PAGE

Jumaat, Mei 14, 2010

Cemburu seorang lelaki


PERASAAN cemburu sering dikaitkan dengan mesej kasih sayang. Bagaimanapun perasaan cemburu yang gagal diurus boleh mendatangkan masalah besar dalam satu-satu perhubungan.

Misalnya di Melaka baru-baru ini, seorang jururawat, Hashimah Nong, 40, cedera parah apabila kemaluannya dirodok oleh suaminya yang juga seorang anggota tentera berusia 40-an. Menurut Hashimah, suaminya mendengar bisikan suara jin yang memberitahu kononnya dia telah berzina dengan orang lain. Tindakan suami Hashimah itu dianggap luar biasa malah ada pihak yang mempertikaikan kewarasan lelaki yang disifatkan pendiam dan perahsia itu.

Kisah Hashimah merupakan satu contoh jenayah cemburu di negara ini.

Kerana mahu mengelak kejadian sama berlaku, seorang mangsa lelaki cemburu, Nor Zanariah Zakaria, 27, nekad memutuskan pertunangannya dengan seorang lelaki yang didakwanya cemburu buta.

Patah tangan

“Jika dahulu saya memang suka dia cemburu sebab mahukan perhatiannya. Tetapi selepas bertunang, cemburunya semakin menjadi-jadi. Malah, saya pernah dipukul hingga patah tangan hanya kerana tidak mengangkat telefon,” ujar Zanariah.

Wanita malang itu sering menjadi mangsa kekasaran tunangnya walaupun atas kesalahan yang kecil. Tidak hanya dengan pukul, telinganya juga sudah lali dengan ugutan dan maki hamun daripada insan yang pernah melayannya bagai seorang puteri raja.

“Sikapnya mula berubah enam bulan sebelum kami dijadualkan melangsungkan perkahwinan. Dia semakin panas baran dan sikap cemburu butanya sering menjadi punca perang mulut antara kami berdua. Saya sendiri tidak faham, apa yang mahu dicemburukan. Alasan yang selalu dipertahankan, dia cemburu kerana tidak mahu kehilangan perhatian saya. Saya cuba mencari jalan tengah dengan bersikap terbuka dan memperkenalkan rakan-rakan sepejabat dengannya. Namun sifat terbuka saya dijadikan senjata untuk menuduh saya yang bukan-bukan. Setiap hari ada sahaja perkara yang diragukan sampai naik rimas dibuatnya,” kata Zanariah.

Bercerita lebih lanjut sikap tunangnya, Zanariah mendakwa dia pernah dijerkah di depan rakan-rakan sepejabat hanya kerana bekerja syif malam dengan seorang rakan lelaki.
LELAKI yang terlalu cemburu sanggup bertindak di luar pemikiran waras.

“Ia bukan perkara pelik bagi kakitangan beruniform seperti saya bekerja pada waktu malam, tetapi tunang saya tidak boleh menerima keadaan itu, lebih-lebih lagi jika rakan syif malam adalah lelaki,” luah anak sulung daripada tujuh beradik itu.

Akibat tidak tahan dengan sikap tunangnya yang cemburu buta itu, Zanariah tekad memutuskan tali pertunangan walaupun hari perkahwinan hanya berbaki 45 hari.

“Saya tidak kisah menanggung malu asalkan hidup saya tidak merana selepas itu,” tuturnya.

Mengulas insiden yang dialami Hashimah dan Zanariah, Perunding Kanan Psikiatri Universiti Putra Malaysia, Prof. Dr. Azhar Md. Zin berkata, terdapat beberapa perkara yang mendorong lelaki bersikap cemburu buta.

Bisikan


“Berdasarkan cerita Hashimah, (saya dapati) ada dua faktor yang menyebabkan keadaan itu berlaku. Bisikan yang didengari oleh si suami yang mendakwa isterinya curang sehingga mendorongnya mencederakan isteri jelas menunjukkan wujud gangguan mental. Ini tidak mustahil kerana cemburu yang melampau boleh terjadi disebabkan masalah psikiatri seperti sakit jiwa. Bagi lelaki normal, dia akan bertindak agresif tetapi tidak sampai mengakibatkan kecederaan melampau. Marah atau pukul mungkin perkara biasa, tetapi tidak jika sampai merodok kemaluan isteri dengan pisau,” katanya.

Selain gangguan mental, Prof. Dr. Azhar berpendapat, kejadian ganas itu juga mungkin berpunca daripada sifat biologi suami Hashimah yang memang dikuasai perasaan cemburu sejak kecil.

Lelaki cenderung untuk bersikap agresif apabila gagal mengawal cemburu. Malah, kebanyakan kes yang saya kendalikan menunjukkan lelaki boleh mencederakan dan menyusahkan orang lain. Bagi perempuan pula, mereka lebih suka pendam perasaan dan perasaan itu meletus apabila mereka tidak mampu menangani masalah itu lagi. Bagaimanapun, jarang wanita (yang dikuasai perasaan) cemburu sanggup melakukan tindakan agresif melainkan ada gangguan mental,” jelasnya.

Sementara itu, Perunding Pakar Psikiatri Pusat Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Prof. Madya Dr. Marhani Midin berkata, individu yang tidak bijak mengawal perasaan cemburu akan menerima tekanan perasaan.

Emosi

ZANARIAH (kanan) mengalami tekanan hebat akibat sikap bekas tunangnya yang cemburu buta.

“Mengamalkan gaya hidup sihat boleh mengelak tekanan perasaan yang keterlaluan, tidak kira sama ada marah, cemburu atau sayang. Individu yang pandai mengurus perasaan supaya tidak berlebih-lebihan biasanya boleh berdepan dengan apa sahaja bentuk dugaan. Cemburu yang membabi buta boleh menjadi satu bentuk tekanan perasaan jika tidak boleh dikawal dan tidak mustahil ia mampu membawa kepada masalah yang lebih besar seperti jenayah,” katanya.

Jelas beliau, tekanan perasaan boleh diselesaikan dengan beberapa kaedah, namun ia terpulang bagaimana individu tersebut melihat cemburu sebagai masalah kepada mereka.

“Untuk menyelesaikan masalah cemburu keterlaluan, individu perlu memastikan punca yang mencetuskan rasa cemburu yang meluap-luap dalam dirinya. Apabila sudah dapat punca, mereka boleh mengatasi tekanan cemburu itu dengan dua kaedah berbeza iaitu memilih untuk menyelesaikan masalah yang menjadi penyebab cemburu ataupun memilih untuk mengawal emosi daripada menjadi cemburu.

“Contohnya, jika si suami pernah terbaca SMS daripada lelaki di telefon bimbit isterinya, berhenti mengulangi perbuatan tersebut. Proses itu memang mengambil masa kerana dorongan perasaan ingin tahu yang meluap-luap, tetapi ia perlu dikawal.”

Sekiranya timbul keraguan, bincang secara baik dan jangan gunakan kekerasan untuk memaksa pasangan mengakui apa yang dia telah lakukan. Jika perbincangan itu ikhlas daripada hati ke hati, ia akan berjalan lancar dan api cemburu boleh dipadamkan secara beransur-ansur,” katanya.

Profesor di Jabatan Fiqh dan Usul, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid pula memberitahu, tiada bisikan halus yang boleh mendorong seseorang melakukan perkara luar jangkaan.

“Itu bisikan individu itu sendiri iaitu bisikan syaitan yang bertopengkan manusia. Syaitan tidak mampu mempengaruhi manusia jika individu itu dilandasi dengan keimanan. Manusia kini macam-macam bila sudah melakukan satu perkara yang teruk, mereka memberi alasan mendengar bisikan, pengaruh orang lain, hasutan dan sebagainya sedangkan mereka diberikan akal untuk berfikir dengan waras,” ujarnya.

Katanya, cemburu merupakan perkara lumrah bagi setiap individu malah sifat ini berlaku sejak zaman Nabi Adam ribuan tahun dahulu.

“Contohilah cemburu dengan jiran yang bahagia misalnya dan contohi mereka bukannya dengan menoreh kemaluan isteri,” katanya tegas.

Sumber : Siti Nor Afzan Kasiman dan Megat Lutfi Megat Rahim [ahad@kosmo.com.my] di Kosmo!




Capaian entry berkaitan :

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...