Assalamualaikum warahmatullah,
Kita adalah sebaik-baik makhluk ciptaan Allah, namun kita masih tidak terlepas daripada menghadapi tekanan ketika belajar ataupun bekerja. Pelbagai tekanan yang dihadapi menyebabkan hati menjadi runsing dan semua kerja tidak akan terlaksana.Tidak mustahil bagi individu yang berhadapan dengan masalah ini akan terbawa-bawa ke rumah hingga anak-anak pula menjadi mangsa.
Hati akan menjadi tenang sekiranya kita kembali kepada Allah. Ingat tu! Apa jua yang dilakukan mestilah berdasarkan kepada Al-Quran dan Al-Sunnah disertai dengan niat yang ikhlas semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah.
Susulan dari entry Larangan membunuh diri, saya kongsikan tips-tips mudah untuk mengatasi tekanan dengan bijak, mudah-mudahan tips-tips yang disertakan ini dapat membantu mereka yang mengalami kemurungan dan tekanan.
Tips mudah yang boleh diamalkan untuk mengatasi tekanan dengan bijak :
1. Bawa-bawalah bertenang
Bila kita menyarankan seseorang supaya bertenang apabila dia marah, sedih dan sebagainya, pernahkah kita terfikir untuk mengajak atau mengajar cara-cara untuk memenangkan diri? Apa yang selalu saya praktikkan bila saya mahu bertenang menenangkan diri sendiri, saya akan tarik nafas dalam-dalam sekitar 7-9 saat, dan lepaskan perlahan-lahan juga sekitar 7-9 saat. Bagi yang beragama Islam, anda digalakkan beristighfar semasa melepaskan nafas, sebutkan “astagfirullah hal ‘aziim al-lazi laa ila ha illa huwal hayyul qayyum wa atuubu ilaik” dan tumpukan fikiran yang anda sedang memohon ampun daripada Allah. Insya Allah, biasanya jika diulang sebanyak 7 kali, anda akan kembali tenang.
2. Biasakan diri berada dalam keadaan berwuduk
Jiwa kita akan menjadi tenang jika membiasakan diri mengambil wuduk sebelum melakukan pekerjaan. Kerja yang susah akan menjadi senang dan mudah diselesaikan. Para pelajar misalnya, disarankan agar membiasakan diri mengambil wuduk sebelum mengulang kaji pelajaran agar apa yang dibaca akan mudah dingati.
Boleh juga rujuk entry Doa memohon diberi kemudahan dalam segala urusan dan hajat, untuk memohon dipermudahkan urusan.
3. Membaca al-Quran, zikir dan selawat
Ganjaran yang besar akan diberikan Allah bagi sesiapa yang membaca al-Quran walaupun satu ayat. Waktu yang sesuai bagi kita untuk membaca al-Quran ialah selepas solat lima waktu dan waktu-waktu lain seperti ketika berehat dan sebelum tidur. Oleh itu, jadikanlah al-Quran sebagai teman paling akrab pada sepanjang waktu. Sesungguhnya ayat Al-Quran adalah penenang jiwa yang paling mujarab.
Anda juga boleh meluaskan pembacaan anda kepada buku-buku ilmiah yang lain seperti buku-buku berkaitan agama, motivasi dan sebagainya untuk menghilangkan kesepian atau kesedihan. Ramai orang rekomen baca buku “Jangan Bersedih”, tetapi maaflah.... Saya belum pernah membacanya, jadi tak boleh komen lebih-lebih.
Anda juga mengurangkan tekanan perasaan dengan berzikir dan berselawat agar hati sentiasa tenang dan tidak gusar. Kita perlu yakin bahawa walau bagaimana hebat tekanan yang kita alami, pertolongan Allah SWT tetap ada kerana selepas kesempitan pasti ada kelegaan dan selepas kepayahan pasti ada kesenangan.
4. Cintai diri sendiri
“Cintailah diri kamu sendiri sebelum kamu mencintai diri orang lain.” Jelas daripada maksud sepotong hadis ini, kita dapat memahami bahawa kita perlu mencintai diri sendiri terlebih dahulu berbanding orang lain. Diri kita yang selama ini masih pada tahap lama dalam pekerjaan perlu dipertingkatkan dengan cara yang dinyatakan di atas. Kita perlu memulakan kehidupan kita dengan ceria dan penuh dengan senyuman.
5. Banyakkan solat sunat
Sebagai makhluk paling mulia di sisi Allah, kita dituntut membanyakkan amal ibadat kita sehari-hari. Antaranya, dengan mendirikan solat sunat. Solat sunat duha, solat sunat hajat, solat sunat taubat, solat sunat tasbih, solat sunat tahajud dan sebagainya adalah antara pelbagai solat sunat yang terdapat dalam Islam. Kita bangun pada sepertiga malam dan mendirikan solat-solat sunat tersebut agar beroleh ketenangan dan kekuatan daripada Allah.
6. Selalu berdoa kepada Allah SWT
Allah telah berpesan iaitu jangan menyembah selain daripada-Nya. Ini bererti kita dituntut berdoa hanya kepada Allah yang Maha Esa dan dilakukan secara berterusan. Waktu-waktu mustajab berdoa adalah pada malam Jumaat, tengah malam, pagi sebelum waktu Subuh, malam hari raya, ketika waktu azan dan iqamah. Insya-Allah, Allah akan memakbulkan doa setiap hamba-Nya yang benar-benar ikhlas. Namun, kita perlulah sedar bahawa sebarang rezeki tidak akan datang bergolek sekiranya tanpa usaha yang bersungguh-sungguh. Maka kita perlulah berusaha supaya mencapai sesuatu di samping berdoa hanya kepada Allah yang Esa.
7. Bersangka baik dengan Allah SWT
Kita sebagai manusia biasanya tidak akan terlepas daripada berhadapan dengan ujian dalam hidup. Semuanya itu adalah ujian daripada Allah bertujuan menguji keimanan kita sebagai hamba-Nya. Oleh itu, kita mestilah bersangka baik dengan Allah dan janganlah menyalahkan takdir-Nya jika terjadi sesuatu ke atas diri kita. Kita juga mesti percaya bahawa tentu ada hikmah di sebalik kejadian itu.
8. Mengurus masa dengan baik
Usahlah bersikap tamak untuk menghabiskan semua kerja dalam satu masa. Cuba patuhi waktu pejabat dan jangan terselalu membuat kerja lebih masa kerana setiap kita ada hak-hak yang perlu kita tunaikan. Belajarlah cara kemahiran pengurusan diri dan masa, seperti menetapkan keutamaan.
9. Berhubung dengan keluarga, rakan-rakan dan jangan bersendirian
Syaitan selalunya menyerang manusia yang suka bersendirian. Satu hadis daripada Usamah bin Syuraik menyatakan bahawa beliau telah mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tangan Allah berserta jemaah. Maka apabila bersendirian seseorang itu daripada jemaah, syaitan-syaitan akan menyambarnya, seumpama serigala menyambar kambing daripada kumpulannya.” [Rujuk : Sebut-iblis-dalam-solat]. Sesungguhnya serigala hanya membaham kambing yang memencilkan dirinya dari kumpulan yang besar. Itu perumpamaan dari Baginda SAW mengenai peranan syaitan ke atas manusia. Jadi, ke mana sahaja seseorang itu pergi, dia harus mencari tiga perkara iaitu jamaah, orang ramai dan masjid.
Berbicaralah dengan mereka yang boleh anda dipercayai atau hubungi sesiapa sahaja yang anda kenali. Cuba luahkan ekspresi tanpa limitasi, tidak kira sama ada waktu sedih mahupun gembira, kongsikan perasaan anda dengan ahli keluarga atau rakan-rakan yang anda rasa selesa dengannya. Bergaullah dengan orang-orang yang bukan dalam kemurungan.
10. Lakukan aktiviti luar rumah atau aktiviti fizikal
Orang ramai selalu berkata bahawa badan yang cerdas akan membentuk otak yang cergas. Segala tekanan sewaktu belajar atau bekerja akan dilupakan apabila kita melakukan aktiviti-aktiviti fizikal yang dapat menyihatkan tubuh badan seperti bersukan atau berenang. Jangan duduk diam dan berkurung dalam bilik sambil melayan lagu-lagu sedih yang menyayatkan jiwa hati, ini hanya menambahkan sebak di dada.
Lakukan apa saja akitiviti kecergasan, bersukan dapat menghasilkan hormon yang mampu melegakan tekanan perasaan. Situasi akan menjadi lebih menggembirakan jika kita meluangkan masa membawa keluarga pergi beriadah. Ikatan kekeluargaan juga akan bertambah erat dan kukuh, insya Allah.
11. Aktiviti bersama alam
Sentiasa memelihara hubungan dengan alam. Anugerah alam ciptaan Allah SWT berupaya menenangkan, menyemai iman dan penawar bagi manusia. Aktiviti berkebun, menanam dan menjaga pokok bunga bukan sahaja menyihatkan malah membantu memupuk diri memelihara alam. Anda juga menikmati 'bird watching', 'nature walk', berjalan di tepi pantai sambil mengutip cengkerang untuk hiasan akuarium atau apa saja berkaitan dengan aktiviti alam semulajadi yang cukup mendamaikan bersama-sama ahli keluarga. Cuba gunakan keseluruhan deria untuk merasai kehadiran Allah SWT.
12. Amal diet dengan disiplin yang kuat
Pengambilan makanan yang berlebihan dan tidak seimbang juga merupakan salah satu faktor tekanan sewaktu bekerja. Oleh itu, cara untuk mengurangkan tekanan adalah mengamalkan diet dengan disiplin yang kuat. Diet yang tidak terkawal akan menyebabkan kegemukan dan menimbulkan penyakit kronik yang lain seperti lemah jantung, darah tinggi, kencing manis.
Jaga makan dan tidur berlebihan. Sayangi badan anda, jangan mendera badan anda dengan tidur yang tidak mencukupi atau makan makanan yang tidak berkhasiat.
13. Jangan malu untuk ketawa
Bilakah kali terakhir anda memegang majalah Gila-Gila atau Gelihati? [NB : Uik… ada lagikah komik ini?] Anda boleh cubalah baca komik atau menonton cerita-cerita yang kelakar yang mampu membuat anda ketawa atau tersenyum.
14. Menangis dengan sepuas hati
Jika anda jenis yang ‘tidak boleh’ gelak-ketawa sebab ‘terputus wayar’, maka cubalah menangis sepuas-puasnya. Ia mampu membuang jauh-jauh perasaan yang gundah gelana.
Tekanan yang dihadapi sekiranya melibatkan individu yang lain dapat diredakan melalui luahan hati kita dengan menuliskan rasa ketidakpuasan hati kita itu dalam sehelai kertas. Sikap cuba menyimpan perasaan tersebut dalam hati boleh menyebabkan diri merana. “Luaran lain hati lain” ada sesetengah individu apabila mereka mengalami sesuatu tekanan, mereka seolah-olah tidak menunjukkan permasalahan mereka itu. Sebagai contoh, mereka akan sentiasa gembira bila dilihat bersama rakan-rakan tetapi dalam hatinya hanya Allah yang Maha Mengetahui. Maka dengan itulah, menangis dilihat sebagai salah satu cara kita dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi.
15. Hargai kebolehan diri sendiri
Kita perlu mempunyai satu sikap yang dipanggil yakin diri. Apabila kita mempunyai keyakinan diri, maka kita tidak akan mempunyai masalah untuk melakukan sesuatu pekerjaan yang disuruh oleh pihak lain sewaktu bekerja. Kita yakin bahawa kita boleh melakukan kerja yang disuruh dengan mudah dan tiada sebarang masalah yang dihadapi. Apa yang penting ialah, kita mesti menghargai kebolehan diri sendiri dan memulakan hidup dengan lebih ceria.
