PAGE

Khamis, Mei 27, 2010

Anak disisih akibat ibu bapa tiada kesedaran tanggungjawab

~ Gambar hiasan dipetik dari sumber ~

Assalamualaikum warahmatullah,

ANAK kehilangan ibu atau bapa bukan lagi senario baru yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Memang bunyinya menjengkelkan, tetapi hakikatnya, ia berlaku dan semakin berleluasa mutakhir ini. Walaupun ada yang meninggalkan anak dengan baik di rumah orang tua mereka, bukan soal keperluan tempat tinggal saja yang diperlukan oleh setiap zuriat yang dilahirkan ke dunia, malah lebih daripada itu.

Ada pelbagai sebab yang memaksa ibu atau bapa atau kedua-duanya ‘lari dari rumah’ atau menghilangkan diri daripada anak yang masih mengharapkan kasih sayang ibu bapa. Kebanyakannya kerana faktor kewangan. Ini terbukti apabila banyak kisah dipaparkan media, jelas menunjukkan anak ditinggalkan dalam keadaan kesempitan hidup, tiada tempat bergantung atau punca kewangan, malah ada yang tidak menjamah makanan beberapa hari lamanya.

Ada juga yang bertindak meninggalkan anak kerana perselisihan faham dengan pasangan. Walaupun lumrah suami isteri ada ketikanya berjauh hati, tetapi menjadikan anak sebagai mangsa kerana masalah rumah tangga adalah sangat tidak adil kepada mereka. Malah anak sepatutnya menjadi penghubung kasih antara dua hati yang nekad berkongsi jiwa apabila sanggup berakad setia sebagai suami isteri. Tidak kurang juga yang meninggalkan anak kerana masalah dadah, judi, juga kerana terbabit dalam kancah kehidupan gelap yang memusnahkan kehidupan berkeluarga.

Hal ini amat mendukacitakan kerana sebagai seorang yang bergelar ibu atau bapa, masalah luaran yang berkait rapat dengan kecelaruan jiwa dan terjerumus ke lembah sosial yang hina sepatutnya tidak berlaku kerana rumah tangga adalah syurga yang menjanjikan kebahagiaan buat setiap insan di dunia.

Sudah tentulah persediaan untuk rumah tangga memerlukan kelengkapan rapi dan teratur. Usia dan kemampuan material tidak lagi menjadi asas utama untuk memungkinkan seseorang itu mendirikan rumah tangga sekiranya tidak cukup matang untuk menggalas tanggungjawab sebagai pemegang amanah Allah SWT.

Tanpa persiapan dan persediaan untuk menghadapi segala kemungkinan dalam perkahwinan, seseorang perlu menangguhkan dulu hasrat itu sekiranya tidak memudaratkan sisi yang lainnya kerana alam rumah tangga adalah dunia baru yang dikongsi dengan orang lain. Ia memerlukan syura, persefahaman, tolak ansur dan kepercayaan yang diasaskan oleh perintah agama, bukan norma dan sosial yang dipengaruhi faktor setempat semata-mata.

Setiap suami perlu sedar bahawa cantiknya isteri adalah terletak kepada dandanan rohani yang disolek olehnya sendiri. Setiap ibu bapa perlu tahu bahawa masa depan zuriat yang mereka lahirkan adalah bergantung kepada tarbiyah dalam rumah tangga yang mereka bina. Allah SWT berfirman dalam Surah Ath-Thuur, ayat 21 yang bermaksud: “Dan orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, kami hubungkan dengan mereka zuriat mereka dan kami tidak mengurangi sedikit pun dari pahala amal-amal mereka tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya.”

Jika ibu bapa sendiri tidak sanggup mendepani cabaran dalam rumah tangga demi anak yang dilahirkan daripada darah daging mereka sendiri, tentulah tiada siapa yang lebih layak untuk mengasihi anak berkenaan. Tiada seorang anak pun yang lahir ke dunia untuk membenci dan memusuhi ibu bapa, justeru, mengapa pula mereka ditinggal bagaikan sampah-sarap yang tidak akan dikutip sesiapa?

Sungguh menyedihkan apabila melihat wajah mereka yang tandus kasih sayang dan perhatian, apatah lagi apabila mereka hanya mampu melirik daripada jauh apabila terpandang teman dipeluk dan diganding ibu bapa masing-masing. Usahkan hendak dipimpin tangan, air segelas pun anak yang ditinggalkan ini tidak tahu di mana hendak ditadah lagi. Ingin menikmati juadah yang enak jauh sekali, sayup di sudut hati mereka hanya ingin supaya ibu bapa mereka memahami, melihat dan mendengar rintihan setiap anak yang ditinggal pergi, bahawa mereka berhak disayangi.

Mereka tidak mahu ibu bapa mereka terus lalai kerana ada peringatan dari Allah SWT terhadap orang sebegini. Firman Allah SWT dalam Surah Al-A’raf, ayat 179 mafhumnya: “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi) neraka jahanam kebanyakan dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya dan mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya dan mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya: mereka itu seperti binatang ternak bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai.”

Penulis, Nik Salida Suhaila Nik Salleh [salidasuhaila99@yahoo.com], ialah Pensyarah kanan Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pengajian di United Kingdom.

Sumber : BHarian 27/05/2010



Capaian entry berkaitan :
  1. Kukuh institusi keluarga
  2. Kain Putih Apa Coraknya?
  3. Mendidik Anak Tanggungjawap Bersama
  4. Masalah dan Cabaran Dalam Mendidik Anak
  5. Didik anak mengikut usia
  6. Bapa moden kurang berinteraksi
  7. Didik anak satu cabaran
  8. Jangan Perlekeh Peranan Bapa
  9. Menangani disiplin remaja
  10. Kewajipan Ibu Bapa Terhadap Anaknya
  11. Tazkirah: Didik remaja elak terjebak kancah zina

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...