Berita yang saya baca pagi ini amat memilukan. Tidak pasti apa sebenarnya yang berlaku di antara pasangan suami isteri ini, tetapi jika masing-masing dapat mengawal emosi dan duduk berbincang, mungkin kejadian sebegini dapat dielakkan. Keganasan rumahtangga yang melanda di Pakistan sudah berjangkit ke Malaysia. Zaman sekarang ramai sungguh si 'pelik punya species'...
Petikan di Kosmo! : Disimbah asid kerana nafsu suami
KEADAAN wanita yang disimbah cuka getah ketika dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan semalam.
KUANTAN - Gara-gara isteri enggan mengadakan hubungan seks, seorang suami yang dipercayai naik berang sehingga sanggup menyimbah asid ke muka dan tubuh isterinya menyebabkan wanita itu cedera parah dalam kejadian di rumahnya di Felda Bukit Sagu 2 di sini kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Supritendan Zulkifli Taha berkata, ketika kejadian pada pukul 2 pagi, lelaki berusia 47 tahun itu dikatakan baru sampai ke rumah selepas dipercayai keluar bermain judi.
"Suspek yang bekerja sebagai peneroka itu pulang dalam keadaan marah-marah. Dia terus masuk bilik tidur sebelum mengejutkan isterinya untuk mengadakan hubungan kelamin. Bagaimanapun, wanita berusia 30-an itu menolak keinginan suaminya kerana dia tidak sihat dan sakit kepala," kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.
Menurut Zulkifli, tindakan si isteri itu menyebabkan suaminya secara tiba-tiba naik angin lalu mengambil cuka getah yang diletakkan di dalam botol di luar rumah.
"Suspek masuk semula ke dalam rumah lalu menyimbah cuka getah itu ke arah muka dan badan mangsa yang bekerja sebagai pencuci pejabat. Tindakan suspek itu menyebabkan isterinya melecur teruk," kata beliau.
Zulkifli memberitahu, dua orang anak pasangan itu berusia belasan tahun yang turut berada di rumah semasa kejadian terus mendapatkan ibu mereka untuk memberi bantuan.
Sumber : Kosmo! 09/04/2010
Petikan di BHarian : Tolak seks, isteri melecur kena simbah cuka getah, Anak berusia tujuh tahun turut cedera dirawat di HTAA
KUANTAN: Seorang tukang cuci melecur muka dan belakang badannya disimbah cuka getah oleh suaminya yang berang apabila keinginannya untuk melakukan hubungan seks ditolak, di Felda Bukit Sagu 2, dekat sini, awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian jam 1 pagi, Zarina Wahab, 40, dipercayai menolak kemahuan suaminya yang juga seorang peneroka berusia 43 tahun kerana hubungan pasangan itu menghadapi masalah dan kini dalam proses perceraian. Turut cedera dalam kejadian itu ialah anak bongsu mereka berumur tujuh tahun dan kedua-duanya kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.
Ketua Polis daerah, Superintendan Zulkifli Taha, berkata kejadian berlaku selepas pertengkaran mangsa dan suaminya dalam bilik tidur dan akibat berang, lelaki terbabit mengambil sebotol cuka getah yang disimpan di dapur rumah lalu menyimbah isterinya.
Beliau berkata, simbahan itu mengenai muka, leher dan belakang badan mangsa yang bekerja sebagai tukang cuci di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Bandar Indera Mahkota, di sini.
"Dalam kesakitan akibat kulit melecur, mangsa sempat menelefon rakan sekerjanya yang tinggal berhampiran rumahnya dan memberitahu kejadian yang menimpanya lalu membawanya ke hospital,” katanya semalam. Rakan sekerja Zarina kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) jam 4.30 pagi, manakala suaminya menyerah diri di Balai Polis Panching.
Siasatan masih dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar tindakan nekad lelaki berkenaan menyimbah cuka getah kepada mangsa, namun polis tidak menolak kemungkinan berkaitan masalah rumah tangga dan perselisihan faham.
"Wanita terbabit kini dilaporkan stabil dan masih dirawat tetapi maklumat lengkap tahap serius melecur belum diperoleh," katanya.
Sementara itu, anak ketiga mangsa, Khairil Rohamiza, 17, yang ditemui di rumahnya petang semalam berkata, ketika kejadian dia bersama empat lagi adiknya sedang tidur di ruang tamu rumah dan tiba-tiba terdengar bunyi bising di dapur rumah. Sebaik terjaga dari tidur, dia mendapati ibunya sedang mengerang kesakitan dan cuba menolong tetapi dihalang bapanya sambil melibas parang ke arahnya.
"Bapa kemudian terus keluar rumah dan kami mengambil air paip untuk basuh muka dan badan ibu sebelum rakan sekerja ibu yang hanya dikenali sebagai Kak Ani tiba untuk membantu," katanya.
Khairil Rohamiza berkata, ketika kejadian, tiga adiknya berumur 14, lapan dan tujuh tahun turut berada di rumah.
Sumber : BHarian 09/04/2010
Capaian entry berkaitan :
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...