PAGE

Selasa, April 20, 2010

Kisah dari Mahkamah Syariah: Mohon cerai gara-gara suami kuat membebel


Assalamualaikum warahmatullah,

Kisah ini saya petik dari al-Falaah egrup, sebenarnya saya sudahpun membacanya di Berita Harian Sabtu 17/04/2010, tetapi tidak menemuinya di BHOnLine. Berikut saya kongsikan kisah yang disediakan oleh Fatin Hafizah Mohd Shahar [fatin@bharian.com.my]. Mudah-mudahan menjadi teladan kepada kita semua.



KADANGKALA terlalu menekankan kesempurnaan dalam menjalani aktiviti harian, juga boleh mendatangkan kebosanan kepada pasangan yang hidup bersama kita. Mana tidaknya, salah sedikit, sederet leteran yang ditujukan hingga membingitkan telinga mendengarnya.

Memanglah tidak dinafikan, setiap insan di dunia ini gemar akan kesempurnaan dan pastinya tidak boleh hidup dalam keadaan haru-biru. Namun setiap perkara itu tidak perlulah terlalu ditekankan kerana kita bukannya manusia yang hidup hanya untuk satu matlamat.

“Macam mana tidak menceraikannya, kalau sudah setiap kali saya pulang ke rumah, melihat wajahnya yang tidak siap masih berada di dapur memasak. Atau paling tidak pun, dia sedang mencuci baju sambil berkemban. Jauh sekali dari sikapnya yang pernah saya kenali dulu. Mata mana yang tidak sakit, memanglah saya faham dia menjalankan tugasnya sebagai seorang isteri, tapi hati dan pandangan suaminya juga perlu dijaga. Janganlah sebabkan kita sudah berkahwin, semuanya menjadi lagi teruk,” kata Zain (suami) mengenai isterinya, ketika berada di luar perkarangan mahkamah.

Sedih mendengar kata-katanya itu, manalah nak menang tangan si isteri itu, perlu menyiapkan hidangan makan malam, sediakan pakaian dan menjaga anak-anak kecil yang banyak kerenahnya. Tapi, si suami pula tahu membebel melihat keadaan isteri yang comot baik sebelum mahupun selepas pulang kerja.

Tidak tahan dengan lontaran kata-kata si suaminya, Adibah (isteri) pun dengan selambanya menjawab jika ingin sentiasa kelihatan cantik dan bergaya, berikan wang saku secukupnya dan sediakan pembantu rumah agar dia boleh berehat dan melayan lelaki itu sepenuh masa.

“Pandailah nak mengutuk isteri sendiri, dulu sebelum berkahwin bukan main lagi janji nak beri secukupnya, tak perlu bekerja dan boleh berehat di rumah, apa yang penting hanyalah menjaga kelengkapan suami dan anak-anak,” katanya.

Adibah, yang berusia lingkungan 30-an, baru memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya di Mahkamah Syariah di Kuala Lumpur, memberitahu dia terpaksa mengambil tindakan itu selepas tidak tahan melihat Zain suka membandingkannya dengan perempuan lain yang dikenali. Jelasnya lagi, sikap suaminya yang suka mengongkong dan berkira dengan apa juga yang dibelanjakan juga membuatkan dia dan anak-anaknya selalu terpaksa menahan lapar berikutan segala perbelanjaan akan dicatu oleh suaminya.

“Entahlah kenapa, Zain bersikap pelik begitu. Dia tidak membenarkan saya bekerja, tapi dalam masa yang sama dia berkira dalam perbelanjaan keluarga. Suami saya kuat berleter orangnya, silap sikit, sepanjang hari dia akan terus membebel perkara sama sehinggalah ada isu baru yang boleh dijadikan bahan. Macam manalah saya hendak bergaya di rumah, sedangkan setiap pagi saya perlu bangun awal untuk menyediakan sarapan untuknya, kemudian menyiapkan anak-anak dan melakukan kerja rumah. Pada masa yang sama, saya juga membuat kuih sepit untuk dijual dan hasilnya disimpan dalam tabung anak-anak,” katanya yang mula reda daripada kemarahannya.

Adibah berkata, pada mulanya dia boleh bersabar dengan sikap suami yang suka membandingkannya dengan rakan sepejabat lelaki itu yang kononnya jauh lebih bergaya, namun lama-kelamaan pujian itu menjadi bara di dalam hatinya dan tidak berdaya untuk disimpan lagi.

“Hati mana yang tidak jadi berapi mendengar suami sendiri asyik memuji dan bercerita perempuan lain. Bukannya hendak cemburu, tapi memang tidak adil caranya begitu. Sudahlah begitu, dia juga sering panggil saya pemalas kerana rumah yang dikemas asyik bersepah.”

“Satu hari, sejurus dia pulang ke rumah, Zain terus melontarkan stokin kerjanya ke depan muka saya dan suruh membasuhnya. Entah dari mana munculnya api kemarahan, saya terus membaling senduk yang sedang dipegang ke mukanya dan kami mula bertengkar,” katanya sambil mengerling tepat ke arah suaminya.

Katanya, perbalahan yang berlaku lebih kurang sejam setengah itu akhirnya membuatkan dia sedar bahawa ikatan perkahwinan itu tidak berbaloi untuk diteruskan kerana sikap suaminya yang tidak memahami keadaannya.

“Saat itulah baru saya sedar, suami tidak mungkin akan menghargai apapun yang saya lakukan, kerana dia tidak menyayangi saya sepenuhnya. Oleh itu, perceraian adalah satu cara yang terbaik untuk memulihkan keadaan dan bagi saya meneruskan kehidupan ini tanpa hinaan dan kutukannya,” katanya.



Capaian entry berkaitan :
  1. Perihal aktiviti berleter a.k.a. membebel

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...