“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Selasa, Jun 08, 2010

Tangani kelemahan untuk jana kekuatan ummah


Umat Islam perlu kuasai ekonomi, ibadah dan sosial bagi bentuk integriti Muslim unggul

ISU kelemahan umat Islam adalah antara isu hangat diperdebat dan dibahaskan dewasa ini di kalangan umat Islam. Pengertian kelemahan yang melanda umat Islam kini meliputi kemunduran, ketinggalan dalam pelbagai lapangan hidup, kemiskinan, kedaifan, perpecahan, pertelagahan sesama sendiri dan pelbagai kemelut serta krisis yang menghimpit umat Islam kini.

Keadaan yang berlaku amat jauh bezanya dengan jaminan Allah Taala kepada umat Islam sebagai umat terbaik dan menjadi contoh kepada ummah sejagat dalam pelbagai aspek kehidupan. Justeru, di mana silapnya dan siapa yang bersalah dalam hal ini sehingga umat Islam terpaksa menelan kepahitan hidup dan bergelumang dengan pelbagai kemelut yang memilukan.

Sehubungan itu, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Apabila umatku sudah mengagung-agungkan kehidupan dunia (dengan menjadikan kekayaan harta benda, kekuasaan dan pangkat kedudukan sebagai matlamat kehidupannya), maka akan dicabut keagungan dan kemuliaan ajaran Islam. Dan apabila umatku sudah meninggalkan kegiatan amar makruf nahi mungkar, maka umatku akan terhalang memperoleh keberkatan dari Allah SWT. (Hadis riwayat Tirmizi)

Untuk menjawab persoalan ini, maka sudah tiba masanya umat Islam bermuhasabah diri dan merencana perancangan sistematik bagi menjana kembali kekuatan. Sekurang-kurangnya di sana, ada tiga jenis kekuatan yang perlu diberi perhatian dan dijana umat Islam sekiranya mereka ingin membebaskan diri daripada belenggu kemunduran serta cengkaman krisis yang melanda.

Pertama, kekuatan akidah dan ibadah dengan cara membangun dan mengimarahkan masjid. Masjid pada zaman Rasulullah SAW bukan saja dibina pembangunan fizikalnya yang bersih, suci dan menyejukkan mata memandang, malah ditekankan juga pembangunan rohani orang yang memakmurkan masjid.

Justeru, masjid berfungsi sebagai pusat pembangunan umat Islam yang memiliki kekuatan akidah, ibadah, akhlak, berjemaah, berukhuwah dan sedia berkorban demi menegakkan nilai kejujuran, kebenaran dan keadilan di luar masjid dan kehidupan masyarakat.

Ini bertepatan dengan firman Allah bermaksud: Sesungguhnya masjid (Quba yang engkau bina wahai Muhammad), yang didirikan di atas dasar takwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau solat padanya. Di dalam masjid itu ada orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (menyucikan) dirinya; dan Allah mengasihi orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin). (Surah al-Taubah, ayat 108).

Pada zaman Rasulullah SAW, masjid berperanan sebagai kekuatan yang mengikat hubungan manusia dengan Allah SWT dan juga sesama manusia. Masjid juga menjadi tempat yang sangat dicintai dan dirindui kehadirannya oleh masyarakat pada masa itu. Suasana seumpama inilah perlu diwujudkan dalam konteks zaman semasa ini.

Kedua, kekuatan ekonomi iaitu melahirkan generasi usahawan Muslim yang berupaya mengeluar dan membekalkan keperluan makanan halal sendiri. Apabila hal ini menjadi kenyataan, umat Islam tidak perlu lagi menjadi pengguna makanan halal yang diusahakan oleh orang bukan Islam. Berdasarkan perkembangan pesat mutakhir ini, umat Islam sewajarnya berlumba-lumba mengambil kesempatan mengeluarkan produk makanan halal sendiri seperti yang dituntut oleh Islam.

Ini bukan saja meningkatkan produktiviti dan mengukuhkan kedudukan ekonomi, malah ia akan mengembalikan kegemilangan serta kejayaan umat Islam dalam pelbagai aspek kehidupan sejagat. Untuk mencapai matlamat ini, umat Islam perlu berusaha dan mengorak langkah menjadi pengeluar dan pembekal utama makanan halal dunia di samping memiliki integriti keperibadian Muslim yang unggul berdasarkan nilai Islam.

Ini kerana kekuatan ekonomi tidak dapat dipisahkan daripada kemajuan dan tamadun sesebuah negara. Islam amat menggalakkan umatnya supaya menerokai dan menguasai sumber kekayaan sedia ada bagi membangunkan ekonomi mereka. Islam pada dasarnya tidak melarang umatnya menjadi kaya, tetapi Islam melarang seseorang itu memperoleh harta terbabit dengan menghalalkan segala cara seperti berjudi, merompak, merampas dan sebagainya.

Oleh kerana itu, sudah sampai masanya umat Islam berusaha sedaya upaya membina kekuatan ekonomi dengan cara memperbanyakkan institusi perbankan Islam, melestarikan institusi wakaf dan baitulmal demi maslahah umat Islam di samping berusaha menjadi pusat pengeluar produk halal sedunia.

Dalam hal ini, Allah SWT amat memuji orang yang hatinya terpaut pada masjid, tetapi sangat tekun dan bersungguh-sungguh dalam melakukan kegiatan ekonominya. Allah SWT berfirman maksudnya: (Ibadat itu dikerjakan oleh) orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau jual beli daripada menyebut serta mengingati Allah, mendirikan solat, memberi zakat dan mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan. (Surah al-Nur, ayat 37).

Ketiga, kekuatan sosial yang dipamerkan melalui proses persaudaraan Islam antara sahabat Muhajirin yang berhijrah bersama Rasulullah SAW dengan penuh ikhlas dan reda meninggalkan tanah air, keluarga dan harta benda demi mempertahankan akidah dengan sahabat Ansar yang memiliki kesediaan tinggi untuk membuat pengorbanan jiwa dan raganya demi kepentingan sahabat Muhajirin.

Oleh itu, kewajipan utama umat Islam sekarang ini ialah membina persaudaraan dianjurkan Islam atas dasar takwa, saling menghormati, menghargai dan bersaing secara sihat demi keredaan Allah.

Sumber : Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi di BHarian 08/06/2010


0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails