan Allah dalam hidup yang singkat di atas muka bumi ini, insya-Allah, Allah akan menyatukan hati-hati yang rindu kepada-Nya dengan kebaikan.
Sumber : Utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...