“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Isnin, Jun 21, 2010

Dendam rumahtangga : Isteri main kayu tiga?!


Assalamualaikum warahmatullah,

Dalam egrup SiM yang saya sertai, ada kiriman email yang berbunyi, “Kebelakangan ini kita disajikan berita-berita yang hangat berkenaan wanita yang sudah bersuami berlaku curang terutama di akhbar-akhbar tempatan, agaknya kenapa terjadi perkara ini? Tajuk besar di muka akhbar... memalukan dan memualkan tapi apa di sebalik tidak kesetiaan si isteri?”

Memang saya perasan, lewat pembacaan di akhbar-akhbar harian mahupun tabloid kebelakangan ini, pembaca banyak dihidangkan dengan kes-kes kecurangan suami mahupun isteri. Ada sesetengah kes, sebagai tanda protes dan sakit hati, isteri pula mengikut jejak langkah suami yang bermain kayu tiga. Mengapa masalah sosial ini semakin menjadi-jadi kebelakangan ini?

Saya sendiri tidak pasti, apakah yang menyebabkan ketidak-setiaan isteri ini. CUMA mereka yang terlibat dengan kes curang sahaja tahu punca sebenar mereka curang. Mengikut firasat saya pula, besar kemungkinan isteri-isteri yang curang ini bermasalah dengan suami hingga menjejaskan kewarasan fikiran dan bertindak melulu menurut kata hati.

Berikut senarai kes yang pernah dilaporkan:


Kes 1 – Isteri ditangkap khalwat bersama lelaki bukan Islam (24/09/2009)

Seorang pegawai imigresen wanita ditangkap atas dakwaan berkhalwat pada hari lahirnya bersama seorang lelaki berketurunan Cina di sebuah hotel. Wanita berkenaan mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah. Dia didakwa bawah Seksyen 9(2) Enakmen Jenayah Syariah negeri Perlis kerana berkhalwat. Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan awal pagi di sebuah hotel bersama pasangannya yang juga bukan Islam. Mengaku tidak bersalah tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM5 ribu.

Kes 2 – Ibu beranak lima ditangkap khalwat (25/10/2009)

Di Kajang, seorang ibu berusia 37 tahun dan mempunyai lima anak pula telah ditangkap oleh pegawai Jabatan Agama Islam Selangor kerana disyaki berkhalwat. Lelaki yang disyaki menjadi pasangannya berusia 31 tahun.

Kes 3 – Isteri lari tinggalkan suami (03/12/2009)

Seorang suami kecewa apabila isteri yang baru dikahwini selama 13 hari bertindak lari dari rumah dan meninggalkannya. Isterinya lari pada awal pagi dengan alasan mahu ke tandas. Namun dia kemudian dilihat pergi bersama beg baju menaiki kereta yang sedang menunggunya. Sebelum meninggalkan suaminya pada dinihari 6 November lalu, wanita berusia 20 tahun itu didakwa asyik melayan Sistem Pesanan Ringkas (SMS), hatta semasa sedang bersanding sekali pun. Menurut suami malang itu, isterinya ada menghubunginya dan meminta sejumlah wang dan berjanji akan kembali ke pangkuan suami. Namun setelah mendapat wang dia tidak muncul di tempat yang dijanjikan. Lebih menyedihkan, isterinya itu kemudiannya ditangkap khalwat bersama bekas kekasihnya.

Kes 4 – Berkhalwat dengan 4 lelaki

Seorang lelaki yang berang dengan isterinya selepas ditangkap khalwat dengan empat pelajar lelaki, menumbuk pipi wanita itu sehingga lebam di balai polis sehingga terpaksa ditenteramkan penguat kuasa Pejabat Agama. Lelaki berusia lewat 20-an itu bertindak demikian selepas dimaklumkan isterinya yang berusia 24 tahun itu ditahan kerana berkhalwat di sebuah rumah sewa. Difahamkan, seorang daripada empat lelaki yang dicekup bekas teman lelaki wanita berkenaan yang dikenalinya sebelum berkahwin. Wanita itu sering ke rumah sewa lelaki berkenaan yang juga pelajar di sebuah kolej swasta setiap cuti hujung minggu. Selain wanita tersebut, empat pelajar lelaki yang berada di situ turut ditahan. Semua yang ditahan akan didakwa mengikut Seksyen 9 (3) dan (4) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988, yang mana sabit kesalahan boleh didenda RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali.

