Assalamualaikum warahmatullah,
Akhir-akhir ini, banyak kejadian bunuh diri atau cubaan bunuh diri dilaporkan menerusi berita di kaca tv dan suratkhabar. Bunuh diri adalah perbuatan dengan niat untuk menamatkan riwayat. Apabila perbuatan itu gagal, ianya dipanggil cubaan membunuh diri. Kadar membunuh diri berbeza mengikut negara bangsa dan budaya. Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menganggarkan lebih kurang satu juta manusia mati akibat membunuh diri dalam setahun.
Kebiasaannya kematian akibat membunuh diri di kalangan lelaki adalah tiga hingga empat kali berbanding dengan perempuan, walaupun cubaan membunuh diri lebih tinggi di kalangan perempuan. Penyakit mental yang serius seperti kemurungan, skizofrenia, bipolar juga menyumbang kepada berlakunya bunuh diri.
Di dalam Islam perbuatan membunuh diri adalah termasuk dalam dosa besar dan dilarang keras. Hal ini kerana manusia adalah makhluk yang dimuliakan oleh Allah dan diutamakan melebihi makhluk-makhluk ciptaan-Nya yang lain.
Orang yang membunuh diri adalah orang yang lari dari tanggungjawab kemanusiaannya. Lebih parah daripada itu perbuatan tersebut menunjukkan kurangnya kepercayaan seseorang itu terhadap takdir Allah SWT, sedangkan Islam mengajarkan umatnya tentang kepentingan sabar dan tawakkal serta melarang daripada sifat berputus asa dan sebagainya.
Orang yang beriman tidak boleh membunuh dirinya sendiri dengan sebarang alasan kerana Allah SWT pernah berfirman yang maksudnya, “Dan janganlah kamu membunuh dirimu; sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu.” (Surah an-Nisaa’ ayat 29)
Sebab musabab
Mengapa orang membunuh diri? Terdapat banyak faktor yang mendorong perbuatan membunuh diri, antaranya : putus cinta, kecewa dengan diri sendiri, kematian orang yang disayang, penceraian ibu bapa, pengangguran, masalah kewangan (hutang, dikejar AhLong), mempunyai penyakit fizikal (barah, umpamanya), tiada sokongan keluarga, kemurungan, kesepian dan lain-lain lagi. Kerap kali, apabila dilanda masalah, manusia mudah hilang pertimbangan, dan cara terbaik bagi mereka adalah dengan membunuh diri untuk lari dari masalah.
Dalam kebanyakan kes cubaan membunuh diri, mereka yang nekad melakukan perbuatan
Tanda Allah mencintai seseorang ialah apabila maksiat membuat dia bangkit mendekati Allah dan bukannya dengan menamatkan riwayat. Adakalanya ujian atau dugaan yang dihadapi boleh mendatangkan manfaat iaitu apabila ujian atau dugaan itu akhirnya membawa kepada keinsafan, taubat dan istighfar. Kemudian seseorang bangkit mengejar Allah, berusaha mendapatkan hatinya yang hilang di belantara maksiat. Ia sama sekali tidak berputus asa daripada rahmat Allah. Ia sentiasa mengingati janji Allah Yang Maha Pengampun.
Firman Allah bermaksud: “Katakanlah: Wahai hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, jangan kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa semuanya. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan kembalilah kamu kepada Tuhanmu, dan berserah dirilah kepada-Nya sebelum datang azab kepadamu Kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi).” (Surah al-Zumar, ayat 53-54)
Janganlah kerana dosa semalam seseorang menyangka Allah tidak sudi mendengar rintihannya, terputus tali langit di hatinya, tertolak segala doanya dan terusir dia daripada pandangan Allah.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Demi Tuhan yang diriku berada dalam genggaman-Nya. Seandainya kamu tidak berdosa nescaya Allah akan mematikan kamu. Kemudian Allah akan mendatangkan satu kaum yang melakukan dosa dan mereka memohon keampunan kepada Allah lantas Allah mengampuni mereka.” (Hadis riwayat Imam Muslim)
Tips mudah mengatasi tekanan dengan bijak
Mereka yang membuat cubaan membunuh diri akan meninggalkan kesan kepada keluarga
dan rakan-rakan. Ia mungkin menimbulkan perasaan bersalah dan marah. Ia boleh
mengakibatkan kesedihan yang berpanjangan, penyakit mental yang teruk seperti
kemurungan dan penyalahgunaan dadah dan sebagainya.
Bagaimanakah anda dapat membantu diri sekiranya anda mengalami perasaan ingin membunuh diri? Saya kongsikan tips-tips mudah untuk mengatasi tekanan dengan bijak, mudah-mudahan tips-tips yang disertakan ini dapat membantu mereka yang mengalami kemurungan dan tekanan.
