Susulan entry Adakah Islam membenarkan suami memukul isteri?, saya tercari-cari juga jika ada yang mengulas beberapa kejadian jenayah suami ini di mana-mana akhbar. Sayang sungguh, setelah bertanya kepada pakcik Google, saya tidak bertemu dengan mana-mana pihak yang berani mengulas, seolah-olah keganasan rumahtangga atau lebih tepat lagi, JENAYAH SEKS, dibenarkan oleh agama Islam?!
Mengapa saya sibuk-sibuk bercakap tentang ini, ya? Saya pasti, masih ramai wanita di luar sana yang tidak mengetahui akan hak-hak mereka sebagai isteri. Buktinya, dilaporkan sebanyak 30% daripada 5,000 peserta yang mengikuti program anjuran Pejabat Pembangunan Wanita Johor sepanjang tahun lepas [rujuk : Masih ramai wanita tidak tahu hak mereka atau UM 13/11/2009] ini tidak mengetahui mengenai hak mereka. Menurut Pengarah Pembangunan Wanita Johor, Rosmawati Mohamad berkata, sikap wanita yang ‘jahil’ mengenai undang-undang yang boleh melindungi mereka nyata merugikan dan mengganggu kesejahteraan isntitusi kekeluargaan. Malah, akibat ‘kejahilan’ itu menyebabkan golongan berkenaan terus menjadi mangsa diskriminasi dan penindasan daripada pihak tertentu yang mengambil kesempatan ke atas mereka.
Menurutnya, pengetahuan mengenai undang-undang yang boleh melindungi mereka itu juga mampu mengelakkan wanita daripada terus menjadi mangsa keganasan, penderaan, pengabaian serta penipuan golongan yang tidak bertanggungjawab. Oleh itu, adalah penting pengetahuan mengenai undang-undang dipertingkatkan untuk memastikan hak-hak mereka terpelihara dan ketidaksamaan dapat dihindarkan. Beliau turut menasihati golongan wanita supaya membuang sikap malu untuk mengadu apabila berhadapan dengan masalah yang melanggar hak asasi mereka.
Kebanyakan wanita lebih rela memendamkan sahaja masalah yang dihadapi daripada mendedahkan kepada pihak ketiga yang boleh memberikan khidmat nasihat. Sebenarnya banyak kes wanita yang ditindas, namun mereka tidak membuat aduan kerana malu untuk mendedahkan masalah tersebut. Kaum wanita sering kali mengambil pendekatan pendam dan simpan di dalam hati tanpa menyedari sedar bahawa ia tidak elok untuk diri sendiri.
Jenayah seks suami terhadap isteri
SOALAN :
Boleh puan berikan pandangan mengenai kepincangan dalam hubungan kekeluargaan khususnya dalam kalangan suami isteri, hingga ada suami yang sanggup menyimbah asid ke atas isterinya [Rujuk entry : Tolak seks, isteri melecur kena simbah cuka getah] atas sebab menolak ajakan mengadakan hubungan kelamin.
Mengapakah kejadian sebegini boleh berlaku dan apakah faktornya?
JAWAPAN :
Berdasarkan statistik kes keganasan dalam rumahtangga yang terkini daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, malah statistik perceraian terkini yang dilaporkan oleh JAKIM; sememangnya diakui institusi kekeluargaan khususnya hubungan suami isteri berada di tahap kritikal.
Punca dan sebab yang mewujudkan fenomena sebegini ialah:
1. Kecenderungan dan niat untuk berkahwin tidak tepat
- Ramai pasangan yang cenderung untuk berkahwin kerana cinta dan seks semata-mata. Bila seks menjadi keutamaan, kegagalan menerima layanan seks menjadikan individu mampu bertindak ganas; seperti mencari nikmat seks di luar, menceraikan pasangan atau memukul malah membunuh.
- Betul, keperluan seksual adalah antara dalam hikmah sebuah perkahwinan tetapi seks bukan perkara utama. Jika menjadikan seks sebagai tujuan dan niat utama untuk berkahwin; kegagalan menerima layanan seks menjadi punca mudah rumahtangga berantakan.
- Ada juga yang berkahwin kerana rupa atau harta; apabila harta tiada atau rupa tidak seperti tika mula hati jatuh cinta; perkahwinan akan goyah dan goncang.
2. Kesilapan dalam memahami maksud status seorang suami dan seorang isteri
- Perkahwinan bukan menjadikan suami seorang raja dan bukan juga menjadikan isteri seorang hamba. Prinsip perkahwinan meletakkan perkahwinan sepatutnya menjadi satu perkara yang membahagiakan bagi kedua-dua pihak; suami dan isteri.
- Perkahwinan juga bermaksud perkongsian dan toleransi; bukan satu kata putus tanpa perbincangan. Suami diamanahkan sebagai ketua keluarga disebabkan suami dibebankan dengan tanggungjawab yang pelbagai; bukan saja berikan keperluan nafkah, kasih sayang, perhatian malah termasuk juga mendidik isteri dan anak-anak; bukan sebagai kuasa untuk mengarah itu ini, agar isteri patuh tanpa ada ruang langsung untuk isteri memberikan pendapat dan pandangan.
- Islam mewajibkan isteri patuh dan taat kepada suami tetapi perlulah bertempat. Jika perintah suami berlawanan dengan kehendak syariat; tak perlu ditaati.
3. Kegagalan menjalankan tanggungjawab dan amanah dalam perkahwinan
- Kedua-dua suami dan isteri mempunyai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Tanggungjawab suami menjadi hak isteri dan tanggungjawab isteri menjadi hak suami. Bila satu pihak gagal menjalankan tanggungjawab yang patut, maka satu pihak lagi tidak menerima hak yang sepatutnya.
- Berdasarkan kes yang saya pernah kendalikan; keengganan isteri melayani kehendak seks suami adalah berpunca daripada sikap suami sendiri yang gagal dalam menjalankan tanggungjawab yang perlu sebagai seorang suami; gagal dalam pemberian nafkah zahir; gagal dalam menjaga dan membelai hati dan perasaan isteri; bersikap kasar, bengis malah memukul isteri. Seorang isteri yang terluka atau mengalami bebanan perasaan, akan hilang keinginan untuk layanan seks.
4. Kesilapan memahami konsep hubungan seksual suami isteri
- Ramai yang maklum tentang keperluan dan tanggungjawab isteri untuk melayani kehendak seks seorang suami dan ramai yang lupa bahawa tanggungjawab suami juga untuk memberikan layanan seks kepada isterinya.
- Pokok asasnya, wanita dan lelaki memang ditakdirkan mempunyai kehendak nafsu syahwat. Lelaki perlukan wanita untuk melampiaskan nafsunya, wanita pula perlukan lelaki untuk melampiaskan nafsunya. Malah, hubungan sejenis adalah diharamkan sama sekali.
- Bererti, jika benarpun kajian bezanya kehendak nafsu syahwat wanita berbanding lelaki, ia bukan menafikan kehendak para isteri atau menafikan hak isteri untuk mendapatkan kepuasan sepenuhnya daripada suami sendiri.
- Menurut Anas bin Malik r.a, Rasulullah SAW telah bersabda: “Jika seseseorang antara kamu melakukan hubungan kelamin dengan isterinya, dia hendaklah bersungguh-sungguh. Apabila dia hendak menyelesaikan hajatnya itu (mencapai kepuasan) sedangkan isterinya belum sampai klimaksnya, maka janganlah dia tergesa-gesa (untuk menamatkan persetubuhan tersebut) sehingga hajat isterinya diselesaikan pula.” (Hadis riwayat al-Suyuthi)
- Hadis ini terlalu jarang diketengahkan kepada masyarakat kerana masyarakat lebih maklum dan arif dengan hadis yang meletakkan bebanan tanggungjawab kepada wanita atau isteri semata-mata. Isteri diingatkan; kena layan suami tak kira bila dan di mana sebab hadis cakap, kalau suami minta, atas bonggol unta pun kena layan. Ada hadis cakap, kalau isteri tak layan suami, malaikat akan melaknat si isteri hingga ke pagi. Dua mafhum hadis yang cukup popular dan sering digunapakai. Tapi hadis yang saya nyatakan di atas tadi? Beberapa hadis lain termasuk kisah hidup Rasulullah SAW melayan para isteri, cara menggauli isteri yang sepatutnya dan lain-lain lagi? Kenapa tak nak hazamkan bersama?
- Matlamat perkahwinan adalah untuk kebahagiaan kedua-dua pihak. Sekiranya hanya satu pihak merasa bahagia sedang satu pihak lagi tertekan menderita, tidak ada gunanya perkahwinan yang dianjurkan oleh Islam. Sama juga di dalam hubungan suami isteri. Ianya untuk kepuasan kedua-dua pihak. Sekiranya si isteri melakukan di dalam keadaan terpaksa, di mana nikmatnya yang Allah janjikan untuk pasangan suami isteri tersebut? Sebab itulah, suami perlu lebih bertolak ansur dan cuba memahami keadaan isteri.
- Satu persoalan lagi, apakah isteri tetap wajib melayani kehendak batin suami yang sengaja gagal menunaikan tanggungjawab? Hakikatnya, terdapat dua jawapan bagi soalan ini iaitu ya dan tidak!
- # Ya - jika suami anda daripada kalangan yang sukar menahan nafsunya dan jika anda tidak melayaninya, membolehkan dia terjebak ke lembah maksiat.