Kes 5 – Curang dibalas curang

Awal Mac lalu, terdapat kes seorang isteri curang bersama beberapa teman lelaki selepas mendapati suaminya telah meniduri beberapa orang wanita. Setelah suaminya mendapat tahu, isterinya dipukul teruk dengan getah paip sehingga melecur satu badan.

Kes 6 - Remaja jalin hubungan isteri orang dibelasah (21/06/2010)

Seorang remaja cedera pada muka dan badan akibat dibelasah sekumpulan lelaki di satu kawasan di Alor Setar, Khamis lalu (17/06), kerana dipercayai menjalin hubungan sulit dengan isteri orang. Wanita itu dikatakan mempunyai empat anak dan ketika anaknya mengikut suaminya keluar berniaga dia mengambil kesempatan membawa remaja itu masuk ke rumah. Dalam kejadian jam 4 petang Khamis lalu itu, remaja itu berasal dari Pokok Sena dan bekerja di kantin di Alor Setar dikatakan dibawa ke satu lokasi sebelum dibelasah sekumpulan lelaki, termasuk suami wanita berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Sawaludin Hamenudin, berkata pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian itu dan menyerahkan kes itu kepada Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu untuk membantu siasatan. Difahamkan, mangsa berusia 18 tahun dipercayai dibelasah apabila dikatakan menjalinkan hubungan dengan wanita berusia 26 tahun itu dan kerap ke rumah wanita berkenaan di Bandar Darulaman, di sini, ketika suami wanita itu keluar berniaga. (BH21/06)


Kata pepatah tangan yang menggoncang buai mampu menggoncang dunia, namun fenomena yang berlaku kebelakangan ini melibatkan kaum wanita amat merisaukan. Wanita kini seperti sudah hilang nilai-nilai murni, adat ketimuran yang cukup memelihara maruah dan nilai diri. Lihat saja akan kes-kes di atas. Itu cuma beberapa contoh dan masih banyak lagi masalah sosial lain berlaku kalangan isteri dalam masyarakat kita. Wanita zaman sekarang sudah berani melakukan perkara-perkara yang suatu masa dahulu difikirkan mustahil boleh dilakukan oleh kaum wanita, ditangkap khalwat, berlaku curang pada suami atau menjalin hubungan sulit di belakang pasangan masing-masing seolah-olah menjadi perkara biasa.

Kenapa semua ini terjadi? Adakah kerana desakan hidup, tekanan atau berpunca dari sikap diri sendiri? Tidak dinafikan, kehidupan suami isteri ada pasang dan surutnya. Ada masa bahagia dan ada masanya penuh gelora. Tiada niat ikhlas ketika mendirikan rumahtangga juga boleh menjadi punca utama perkara ini berlaku. Maksudnya di sini, bersedia menerima pasangan seadanya, sanggup susah senang bersama dan memperbaiki diri demi keharmonian rumahtangga. Ramai isteri ingin mencari bantuan dan berharap suami faham, namun takut untuk meluahkan perasaan kepada suami. Pada mereka, suami adalah orang terakhir yang perlu tahu dan saat suami tahu itulah detik akhir alam perkahwinan. Benar, suami mana yang tidak kecewa apabila kasih isteri beralih arah, sedangkan isteri masih di bawah tanggungjawabnya.


Apa yang patut dilakukan bila isteri curang?

Dalam hal ini, suami harus bersikap matang dan dapat membezakan erti dayus dan sabar. Mengapa saya membangkitkan isu ini? Tidaklah saya nafikan, ramai suami memberi pendapat bahawa dayuslah mereka seandainya masih memperisterikan wanita curang. JANGAN salah erti berkataan dayus! Dayus bererti, apabila suami tidak berbuat apa-apa dan tidak cemburu langsung ketika isterinya curang, sedangkan dia sedar akan kecurangan isteri. [NB: Rujuk erti dayus yang sebenar di Zaharuddin.Net - Siapa lelaki dayus menurut Islam?] Sabar boleh dimaksudkan sebagai keupayaan berlapang dada dan memahami keadaan isteri mengapa dia terperangkap dalam keadaan curang itu.

Suami harus bertanggungjawab memulihkan perhubungan dan pendidik isteri kembali menghayati alam rumahtangga yang diredai Allah. Namun dalam sesetengah keadaan, tidak dapat dinafikan lebih baik menamatkan perkahwinan selepas menilai keadaan secara waras dan mendapatkan bantuan sepatutnya. Sebagai suami, ada beberapa perkara yang perlu disedari dan ingat di dalam perkahwinan iaitu - setiap perkahwinan terdedah kepada ujian.