16. Fokus kepada warna yang menenangkan
Kajian membuktikan bahawa warna memberi kesan kepada perasaan kita. Warna merah terang, oren dan kuning memberikan kita tenaga. Kombinasi warna merah dan kuning menyebabkan darah kita berkitar dan menaikkan suhu badan. Biru dan hijau memberi kesan menyejukkan dan menenangkan. Anda pasti boleh mengenalpasti warna dengan cara anda sendiri untuk mengubah perasaan yang anda mahukan.
17. Cuba hidu aroma yang menenangkan
Minyak pati aromaterapi lavender amat terkenal dengan agen menenangkan. Anda boleh cuba hangatkan pati aromaterapi lavender atau dapatkan saja ‘colok’ lavender di butik ... Aisey… promote la pulak…
18. Hindari bunyi bising
Bunyi boleh memberi kesan kepada perasaan kita. Kita dilahirkan dengan perasaan yang tidak selesa kepada bunyi bising. Kebisingan juga boleh memberi tekanan dalam diri. Ia juga boleh menaikkan tekanan darah, mempercepatkan degupan jantung dan memberi kesan psikologi yang lain. Walau bagaimanapun bukan semua bunyi memberi kesan buruk. Muzik contohnya boleh memberi kesan yang baik kepada perasaan dan kesihatan diri kita.
Menurut kajian dari Avram Goldstein, muzik boleh menyebabkan otak mengeluarkan sejenis bahan penenang yang dinamakan endorfin. Muzik juga boleh menimbulkan pelbagai variasi perasaan. Justeru, jika anda rasa tertekan, dengarlah lagu-lagu kegemaran anda. Semoga ia dapat membantu mengurangkan tekanan yang dihadapi.
19. Hadkan pengambilan ubat-ubatan
Ada sesetengah ubat-ubatan yang kita ambil mampu menyumbangkan mood swing yang kurang baik seperti kemurungan dan emosi tidak terkawal. Jika ia tidak perlu, anda boleh cuba elakkan pengambilan ubat-ubatan sebegini seboleh mungkin. Simpan ubatan di tempat yang susah sukar dicapai sekiranya anda berniat untuk mengambilnya dalam dos yang berlebihan. Jangan mengambil pil tidur tanpa preskripsi doktor.
20. Katakan tidak pada alkohol dan dadah
Elakkan dari mengambil alkohol dan dadah-dadah lain yang boleh mengakibatkan
hilang pertimbangan anda. Mengambil sesuatu yang mengkhayalkan tidak akan membantu untuk menghilangkan tekanan, sebaliknya akan membuatkan anda menjadi ketagih dengannya.
21. Dapatkan sokongan sosial atau rujuk pakar
Cuba dapatkan bantuan kaunseling melalui ruangan kaunseling, NGO berkaitan atau boleh juga melalui telefon seperti talian ‘Befrienders’ dan lain-lain. Sekiranya semua gagal, dapatkan bantuan pakar untuk mendapatkan rawatan yang selanjutnya.
Kesimpulan
Sehingga entry ini dimasukkan, saya sempat mengumpul 21 kaedah bagi mengatasi tekanan perasaan. Sekiranya ada pembaca yang ingin berkongsi tips yang mereka sendiri amalkan, silalah kongsi-kongsikan.
Sebagai kesimpulannya, tekanan bukanlah satu bebanan yang sukar untuk diatasi. Dengan usaha yang gigih dan kesabaran yang tinggi serta jalan penyelesaian yang jitu, bebanan yang kita alami pastinya akan dapat diselesaikan dengan jayanya, insya Allah. Akhir sekali sebagai renungan, “Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan) : bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.” (Surah al-Insyiraah [94] ayat 5~6)
Renung-renungkan!
Capaian entry berkaitan :
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...