PAGE
▼
Khamis, Mei 13, 2010
Ramlah mendapat harta pusaka suaminya
RAMLAH binti Auf merupakan wanita yang terawal memeluk agama Islam. Dia berkahwin dengan al-Muthallab bin Azhar bin Abd Auf az-Zahri. Mereka suami isteri merupakan generasi pertama yang memeluk agama Islam.
Pada zaman jahiliah, kota Mekah merupakan tempat penziarah datang dari pelbagai pelosok negeri. Pada masa itu, banyak patung-patung berhala ditempatkan disekeliling kaabah. Orang yang melawat Makkah pasti akan menyembah patung-patung berhala itu.
Selepas Islam muncul di bumi Mekah, Arab Quraisy menjadi bimbang dan takut. Ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad menggugat aktiviti-aktiviti masyarakat kafir Quraisy.
Beberapa orang Makkah mula tertarik dengan ajaran Islam. Orang yang mula-mula masuk Islam ialah Siti Khadijah binti Khuwailid. Kemudian diikuti dengan beberapa orang lain.
Berita keislaman penduduk Mekah sampai ke pengetahuan Abu Jahal. Dia sangat marah dengan ajaran yang disampaikan oleh anak saudaranya iaitu Nabi Muhammad.
Kaum Quraisy dan pembesar-pembesar Quraisy Mekah yang jahil bertambah marah. Mereka menyiksa orang Islam. Antara yang diseksa ialah Bilal bin Rabah. Perempuan Islam pertama yang mati syahid ditikam oleh mereka ialah Sumaiyah.
Penderitaan yang ditanggung oleh orang Islam Makkah sangat menyedihkan Nabi Muhammad. Lantas Nabi Muhammad mengarahkan beberapa orang Islam berhijrah ke Habsyah.
Nabi Muhammad berkata, "Pergilah ke Habsyah. Di sana ada seorang raja yang tidak akan menzalimi orang lain. Habsyah adalah negeri yang menegakkan kebenaran. Allah akan memberikan pertolongan kepada awak semua".
Orang Islam yang mendengar arahan Nabi Muhammad berasa lega. Antaranya termasuklah Ramlah dan suaminya serta saudaranya iaitu Thulaib bin Azhar. Segala persiapan dilakukan untuk berhijrah ke Habsyah. Mereka mula berangkat ke Habsyah tanpa diketahui oleh pembesar-pembesar kafir Quraisy.
"Moga-moga Allah melindungi kita semua," kata Ramlah kepada suaminya.
Mereka sampai ke Habsyah. Raja Najasyi menyambut baik kedatangan mereka. Walaupun pada mulanya datang utusan dari Mekah memohon agar orang Islam Mekah itu dihantar balik, Raja Najasyi tidak bersetuju. Malah Raja Najasyi membenarkan orang Islam tinggal di bumi Habsyah.
"Awak semua boleh tinggal di bumi Habsyah ini selama mana yang awak mahu. Saya tidak akan membiarkan awak dizalimi atau disakiti oleh sesiapa," kata Raja Najasyi.
"Syukur Alhamdulillah. Masih ada orang yang prihatin kepada kita. semoga Allah melindungi kita," kata Ramlah kepada orang Islam yang lain.
Orang Islam Mekah yang berada di Habsyah beras sangat gembira. Semasa di Habsyah, Ramlah dan suaminya menjalani kehidupan dengan aman dan sentosa. Ramlah didapati hamil. Dia sempat melahirkan seorang anak lelaki di Habsyah. Anaknya diberi nama Abdullah bin al-Muthallab.
"Terima kasih Ya Allah kerana telah mengurniakan saya seorang anak yang comel. Semoga anak ini menjadi anak yang baik," Ramlah berdoa kepada Allah.
"Anak ini kita mesti terapkan nilai-nilai murni pada dirinya. Saya akan pastikan anak lelaki kita menjadi anak yang berbakti kepada agama Islam," kata suaminya pula.
Tidak berapa lama kemudian, satu berita yang menyedihkan menimpa ke atas diri Ramlah. Suaminya meninggal dunia. Tinggal Ramlah menjaga anak lelaki yang masih kecil. Kemudian saudaranya iaitu Thulaib juga meninggal dunia.
Sebelum suaminya meninggal dunia, suaminya ada berpesan kepada Ramlah, "Wahai Ramlah, jagalah anak kita baik-baik. Saya mahu anak kita menjadi seorang Islam yang berjaya di dunia dan di akhirat".
Ramlah pun berkata kepada suaminya, "Insya-Allah, saya akan tunaikan harapan awak ini. Saya juga mahu anak kita menjadi anak yang baik".
Al-Muthallab mempunyai hartanya sendiri. Selepas dia meninggal dunia, hartanya diwariskan kepada isteri dan anaknya. Anak lelakinya menjadi harta peninggalan ayahnya. Menurut sejarah Islam, Abdullah bin al-Mutahallab adalah orang pertama dalam Islam yang menerima harta pusaka yang ditinggalkan oleh ayahnya.
Kesedihan Ramlah terubat kerana dia masih mempunyai zuriatnya sendiri. Dia menjaga dan mendidik anaknya dengan baik. Ramlah dan anaknya berhijrah ke Madinah pada tahun 7 Hijrah.
Semasa di Madinah, Nabi Muhammad menyambut baik kedatangan Ramlah dan anak lelakinya. Nabi Muhammad telah memberikan sebahagian daripada harta rampasan Perang Khaibar kepada mereka.
Ramlah dan anak lelakinya menetap di Madinah. Di sana mereka menjalani kehidupan dengan baik. Akhirnya Ramlah menghembuskan nafasnya yang terakhir di bumi Madinah.
Sumber : Utusan 20/04/2010
sungguh besar..pengorbanan yang telah dilakukan.. :-(
BalasPadam