Rumahtangga satu ujian

Keikhlasan penting untuk mendorong seseorang menerima kelemahan pasangannya lantas berusaha memperbaiki diri bukannya turut serta melakukan kesilapan yang sama. Mereka yang ikhlas akan percaya, kesilapan yang dilakukan oleh pasangan adalah ujian daripada Allah dan akan berusaha untuk membetulkan kesilapan pasangan. Sekiranya gagal dibantu, setelah berusaha dan memanjatkan doa kepada yang Maha Esa, jalan terbaik adalah keluar dari perkahwinan dan bukannya turut serta mengulangi kesilapan pasangan yang hakikatnya lebih banyak memberi keburukan kepada diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Semua perkahwinan terdedah kepada ujian sama ada tercetus daripada suami, isteri, anak, ahli keluarga, orang luar mahupun keadaan sekeliling. Justeru, langkah pencegahan daripada terjerumus kepada perlakuan curang amat perlu diambil. Seorang rakan sangat menghargai teguran suami yang melarangnya menumpang kereta rakan lelaki, walaupun pada awalnya dia berasakan teguran itu agak keterlaluan. Suaminya memberi alasan naik kereta bersama boleh membawa keselesaan berbual dan seterusnya bercerita masalah peribadi. Segala kemungkinan boleh berlaku bertitik tolak dari situ seperti kecurangan. Lebih baik mencegahnya dengan menutup saluran yang menjurus ke arah pergaulan sebegitu.

Pun begitu, seandainya perkahwinan masih diuji, berlapang dadalah kerana rumahtangga kita dipilih Allah SWT untuk menerima peningkatan iman dan darjat. Isteri perlukan perlindungan, suami seharusnya bertindak sebagai pelindung isteri. Ia bukan sekadar memberi tempat berlindung seperti rumah tetapi juga memberi perlindungan perasaan melalui sikap yang mengambil berat mengenai rasa takutnya serta kesunyiannya. Ada suami tidak peka dan mengambil mudah perasaan isteri yang cuba memberi isyarat kepada suami dia sedang digoda lelaki lain.



Fitrah makhluk bernama wanita

Fahamilah fitrah penciptaan makhluk wanita. Wanita dicipta dengan penuh kelembutan dan sudah tentunya juga memerlukan belaian dan perhatian terutamanya dari suami atau pasangan masing-masing. Apabila ada ruang kosong yang tidak terisi kemudian pada waktu yang sama hadir pula seseorang di dalam hidupnya yang dapat membelai dan menjaga perasaannya, mulalah hatinya berubah.

Kenyataan saya ini tidak bermakna saya menyebelahi wanita. Tetapi apa yang saya faham ‘wanita itu sememangnya dicipta untuk setia’, maka jika terjadi sesuatu perkara yang aneh, pelik atau ganjil selalunya pasti bersebab. Adakah dirinya begitu kecewa atau hatinya begitu terluka? Ataupun dendam kesumat yang menjadi punca menyebabkan dia ingin membuktikan sesuatu yang dia juga boleh melakukannya. Segalanya yang berlaku pasti bersebab. Namun pada pandangan saya setiap perlakuan dan perbuatan kita ini harus berlapikkan akal yang waras dulu sebelum kita melakukannya.

Apa yang ingin dikongsikan bukan bermaksud mengeruhkan keadaan tetapi mencari penyelesaian dan membantu menamatkan situasi curang yang mungkin terjadi di dalam rumahtangga tanpa sedar. Perlu diingat gejala awal yang dikongsi tidak semestinya mengesahkan isteri curang, tetapi suami yang berjiwa mantap melihat situasi ini sebagai muhasabah diri dan keluarganya. Dia juga harus matang berkomunikasi dan membantu isterinya untuk bersikap jujur.

Antara petanda perkahwinan yang memerlukan perhatian ialah bila
:

1. Kurang komunikasi

Komunikasi bersama isteri semakin kurang dan isteri tidak ambil berat bagi memperbaiki keadaan. Suami yang peka berasa bertanggunjawab dan cuba membaiki hubungan.

2. Jurang emosi

Isteri seolah-olah membina benteng di sekeliling dirinya dan berada dalam dunia sendiri. Hubungan dengan suami dan anak semakin jauh. Isteri juga mungkin menolak untuk tidur bersama atau kelihatan kaku apabila bersama.

