Assalamualaikum warahmatullah,
Alhamdulillah, bertemu lagi kita di pagi Jumaat yang berkat dan mulia ini. Semoga kita mendapat manafaat daripada ilmu yang sempat dikongsikan untuk kali ini.
Surat At Tiin (سورة التين) adalah surah ke-95 dalam Al Quran. Surah ini terdiri dari 8 ayat, termasuk golongan surat-surat Makkiyah, diturunkan sesudah Surah Al-Buruj. Nama At Tiin diambil dari kata At Tiin yang terdapat pada ayat pertama surat ini yang ertinya buah Tin. [Rujukan : Surah_At-Tiin]
Firman Allah SWT menerusi ayat pertama hingga ke 8 menerusi surah at-Tiin yang bermaksud, “Demi (buah) Tin dan (buah) Zaitun, dan demi bukit Sinai, dan demi kota (Mekah) ini yang aman, sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). Kemudian (jika dia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya (neraka), kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh; maka bagi mereka pahala yang tiada putus-putusnya. (Jika demikian kekuasaan-Ku), maka apakah yang menyebabkan (menjadikan) kamu mendustakan (berkata tidak benar) mengenai hari pembalasan, sesudah (ternyata adanya dalil-dalil yang membuktikan kekuasaan-Ku mengadakan hari pembalasan) itu? Bukankah Allah (yang demikian kekuasaan-Nya) Hakim yang seadil-adilnya?” (Surah at-Tiin 95:1~8)
Asbab an-Nuzul (Latar belakang surah)
Menurut Jumhur ulama mufasirun surah yang ke 95 ini merupakan surah Makkiyah, iaitu sebuah surah yang diturunkan sebelum Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah. Malik dan Syukbah mengatakan dari Adiy bin Thabit dari al-Barra’ bin Azib, Rasulullah SAW membaca surah ini dalam satu rakaat solat yang Baginda kerjakan dalam sebuah perjalanan.
“Saya belum pernah mendengar seorang yang lebih bagus bacaannya daripada Baginda.”
Hadis ini diriwayatkan oleh para perawi kitab hadis yang enam dalam kitab masing-masing.
Tema utama surah ini adalah menyentuh tentang kesempurnaan kejadian manusia dan faktor kejatuhannya. Surah ini mengingatkan manusia bahawa kesempurnaan kejadiannya hanyalah berlaku apabila dia menggunakan segenap potensi yang Allah bekalkan selari dengan petunjuk dan perintah-Nya. Kejatuhannya pula adalah disebabkan pengabaiannya terhadap segala anugerah Allah SWT itu.
Jika dalam surah yang sebelumnya iaitu surah al-Syarh mengandungi huraian tentang kesempurnaan sifat dan keistimewaan yang diberikan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW, maka surah ini menceritakan anugerah Allah kepada umat manusia terutamanya umat Nabi secara khusus tentang peluang untuk mencapai ketinggian darjat di sisi-Nya. Perkara ini memerlukan sedikit komitmen manusia itu sendiri iaitu mentaati Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW.
Surah ini dimulakan dengan sumpah Allah SWT berkaitan empat perkara iaitu :
- Al-Tin yang merujuk kepada pokok tin yang tumbuh subur di negara Timur Tengah. Ini merupakan pandangan Mujahid.
- Al-Zaitun iaitu pokok zaitun atau tempat Nabi Isa menerima wahyu.
- Bukit Sinai yang pernah diutuskan Nabi Musa a.s. ke kawasan itu berdakwah kepada Firaun. Ini adalah pandangan Ka’bul Ahbar.
- Kota Makkah yang digambarkan Allah sebagai bumi yang aman yang menjadi tempat kebangkitan Nabi dan Rasul yang terakhir iaitu Nabi Muhammad SAW. Pandangan ini hampir disepakati oleh semua ahli tafsir seperti Ibn Abbas, Mujahid, Ikrimah, al-Hasan, Ibrahim al-Nakha’ei, Ibn Zaid dan Ka’bul Ahbar.
Apa yang ditafsirkan di atas adalah tafsiran yang masyhur yang boleh kita lihat dalam kitab-kitab tafsir. Namun tidak dinafikan pandangan-pandangan yang lain, contohnya seperti yang dinyatakan oleh tafsir Ibn Jarir al-Tabariy, menurut huraian Ibn Abbas r.a., al-Tin adalah merupakan masjid yang terletak atas Bukit Judiy dibangunkan oleh Nabi Nuh a.s.
Al-Zaitun pula seperti yang ditafsirkan oleh Ka’bul Ahbar, Qatadah, Ibn Zaid adalah merujuk kepada tanah Baitul Maqdis yang mendapat keberkatan oleh Allah SWT. Mujahid dan Ikrimah pula mentafsirkan ia sebagai buah zaitun yang diperah untuk mendapatkan minyaknya yang penuh khasiat.