Erk… disebabkan banyak sangat point-point yang dimasukkan, terpaksalah saya keluarkan ia dan dimasukkan ke entry selanjutnya. Sila semak entry Tips bagi mengatasi tekanan perasaan.
Status orang mati bunuh diri
Kesalahan membunuh diri merupakah satu kesalahan yang terlalu besar, namun perbuatan ini TIDAK termasuk di dalam perkara yang menyebabkan seseorang terkeluar daripada Islam (murtad), melainkan bagi orang yang menghalalkan perbuatan tersebut, jika dia menghalalkannya maka ketika itu dia dihukumkan sebagai kafir/murtad.
Ini kerana SAW tidak melarang para sahabat dari menyembahyangkan jenazah orang yang membunuh diri. Namun Baginda sendiri tidak menyembahyangkan jenazah orang tersebut sebagai pengajaran bagi orang lain. Maka menjadi sunnah kepada para ulama dan orang yang dipandang mulia tidak menyembahyangkan jenazah orang yang mati membunuh diri sebagai mengikut perbuatan SAW dan sebagai pengajaran kepada orang lain.
Daripada Jabir bin Samurah r.a. katanya yang bermaksud : “Didatangkan kepada Rasulullah SAW, jenazah seorang lelaki yang membunuh diri dengan anak panah, lalu Baginda tidak menyambahkan untuknya.” (Hadis riwayat Muslim)
Al-Imam al-Nawawi di dalam Syarah Sahih Muslim ketika mensyarahkan hadis ini menyebut, “Hadis ini menjadi dalil bagi ulama yang berpendapat tidak disembahyangkan jenazah orang yang membunuh diri disebabkan maksiat yang dia lakukan, inilah mazhab ‘Umar ibn ‘Abdul ‘Aziz dan al-Auza’ie. Manakal al-Hasan, al-Nakha’ie, Qatadah, Malik, Abu Hanifah, al-Syafi’ie dan kebanyakan ulama berpendapat: Disembahyangkan ke atas jenazah orang yang membunuh diri. (Jumhur) kebanyakan ulama ini menjawab tentang hadis ini yang baginda tidak menyembahyangkannya sebagai melarang manusia dari melakukan perbuatan yang sama (membunuh diri), namun jenazah itu disembahyangkan oleh para sahabat…”
Orang yang membunuh dirinya akan diazab di akhirat kelak sebagaimana dia membunuh dirinya di dunia sepertimana yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam hadis-hadis di bawah.
Daripada Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah SAW bersabda, yang bermaksud, “Sesiapa yang membunuh dirinya dengan benda tajam, maka benda tajam itu akan dipegangnya untuk menikam perutnya di neraka jahanam. Hal itu akan berlangsung selama-lamanya. Sesiapa yang meminum racun sehingga mati, maka ia akan meminumnya di dalam neraka jahanam selama-lamanya. Sesiapa yang menjatuhkan diri dari gunung semata-mata untuk membunuh diri, maka ia akan menjatuhkan dirinya ke dalam neraka jahanam selama-lamanya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Diriwayatkan dari Tsabit bin Al Dhahhak r.a., Rasulullah SAW pernah bersabda, “Siapa pun yang secara sengaja bersumpah palsu bahawa agamanya bukanlah Islam, maka ia adalah sebagaimana yang ia katakan. Dan siapapun yang membunuh dirinya sendiri dengan sepotong besi, di neraka ia akan diazab dengan benda yang sama.” (Sahih Bukhari)
Diriwayatkan dari Jundub bin Abdillah r.a., Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, “Dahulu kalangan umat sebelum kamu ada seorang lelaki yang ada kecederaan (kemudian menjadi ulser), lalu dia tidak bersabar menanggung kesakitannya, lalu dia mengambil pisau dan memotong tangannya sehingga darah tidak berhenti sehinggalah dia mati. Firman Allah SWT : “Hamba-Ku mendahului-Ku (tergesa-gesa) dengan membunuh dirinya sendiri maka Aku haramkan untuknya syurga.” (Sahih Bukhari dan Muslim)
Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a., Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, “Ia yang bunuh diri dengan mencekik dirinya sendiri, di neraka ia akan terus menerus mencekik dirinya sendiri dan ia yang bunuh diri dengan menikam dirinya sendiri, di neraka ia akan terus menerus menikam dirinya sendiri.” (Sahih Bukhari)
Mengenai teks hadis yang menyatakan orang yang membunuh diri itu kekal selama-lamanya di dalam neraka, para ulama menyatakan, maksudnya ialah bagi orang yang menghalalkan perbuatan tersebut dan maksudnya juga boleh difahami dengan memanjangkan tempoh azabnya di dalam neraka.
Wallahu a’lam.
Renung-renungkan!
Capaian entry berkaitan :
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...