3. Kebiasaan berubah

Ada beberapa kebiasaan yang mungkin berubah seperti sering keluar sendiri dan penampilan lebih terjaga bukan di tempat yang sepatutnya. Seperti kata seorang suami, dia pelik melihat isterinya yang tidak begitu menjaga penampilannya sebelum ini, kini berdandan rapi hanya untuk ke ke pasar malam!

4. Tidak menjaga ibadat

Isteri yang berasa dirinya berdosa, selalunya berasa jauh daripada Tuhan. Dalam keadaan ini ibadat yang dilakukannya tidak sesempurna seperti yang sering dilakukannya.

5. Bil telefon meningkat

Paling ketara jika ada lelaki lain dalam hidupnya ialah bil telefon meningkat mendadak dan ketara. Seorang wanita selalunya lebih berpotensi untuk kerap menghubungi lelaki yang disukainya dan yang dapat mengisi tuntutan emosinya.

Apa kata pakar dalam hal ini?

Desakan seksual yang kuat tidak semestinya mendorong seseorang isteri menjadi liar dan menagih cinta di luar rumah, walaupun ia mempengaruhi hubungan dalam rumahtangga. Selain kepuasan batin, seorang isteri tetap perlukan belaian kasih sayang daripada seorang lelaki dan dilayan dengan baik sehingga dia berasa dihargai.

Pengarah Pusat Kepakaran Reproduktif Manusia di Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dr Ismail Thamby, berkata kebanyakan masalah seumpama itu berlaku apabila keperluan batin si isteri GAGAL dipenuhi suaminya. Kajian mendapati tidak semua kecurangan seseorang isteri disebabkan masalah nymphormania atau keinginan seks yang kuat, sebaliknya boleh juga disebabkan kekurangan perhatian dan belaian seorang lelaki.

Dr Ismail berkata, kecurangan boleh bermula jika ada kekosongan dalam keperluan batinnya, manakala pasangan pula tidak mengambil berat terhadap keperluan berkenaan. Ketika keadaan itu berlaku, hadir pula seorang lelaki yang sedia memberikan perhatian sehingga si isteri tersebut berasa yakin dia dihargai. Pada peringkat lebih jauh, apabila hubungan semakin intim, tidak mustahil ‘teman lelaki’ mengambil kesempatan atas kelemahan wanita berkenaan. Dr Ismail yang banyak mengendalikan masalah hubungan seksual rumahtangga berkata, dia sendiri banyak mengendalikan kes melibatkan lelaki bermasalah dari segi menunaikan tanggungjawab batin isterinya.

“Si suami tidak mengambil berat masalah itu dan pada masa sama tidak memberi layanan kepada isteri untuk beberapa lama sehinggalah muncul orang ketiga,” katanya.

Menurut Dr Ismail, yang dimaksudkannya dengan layanan itu tidak semestinya berbentuk seks semata-mata, sebaliknya mungkin sekadar belaian dan interaksi berkualiti sehingga menerbitkan rasa dihargai atau diperlukan dalam diri wanita tersebut. Interaksi itu pula tidak semestinya memlibatkan hubungan seksual, walaupun memang ada wanita yang sangat memerlukannya. Untuk mendalami hal ini, sila rujuk Q&A : Hak isteri atas suami - MediaIsnet, Dr Yusof Qardhawi.

Dr Ismail juga mengakui ada wanita suka sengaja bermain api dan penampilannya seolah-olah belum ada suami. Golongan ini, katanya, mudah mesra dengan lelaki lain, sama ada untuk keseronokan semata-mata atau mencari kepentingan peribadi seperti inginkan kemewahan, hadiah mahal dan makan di tempak eksklusif.

“Untuk mendapat tempat lebih istimewa berbanding di hati suami sendiri, dia saggup berlaku curang. Ini bukan penyakit, sebaliknya hanya memenuhi nafsu sendiri,” katanya.

Beliau juga menasihatkan lelaki yang mengesyaki isterinya curang supaya memuhasabah diri sendiri untuk mengetahui punca sebenar masalah itu. Katanya, mungkin sebelum perkara itu berlaku, si isteri ada berkata sesuatu mengenai masalah dirinya, tetapi tidak berbuat apa-apa kerana ego. Apabila muncul orang ketiga baru si suami sedar, tetapi selalunya pada tahap ini ia agak sukar kerana dia sudah ada saingan.