Menurut Ibn Kathir dalam tafsirnya, sebahagian besar ulama mengatakan maksud Allah itu adalah untuk menunjukkan keutamaan tiga daerah yang penting di muka bumi yang pernah menyaksikan perutusan para Nabi di kalangan ulul azmi yang membawa tiga watikah besar, iaitu :
- Nabi Muhammad yang diutuskan di bumi Makkah (al-Baladul Amin),
- Nabi Isa yang diutuskan di bumi yang dipenuhi dengan pokok tin (wal-tin) dan
- kawasan Sinai (Turusinin) yang pernah diutuskan Nabi Musa a.s.
Kemudian dalam ayat ke 3, Allah SWT menyebut satu daripada nikmat kejadian manusia iaitu pembentukannya dalam bentuk dan struktur yang paling indah, tegak dengan anggota yang lengkap dan normal. Ayat ini mempunyai kaitan dengan ayat 70 surah al-Isra’ apabila Allah menceritakan kemuliaan manusia, sesuai dengan jawatan khalifah yang dipegangnya.
Firman Allah dalam ayat 70 surah al-Isra’, maksudnya : “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.”
Ayat ini juga memiliki kesamaan dari sudut mesejnya dengan ayat ke 7~8 surah al-Infitar, yang bermaksud, “Tuhan ayng telah menciptakan dan mengatur kejadianmu, lalu menjadikan anggotamu sesuai (dengan tujuan yang kerananya anggita itu diadakan), serta menjadikan (binaan tubuh badanmu) sama padan dengan kekuatannya; dalam bentuk dan rupa apa saja yang Dia kehendaki-Nya, Dia menyusun kejadianmu (tubuh-mu).”
Menurut sebuah riwayat daripada Abd bin Humaid dalam Tafsir al-Durr al-Manthur, mereka mengatakan ayat ini memberikan gambaran tentang kekuasaan Allah menukarkan kejadian manusia kepada rupa yang lain jika Dia menghendakinya. Ini termasuk rupa monyet, babi dan sebagainya.
Ayat ke 5 menjelaskan bahawa Allah SWT akan menjadikan kejadian yang mulia itu menjadi hina hingga akhirnya menjadi bahan bakaran api neraka. Penghinaan ini adalah berpunca dari kegagalan manusia mentaati Allah dan Rasul-Nya.
Perkara ini adalah bertepatan dengan maksud hadis riwayat Ahmad, Muslim dan lain-lain : “Sesungguhnya Allah SWT tidak melihat kepada rupa parasmu tetapi Dia melihat kepada hati-hati kamu dan amalan kamu.”
Terdapat juga pandangan dari Ibn Abbas seperti yang dinukilkan dalam Sahih Tafsir Ibn Kathir bahawa ayat ini merujuk kepada golongan yang menghafaz ayat-ayat al-Quran tetapi kemudian sengaja melupakannya. Mereka akan ditimpa penyakit lupa ke peringkat nyanyuk. Riwayat ini pada dasarnya juga mendapat pilihan di sisi imam al-Mufassirin, Ibn Jarir dalam tafsirnya.
Kemudian Allah mengecualikan dalam ayat ke 6 bahawa di kalangan manusia yang terselamat daripada menjadi hina. Mereka itu adalah golongan yang mentaati Allah dan Rasul-Nya. Bagi manusia dalam golongan ini, mereka akan mendapat ganjaran yang tidak putus-putus. Pahala yang dijanjikan ini akan terus mengalir umpama air yang berterusan untuknya.
Dalam ayat ke 7 dan ke 8, Allah SWT berfirman memberikan amaran mengapakah manusia masih melakukan pendustaan tentang hari pembalasan yang pasti berlaku itu. Kebanyakan manusia menolak hakikat ini sekalipun hati kecil mereka membenarkannya. Perkata ini ternyata disebabkan bergelumangnya seseorang itu dengan maksiat sehingga payah baginya untuk menerima ketetapan hukuman.
Akhirnya pada hujung surah ini menerusi ayat yang terakhir, Allah SWT berfirman yang maksudnya : “Bukankah Allah (yang demikian kekuasaan-Nya) Hakim yang seadil-adilnya?”
Di antara bukti keadilan-Nya ialah mengadakan mahkamah persidangan pada hari kiamat untuk mengembalikan hak kepada yang berhak. Sampai kepada kita menerusi hadis riwayat Abu Daud dari Abu Hurairah r.a. bahawa kita dituntut apabila membaca surah at-Tiin ini lalu sampai kepada ayat yang terakhir untuk mengucapkan : “Balaa wa ana ‘ala zalika minas syahidin” yang maksudnya : “Sungguh! Itu benar dan aku termasuk orang-orang yang bersaksi!”
Kata-kata ini adalah pengiktirafan tentang keadilan keputusan Allah SWT, bahawa kita yang membaca al-Quran menyaksikan dengan sebenarnya bahawa tiada yang lebih sempurna keadilan-Nya dan kebijaksanaan-Nya berbanding Allah.
Sumber : Ust Zahazan Mohamed, Solusi # 11
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...