- # Tidak - jika anda tahu dan yakin dengan penolakan anda itu tidak menyebabkan suami anda mencari kepuasan di luar.
- Ingatlah! Jika suami mengarahkan isteri melakukan sesuatu yang bertentangan dengan kehendak syarak, maka tika itu, isteri tidak wajar mentaati suami. Sama juga dengan kehendak batin suami yang sengaja gagal dan tidak bersungguh-sungguh menunaikan tanggungjawab, kehendak suami ini boleh ditolak dan isteri tidak akan berdosa sekiranya menolak permintaan suami. Kenapa? Kerana suami sengaja mengabaikan tanggungjawab. Hadis menyuruh isteri mentaati suami yang betul-betul seorang suami.
- Apa maksud betul-betul seorang suami? Seorang suami yang betul-betul seorang suami ialah seorang suami yang berusaha menunaikan tanggungjawab nafkah zahir dan batin seorang isteri, bukan menunaikan nafkah batin sahaja. Masalahnya, menunaikan kehendak batin tu, bukan memenuhi kehendak isteri sangat sebenarnya tetapi lebih kepada memenuhi kehendak sendiri.
SOALAN :
Pernahkah puan berdepan kes serupa dan boleh puan kongsikan beberapa insiden yang pernah puan kendalikan sepanjang menjadi perunding psikologi dan peguam syarie?
JAWAPAN :
Hari ini (10 April 2010) genap 12 tahun saya terlibat dalam mengendalikan kes-kes berkaitan kekeluargaan. Memang banyak kes serupa yang saya terima; antaranya:
- suami simbah minyak tanah kepada isteri dan bersedia untuk menyalakan api disebabkan suami tak dapat layanan seks daripada isteri yang sedang sarat mengandung dan sedang menunggu hari;
- suami memaksa dan memukul isteri hingga lebam-lebam semata-mata kerana isteri enggan melayani kehendak seks luar tabie;
- isteri benarkan suami tidur dengan anak sendiri asalkan diri tidak diceraikan kerana terlalu malu untuk memegang status ibu tunggal buat kali ketiga;
- kes minggu lepas; suami berikan pilihan kepada isteri sama ada benarkan dia tidur dengan anak tiri (anak isteri dengan isteri pertama) atau cukup benarkannya melihat dan memegang alat sulit anak perempuan berusia 11 tahun tersebut; dan isteri berikan kebenaran untuk melihat dan memegang alat sulit si anak hingga sanggup memaksa anak tersebut.
SOALAN :
Apakah langkah-langkah yang perlu diambil bagi memulihkan kepincangan dalam sistem kekeluargaan?
JAWAPAN :
1. Perbetulkan niat tika memasuki gerbang perkahwinan. Niatkan ikhlas kerana Allah, untuk menjadi seorang suami atau isteri yang bertanggungjawab dalam perkahwinan.
2. Berusaha sedaya upaya untuk menjalankan segala tanggungjawab dalam perkahwinan dan rumahtangga. Perlu ada tekad, semangat dan usaha serta doa untuk menjalankan segala tanggungjawab tersebut.
3. Bersikap toleransi, bekerjasama, amalkan sikap berterus-terang, selalu berbincang dengan pasangan. Jadikan pasangan sebagai kawan dan juga sahabat di samping seorang pasangan yang ideal dan romantik.
4. Pelajari ilmu-ilmu yang berkaitan. Hubungan suami isteri, komunikasi dan juga keibubapaan
5. Jangan tinggal solat. Kebanyakan kes yang saya kendalikan, punca utama kepincangan berlaku ialah kerana pasangan suami isteri gagal menjalankan tanggungjawab dan amanah kepada Allah; tidak solat, melakukan perkara yang ditegah oleh Allah;b. solat punya rukun dan syarat, perlu pelihara solat beserta rukun dan syaratnya, insyaAllah solat tadi mampu mencegah daripada individu terlibat dalam perkara keji dan tak baik yang memungkinkan wujudkanya masalah dalam rumahtangga.
6. Jangan putus doa. Penting untuk sentiasa berdoa agar rumahtangga sentiasa dalam rahmat dan barakah-Nya, supaya hubungan suami isteri kekal bahagia, supaya rasa kasih dan cinta kekal di hati sendiri dan hati pasangan, supaya masing-masing dapat menjalankan tanggungjawab yang patut dan perlub. Berdoa tak kira masa, bukan saja masa solat dan berdoalah dalam ayat sendiri yang difahami.
****Jawapan di atas disediakan bagi menjawab soalan wartawan akhbar Sinar Harian. Perbincangan ini disiarkan di dalam Laporan Khas akhbar Sinar Harian pada 12hb April 2010.
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...