PAGE

Jumaat, April 09, 2010

Suami tunjang rumah tangga bahagia


Lelaki kena teladani cara Rasulullah hormati isteri jalani kehidupan sebagai ketua keluarga


PASTI ramai terkejut dengan laporan akhbar baru-baru ini bertajuk, ‘12,349 lelaki yang tidak bertanggungjawab’. Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Datuk Ibrahim Lembut, mendedahkan sebanyak 12,349 kes tuntutan nafkah direkodkan sepanjang 2000 hingga 2009. Begitulah ramainya orang lelaki yang culas mematuhi perintah mahkamah untuk membayar nafkah. Inilah akibat kepincangan sistem kekeluargaan yang semakin membarah dalam masyarakat kita.

Melalui statistik itu, terbukti bahawa ramai suami dan bapa yang tidak memahami tanggungjawab sebagai ketua keluarga yang berkewajipan memberi nafkah kepada isteri dan anak-anaknya.

Lalu, saya ingin berpesan kepada diri sendiri dan saudara sekalian mengenai hikmah perkahwinan yang perlu sentiasa kita perteguhkan. Bagus sekiranya kita bermuhasabah mengenai perjalanan bahtera rumahtangga kita. Tatkala kita memerhatikan kegembiraan dan kebahagiaan pasangan lain, adakah kita mengambil teladan? Atau ketika terdengar masalah dan kesulitan pasangan lain, adakah kita mengambil iktibar?

Saya ingin berkongsi pandangan dan pengalaman mengendalikan kes, bahawa realitinya, tidak semua perkahwinan yang dibina akan berakhir dengan kegembiraan seperti mana yang ditunjukkan dalam drama swasta atau cerekarama. Malah, jangan beranggapan bahawa majlis perkahwinan yang hebat dengan belanja ratusan ribu ringgit akan menjanjikan bahagia.

Ada yang bertanya kepada saya, apakah hak dan tanggungjawab seorang isteri. Jawapannya mudah saja. Berbaliklah kita kepada sabda Rasulullah SAW yang maksudnya: “Sekiranya aku boleh menyuruh seseorang sujud kepada orang lain, nescaya akan aku perintahkan seorang isteri sujud kepada suaminya.” (Hadis Riwayat Tirmidzi dari Abu Hurairah).

Sudah terang lagi bersuluh bukan? Betapa tingginya martabat seorang suami untuk ditaati sudahpun diberikan kiasannya oleh Nabi SAW. Namun demikian, ia tertakluk kepada syarat lain terutama selagi si suami mentaati perintah Allah dan Rasul.

Saidatina Aishah juga pernah berkata: “Wahai wanita. Seandainya kamu mengerti kewajipan terhadap suamimu, tentu seorang isteri dari kamu akan bertindak menyapu debu dari tapak kami suamimu dengan sebahagian mukanya.”Kata-kata itu bukan bermaksud seorang wanita perlu sentiasa menyapu debu di kaki suaminya. Namun secara kiasannya, Saidatina Aishah mengingatkan golongan wanita mengenai kewajipan mentaati suami yang tidak ada tolok bandingnya dengan kewajipan lain. [NB : Saya kurang pasti akan keSAHIHan ayat ini, kerana pernah diberitahu oleh rakan blogger, ia hadis maudhu'/palsu/diada-adakan, wallahu alam. Jika ada yang menyimpan perawi/sanad hadis ini, sila war-warkan, terima kasih.]

Wahai golongan bapa, janganlah pula kita gembira dengan kata-kata di atas. Ingatlah bahawa penghormatan itu datang dengan tanggungjawab yang berat. [NB : Wahai suami, taat is for you to EARN it, not ask for it!] Jika demikianlah ketinggian darjat kita di sisi Islam, maka BUKAN bermakna kita boleh memperlakukan isteri kita dengan sesuka hati.

Renungilah ayat kitab suci al-Quran dan Sunnah Rasulullah yang meletakkan wanita di kedudukan tinggi dan mulia. Kepada anak muda yang ingin berkahwin, fahamilah hak seorang perempuan yang bergelar isteri. Kepada bapa-bapa yang sudah mengharungi masjid perkahwinan selama setahun, lima malah sepuluh atau 20 tahun, tidak salah juga jika sesekali menilai sama ada kita sudah menghargai isteri kita sebaik mungkin atau tidak.

Jika ada yang masih terleka atau terlupa, elok sama-sama kita renungkan pesanan Rasulullah: “Perlakukanlah wanita dengan baik, kerana mereka itu diciptakan daripada tulang rusuk yang bengkok. Yang bengkok pada tulang rusuk adalah bahagian atasnya. Bila engkau terlalu keras meluruskannya ia patah, tetapi bila engkau biarkannya ia tetap bengkok. Oleh itu, perlakukanlah wanita dengan baik.”

Demikianlah sabda Baginda sebagai panduan kaum lelaki. Hendaklah kita sentiasa berlembut dengan kaum wanita terutama yang sudah sah diijabkabulkan sebagai isteri. Walau apa pun yang berlaku, didiklah isteri dengan cara yang paling berhikmah supaya tidak melukakan perasaannya yang lembut apatah lagi mencederakan tubuh badannya.

Dalam sepotong ayat al-Quran, Allah berfirman maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan Allah ialah Allah menciptakan isteri-isteri bagi kamu dari jenis kamu sendiri, agar kamu dapat hidup tenang bersama mereka. Kemudian Allah menciptakan kasih sayang di antara kamu. Sesungguhnya, dalam hal yang demikian itu terdapat bukti-bukti bagi orang-orang yang mahu berfikir.” (Surah Ar-Rum: 21)

Kemuliaan kita sebagai suami hanya akan diiktiraf sekiranya kita berjaya berlaku adil, berkasih sayang dan menghargai isteri sendiri.

Tiada contoh teladan yang lebih baik daripada melihat bagaimana Rasulullah menjalani kehidupan beliau sebagai seorang ketua keluarga. Ambillah petua daripada Baginda terutama bagaimana seseorang isteri harus dihormati dan dikasihi.

Baginda bersabda: “Orang yang paling baik di antara kamu ialah orang yang paling baik terhadap isterinya. Sedang aku adalah orang yang paling baik terhadap isteri.” (Hadis Riwayat Tabrani dan Tirmidzi)

Berdasarkan pengalaman peribadi dan rakan peguam yang lain, kebanyakan kes rumah tangga yang didedahkan di majalah dan dada akhbar adalah disebabkan pembinaan keluarga yang tidak berasaskan ketauhidan terhadap Allah SWT.

Justeru, marilah kita bersama kembali kepada hikmah perkahwinan yang sebenar kerana ganjarannya amat besar bukan setakat kebahagiaan di dunia, malah syurga Firdaus hakiki yang akhirnya menjadi saksi cinta sejati.

Penulis ialah Peguam Sivil di Mahkamah Tinggi Malaya serta Peguam Syarie di Mahkamah Tinggi Syariah

Sumber : Khairul Anwar Rahmat di BHarian 09/04/2010




Checklist untuk saya :
  1. saba.com.my - Himpunan Hadis Dhaif & Maudhu Jilid 1

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...