Punca isteri berlaku curang mungkin disebabkan oleh faktor:

1. Kegagalan suami melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya.


Isteri adalah merupakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan oleh Allah kepada suami supaya membimbing mereka agar terus berada di jalan yang benar dan diredai Allah SWT. Kebanyakkan suami zaman sekarang memilih isteri bukan mengikut apa yang disunahkan oleh Rasulullah SAW iaitu seorang wanita yang berpendidikan agama yang tinggi dan luas sebaliknya mereka lebih mengutamakan kecantikan, kedudukan dan hartanya. Apabila suami gagal menjalankan tanggungjawab tersebut maka tidak mustahil berlakulah perkara ini.

2. Kurang komunikasi yang menyebabkan jurang emosi

Kecurangan boleh bermula jika ada kekosongan dalam keperluan batinnya, manakala pasangan pula tidak mengambil berat terhadap keperluan berkenaan. Apabila suami gagal dalam menyempurnakan tanggungjawab batin terhadap isteri, tidak mustahil isteri ini akan makan hati dan ini boleh menjadi salah satu faktor hubungan semakin hambar. Bila hubungan semakin hambar, suami isteri tidak lagi berkomunikasi dengan mesra. Kurang komunikasi yang menyebabkan jurang emosi akan menyebabkan isteri tertekan dan bertindak mencari jalan keluar untuk mengurangkan tekanan perasaan dengan mengisi kekosongan emosinya. Ketika keadaan itu berlaku, hadir pula seorang lelaki yang sedia memberikan perhatian sehingga si isteri tersebut berasa yakin dia dihargai. Maka, berlakulah curang.

3. Pergaulan sosial yang terlampau bebas.

Keadaan pergaulan sosial yang terlampau bebas yang mengikut cara kehidupan kebaratan adalah merupakan punca kepada berlaku gejala ini di mana isteri akan bertindak melakukan perkara sumbang dan curang kerana pda fikiran mereka suami merekapun apa kurangnya.

4. Penyalah-gunaan kemudahan

Teknologi moden hari ini juga menyumbangkan kemudahan untuk berlakunya curang. Kewujudan alat-alat untuk memudahkan komunikasi yang canggih seperti HP, SMS, laman sosial (fesbuk, twitter, friendster dan lain-lain), Internet, MMS, Vid Call dan lain-lain lagi. Rata-rata orang kita amat naif, persahabatan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram(yang tidak didasari atas sebab-sebab darurat, seperti kerja, jual beli dan sebagainya) tidak sepatutnya berlaku. Permulaannya persahabatan yang biasa-biasa saja tidak mustahil akan diakhiri dengan curang jika ia melibatkan perkongsian emosi dengan berlainan jantina (yang tidak sepatutnya berlaku), sementelah tiada pula pengawasan dan kawalan daripada pihak suami dan juga isteri.

5. Sifat lelaki itu sendiri yang terlalu mengikut nafsu.

Kebanyakkan kes yang berlaku adalah melibatkan mereka yang berkedudukan agak tinggi di mana suami mereka merupakan orang yang berpangkat. Suami sibuk mengejar dan tergila-gilakan wanita atau anak gadis lain maka mereka mengabaikan nafkah batin bagi isteri. Isteri di rumah diabaikan dan si isteri yang mempunyai sumber kewangan yang mencukupi dan akal yang pendek mengikut emosi akan bertindak membalas dendam kepada suami dengan melakukan perbuatan curang seperti suami mereka.

6. Dunia sudah berada di penghujung jalan.

Mungkin dunia sudah sampai ke penghujung jalan maka keadaan ini semakin menjadi-jadi. Sedarlah dan ingatlah bahawa selagi manusia dinamakan manusia dan selagi nafsu dibiarkan mengawal akal dan fikiran. Maka perkara ini pasti akan berleluasa.



Memaafkan

Seorang isteri yang sedang menjalin hubungan lain, sebenarnya sedang terperangkap dalam gua tanpa jalan keluar. Mungkin di dalam gua itu ada sesuatu yang sangat menarik perhatiannya seperti aliran air yang berkaca, ukiran di batu gua serta batu-batan yang indah dan mengasyikkan.

Namun, sesiapapun yang terperangkap, ingin mencari jalan keluar justeru kehidupan sebenar bukan di dalam gua tetapi di luar sana. Fahamilah kemelut hati isteri yang dilanda konflik, maafkanlah dan bantulah dia mencari jalan keluar. Suami tidak wajar menghukumnya dengan sakit hati dan menutup terus jalan keluar untuknya.

