PAGE

Khamis, Mei 27, 2010

Judi pencetus gejala sosial, rosak akidah ummah




Amalan pertaruhan dorong sikap tamak sekali gus memusnahkan keharmonian masyarakat

PADA masa kini, isu berkaitan perjudian sering dipaparkan media. Keadaan ini mempamerkan bahawa ia bagaikan sesuatu yang sukar dibendung. Ia muncul dalam pelbagai bentuk dan rupa. Malah ia menjanjikan habuan dan keuntungan yang cukup lumayan untuk menarik minat ramai orang.

Dengan bermatlamatkan untuk mendapatkan keuntungan yang berlipat kali ganda itu, menyebabkan seseorang itu lupa atau sengaja melupai mengenai larangan syarak. Dalam al-Quran jelas wujud larangan berjudi.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Wahai orang yang beriman, arak, judi, pemujaan berhala dan menenung nasib dengan batang-batang anak panah adalah semuanya kotor, keji dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya, moga-moga kamu berjaya.” (Surah al-Ma’idah ayat 90)

Di sini jelas Allah SWT melabelkan judi sebagai sesuatu yang kotor, keji dan jijik. Ia sedikit pun tidak mendatangkan kebaikan, bahkan akan mengotorkan roh dan jasad serta merosakkan perangai dan budi pekerti seseorang.

Bagi menjelaskan lagi betapa keji dan kotornya amalan berjudi itu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa bermain kad (berjudi dengannya) maka sesungguhnya ia seolah-olah mencelupkan tangannya ke dalam daging dan darah babi.” (Hadis riwayat Muslim)

Dimaksudkan dengan judi itu ialah setiap perkara yang mempunyai unsur beradu nasib atau pertaruhan, sama ada ia sedikit atau banyak dan kecil atau besar. Walaupun judi diberi nama yang bermacam-macam, berbagai-bagai rupa dan cara seperti loteri, tikam ekor, bertaruh, main ketam, semuanya itu adalah haram dan dosa besar. Walaupun agama Islam awal-awal lagi mengharamkan judi, masih ada di kalangan orang Islam yang membabitkan diri dengan judi. Seperti membeli tiket loteri semata-mata untuk mendapatkan harta atau wang yang banyak dengan cara mudah atau ingin cepat kaya tanpa perlu bersusah payah.

Mereka terpikat dengan hadiah atau ganjaran tinggi. Misalnya, dengan membuat pertaruhan sebanyak RM10, mereka berpeluang mendapat wang berpuluh-puluh ribu ringgit. Gejala seumpama ini menyebabkan ada orang yang sanggup menghabiskan wang dan masa semata-mata untuk berjumpa bomoh, pergi melakukan pemujaan di kubur lama dan pokok besar. Ada juga yang mendapatkan nombor kenderaan yang terbabit dalam kemalangan, mendapatkan nombor daripada mimpi dan sebagainya. Pada tanggapan mereka, hal ini dapat mendatangkan tuah dan keuntungan. Demikianlah keadaan seseorang yang sudah menjadi kaki judi atau hamba judi, mereka sanggup melakukan apa saja walaupun ia bertentangan dengan agama demi mencapai hasratnya.

Allah SWT menerangkan bahawa judi adalah satu daripada perbuatan syaitan, maksiat dan dosa. Perbuatan yang menjerumuskan diri kepada kerosakan akidah, sifat tamak dan rakus yang boleh membawa kepada kebinasaan harta dan jiwa, keruntuhan rumah tangga, menimbulkan hasad dengki, pergaduhan, menghabiskan masa yang akhirnya membawa manusia kepada papa kedana, mengabaikan tanggungjawab terhadap rumah tangga atau masyarakat dan lebih buruk lagi tanggungjawab terhadap Allah SWT.


~ Gambar hiasan ~ (Sumber)

Selain itu, judi adalah punca kepada dendam, permusuhan, pergaduhan dan membawa kepada bunuh diri. Tabiat pemain judi itu, jika ia kalah pada kali yang pertama, ia akan berasa tidak puas hati dan ingin mencuba dan terus mencuba dengan harapan untuk mendapat kemenangan sehingga menjadikannya hamba judi. Apabila beroleh kemenangan pula ia akan terus bertambah tamak dan gemar berjudi sehingga menjadikan judi sebagai darah dagingnya. Soal kalah dan rugi tidak dipedulikan, yang penting seronok main judi sehingga sanggup bergadai dan berhutang walaupun dapur rumah tidak berasap.

Judi itu amat jijik, kerja maksiat dan dosa besar bahkan dianggap najis dan perbuatan syaitan yang boleh membawa kepada permusuhan dan menghalang daripada ingatkan Allah SWT. Wang judi itu bukan hanya haram dimakan malah juga haram digunakan untuk segala-gala hal seperti membeli pakaian, membina rumah dan sebagainya. Ingatlah bahawa harta dan wang yang diperoleh daripada hasil perjudian tidak akan berkekalan dan tidak berkat. Wang judi tidak menjadikan kita seorang hartawan atau jutawan, tetapi sebaliknya menjadikan kita seorang yang suka berdusta, pemarah dan tidak amanah. Ia juga mendorong kita supaya suka berhutang, tetapi tidak mahu membayarnya dan bermacam-macam lagi sifat yang tercela.

Amat mendukacitakan apabila masih ada umat Islam yang masih gemar berjudi meskipun mereka ketahui keburukan berjudi. Lebih menyedihkan apabila ada di antara mereka yang menjadikan judi sebagai pekerjaan tetap atau sumber mata pencarian. Oleh itu, marilah kita jauhi diri kita daripada terpedaya dengan godaan syaitan dan tidak membabitkan diri dengan perjudian. Mudah-mudahan kehidupan kita mendapat berkat dan diredai Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang, oleh itu mahukah kamu berhenti daripada melakukan perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil?” (Surah al-Ma’idah ayat 91)

Penulis, Mohd Shukri Hanapi, ialah Felo Akademik Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, USM

Sumber : BHarian 27/05/2010


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...