PAGE

Selasa, April 20, 2010

Salman al-Farisi pakar strategi peperangan takluk Parsi

Khandak - gambar hiasan

KEJUTAN antara senjata ampuh dalam peperangan. Itulah yang berlaku dalam Perang Khandak (Parit). Selepas kejayaan tentera Quraisy mengalahkan umat Islam pada perang Uhud, mereka ingin melakukannya lagi dalam perang Khandak pada 6 Hijrah. Dengan pakatan orang Yahudi Madinah daripada puak Bani Nadir dan jumlah tentera melebihi 10,000 pasukan, tentera gabungan kaum musyrik di bawah pimpinan Abu Sufyan ibn Harb menyerang Madinah.

Tentera Islam dengan kepemimpinan Nabi SAW hanya berjumlah 3,000 pasukan, manakala pihak musuh pula 10,000 orang. Mesyuarat pun diadakan untuk mencari kesepakatan yang terbaik dalam mempertahankan Madinah.

“Wahai Rasulullah,” jelas suara seseorang mula mengemukakan pendapatnya. “Mengapa kita tidak membuat parit di sekeliling Madinah? Cara ini biasa kami lakukan dalam menghadapi peperangan.” Semua yang mendengar terpegun dan berasa hairan. Membuat parit? Untuk apa? Tidak pernah terbayangkan oleh mereka cara ini. Pasti akan memakan masa yang lama.” Itulah mungkin antara reaksi yang timbul.

Nabi pun menerima cadangan itu dan memerintahkan semua sahabat untuk membuat parit di sekitar Madinah. Akhirnya mereka berhasil membuatnya dalam tempoh enam hari. Berkat parit itulah, Madinah terselamat daripada jatuh ke tangan musuh Islam. Umat Islam memperoleh kemenangan besar dalam peperangan ini dan dijadikan satu nama surah al-Quran iaitu surah al-Ahzab (Gabungan Tentera).

Antara sebab kemenangan itu adalah ada unsur kejutan dalam pembuatan parit yang tidak dikenali masyarakat Arab ketika itu. Unsur kejutan ini diberikan cadangannya oleh seorang sahabat warga asing yang berasal dari Parsi bernama Rouzbeh atau yang dikenali dalam Islam dengan nama Salman al-Farisi.

Salman al-Farisi pada awal hidupnya ialah seorang bangsawan dari Parsi yang menganut agama Majusi. Beliau dilahirkan di kota Kazerun, Fars, Iran. Ayahnya seorang Dihqan atau pegawai daerah. Dia adalah orang terkaya dan memiliki rumah terbesar.

Sebagai seorang ilmuwan dalam agama Majusi yang tidak henti-henti mencari kebenaran, Salman kemudian menemukan agama Kristian lebih baik daripada Majusi dan melarikan diri ke Syria untuk mendalaminya. Paderi terakhir sebagai gurunya memberitahunya bahawa sudah datang seorang nabi di tanah Arab, yang memiliki kejujuran, yang tidak memakan sedekah untuk dirinya sendiri.

Salman pun ke Arab mengikuti pedagang dari Bani Kalb, dengan memberikan wang dimilikinya. Pedagang itu setuju untuk membawa Salman. Ketika tiba di Wadi al-Qura (tempat antara Syria dan Madinah), pedagang itu mengingkari janji dan menjadikan Salman bahan dagangan yang dijual kepada seorang Yahudi.

Salman pun tiba di Madinah bersama tuannya. Selepas berjumpa dengan Nabi, Salman akhirnya memeluk Islam, tapi beliau masih hidup sebagai hamba sahaya Yahudi sehinggalah dimerdekakan oleh Nabi dan sahabat selepas perang Uhud. Uniknya, sebahagian wang tebusan memerdekakan Salman itu diberikan Nabi SAW melalui penanaman 300 pokok kurma yang ditanam Baginda.

Salman bagaimanapun belum boleh mengikuti perang Uhud dan sebelumnya perang Badar kerana beliau masih menjadi budak hamba.

Betapa gembira hatinya, kenyataan diterimanya jauh melebihi apa dicita-citakan, daripada sekadar ingin bertemu dan berguru menjadi anugerah bermakna iaitu pengakuan sebagai Muslimin. Beliau diletakkan di bawah jagaan Abu Darda’ al-Ansari.

Salman al-Farisi banyak mendapat gelaran daripada Rasulullah SAW seperti disebutkan dalam beberapa hadis antaranya ‘Imam,’ ‘Benderanya Bendera,’ ‘Ahli Waris Islam,’ ‘Ilmuwan yang amat berilmu’ dan ‘Seorang Keluarga Nabi.’

Salman juga yang mencadangkan tentera Islam pimpinan Sa’ad bin Abi Waqqas untuk menyeberangi Sungai Tigris untuk menakluk tentera Parsi pada 16 Hijrah, padahal tentera Islam tidak biasa menghadapi situasi tempat yang ada sungai. Mereka hampir putus harapan bagaimana mahu menyeberanginya.

Selepas menyeberangi sungai tanpa seorang pun yang tewas dan cedera yang mana kejadian itu menakjubkan tentera Parsi dan rajanya sehinggakan mereka semua memilih untuk memeluk Islam.

Salman al-Farisi kemudian diangkat menjadi Gabenor di Parsi. Bagaimanapun, beliau tidak sombong, lalai dan tertipu dengan muslihat dunia. Beliau tidak memiliki rumah dan hanya tidur di bawah lindungan bayangan satu pohon ke pohon yang lain.

Salman al-Farisi meninggal dunia pada 33 Hijrah pada zaman Khalifah Othman ibn ’Affan, di tempat beliau dilahirkan.

Sumber : BHarian 18/04/2010


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...