Ramai juga suami memberi alasan sibuk adalah faktor penghalang bagi memenuhi keinginan dan kesunyian isteri. Saya pernah membaca kisah seorang lelaki berkongsi cerita sedih rumahtangganya apabila isterinya meninggalkan dia dan anak walaupun dia cuba melakukan yang terbaik dengan memberikan kemewahan harta benda kepadanya. Adakah wajar tindakan ini? Kita seringkali melakukan kesilapan di dalam memenuhi keperluan emosi masing-masing di dalam rumahtangga. Apakah kesunyian isteri dapat diubati dengan wang beribu? Atau sedikit masa dan perhatian daripada suami dapat digantikan dengan kilauan emas permata? Gelisah di jiwa isteri adakalanya cukup dengan sedikit ambil berat yang ditunjukkan suami. Limpahan harta benda selalunya adalah pelarian atau jalan keluar sementara dan tidak lama.

Kita sering beranggapan kebahagiaan yang dicari ada dalam kemewahan yang melimpah ruah. Kita memfokuskan sebahagian besar hidup mengejar kebahagiaan mengikut definisi kita, lalu akhirnya kita kecewa. Ada isteri yang berasa tersisih dengan kesibukan suami dan berasa diri kurang diperlukan lagi. Ada beberapa perubahan isteri yang suami harus peka dalam menangani isu curang ini.

Kesimpulan


Seseorang wanita itu harus menjaga kesucian dirinya bukan sahaja dari segi tutur bahasa dan tingkah laku tetapi juga moralnya. Kehormatan seorang wanita itu bukan hanya terletak pada harga dirinya tetapi juga reputasi dirinya. Disebabkan keperibadian yang tinggilah wanita disanjung dan dihormati. Namun apabila terjebak atau terjerumus di dalam perkara songsang, rosak dan binasalah nama dan harga diri. Maka ini akan memberi implikasi yang negatif terhadap individu tersebut. Tambahan dengan persepsi dan tanggapan buruk terhadap kaum wanita umumnya. Maka gejala ini tidak harus dibiarkan berterusan. Nilai dan integriti diri adalah menjadi perkara asas kehidupan yang akan menjadi kayu ukuran seseorang itu.

Nasihat saya kepada diri sendiri dan semua kaum wanita yang membaca entry ini, jangan terlalu mengikut emosi dan perasaan. Sebelum terlibat atau terjerumus ke dalam kancah maksiat atau lubuk dosa, fikirkanlah tentang diri sendiri. Cubalah berfikir sejenak dan sayangi diri sendiri. Kalau ada ketidakpuasan hati di dalam hubungan dengan suami, bawalah berbincang dan berterus terang daripada main di belakang atau berlaku curang. Jangan takut untuk berkata benar. Sebelum bertindak melakukan sesuatu yang drastik, tanya pendapat dan pandangan dari orang-orang yang lebih arif atau boleh dipercayai. Kadang-kala mungkin pandangan orang dapat mengubah pendirian dan keputusan kita.

Seperti yang pernah dikongsi oleh ramai isteri, di dapati perhubungan yang terjalin bukanlah sengaja dicari. Ia datang tanpa sedar, tahu-tahu mereka tidak mampu melarikan diri daripada hubungan terlarang. Mereka takut untuk bercerita justeru berasakan dirinya jahat. Mereka tidak mampu menghadapinya seorang diri walau mencubanya berkali-kali. Sebulan menghindari masalah itu mungkin boleh, namun masuk bulan kedua mereka mula gila bayang. Ia diburukkan dengan layanan suami yang acuh tidak acuh di rumah.

Justeru, para suami wajar membantu isterinya, didiklah dan sokonglah isteri anda untuk menjadi isteri yang setia. Bagi suami yang mengharapkan kesetiaan isteri, kesetiaan itu sebenarnya harus bermula dari suami itu sendiri.

Walau apa pun, gejala atau fenomena ini tidak harus dibiarkan berlarutan kerana akan meninggalkan kesan yang negatif terhadap kaum wanita. Bukankah wanita itu luhur, lembut, dihormati dan disanjung. Carilah kehebatan dengan cara lain bukan dengan cara songsang!

Semoga Allah sentiasa melindungi kita daripada perkara yang tidak diingini. Amiin.




Rujukkan entry : MW (SuzanaGhazali dalam isukhas), Melayu.com, dan UZAR.

Capaian entry berkaitan :

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails